HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Thursday, February 08, 2007

Ep. 7 - Budi Baik Di Kenang Juga

Tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang.

"Siapa pula yang berani bermain tepuk tampar di sini.." hatinya menggerutu marah. Memang pantang datuk neneknya orang berbuat begitu. Mujur, dia tiada penyakit darah tinggi atau lemah jantung. Jika tidak mungkin dia telah terduduk di situ.

Apa kata dia melatah di situ. Mahunya orang semua memandang ke arahnya. Nasib tiada keluarganya yang ada sejarah melatah. Wajahnya dipalingkan.

Mahu sahaja dia menunjukkan kemahirannya berkarate di situ. Memperaktikkan apa yang telah dipelajari semasa sekolah dulu. Apatah lagi yang berbuat begitu adalah seorang lelaki. Wajah itu direnung kembali. Kalau kek coklat sudah tentu dikunyah lumat dan ditelan. Dia menjeling lalu terus membawa troli ke tempat lain.

"Ain.... " namanya diseru. Ain mendiamkan diri.
"Ain tak kenal saya?" Lelaki itu bertanya lagi.

Ain berhenti sekejap. Memikir sesuatu. Tapi dia tidak dapat memokuskan ingatannya. Tapi macammana dia tahu nama aku.? Hatinya berbelah bagi.

"Saya Asri..."
"Asri mana pula ni.. " Hati Ain berdetik.

"Saya kawan Kamil." Mungkin kerana Ain yang terpinga-pinga membuatkan lelaki bernama Asri itu menerangkan panjang lebar.

Tadi Asri ini Kamil. Dua-dua nama itu terlalu asing bagi Ain. Seingat Ain tiada nama itu dalam kamus persekolahnya. Tapi kalau Farid Kamil pelakun yang iras-iras Erra Fazira itu tahulah dia. Takkan kawan Farid Kamil itu pula. Sedangkan sesekali saja dia menonton drama lakunan Farid.

"Maaflah saya tak kenal Encik...." Ain berjalan selamba. Meninggalkan lelaki itu di situ.
"Ain dah lupa?" Lelaki itu berjalan seiringan dengan Ain. Ain mendiamkan diri. Malas dia mahu melayan lelaki bernama Asri itu.

Sekarang ini ramai yang menggunakan taktik begitu. Kata kenallah, padahal itu hanya umpan untuk berkenalan. Mungkin juga untuk mengenakan gadis-gadis supaya terperangkap.

"Aku bukanlah orang yang begitu..." Ain berbisik sendiri.

Asri memerhatikan Ain dari sisi.
"Comelnya... patutlah Kamil boleh terpikat!" Desis hatinya. Tudung merah jambu berbunga yang dikenakan dengan blaus putih itu membuatkan dia seperti gadis remaja. Baby face.

Cuma agak sombong sedikit. Beku. Atau memang benar apa yang Kamil ceritakan. Ain telah berpunya. Itu sebabnya dia bersikap begitu.

Jika tidak kerana Kamil telah meluahkan rasa hati kepadanya, mungkin dia pun ingin mencuba memikat Ain. Tambahan pula maknya di kampung pun asyik bertanya saja. Bila nak bawa bakal menantu?

Ain terus berjalan menolak troli. Tanpa memperdulikan lelaki itu. Banyak lagi barang yang perlu dicari.

"Ain tak kenal saya?" Asri masih tidak jemu bertanya. Tatkala itu Ain asyik memilih dan membelek di tempat dingin beku. Memerhatikan tarikh luput dilabel yang membalut butter itu. Bimbang jika dia tersilap pilih. Mana tahu tarikh luput telah pun berakhir.

Setelah berpuas hati Ain memasukkan beberapa ketul butter ke dalam troli. Dia telah biasa dengan brand tersebut untuk membuat kek.

"Saya pernah datang ke rumah Ain masa mengambil tempahan kuih 3 minggu lepas." Memang Ain masih ingat lagi ada dua orang jejaka yang berkunjung ke rumahnya. Tapi wajah mereka samar-samar saja. Ialah waktu itu apalah kerjanya merenung tetamu yang tidak dikenali. Malulah dia. Lagi pun dia kan perempuan. Nanti dituduh pula yang bukan-bukan.

Selepas menghidangkan air dia pun terus berlalu. Tak mahu dia berlama-lama di situ.

1 Comments:

Post a Comment

<< Home