HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Sunday, June 25, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 57



Kasihku bagai aliran air
tidak akan pernah berhenti
membanjiri hatimu yang satu....



Deringan talipon bimbit amat membingitkan kedua belah telingaku. Jam di sebelah katil aku pandang. Baru 6.30 pagi. Masih awal lagi. Aku cuba memejamkan mata sekali lagi. Talipon yang menjerit tidak aku hiraukan. Akhirnya ia berhenti dengan sendirinya.

Namun sekali lagi aku diganggu. Dalam mata yang tertutup, aku capai juga talipon itu.

“Emm… Dah nak bangunlah ni….” Sepatah-sepatah aku menjawab malas. Mata masih lagi belum terbuka sepenuhnya.

“Hari ini adik cutilah…” Aku menerangkan panjang lebar. Bangun cepat pun bukan nak kejar apa pun. Baju telah aku gosok malam tadi. Tergantung elok di tempatnya. Masa inilah aku nak bermalas-malas. Hatiku berdesis sendiri.

“Emmm, dah nak jadi isteri orang, tak elok bangun lewat…” Suara di sebelah sana menjawab. Bukan suara mak. Tapi suara seorang lelaki. Mata yang separuh terbuka menjadi luas. Aku terus duduk di atas katil. Suara itu bagai memberi impak yang besar ke atas sikapku sebentar tadi.

Kebiasaannnya mak akan menaliponku setiap pagi. Bila aku tanya kenapa? Mak kata dia ingin mengejutkan aku supaya tidak terbabas. Lepas itu akan bertanya lagi samada aku telah menunaikan kewajipan sebagai seorang hamba kepada PENCIPTANYA.

Ada masanya aku geram juga dengan sikap mak ini. Macamlah aku teruk sangat! Bukannya aku selalu bangun lewat. Cuma pada hari-hari tertentu saja.

“Sebelum kahwin ini, tanggungjawab mak untuk mengingatkan adik. Dah kahwin nanti tanggungjawab itu beraleh kepada suami pula.”

Mula-mula dulu aku merungut juga; sebab aku sudah dewasa. Setelah difikir-fikir benar juga. Siapa yang menegurku selain daripada mak. Itu tandanya mak menyayangiku. Sering mengingatkan aku daripada terleka.

“You tak ada kerja lainkah? Pagi-pagi lagi dah nak ganggu orang?” Rasa marah itu datang bila mendengar suaranya. Kalau ia pun nak talipon carilah masa lain.

“Berpesan-pesan kepada kebenaran bukankah amat dituntut di dalam Islam?” Jawapannya macamlah aku sedang mendengar tazkirah pagi.. Memang setiap pagi aku tidak pernah terlepas dari mendengar tazkirah pagi di KLFM. Cuma hari ini waktu itu telah diawalkan oleh dia.

“Lagipun bukan untuk orang lain… untuk bakal isteri abang juga..” Dia menyambung lagi. Aku terkedu sekejap. Pagi-pagi lagi dah nak cari gaduh denganku.

“Baik ustaz. Terima kasih atas ceramah yang panjang lebar itu” Jawabku dengan cebekan. Mujurlah dia tidak dapat melihat. Jika tidak entah apa yang akan dikatakan lagi.

“Ha ha ha….” Ketawanya panjang. Untuk apa tak tahulah! Mungkin agaknya kerana aku menggelarnya ustaz.

“Dah habis cakap? Kalau dah habis I nak letakkan talipon!” Tawanya yang masih kedengaran aku hentikan serta merta.

“Nantilah sekejap, abang belum habis cakap lagi. Nak cepat-cepat ini nak pergi mana?”
“Tadi, you juga cakap tak baik lewat-lewat.. Bila I nak cepat, you tahan-tahan pula!”
“Zu tadi cakapkan cuti?” Aku terdiam sebentar. Menarik nafas. Cuti yang aku maksudkan bukan cuti kerja. Tapi cuti khas yang diberikan kepada seorang perempuan dalam waktu-waktu tertentu. Dikecualikan daripada melakukan kewajipan lima waktu itu.

Kepala yang tidak gatal aku pegang. Rambutku yang panjang aku gulung-gulungkan. Kemudian aku lurut ke bawah. Sambil itu mencari ide bagaimana nak terangkan kepada mamat ini.

“Cuti-cuti pun I ada tugas lain perlu dibuat. Tak kanlah I nak duduk saja…”
“Betul Zu cuti hari ini?” Apalah dia ini, cuti pula yang ditanya.
“Kenapa?”
“Macam berpakat pula kita. Abang pun cuti juga. Kalau macam itu bolehlah kita keluar.” Suaranya ceria.
“Bila pula I cakap cuti?”
“Tadi itu! Abang tak silap dengarlah Zu… Meskipun suara Zu serak-serak sedikit….” Dia berhenti di situ. Aku termalu sendiri. Ialah suara orang baru bangun tidur. Lagipun mana pula aku tahu ada suara lain tersesat di pagi-pagi ini. Aku ingatkan mak yang menalipon.

