HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Friday, December 01, 2006

Ep. 5 - Memintal Impian


Kereta yang dipandu berhenti di bibir jalan sebuah rumah. Keluar dua orang jejaka dari kereta tersebut.

“Betulkah rumah ini Mil?” Mata Aris merenung kea rah rumah yang masih bertutup.
“Betullah aku gerenti.” Kamil menjawab sepenuh yakin.
“Kau pernah datang sini?”
“Tak pernah..”
“Habis tu yang kau yakin sangat ini!”
“Mengikut alamat ini betullah, No.. 33. Kau tak nampak ke?” Kamil menunjukkan ke arah nombor berganda itu.
“Sunyi sepi saja…” Mata Aris memandang ke hadapan rumah yang penuh dengan pokok bunga. Cantik. Kombinasi berbagai warna membuatkan halaman itu begitu menarik sekali.

“Assalammu’alaikum…” Kamil memberi salam. Tiada yang menjawab.
“Kau janji pukul berapa Mil? Tercepat sangat ke? Mungkin dia orang belum siapkan lagi tak?” Aris memaparkan kebimbangan di hati.
“Pukul 3.30.”
“Sekarang ini lagi pukul 3.25 petang Mil.” Aris menunjukkan ke jam di pergelangan tangannya.
“Aku tahu. Apa salahnya kita datang cepat sedikit. Tak adanya kena denda..” Kamil berlawak.
“Ini tak lain sebab nak jumpa anak mak cik itu. Jika tidak tak adanya kau cepat macam ini…” Senyuman Kamil membuatkan anggapan Aris benar belaka.

“Kan anak dia tu dah kahwin. Kau sendiri cerita hari itu?” Yang bujang ramai, nak juga yang dah kahwin.” Aris meluahkan rasa berbuku di hati.
“Aku dah tahu dia itu “single” lagi..”
“Eh.. betulkah?” Kamil menganggukkan kepala. Terbayang di kepalanya yang mak cik Noriah terkejut saat dia memberikan hadiah hari itu. Mak cik Noriah pun mengaku bahawa dia belum bercucu lagi. Anaknya pun tiada yang berkahwin lagi.

“Macam itu, aku pun ada “chance” juga….” Aris ketawa. Bahu Kamil ditampar perlahan.

Salam diberi lagi. Masih juga tiada yang menjawabnya.

Dari dalam rumah Ain terdengar-dengar bagai ada orang yang memberi salam. Dia lantas menuju ke ruang tamu. Langsir diselak sedikit. Mengintai samada apa yang dilihat mengiakan pendengarannya tadi.

Dia nampak kelibat dua orang lelaki di luar pagar. Wajah mereka tidak dapat dilihat kerana dilindungi oleh pokok di tepi pagar.

Nak cari siapa agaknya? Nak ambil kuih ke? Ain bertanya sendiri. Dia terus ke dapur mendapatkan ibunya.

“Ibu.. ada orang kat depan rumah.”
“Dah sampai agaknya dia orang itu. Apasal tak jemput masuk?”
“Tak kan semudah itu nak pelawa orang masuk ibu. Lagi pun Ain tak kenal dia orang. Mana tahu orang menyamar ke? Ibu pergilah tengok.”

Kamil memberi salam untuk kali ketiga. Baru didengar ada orang yang menyambutnya. Pintu rumah dibuka. Keluar Mak Cik Noriah mendapatkan mereka. Pagar pula dibuka.

“Dah lama ke tunggu kat sini?” Mak Cik Noriah bertanya ramah.
“Baru saja mak cik..” Kamil menjawab sambil menghulurkan tangan. Bersalaman.
“Maaflah… mak cik tak dengar tadi. Sibuk kat dapur”
“Tak apalah..”
“Marilah masuk, hilangkan penat dulu.” Mak Cik Noriah mempelawa.

