HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Monday, September 17, 2007

CINTA DI MATANYA (viii)


kupanjatkan doa kepadaMU
kumohon limpah kurniaMU
kembalikan dia kepadaku
agar kami bisa bersatu
dalam ikatan pernikahan ini...



Kira memandang tubuh yang terbaring kaku di katil bisu. Wayar-wayar yang berselirat di badan itu menyedihkan hatinya. Sudah beberapa hari Syahmi berada di situ. Tiada perubahan. Hanya alat bantuan pernafasan yang membuatkan dia masih bernafas. Syahmi koma beberapa hari.


Ikutkan badannya yang kurang sihat sejak beberapa hari lalu membuatkan Kira rasa cukup lemah. Namun dikuatkan tekad, kerana Syahmi dia berada di sini. Menemaninya moga Syahmi akan cepat sedar. Dia mahu berada di samping Syahmi bila suaminya itu membuka mata.

"Kira, pergilah berihat. Pergilah makan. Ibu risau tengok Kira macam ini..." Suara ibu yang lembut memujuk bagai dengar dengan tidak dengar sahaja. Matanya tunak memandang wajah Syahmi. Keceriaannya untuk sama-sama menyambut hari lahir Syahmi terpadam begitu sahaja. Tidak sempat dia menunjukkan kepakarannya memasak untuk suami tercinta.


"Kira tak lapar bu.. Kira nak temankan abang... " Seleranya terus tertutup bila mendapat berita itu. Lirih suara Kira membuatkan ibunya rasa sayu.


Bila saja berita tentang Syahmi diterima terus Kira menghubungi ibunya. Mujurlah saat-saat begini keluarganya ada di sisi.


"Kira kena makan, macammana Kira nak jaga Syahmi kalau keadaan Kira pun tak terurus..." Ibunya terus memujuk. Kira hanya mendiamkan diri. Air mata yang mengalir di pipi diseka.

"Kira tak boleh tahan tengok abang macam itu. Kenapa ini berlaku pada Kira ibu... Apa salah Kira?"


"Jangan cakap macam itu Kira." Belakang Kira diusap perlahan. Tidak tahan dia melihat apa yang dialami oleh anak bongsunya itu.


Wajah anaknya dipandang. Tiada lagi keceriaan di situ. Masa Kira akan berangkat ke Trengganu dulu, wajah anaknya memang berseri sekali. Senyum terukir sentiasa di bibirnya. Kini mata anaknya bertambah sembab. Merah.

***

Waktu melawat Kira menerima kunjungan seorang perempuan. Itulah pertama kali dia melihat wanita tersebut. Selama beberapa hari di situ, Kira boleh mengingati wajah-wajah kawan suaminya.


"Boleh saya melihat Syahmi?" ujar perempuan itu, lembut.

Kira memandang tanpa berkelip. Siapa dia? Hatinya berbisik. Tidak sampai beberapa bulan di sini, Syahmi dah ada orang lain? Entah kenapa ada rasa kurang enak di hatinya. Pelawat itu begitu comel di pandangannya. Dia masih memandang perempuan itu yang memakai kebaya batik sutera berwarna pink. Memang manis dipandang. Tambahan pula bila tersenyum terserlah lesung pipit di pipinya.

"Boleh?" Soalan itu diulang lagi. Kira hanya mengangguk walaupun hatinya masih tertanya-tanya siapa wanita tersebut. Dia hanya memandang tatkala perempuan yang tidak diketahui namanya itu berlalu ke katil yang menempatkan suaminya

***

"Sabarlah Kira, insyaallah Syahmi akan sedar..." Mungkin kerana dia asyik termenung membuatkan dia tidak sedar perempuan itu telah berada di sisinya. Macammana dia tahu namaku. Kira masih berfikir.

"Lupa nak kenalkan diri. Nama kakak Anim. Baru hari ini dapat datang melawat. Masa menerima berita tersebut kakak tak ada di sini." Kira hanya menganggukkan kepala. Tangan wanita yang memberitahu namanya Anim digenggam irat.


"Suami kakak, abang angkat Syahmi. Lelaki yang datang beritahu Kira tentang kemalangan yang menimpa Syahmi." Panjang lebar Anim menerangkan. Baru lega hati Kira masa itu. Patutlah Anim bagai kenal dengan dengannya. Cuma mereka tidak sempat untuk bertemu. Lagipun Kira masih lagi baru di bumi Darul Iman itu.

"Kakak tumpang simpati ke atas apa yang terjadi kepada suami Kira. Doakan yang terbaik untuk dia... Tuhan mendengar segala permintaan hambaNYA."

"Terima kasih kak datang melawat." baru itu Kira bersuara. Hatinya menjadi sedih tiba-tiba. Airmata yang berhenti mengalir tadi mengalir semula.








SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK DIUCAPKAN KEPADA PENGUNJUNG BLOG INI. SEMOGA IBADAH KITA DI BULAN YANG MULIA INI DIBERKATI OLEH ALLAH.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home