Nak cakap ke tak nak cakap. Aku berkira-kira sendiri. Aku sebenarnya malu untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan perempuan ini. Jika tidak diberitahu; dibuatnya terjongol di pagar rumahku pagi-pagi ini. Lagi haru.

“I cuti lain…. “ Aku menjawab perlahan.
“Oh…. Abang faham.. “ Jawapannya membuatkan wajahku tebal 1.
“Sebab itu bangun lewat ya?”
“Kalau tak I boleh bangun lewat lagi. Tapi you ini talipon pula. Memang hobi you suka ganggu orang pagi-pagi ke? Atau you dah nak buat kerja part-time?”
“Abang rindu kat Zu. Semalam abang datang Zu tak ada.”
“Buat sementara ini you simpanlah dulu rindu you itu. I nak bersiap ni. Nanti I terlewat pula ke pejabat.”
“Pejabat Zu bukannya jauh pun…” Dia pula pandai-pandai menjawab bagi pihak aku.
“Memang tak jauh tapi tak kanlah I nak pergi lewat pula. Nak juga I ambil masa dulu sebelum mulakan kerja.”

“Petang nanti abang datang ya?”
“Kalau you nak tunggu macam semalam, datanglah….”
“Abang datang masa lunch lah…” Dia cuba memujuk lagi.
“Eh…. I ada meeting hari ini. Tak tahu bila habisnya.” Dibuatnya dia datang betul-betul mana pula aku nak lari.
“Habis itu bila kita nak berjumpa?” Rasa tak puas hati terpamir dalam suaranya.
“Bila I ada masa nanti. Dan bila I terfikir nak jumpa you, baru I beritahu.” Aku tersenyum sendiri dengan jawapan yang amat spontan dan tak pasti itu. Dia mengeluh.

“Tapi abang rindu sangat dengan Zu….” Dia seakan merayu. Ish seram pula pagi-pagi ini dengar suara begitu. Rasa rindunya diulang lagi.
“Nak buat macam mana? I tak pula rasa rindu…” Nak pecah ketawaku menahan hati yang macam digeletek.
“Oklah… I nak ‘off’kan talipon ini.” Aku melirik jam di atas meja. Lagi 5 minit ke angka tujuh. Dalam tak mahu berbual, panjang juga perbualan aku dengannya.

“Abang sayangkan Zu…” Perlahan dia mengucapkannya. Sayangnya perkataan itu tidak memberi apa-apa erti kepadaku. Tidak teruja sedikit pun. Kasihannya dia masih tak berhenti merayu. Tidak penatkah dia?

“Bye! Assalammu’alaikum.” Lalu mematikan talian.

Apalah nasibku pagi ini. Terpaksa mendengar ceramah pagi daripada Amir Zuhairi tanpa dipinta. Tuala di rak aku capai. Melangkah ke bilik air dengan segera. Benarkah dia begitu rindu seperti yang dinyatakan kepadaku?



Perabut antik dari Melaka
Diborong habis oleh Cik Tiara
Biar diuji berbagai rupa
Berundur tidak lagikan mara

Tuesday, June 20, 2006

ADA RASA DI SEBALIK WAJAH..






Setiap kali aku menatap wajahnya,
Jemu itu tidak pernah hadir
walaupun merah wajahnya terpamir
Bencinya membuatkan aku semakin rindu
Entah kenapa, tarikannya terlalu dalam…..
- Amir Zuhairi



Waktu dulu aku tidak mengendahkannya
Kehadirannya aku anggap biasa saja
Bila dia semakin menjauh
Aku kian menyedari
Dialah yang bertakhta di hati
Kini, aku terasa begitu kehilangan
- Johari




Aku terpana saat terpandang wajahnya
Kelembutan suaranya membuatkan aku terbuai
Ingin aku terus mendekati dirinya
Namun dia seperti merpati
Mesra tapi akan terus lari bila didekati

- Hanif

Perasaan itu kian berkembang
Menjadi haruman mewarnai kasih
Namanya ku bawa hari ke hari
Tercatat indah dalam sanubari
Inginku lafazkan rahsia di hati
Cuma kekuatan belum tiba lagi

- Taufik Hakim

Friday, June 16, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 56



Di pejabat masih lagi ramai yang bekerja walaupun telah melewati masa. Beginilah bila tiba penghujung bulan. Ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan. Jadi kami sebagai pekerja yang begitu berdedikasi memang telah lali dengan rutin begitu. Tiada yang merungut. Tambahan boss kami yang suka tersenyum itu pun turut sama ‘stay back’.

