CINTA DI MATANYA (i)
Kira duduk mengadap air tasik yang membiru. Pertemuan yang diaturkannya sendiri dengan Hafidz. Memang dia buntu waktu ini. Dia ingin meminta pendapat Hafidz. Sejak dulu lagi dia mengagumi akan keperibadian Hafidz. Lagi pun dia tidak mempunyai abang. Hafidzlah tempat dia mengadu berbagai perkara. Atau tempat dia mencurahkan masalah. Dan kini sekali lagi Hafidz terpaksa mendengar kesulitannya. Masalah peribadi.
Hafidz di sisi masih lagi mendiamkan diri. Sesekali batu-batu kecil dibaling ke arah tasik tersebut. Dari seketul ke seketul. Memainkan irama yang entah apa. Kira di sebelah seperti cacing kepanasan. Penat duduk dia berdiri. Tapi tiada ucapan dari bibir Hafidz.
"Abang ni... macam batu juga. Kira nak pendapat abang." Dia masih tidak berpuas hati selagi Hafidz tidak memberikan jawapan.
"Terima saja...' Jawapan ringkas Hafidz mengejutkan Kira. Bukan itu jawapan yang ingin didengarnya. Jantung Kira berlari kencang. Ada rasa terkilan membukit di kalbunya. Dan terasa kolam matanya hampir pecah. Kira cuba menahannya.
Kira mengenali Hafidz beberapa tahun dulu. Mulanya Hafidz dianggap sebagai abang saja. Hafidz yang memberitahunya begitu. Namun lama kelamaan perasaan itu seperti bertukar ke satu rasa yang lain. Cuma dia tidak berani untuk menyatakan kepada Hafidz. Risau tali persahabatan itu akan terputus bila dia meluahkan segalanya.
"Itu saja?" Kira bersuara lemah.
"Kalau aku ceritakan hal sebenarnya, mahukah kau mendengarnya. Mahukah kau memahami apa yang tertulis di hatiku? Kepada mak aku telah meminta tempoh untuk berfikir. Kerana apa? Kerana aku menantimu Hafidz..." Kira berbicara di dalam diam.
"Kalau abang cakap macam itu.. oklah." Lirih suara Kira di pendengaran Hafidz.
Tanpa membuang masa Kira bangun dari kerusi. Untuk apa dia berlama-lama di situ. Jawapannya telah diperolehi. Hafidz tidak mempunyai perasaan apa-apa terhadapnya. Mungkin benar selama ini status Hafidz adalah abang dan dia adalah adik angkat sahaja.
Dan itulah kali terakhir Hafidz melihat Kira. Kira hilang begitu saja bagai angin. Puas dia cuba menghubungi Kira tapi jawapannya tetap sama. Kira tidak menjawab panggilan taliponnya. SMS juga tidak berbalas. Sakitkah? Hafidz bertanya sendiri.
Sesekali rindu menghambat di hati Hafidz.
Pagi itu Hafidz menerima sekeping kad. Dia tidak dapat mengecam tulisan yang menggunakan catatan komputer di sampulnya. Sampul bersetem itu dipandang sebelum dibuka isi dalamnya.
Warna kuning emas begitu indah sekali. Dan di dalamnya tercatat nama Nur Syakira Izzudin dan pasangannya Ahmad Syahmi Idlan. Kad undangan pernikahan itu ditatap lagi. Mengapa Kira tidak bertemu sendiri dengannya dan menyampaikan sendiri kad tersebut? Hati Hafidz tertanya-tanya.
Saat kad tersebut dimasukkan kembali ke sampulnya seperti ada sesuatu yang hilang dari hatinya sendiri. Kira... nama itu disebut beberapa kali. Namun segalanya terlewat sudah.
2 Comments:
At Wednesday, June 06, 2007 11:40:00 AM, Anonymous said…
kak ija..
pekabar?...
lama betul sepi tanpa berita...
ni cite baru ker??
At Tuesday, June 12, 2007 6:41:00 PM, Anonymous said…
salam Tie,
kak Ija baik-baik
rindu juga sama Tie..
cerita baru utk. segarkan minda, ;p
senang2 titipkan suaramu...
Post a Comment
<< Home