HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Monday, August 15, 2011

CINTA DI MATANYA (XVIII)

Suasana yang agak meriah di tingkat bawah jelas di pendengaran Kira. Sedikit pun tidak menarik minatnya untuk turut bersama. Sejak petang tadi abang dan kakaknya pulang bersama dengan anak-anak mereka. Acara tetap di hujung minggu. Puan Nora akan memastikan anak-anaknya berkumpul sebulan sekali. Tapi kali ini agak lebih bermakna kerana ada tetamu yang diundang sekali.



Puan Nora telah mengingatkan Kira sejak awal tentang kehadiran seseorang semasa makan malam. Cuma Kira saja yang membuat endah tak endah. Dia malas sebenarnya. Apatah lagi makan malam kali ini mempunyai agenda tersendiri. Yang diatur oleh Puan Nora. Agenda serampang dua mata. Entah kenapa Puan Nora begitu teruja menerima tetamu tersebut.



Setelah melihat penampilan di cermin, Kira bergerak ke pintu biliknya. Dia hanya mengenakan blouse berwarna merah jambu yang dipadankan dengan slack hitam. Tudung merah jambu bercorak abstrak melengkap penampilannya.



"Turun juga akhirnya... Ingatkan kami terpaksa menunggu lagi..." tegur kakak Kira yang sulung. Sejak dulu lagi, kakaknya yang seorang ini agak lepas cakap.



Kira hanya tersenyum nipis. Memang kerusi meja makan yang memuatkan lapan orang telah penuh. Hanya satu saja kerusi kosong di sebelah Puan Nora. Umpama telah dikhaskan untuk Kira. Tanpa banyak kata, Kira menarik kerusi dan melabuhkan diri di situ.



Terliur dia melihat hidangan di atas meja. Ada ikan steam. Aromanya memang menggamit selera makan Kira.



Mana tetamu istimewa Puan Nora? Kira tercari-cari. Yang nampak di pandangan hanya Hafiez. Mustahil Hafiez tetamu itu. Bukannya dia tidak kenal dengan Hafiez. Mungkin belum tiba agaknya, hatinya berbisik sendiri.



Suapannya terasa janggal. Bagai ada orang yang memerhatikan cara dia makan. Bila dia mendongak, matanya tertancap ke arah sepasang mata yang bertentang dengannya. Cepat-cepat Kira menunduk semula. Apa yang tak betul di wajahnya membuatkan Hafiez tanpa malu-malu asyik memandangnya. Tak nampakkah bahawa mereka berada di dalam lingkungan keluarganya. Hormatlah sikit! Kira mengomel di dalam hati.

2 Comments:

Post a Comment

<< Home