Cuma kelonggaran diberi kepada staff yang memang ada hal penting. Yang bujang-bujang memang tiada masalah. Paling seronok selepas itu kami akan beramai-ramai ke restoran. Tidak mengeluarkan belanja sedikit pun. Ialah boss yang tidak lokek dengan senyuman itu; tidak lokek juga dalam hal belanja makan. Patutlah ramai yang memuji sikap boss aku ini. Pandai mengambil hati pekerja.

Aku tiba di rumah semasa siaran bulletin utama masih lagi di layar tv. Pembacanya sicantik manis Nor Azlina dan pasangannya. Entah aku dah lupa pula siapa nama pembaca lelaki itu.

Ruang tamu sunyi sepi. Mungkin Fiza sedang berihat dalam biliknya. Lupa aganya dia menutup tv. Tak tahu berjimat budak ini. Dahlah tariff bil elektrik naik…Syikin, pengantin baru itu masih lagi berbulan madu. Kalau suaminya datang, dia tidak akan tinggal di rumah ini. Mereka akan menginap di hotel.

Perutku masih kenyang lagi. Tadi En. Taufik membawa kami ke Pizza Hut. Sejenak baru aku perasan ada bungkusan di atas meja. Bungkusan yang berbalut kertas biru berbunga pink itu aku pandang sekali imbas. Nama yang tertera di kad tidak aku nampak kerana ia dihalang oleh hadiah itu.

Tv aku tutup, terus masuk ke bilik untuk merihatkan badan.

**

Pintu bilik diketuk bertalu-talu. Aku yang masih di dalam bilik air tergesa-gesa keluar. Tuala aku capai untuk menutup bahagian atas tubuhku.

Fiza terjengul di muka pintu. Tersengih bila melihat aku dalam keadaan begitu.

“Aku dengar bunyi kereta tadi. Lepas itu senyap pula! Itulah nak pastikan… “
“Sorry tak talipon awal-awal tadi, aku pulang lewat.” Ujarku sambil membetulkan tuala.
“Dah selesai mandi ke?”
“Baru habis, bila dengar pintu diketuk macam nak roboh itu yang tergesa-gesa keluar ini.” Kata-kataku membuatkan Fiza menarik muncung.
“Tangan aku yang lembut ini boleh ketuk macam itu kuatnya ke?” Tak mahu mengalah juga Fiza ini.
“Sesekali.. bukan pintu saja, rumah pun boleh roboh!” Fiza ketawa.
“Pandai ya mengata orang!”
“Bukan mengata, usik-usik saja… Kan usik mengusik membawa bahagia..”
“Tadi ada orang tinggalkan barang untuk Zu.” Fiza masih lagi berdiri di muka pintu.
“Sekejap ya.. Aku pakai baju dulu lepas itu aku keluar. Tak selesalah dalam keadaan macam ini.”
“Baru aku tahu, Zu ini seksilah pakai macam ini. Mujur aku perempuan, kalau aku lelaki….” Fiza tidak menghabiskan ayat itu, matanya dikelip-kelipkan. Dibiarkannya ayt itu tergantung. Tapi senyumannya meleret panjang.
“Kalau kau lelaki… buat apa aku duduk serumah dengan kau!”
“Zu ini usik sedikit pun dah marah…”
“Marahke macam itu, aku rasa ok saja! Sekejap lagi aku keluar ya, kang berbual sampai tak sempat aku nak pakai baju..”

Fiza terus berlalu dari muka pintu. Kalau orang datang ke rumah memang tak baik macam itu. Bersembang di depan pintu. Macam suruh orang cepat pergi saja. Aku ingat pesan mak, tak baik berbual macam itu. Kena jemput masuk ke rumah… Ah mak penuh dengan nasihat.

**


“Orang itu lama tunggu Zu. Sian aku tengok dia..”
“Itulah datang tak mahu talipon dahulu, tanggung sendirilah….” Selamba aku menjawab.
“Hampir 45 minit dia tunggu. Aku pun tak tahu nak cakap macam mana. Cuma aku kata kau mungkin ada hal.”
“Simpatinya aku..... Setia sungguh orang itu kan!” Hadiah itu masih tidak aku ambil. Sudahnya Fiza yang ambilkan. Diunjukkan kepadaku.
“Zu ini teruklah, boleh cakap macam itu dengan tunang sendiri?”
“Aaa…. Dia datang ke tadi? Mimpi apa pula tiba-tiba saja datang. Selalunya talipon dulu.”
“Nak beri kejutanlah tu. Zu bukalah, nak tahu juga apa dia bagi. Untungnya dapat tunang macam itu. Lama tak jumpa dapat hadiah. Kalau selalu berpisah, balik dapat hadiah. Eeee bestnya…” Fiza melahirkan rasa seronoknya. Macam dia pula yang mendapat hadiah.
“Alah… nak ambil hatilah tu... Kebanyakan lelaki belum dapat macam itulah! Dah dapat kata orang habuk pun tak ada.!”
“Tapi, Zu memang beruntung, belum apa-apa dah dapat habuan. Tak dapat masa lepas kahwin pun tak apa. Sebab sekarang dah kumpul harta.”

