HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Monday, November 27, 2006

Ep. 4 - Bukan Rahsia Lagi






Ain mengeluarkan botol air daripada peti sejuk yang berwarna hijau. Dituangnya ke dalam gelas yang tersedia ada di atas meja. Diteguknya perlahan. Baru lega rasanya. Sejuk air itu mengalir melalui kerongkong. Memang hari ini terlalu panas. Sebenarnya dia bukanlah suka sangat dengan air daripada fridge. Tetapi sesekali dia tidak dapat juga menahan dari godaan air yang sejuk itu.

“Ain.. ada orang minta ibu sampaikan bungkusan kepada Ain.”

Ain memandang wajah ibunya yang mencecah ke angka lima puluh tahun itu. Tapi wajah ibu masih nampak muda. Mungkin agaknya ibunya tidak pernah lupa untuk mengamalkan memakan ulaman ketika makan tengahari dan malam. Kerana ibunya juga Ain belajar memakan ulam. Mula-mula dia terasa amat payah sekali. Mana tidaknya; ada ulam yang pahit. Tapi memikirkan kesan di hari mendatang Ain cuba juga. Hasilnya mungkin bila dia telah berusia nanti. Dia akan awet muda seperti ibunya.

“Hadiah untuk Ain?” Ain menyoal ibunya kembali. Pelik! Hari ini bukan hari lahirnya. Jauh sekali dia meraikan hari yang istimewa. Macammana pula bungkusan itu boleh diberikan kepadanya. Mungkin untuk Salina agaknya. Adiknya itu baru saja menginjak ke angka 15 tahun. Tahun ini dia akan menduduki peperiksaan.

“Kata pemberi itu.. dia membeli untuk anak buahnya lalu dia teringatkan anak lelaki Ain. Jadi dia belilah sekali.” Ain bagai dapat meneka siapa gerangan yang diceritakan oleh ibunya. Dia masih mendiamkan diri.

“Kalau anak Ain, maknanya cucu ibulah kan! Betullah tadi ada dia sebut cucu ibu. Bila pula Ain berkahwin?” Pertanyaan ibunya membuatkan Ain ketawa. Tidak dihiraukan ibunya yang merenung ke arahnya dengan muka berkerut. Sesuatu yang pastinya membuatkan ibunya tidak mengerti.

“Ada apa-apa yang Ain sembunyikan daripada ibu ke?” Ain mengangkat kedua bahunya.

Tawa Ain tidak kedengaran lagi. Digantikan dengan senyuman pula. Terpedaya juga mamat itu dengan pembohongan ku! Percaya pula bulat-bulat dengan apa yang aku cakap.

“Alah… ari tu masa Ain gantikan ibu.. Ada sorang mamat itu sibuk tanya macam-macam. Jadi Ain beritahulah Ain dah kahwin dan ada sorang anak.” Ain membuka cerita. Tidak mahu ibunya menyangka yang bukan-bukan.

“Patutlah dia beria-ia nak bagi hadiah itu bila ibu menolak. Nakal anak ibu ini ya.”

“Yalah… sapa suruh dia tanya macam-macam. Kalau nak membeli itu buatlah cara nak membeli ini tidak macam polis pencen pula. Hal peribadi orang pun nak tahu. Ain tak sukalah macam itu!”

Ain menceritakan apa yang berlaku di hari tersebut kepada ibunya. Ibunya turut tersenyum dengan telatah Ain. Memang mak cik Noriah mengakui Ain anak sulungnya bukan saja mempunyai paras rupa yang menarik tapi agak manja sedikit. Sesekali suka mengusik orang lain. Ada masanya dia akan melakukan perkara yang tidak dijangka.

“Bila ibu beritahu yang ibu tak ada cucu dia agak terkejut juga. Tapi tetap nak beri juga.”
“Maknanya dia dah tahulah ibu yang Ain ini single lagi? Kenapa ibu tak mengiakan saja. Cakap sajalah Ain dah kahwin. Dah ada anak… “

“Manalah ibu nak jangka perkara ini nak jadi. Dia tu pelanggan setia ibu. Ada masanya dia ambil tempahan untuk mesyuarat kat pejabatnya. Tak baik Ain buat cerita yang bukan-bukan ini.”

“Alah biar sajalah ibu. Sekurang-kurangnya dia tak lah nak mengganggu Ain lagi. Sebab Ain dah ada keluarga.”