Ain hanya mendiamkan diri di dapur. Tidak mahu ambil tahu siapa yang datang. Dia terdengar suara ibu ramah melayan mereka. Sudah lama kenalkah? Ain merangka sendiri. Memang dia akui ibunya itu ramah. Tidak lokek dengan senyuman. Itu sebab kenalannya ramai.

Dibandingkan dengan Ain memang umpama langit dengan bumi. Entah kenapa sifat ibunya itu tidak turun ke dalam dirinya. Kecuali membuat kuih. Nak kata pandai tidak juga. Tapi dia juga boleh membuat berbagai jenis kuih.

“Ain, apa yang tercegat kat situ. Buatlah air….”
“Sapa itu ibu?”
“Mereka nak datang ambil kuih yang dah ditempah hari itu..”
“Bagi sajalah kuih. Buat apa nak jamu pula..”
“Ish… budak ini. Tak ada salahnya kita berbudi bahasa dengan orang. Setakat buat teh o, apa susahnya. Lepas itu hantar kat depan..”
“Bab buat air boleh bu, tapi hantar air tu Ain seganlah. Bukan Ain kenal mereka. Ingatkan mak cik Limah… “

Arahan ibu terpaksa dituruti. Iqbal pula tiada. Dia ada perlawanan bola sepak hari ini. Jika tidak pasti adiknya itu pula akan diarahnya.

Empat pasang mata merenung ke arah Ain, saat dia meletakkan hidangan di atas meja. Hampir dulang itu terhempas di meja apabila Ain terpandang wajah lelaki itu.

Alahai kenapalah dia datang ke sini? Ain mengomel di dalam hati. Rahsia aku dahlah pecah Tahu pula mana aku tinggal. Tak ada muka lain ke nak buat tempahan! Ain tak tahu di mana hendak disembunyikan muka masa itu. Kalau teko itu sebesar tempayan, mahu agaknya dimasukkan wajahnya ke situ. Biar lelaki itu tidak nampak akan dirinya.

Kamil yang duduk di hadapan Ain tersenyum simpul. Dia tahu Ain terkejut. Mungkin juga serba salah. Ialah mana nak sangka Kamil tiba-tiba ada di hadapan mata.

“Mana anak tak nampak pun?” Sengaja Kamil bertanya. Aris di sebelah Kamil juga memandang ke wajah Ain.


Pertanyaan Kamil membuatkan Ain tersipu-sipu. Namun sempat dijawab selamba.
“Ikut pak cik dia, main bola…” Ain tidak mahu mengalah.

Itulah nak tipu orang lagi. Nak kelentong orang pun berpada-padalah. Kan sekarang tak ada tempat nak sorok lagi. Kamil berbicara sendiri.

“Jemputlah minum Kamil, Aris… “ Mak cik Noriah mempelawa. Di tangannya beg plastik yang berisi bekas kuih.

Ain tidak menunggu lagi terus meminta diri.


**

“Patutlah kau angau semacam…” Aris memberikan komen ketika mereka tiba di rumah sewa. Mereka harus bersiap segera kerana tetamu akan datang pada pukul 5.00 petang.

“Kan aku dah cakap….”
“Rasanya aku pun ada peluang kan?” Aris mengusik Kamil.
“Jangan potong jalan, ini aku warning kau…”
“Kamil, Kamil… entah-entah dia dah ada yang punya. Kau saja yang berangan-angan. Tengok rupanya dia aku tahu, mesti dia ramai peminat.”
“Orang lain minat tapi satu hari nanti… dia aku punya…” Kamil berkata penuh yakin.
“Pepatah kata… burung terbang usah dipipiskan lada. Impian usah tinggi sangat, jika jatuh terus tak bangun…”
“Kau tengoklah nanti… “ Aris hanya menggeleng-gelengkan kepala dengan sikap Kamil. Kali ini lain macam pula Kamil bila bercakap tentang perempuan.




2 Comments:

Post a Comment

<< Home