Kertas yang membalut kotak tersebut aku buka berhati-hati. Risau terkoyak. Lagi pun kertas itu memang cantik sekali. Pandai pula Amir Zuhairi memilih warna kesukaanku.. Aku pula suka mengumpul kertas hadiah yang diperolehi. Boleh juga aku ingati siapa pemberinya.

Kotak sederhana besar itu aku buka. Di dalamnya ada pula kotak kecil. Bila aku keluarkan kandungannya. Fiza menjerit kecil.



“Cantiknya Zu...” Loket berbentuk hati itu dibelek-belek
“Pandainya dia memilih hadiah. Aku rasakan mesti ada simboliknya di sebalik pemberian hadiah yang begini. ”
“Apa simboliknya…” Aku bertanya macam orang tak berfikir.
“Loket itu umpama hati dia yang satu.. Hatinya yang satu itu, dia serahkan kepada tunang tersayang…” Aku mencebek. Orang lain tengok pun dah boleh membuat interpritasi sendiri.
“Cantik ke? Aku rasa macam biasa saja yang ada kat kedai tu!”
“Memanglah kat kedai itu biasa tapi bila dah diserahkan kepada seseorang benda itu dah jadi luar biasa. Amat bernilai! Bukan semua orang boleh senang-senang dapat macam ini.”
“Pakailah Zu… Mesti dia suka jika Zu pakai.” Fiza memujukku. Eee.. Minah sorang ni jadi penyokong kuat Amir Zuhairi rupanya. Bukan dia tak tahu sekarang ini aku tengah berperang. Agak-agaknya berapa upah yang dia dapat…

“Kad itu tak nak baca ke?” Diunjukkan sampul biru yang berisi kad itu.
“Romantiknya… Sampul biru, kertas hadiah pun warna biru… ” Lambat-lambat aku ambil kad itu dari Fiza.
“Kalau Zu tak nak baca biar aku yang bacakan…”
“Eh.. mana boleh! Nampak tak nama siapa tertera kad sampul itu. Bukan nama Fiza tapi nama Intan Zulaikha…”
“Dah tahu sendiri punya cepat-cepatlah baca. Macam aku cakap tadi, kalau tak mahu aku dengan rela hati boleh bacakan…”



Biar hatimu terus membeku
Aku kan tetap menunggu
Kerana hatiku memang pasti
Zulaikha milik abang yang abadi

Sayang dari Abang,
AZ


“Kalaulah aku yang terima kad dan hadiah ini memang akulah orang paling bahagia sekali..” Itu komen Fiza setelah membaca kad tersebut.

“Satu lagi tunang Zu cakap dia akan datang lagi….”
“Kenapa kau tak cakap awal-awal. Ini dah malam tau? Apa kata jiran-jiran nanti. Orang lelaki datang ke rumah sewa orang perempuan.”
“Zu ini gabra habis bila dengar tunang nak datang…”
“Ialah… talipon saja tak boleh ke?”
“Orang dah rindu, macam itulah….”
“Kalau dia datang nanti, tolong beritahu dia aku dah tidur. Good night…” Aku masuk ke bilik bersama-sama dengan kad dan hadiah pemberian Amir Zuhairi yang baik hati itu. Bukan aku tak tahu kebaikannya itu mempunyai sebab….

Monday, June 12, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 55


Pertelingkahan dengan mak sebentar tadi membuatkan aku terasa seperti orang yang sangat bersalah. Apatah lagi selepas itu mak macam tidak mahu bercakap denganku. Dia terus masuk ke bilik dan tidak keluar selepas itu.

Aku duduk termangu-mangu di ruang tamu. Sedikit sebanyak kekesalan wujud dalam hatiku. Kesal kerana terpaksa melukakan hati mak dengan kata-kataku itu. Bukan niatku untuk mengecewakan mak. Tapi aku terpaksa berterus terang. Kerana berterus terang itu membuatkan mak menjauhkan diri dariku. Memang aku kesal bila melihat wajah mak yang sedih. Mak yang mengandungkan aku selama 9 bulan 10 hari. Mak yang mendidik dan mengajarku hingga aku dewasa dan berjaya di kedudukan sekarang.

Apa yang aku terasa, mak langsung tidak mahu menerima penjelasanku. Sebaiknya aku pula yang disalahkan. Aku tahulah mak memang dah jatuh sayang dan suka dengan bakal menantunya. Jadinya semua yang aku buat dipandang tak betul. Dah aku tak suka tak kanlah aku nak meneruskan pertunangan ini. Buat apa aku menggembirakan hati semua orang sedangkan hati aku terluka.

