HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Friday, December 14, 2007

CINTA DI MATANYA (ix)



Dia didatangi oleh seorang lelaki tika sedang minum bersendirian di sebuah restoran. Memang Hafidz tidak pernah melihatnya sebelum ini. Dalam hati dia berfikir sendiri. Sahabat lama? Otaknya ligat bekerja. Namun tiada jawapan untuk soalan tersebut.


Lelaki itu menghulurkan salam. Dalam terpinga-pinga dia menyambut juga.


"Boleh saya berbual sebentar dengan En. Hafidz?" Hafidz semakin hairan. Dia tidak kenal lelaki itu tetapi bagaimana lelaki itu tahu namanya? Mungkin kerana faham apa yang bergolak di hatinya, lelaki itu memperkenalkan diri.


"Mesti En. Hafidz terkejut bagaimana saya tahu nama encik? Saya... Syahmi."

"Kita pernah kenalkah?" Hafidz inginkan jawapan.

"Ya dan tidak." Hafidz semakin hairan. Sedangkan lelaki itu mengukir senyuman.

"Maksud saudara?"

"Saya memang kenal En. Hafidz tapi dari jauh. Kenal nama cuma baru hari ini dapat bertemu."

"Kenapa saudara mencari saya?"

"Ada soalan yang memerlukan jawapan. Jawapannya ada pada En. Hafidz.."

"Rasa kurang sedap pula, bila saudara memanggil dengan encik.. Panggil Hafidz sahaja.."

"Macam itu panggil saya Syahmi. Mungkin kita akan lebih mudah untuk berbicara.."


Air di atas meja diteguk perlahan. Perbualan terhenti seketika. Hafidz merenung ke arah luar restoran. Awan mendung, mungkin sebentar lagi hujan akan turun, fikirnya.


Syahmi yang duduk bertentangan merenung wajah Hafidz tanpa disedari. Dia memikirkan bagaimana untuk memulakan perbualan. Menyatakan apa yang tersira di hatinya.


"Ceritalah apa persoalan yang Syahmi minta jawapan saya.. Tentang apa?" Hafidz tidak mahu menunggu lama. Lebih baik terus kepada isinya. Lebih cepat lebih baik. Dia juga tidak mahu menyusahkan diri memikirkan.

"Ini berkaitan dengan Kira.." Nama itu disebut Syahmi. Hafidz tersentak seketika.

"Mengapa dengan Kira?" Degupan jantungnya berlari kencang. Ada apa-apakah yang terjadi? Hampir dua minggu dia tidak mendengar berita dari Kira. Entah kenapa Kira macam merajuk dengannya...

"Saya suka dengan dia. Suka yang bukan sedikir. Atau lebih tepat ingin menjadikan dia suri hati saya." Hafidz pula tersenyum. Namun ada rasa pahit dalam senyuman tersebut.

"Apa kena mengena persoalan itu dengan saya.."

"Saya tahu Kira rapat dengan Hafidz, jadi saya ingin tahu apa hubungan Kira dengan Hafidz?" Hafidz terdiam sebentar. Apa hubungan dia dengan Kira? Dia bertanya sendiri. Bagaimana untuk dinyatakan.. Secara zahir memang hubunganya hanya abang angkat. Tapi di dalam hati ada rasa sayang buat gadis bernama Kira. Cuma dia masih lagi belum dapat mengklasifikasi sayang yang bagaimana.

"Saya abang angkat dia.."

"Tak ada lain-lain hubungan perasaan?" Terlalu lurusnya Syahmi bertanya, namun ingin jawapan yang sedikit memaksa.

"Tiada.." Jujurkah aku menjawabnya? Hafidz bertanya sendiri.

"Jika begitu dah tiada masalah. Saya risau saya mengganggu hak orang lain.."


Pertemuan itu berakhir di situ. Seorang pulang dengan hati yang riang kerana hajat di hati hampir tercapai. Seorang pulang dengan membawa beban yang sarat dengan pelbagai persoalan. Seakan menyesali dengan jawapan yang diberikan.


Mungkin kini dia terus bahagia... Cuma dia yang masih mengingati dari jauh...




*****



Di sebuah hospital di Trengganu.


"Abang, bangunlah.. Abang tak sayang dengan Kira ke? Dah lama abang terbaring." Kira mengusap lembut jejari Syahmi yang kaku. Airmatanya mengalir lagi. Dua minggu suaminya terlantar begitu.


"Banyak yang Kira nak ceritakan dengan abang... Bangunlah bang. Abang tak kasihan dengan Kira?" Kira bertanya lagi. Tangan Syahmi dicium lembut.


"Sampai hati abang biarkan Kira sorang-sorang macam ini. Abang janji nak bawa Kira jalan-jalan di Kuala Trengganu...." Dia cuba menahan air mata dari terus mengalir. Tapi air jernih itu turun juga dengan laju.


Mengapa Syahmi yang menjadi mangsa?