HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Monday, June 25, 2007

CINTA DI MATANYA...(ii)


Kira melihat Hafidz di celah-celah tetamu yang hadir di majlisnya. Hafidz sedang rancak berbual dengan seorang tetamu di sebelahnya. Kawan Hafidz? Kira tertanya-tanya sendiri. Sebelum ini dia tidak pernah nampak lelaki tersebut. Mungkin juga Hafidz baru mengenali lelaki itu. Sama-sama datang ke majlis tanpa teman.

"Jom.. " Syahmi menarik tangannya. Kira tidak dapat mengelak daripada memandang Hafidz yang tidak menyedari dia diperhatikan. Mujur juga Syahmi tidak perasan. Syahmi membawanya bertemu dengan tetamu di setiap meja.

Dan di waktu itulah dia melihat Hafidz berdiri. Berjalan ke arahnya dan Syahmi.

"Tahniah... dan selamat pengantin baru Kira...," tangan dihulurkan. Kira teragak-agak untuk menyambutnya. Memang dia tidak menduga bahawa Hafidz akan hadir. Ialah... untuk apa dia mengelak; bukannya kekasih hati yang berkahwin. Dia cuma adik angkat...

"Terima kasih.. " Syahmi pula menjawab bagi pihaknya.
"Datang seorang saja?" Syahmi bertanya ramah.
"Belum ada teman lagi.." Entah kenapa mata Hafidz seperti tidak mahu melepaskan dari terus memandang Kira.
"Cantiknya.. " hati Hafidz berkata sendiri. Mujur dia tidak meluahkan. Jika tidak pasti Syahmi akan terasa.

Siapa yang tidak marah bila mata asyik memandang ke arah isteri orang lain. Dan dia pun akan berasa cemburu jika orang berkata demikian. Biarpun hakikatnya adalah begitu. Hari bersejarah buat Kira membuatkan dia bertambah anggun. Mungkin seri pengantin agaknya.

"Ini untuk Kira. Hadiah tak seberapa daripada abang!" Hafidz menghulurkan sebuah beg kertas.
"Terima kasih... Susah-susah saja abang belikan.." Hadiah bertukar tangan.
"Apa yang susah, kat kedai itu banyak. Pilih saja mana yang bekenan." Kira tersenyum memandang ke wajah Hafidz.

Dia masih seperti dulu. Suka berjenaka. Tapi Kira melihat ada sendu di matanya. Apakah aku tersilap pandang? Atau tersilap tafsir? Dalam berfikir tautan tangan suami di sebelah bertambah kuat.

"Siapa dia itu?" Syahmi meramas-ramas jejari isterinya yang cantik berinai. Merah menyala.
"Abang angkat. Rasanya hari itu Kira dah ceritakan".
"Emm... Lupa pula abang!"

Bila Kira bersetuju menerima lamaran Syahmi, dia pernah memberitahu bahawa dia mempunyai seorang abang angkat.

"Tapi abang tengok, macam mesra saja."
"Cemburu?" Kira memberikan senyuman yang paling manis buat suaminya.
"Abang angkat.. mujur dia tak angkat Kira sekali!" Kira memandang sekeliling. Khemah hampir lengang. Tetamu yang hadir pun telah beransur pulang.

Bukan Hafidz yang ingin mengangkat aku. Tapi aku yang ingin mengangkatnya terus. Cuma aku tidak punya kekuatan itu. Hafidz terlalu berat untuk aku angkat. Dana Hafidz juga tidak membenarkan dirinya untuk diangkat. Kira berbisik sendiri.

"Elok juga macam itu. Kalau dia angkat Kira sekali, abang tak merasalah nak jadi suami Kira." Syahmi mengusik. Bibirnya tersenyum nakal. Sengaja diangkat kedua keningnya.
"Tak patut tau abang cakap suka-suka saja!"
"Tapikan abang cemburu juga, sebab dia pandang Kira macam itu... Kira pun panggil dia abang!"
"Dah mulalah tu. Nak gaduh ya?" Tangan Kira yang masih di dalam genggaman Syahmi ditarik pantas.
"Janganlah merajuk Yang. Nanti seri itu hilang pula!' Syahmi mengusik. Gelihati dia melihat wajah Kira yang cemberut.

Hmmm... kalau dia merajuk susahlah! Desis hati Syahmi.

"Pengantin, nak berumah tangga kat situ ke? Siap main tarik-tarik lagi!" Suara Opah mengejutkan mereka. Tak sangka pula diri mereka diperhatikan.

"Ini salah abanglah.." Kira berbisik perlahan. Berjalan mendahului suaminya.
"Apa pula? Abang cakap yang betul yang... "
"Dah dari dulu macam itu panggilannya. Takkan tiba-tiba nak tukar pula?" Kira masih tidak berpuas hati.

"Ok. Abang minta maaf. Kita lupakan kisah itu.. Lagi pun dia memang tak ada kena mengena dengan kitakan?" Syahmi menarik tangan Kira. Mereka berjalan seiringan masuk ke dalam rumah.



***


Salam sayang untuk teman semua. "Tiada Kedua" dirihatkan sementara waktu untuk memberi laluan "Cinta di Matanya.." CDMN ini tidaklah panjang. Tidak sampai pun 10 episod. Jika ada sesiapa yang rindu kat Ain & Kamil, simpanlah dulu rindu itu. Semoga teman-teman tidak lelah untuk terus berkunjung ke sini. Terima kasih.


0 Comments:

Post a Comment

<< Home