Payahnya jika ia melibatkan perkara yang bersangkutan dengan keluarga. Sangkaku mak akan memahami. Rupanya apa yang berlaku di sebaliknya pula

Amir pun satu, janji nak selesaikan masalah tapi diam membisu. Dah cakap macam-macam denganku tapi buat tak tahu. Agaknya cukup dengan kata maaf saja, aku boleh melupakan segalanya. Memang kata maaf mudah diucap tapi untuk melupakan sama sekali tidak mungkin. Aku akan mula mengingatinya bila saja terpandang wajahnya. Tak kan itu pun dia tak faham!

Tangga ke bilikku aku jejak satu persatu. Aku memandang bilik mak yang tertutup rapat. Aku berhenti sebentar di muka pintu. Hasrat untuk mengetuk aku batalkan begitu saja. Biarlah mak tenangkan fikiran dahulu.

**

Ketukan di pintu membuatkan aku terkejut dari lena. Dalam memikir aku tertidur sekejap. Buku yang tertutup di muka aku angkat. Aku berjalan malas ke pintu bilik. Membukanya dengan perlahan.

“Mak, masuklah….” Mak yang berdiri di depan pintu aku pelawa masuk.
“Ada orang cari adik kat depan.” Pendek saja ucapan mak.
“Siapa mak?” Kata-kata mak membuatkan aku mencari siapa gerangannya. Apakah Amir yang datang? Tak mungkin. Dia kan masih out-station.
“Turunlah tengok sendiri.” Aku tersenyum. Bicara mak macam marahnya dah hilang.
“Sekejap, nanti adik turun.”

Aku membelek-belek wajah di cermin. Tak nampak macam orang yang bangun tidur. Jika tidak malu juga nak turun. Aku membetulkan rambut. Tudung yang tersangkut aku capai.

Suara orang berbual aku dengar tatkala menuruni tangga. Suara orang lelaki dan orang perempuan silih berganti. Suara lelaki itu macam biasa saja aku dengar.

Ha! Encik Taufik? Apa hal pula dengan buat kat sini. Aku rasa ingin saja berlari ke tingkat atas untuk menukar baju. Dengan t-shirt lengan pendek dan jeans membuatkan aku rasa tidak enak berhadapan dengannya.

Masa lunch semalam tidak pula dia menyatakan akan datang ke rumahku. Cuma aku ada memberitahunya bahawa aku akan pulang ke kampong di hujung minggu. Mak tersenyum memandangku. Tapi kenapa senyuman mak macam berlainan saja. Macam ada sesuatu yang tidak kena pula.

“Kenalkan mak ini En. Taufik boss kat tempat Zu kerja”
“Maaflah mak cik tiba-tiba datang saja tak beritahu.” En. Taufik menjelaskan.
“Tak mengapa, mak cik gembira juga dapat berkenalan dengan kawan sepejabat Zu.” Pandai pula mak menjawab.

Di sebelah En. Taufik aku lihat ada seorang wanita agak berumur. Lebih kurang sebaya mak. Di sebelah wanita itu ada seorang perempuan muda.

“Zu, kenalkan ini mak saya..”
“Apa khabar mak cik?” Aku bersalam dengan wanita yang dipanggil mak oleh En. Taufik.
“Ini adik saya, Munirah..” Aku bersalam pula dengan Munirah. Dia tersenyum manis kepadaku. Terasa jauh pula perbezaannya. Munirah berbaju kurung sedangkan aku simple saja. Janggalnya.

“Duduklah dahulu ya, berbual-bual dengan mak.” Aku meminta diri ke dapur. Mereka menganggukkan kepala.

Aku membawa air teh dan keropok yang telah digoreng dan meletakkan di atas meja.

“Susah-susah saja Zu ni…” Mak En. Taufik bersuara. Ayat itu memang biasa aku dengar di mana-mana.
“Tak susah mak cik, benda-benda ini memang dah ada.” En. Taufik melirik ke arahku. Senyum mendengar jawapan yang keluar.

“En. Taufik, mak cik, Munirah, mak jemputlah minum.” Cawan yang berisi dengan air teh aku letakkan di depan mereka. Senyuman aku hadiahkan kepada tetamu itu.

Mak ramah pula bertanya itu dan ini. Dalam sekelip waktu perbualan mak dan mak En. Taufik nampak begitu mesra. Banyak juga perbualan mereka berkisar tenang anak-anak dan keluarga.

Aku hanya mencelah sekali sekala. Munirah aku tengok macam seorang yang pendiam. Suaranya hampir tidak kedengaran. Dia baru sahaja habis belajar.

Hampir sejam mereka di rumah akhirnya mereka meminta diri untuk pulang. Pajero milik En. Taufik makin hilang dari pandangan. Kalau En. Taufik seorang yang datang pasti aku akan bertanya bermacam soalan. Kerana dia dengan mak dia terpaksalah aku kawal percakapanku.

