HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Tuesday, April 14, 2009

CINTA DI MATANYA (xiv)




Pergilah kesedihan..
aku tak kan menoleh lagi;
namamu bersemadi di hati
ku bawa hari ke hari..




Setahun telah berlalu…

Kira hampir melupakan segala yang telah terjadi setahun lalu. Namun ingatan kepada arwah suami masih utuh di hati. Syahmi suami yang baik. Perkahwinan mereka bukan atas cinta mulanya; namun pernikahan tersebut telah menyatukan dua hati.

Dia berterima kasih kepada keluarga dan teman-teman yang tidak berhenti memberikan sokongan. Yang hidup akhirnya akan menemui Pencipta. Cuma cepat atau pun lambat sahaja. Segalanya telah pun tertulis di loh mahfuz.

Dia juga amat bersyukur kerana mempunyai majikan yang prihatin. Awalnya dia ingin meletakkan jawatan; namun ‘boss’nya tidak bersetuju. Kira diberikan cuti atas sebab kesihatan. Beruntungnya aku, kerana orang sekeliling dapat memahami apa yang terjadi ke atas dirinya.


***

Usai memasak Kira beraleh ke ruang tamu. Suratkhabar yang terletak di meja diambilnya. Pagi tadi dia tak sempat untuk membaca. Rutinnya setiap pagi mesti membaca dahulu. Dia ingin tahu perkembangan yang berlaku di Malaysia atau pun di luar negara.

Matanya tertancap ke tajuk utama akhbar tersebut. “Lelaki Maut Terkena Peluru Sesat”. Tiba-tiba tubuhnya menggeletar. Ayat yang tertulis dibaca satu persatu.

Kuala Lumpur. Seorang lelaki yang baru saja keluar dari sebuah kedai telah terkena tembakan seorang perompak. Mangsa yang berjalan bersama isteri yang hamil 7 bulan rebah di tempat kejadian dan mati serta merta……

Gambar yang tertera di sebelah berita dipandang. Seorang perempuan memangku seorang lelaki yang berlumuran darah. Wajah wanita tersebut begitu sedih menangisi pemergian orang yang dikasihi.

Kira sebak. Kejadian yang menimpa Syahmi berputar kembali. Syahmi juga terkena peluru sesat yang dilepaskan oleh perompak dalam kejadian rompakan bank di Kuala Trengganu setahun lalu. Waktu itu Syahmi baru saja keluar dari sebuah kedai kek. Syahmi koma dan dia masih dapat menemui Syahmi lagi; walaupun tanpa suara. Tapi wanita itu! Suami yang dikasihi meninggal di depan mata. Isteri menyaksikan segalanya di depan mata.

Jika dulu Kira beranggapan dialah manusia paling malang kerana kehilangan Syahmi, namun dia makin sedar bahawa ada orang lain lagi yang lebih kasihan dari dirinya. Lihat sahaja wanita tersebut.



Kira bertekad yang dia akan keluar dari kepompong kesedihan. Dia ingin menjadi Kira yang baru. Kira yang kuat dan bersemangat baru.












2 Comments:

Post a Comment

<< Home