“Rahsia Ain dah pecah. Dia dah tahu bahawa ibu ini belum ada cucu lagi…”
“Alah ibu ini… tak boleh dibawa berundinglah..”

Ain pura-pura merajuk. Wajahnya dimasamkan. Muncungnya ditarik.

“Kalau dari awal Ain cerita, bolehlah ibu cover-cover sikit! Tapi nak buat macammana ya! Segalanya dah terbongkar.”

“Ain dah ada pilihan ke?” Tanpa disangka ibunya bertanyakan dia.
“Ain masih muda lagilah ibu. Belum terfikir lagi nak ada teman istimewa!” Ain menyangkal.

“Dengan orang itu Ain boleh mereka-reka cerita. Entah-entah dengan ibu pun Ain ada sorokkan sesuatu!” Kata-kata ibunya membuatkan Ain makin galak ketawa.

“Ibu ni ke situ pulak perginya. Dengan ibu mana Ain nak pandai simpan rahsia.”
“Mana tahu dalam setahun ini ibu dapat cucu pulak!” Ibunya mengusik lagi.

Hubungan Ain dengan ibunya memang rapat. Ibu adakalanya menjadi pendengar setia. Ada waktunya menjadi teman dia mencurahkan segala resah di dada. Ada masanya ibu seperti seorang sahabat kepadanya.

“Betul ke tak ada? Fitri itu sapa?” Mungkin ibunya berpendapat dia dengan Fitri ada apa-apa. Memang Ain akui, dia agak rapat dengan Fitri. Tapi mereka hanya bersahabat. Tidak pernah pula diselitkan dengan apa-apa rasa. Cuma rasa hormat antara sahabat dengan sahabat. Bezanya Fitri itu lelaki dan dia seorang perempuan. Salahkah jika seorang perempuan rapat dengan seorang lelaki?

Menyebut nama Fitri membuatkan Ain teringat akan sahabatnya itu. Agak lama juga dia tidak mendengar sebarang berita daripada Fitri. Kesibukan belajar dan berada di negeri orang membuatkan Ain faham dengan situasi sahabatnya itu.

Mungkin juga Fitri merajuk kerana e-mail yang lalu tidak dibalas oleh Ain. Bukan dia tidak mahu membalas tapi tiada berita menarik untuk dikhabarkan. Balik-balik Fitri akan menyelitkan pertanyaan; apakah Ain sudah bertemu dengan ‘kawan’ baru?

“Kawan saja…” Pendek jawapan Ain. Samada ibunya percaya atau tidak itulah hakikat sebenar.

“Sabtu ini Ain tolong ibu buat kuih ya! Ibu dapat tempahan. Ada orang nak buat makan-makan.” Tentu ibu sibuk minggu ini. Mana taknya, menyiapkan kuih untuk jualan. Ditambah pula dengan tempahan.

“Kalau macam ini ibu, apa kata melangkah setapak lagi. Kita jadi pengedar kuih-kuih basah. Kita jual yang separuh masak, balik rumah boleh terus goreng. Karipaf yang ibu buatkan sedap! Kalau ada tempahan mesti kuih itu tidak ketinggalan.” Bersemangat Ain memberikan cadangan.

“Taklah sampai ke situ lagi Ain..”
“Kita cubalah ibu.”
“Nantilah ibu fikirkan kemudian. Yang penting sekarang ini Ain tolong ibu Sabtu ini.”
“Siapa yang tempah ibu? Mak cik Limah ke?” Memang mak cik Limah rajin menempah kuih muih daripada ibunya. Apatah lagi bila anak menantunya pulang ke rumahnya berkumpul beramai-ramai.

“Ain tengoklah sendiri bila dia datang ambil nanti!”
“Dengan Ain pun ibu nak berahsia ke?”
“Ain takut nak jumpa dia ke?” Bahu Ain ditepuk-tepuk.
“Kalau ular Ain takutlah, nanti dibelitnya Ain. Tapi kalau orang buat apa nak takut!”
“Macam itu Ain tunggu sajalah dia datang nanti...”

Ibunya berlalu ke ruang depan. Mencari adik-adiknya yang lain. Hari yang terang tadi berubah warnanya. Sekejap lagi maghrib akan tiba. Adiknya yang dua orang itu jika tidak dipanggil masuk rumah tidak akan nampak batang hidungnya. Leka bermain dengan rakan-rakan sebaya.








0 Comments:

Post a Comment

<< Home