Aku duduk kembali di sofa. Ingin mengemas cawan yang telah kosong. Mak pun turut sama duduk. Wajah aku dipandang lembut.

“Mak dah tahu sekarang kenapa adik nak sangat memutuskan pertunangan.” Aku terpinga-pinga dengan kenyataan mak yang tiba-tiba saja.
“Kenapa pula ini mak?” Aku berhenti daripada meletakkan cawan ke dulang.
“Sebab En. Taufik itu kan?”
“Mak, En. Taufik itu tak ada kena mengena dalam hal ini.” Penjelasanku harap dapat meredakan kemarahan mak dari tadi.
“Kalau tak ada kena mengena kenapa dia datang sini. Siap bawa sekali dengan mak dia.”

“Mak kan dengar tadi, dia dan keluarganya baru saja menghantar adiknya ke Ipoh. Adiknya kan baru ditugaskan di sana. Kebetulan pula adik pulang ke kampong jadi dia singgahlah. Tak kan itu pun salah mak?”

“Salah memang tak salah tapi lain macam saja kedatangan mereka itu.”
“Lain macam apa pula ni mak. Mak ini suka menyangka yang bukan-bukanlah!.”
“Mak tahulah adik, mak dah lama hidup. Sekilas ikan di air dah tahu jantan ke betina ke.”
“Dia itu boss adiklah mak, Tetamu kan patut dihormati.”
“Dia tahu ke adik dah bertunang?” Aku memandang mak.
“Tak tahu… tak kanlah adik nak mencanangkan semua orang kat pejabat itu yang adik dah bertunang.”
“Sebab itu mak nak ingatkan adik. Mana tahu ada orang ingat adik masih belum berpunya lagi.”
“Apa kaitannya mak?” Tak faham aku dengan cara mak ini.
“Jika belum berpunya tak mengapa ada orang nak bertanya. Tapi jika dah bertunang, haram orang lain masuk meminang.”
“Siapa yang mak maksudkan ini?”
“Tak kan adik tak dapat meneka. Boss adik itulah. Siapa namanya? Ha Taufik itu?”

“Mak, ke situ pula. Adik dengan dia memang macam itu. Walau pun dia boss adik tapi kami macam kawan baik. Lagi pun dia ada beritahu yang dia dah ada pilihan.”

“Mak harap jangkaan mak ini silap….” Aku melihat ke wajah mak. Macam ada lagi perkara yang belum selesai.

Ingin aku menimbulkan kembali tentang ikatan antara aku dan Amir tapi biarlah dahulu. Bila kemarahan mak dah reda aku akan bercakap lagi. Malam ini masih ada lagi untuk memperkatakan segalanya.

Thursday, June 08, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 54


Aku tiba di rumah mak lebih kurang pukul 9.00 pagi. Oh... seronoknya. Tangan mak aku salam dan cium. Tubuh mak aku peluk, pipi mak pula menjadi mangsa kucupan aku yang bertalu-talu. Mak hanya tersenyum saja. Tahu sangat dengan perangai anak bongsunya itu. Kalau tinggal berdua begitulah... Tapi jika ada orang lain di sekeliling tahu pula nak kontrol sikap begitu.

"Apa khabar mak?"
"Dah buat mak macam orang lemas, baru nak tanya khabar?" mak menggeleng-gelengkan kepala. Bahuku dipeluk erat.
"Rindulah mak...."
"Adik kan nak jadi isteri orang, ubahlah sikit perangai itu." Aduh pagi-pagi lagi mak dah memulakan ceramah. Salahkah aku melahirkan rasa rindu kepada mak dengan cara begitu. Apa kaitan pula dengan nak ubah perangai.
"Mak, masak apa sarapan pagi ini? Laparlah..." Aku mengubah topik.
"Cakap pasal kahwin mulalah melencong ke arah lain. Tak tahulah adik ini, apa yang ditakutkan dengan kahwin pun tak tahulah. Orang lain nak kahwin suka..! Tak sabar..." Inilah yang aku malas nak balik. Tak habis-habis nak mengasak dengan soalan yang sama.
"Mak, kita cerita pasal itu lepas ini. Adik lapar sesangat.... Pagi tadi minum susu saja. Sebab nak bersarapan dengan mak." Aku bangun dari sofa yang berwarna biru itu mengikut mak ke dapur.

"Uh... sedapnya." Aku mengangkat tudung saji. Di atas meja terhidang capati dan kari daging. Piring yang tersedia ada aku isikan dengan capati.
"Capati yang mak buat memang bestlah. Tak lawan yang jual kat kedai itu.."
"Kalau cam itu.. adik kena belajar juga. Dah kahwin nanti, boleh hidangkan untuk Amir.." Hampir aku tercekik mendengar cakap mak. Tak habis-habis dengan nama mamat sorang ini. Tak bagi peluang aku nak tenang-tenang.
"Mak ini, masa makan janganlah sebut nama dia.. Tak seleralah nak makan..." Air nescafe aku capai. Meneguknya untuk meredakan tekakku.
"Adik ini mesti makan tak baca Bismillah. Sampai tersedak. Suka pun kenalah makan perlahan.." Aku tersedak pun kerana mak juga.
"Kalau Amir tengok, apa katanya. Bakal isteri makan gelojoh.."
"Mak, karanglah cerita pasal lelaki pilihan mak itu. Sekarang ini adik nak makan puas-puas." Agaknya apa kata mak bila dia tahu kepulangan aku kali ini bukan setakat melepaskan rindu. Tapi terselit agenda lain.

*****

"Apa?" Suara mak meninggi mengejutkan aku. Bila aku menyatakan hajatku selepas makan tengahari. Masa itu mak sibuk membelek-belek kain sutera dan tudung yang aku bawa dari Terengganu. Kain yang dipegangnya diletakkan di atas meja. Mata mak tajam merenungku.

Tak sangka pula kata-kataku itu menimbulkan kemarahan mak. Aku bercakap pun bukan dengan suara yang tinggi. Mak pula menyambut cakapku dengan bahasa begitu. Sedih juga rasanya.

"Jangan nak buat hal lah Zu.!" Nama pendekku digunakan. Kalau dah macam itu memang mak benar-benar marah denganku. Aku diam sebentar. Menarik nafas untuk mengatur ayat supaya mak tidak terus naik angin.

"Mak dengarlah dulu apa yang adik nak katakan. Ini belum habis cakap lagi, mak dah marah-marah.." Aku masih bersuara lembut.
"Siapa yang tak marah, kalau perkara macam ini boleh dibuat sesuka hati saja..." Mak memang seorang yang lembut tapi ada kalanya dia bertukar menjadi seorang yang terlalu tegas.
"Zu buat ini bersebablah mak.. Bukan saja-saja nak buat macam itu."
"Zu ini tak fikirkan perasaan orang lain langsung. Senang saja buat keputusan sendiri." Mak memalingkan muka. Merenung jauh keluar.
""Zu memang tak sayangkan mak... " Suara mak menjadi begitu lirih di pendengaranku. Menjadikan aku di dalam keadaan serba salah. Jika tak cakap masa bila pula aku nak beritahu segalanya.

Tuesday, June 06, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 53


Kesibukan sepanjang minggu itu membuatkan aku tidak dapat bertemu En. Taufik. Kami hanya sempat bertukar senyuman sahaja. Dia lalu di depan bilikku. Mengetuk pintu, mengangkat tangan dan pergi begitu sahaja. Aku hanya memandang tingkah lakunya dan membalas dengan mengangkat tangan juga.

Hadiah yang aku belikan untuknya masih terletak kemas di sudut almari buku. Aku masih lagi mencari waktu yang sesuai untuk hadiah itu beraleh tangan. Menurut Azira sejak seminggu En. Taufik sibuk dengan pelbagai mesyuarat. Apatah lagi pejabat kami akan membuka cawangan baru di tempat lain. Sebagai ketua yang menerajui bahagian kewangan, En. Taufik memang terlibat secara terus.

Jumaat pagi, aku melihatnya di dalam bilik. Tidak sibuk bagai selalu. Selain daripada ingin memberinya buah tangan, ada perkara berkaitan kerja yang perlu dibincangkan dengan En. Taufik.

Pintu pejabatnya aku ketuk. Menolak perlahan lalu mengucapkan salam kepadanya. Salamku dijawab. Dia mengangkat wajahnya lalu mempersilakan aku duduk. Beg yang berisi ole-ole itu aku letakkan di sisi. Memang dia tidak perasan. Dia begitu asyik dengan kertas di atas mejanya.

“Zu, apa khabar?”
“Alhamdulillah sihat, En. Taufik.”
“Sibuk sangat kebelakangan ini… Baru ini saya dapat bertemu dengan awak.” Aku mengangguk kepala.
“Apa cerita dari sana? Seronok bercuti?” Hasrat aku nak bercakap tentang kerja terbantut.
“Seronok sampai nak duduk sana lama-lama.” Pagi yang ceria. Aku harus bercakap dengan nada yang gembira juga.


“Dah jumpa boyfriend baru ke? Atau awak dah tersangkut dengan orang sana; hingga tak mahu balik ke sini?” Seketika muka ku dipandang.
“En. Taufik ini… saya ke sana bukannya nak cari boyfriend. Saya pergi sana kerana menghadiri majlis perkahwinan house-mate saya…” Pagi-pagi dia telah mengusikku dengan cerita boyfriend. Angin apa pula En. Taufik ini.
“Cakap macam itu pun dah marah? Pagi-pagi kalau buat muka masam macam itu rezeki susah nak masuk!” Dia tersengih. Seronok agaknya dapat mengusik aku di pagi ini. Lama tak berbual boleh dia bercakap begitu.

“En. Taufik lagi rugi tak ikut, kalau tidak pasti En. Taufik boleh berkenalan dengan orang sana. Ramai yang comel-comel… “ Aku pula menggiatnya.
“Awak kenakan saya pagi-pagi ini ya Zu. Itulah yang saya suka berbual dengan awak. Boleh berlebih kurang. Pandai pula berjenaka. Tak ambil hati!” En. Taufik bercakap sambil tersengih.

Memang aku mengakuinya. Dengan En. Taufik aku boleh berbual dengan bebas. Tidak rasa janggal. Biarpun dia ‘boss’ aku. Dia boleh dimasukkan di dalam kategori ‘boss’ yang pandai berjenaka, mudah tersenyum. Cuma bila berbual tentang hati dan perasaan, aku akan melencong kea rah lain. Mujurlah dia tidak bertanya yang bukan-bukan.


“Saya nak ikut hari itu awak yang tak benarkan?” Ah! Kena aku sebiji. Hampir aku terlupa hari itu dia ada berkata begitu.

“Ramai yang comel pun tapi tak semudah itu saya berkenan. Saya dah jelaskan kepada awak hari itu, saya ini dah rasa suka kat seseorang itu. Orang dekat saja. Tak payah cari yang jauh-jauh.” Persoalan dah bertukar nada. Malas pula aku nak mendengarnya. Untuk memendekkan cerita.

“Oleh kerana En. Taufik terlebih memuji saya pagi ini jadi saya hadiahkan barang ini kepada En. Taufik.” Beg kertas itu aku hulurkan kepada En. Taufik.

“Hari itu saya bergurau saja Zu…” En. Taufik bagai malu-malu pula menerima pemberianku.
“Saya ikhlas En. Taufik. Kalau tak minta pun saya bagi juga. Cuma maaflah ya sebab terlewat memberinya.”
“Terima kasih Zu. Ingat juga awak kat saya!” Beg kertas tersebut diambilnya. Matanya melihat ke arah bungkusan berbunga itu.
“Hadiah tak seberapa En. Taufik, harap-harap En. Taufik menyukainya.”
“Apa yang Zu beri semua saya suka….. “ Kata-kata itu terhenti. Dia melemparkan senyuman. Aku tahu En. Taufik suka berjenaka.

Lapuran yang aku siapkan aku berikan kepada En. Taufik. Dia mengambilnya dan menyelak beberapa helaian. Dia mengangguk-nganggukkan kepala.

“Zu, hari ini saya belanja awak makan.” Pelawaannya mengejutkan aku.
“Ada apa-apa ke En. Taufik?” Kebiasaannya kami akan keluar makan secara berkumpulan.
“Tak kan ada apa-apa saja boleh belanja Zu..”
“Mereka dah tahu ke?” En. Taufik memandangku. Hairan dengan pertanyaan ku agaknya.
“Oh… hari ini kita berdua saja..” Aku menjadi serba salah. Keluar ramai-ramai itu memang selalu juga. Tapi keluar berdua ini aku rasa janggal pula. Aku termanggu-manggu sebentar..

“Awak keberatankah?” Dia menyoalkku setelah melihat aku mendiamkan diri.
“Atau ada orang yang marah nanti?”
“Tak adalah…! Siapa yang nak marah?” Aku bertanya kembali.
“Kalau macam itu, apa yang awak risaukan?”
“Bukan risau En. Taufik tapi terkejut sedikit! Tak kanlah sebab saya bagi ole-ole itu En. Taufik nak belanja saya?” Aku berkias.
“Sebenarnya dah lama saya nak belanja awak, ada sebab lain….” Dia tersenyum lagi. En. Taufik ini macam ada simpan rahsia saja.

Betulkah tiada siapa yang marah? Aku pula bertanya kepada diri.aku semula. Tak ada salah juga aku menerima pelawaan En. Taufik.

“Pukul 1 nanti kita keluar!” Itu kata muktamad En. Taufik.

Aku keluar dari bilik En. Taufik dengan perasaan berbelah bagi. Betulkah tindakan aku menerima pelawaan En. Taufik.

Menanti jarum jam bergerak ke angka 1 aku diburu beberapa persoalan. Apa yang penting sangat hingga En. Taufik ingin mengajakku keluar...

N3 pendek untuk ep. 53... setelah beberapa diedit, inilah hasilnya. Selamat bercuti untuk yang akan bercuti. Penulis pun nak bercuti, balik kampung. Oh... rindunya untuk disapa angin bukit. Sesiapa yang bercuti hala ke Cameron Highlanda bolehlah jumpa dengan Ija...