HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Friday, February 09, 2007

TANDA INGATAN UNTUKMU...















Tiada kata secantik bahasa
Tiada gambaran seindah lukisan
Untuk dinyatakan di ruang rasa
Tanda ingatan sebuah persahabatan
Yang terjalin tanpa batasan

Thursday, February 08, 2007

Ep. 7 - Budi Baik Di Kenang Juga

Tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang.

"Siapa pula yang berani bermain tepuk tampar di sini.." hatinya menggerutu marah. Memang pantang datuk neneknya orang berbuat begitu. Mujur, dia tiada penyakit darah tinggi atau lemah jantung. Jika tidak mungkin dia telah terduduk di situ.

Apa kata dia melatah di situ. Mahunya orang semua memandang ke arahnya. Nasib tiada keluarganya yang ada sejarah melatah. Wajahnya dipalingkan.

Mahu sahaja dia menunjukkan kemahirannya berkarate di situ. Memperaktikkan apa yang telah dipelajari semasa sekolah dulu. Apatah lagi yang berbuat begitu adalah seorang lelaki. Wajah itu direnung kembali. Kalau kek coklat sudah tentu dikunyah lumat dan ditelan. Dia menjeling lalu terus membawa troli ke tempat lain.

"Ain.... " namanya diseru. Ain mendiamkan diri.
"Ain tak kenal saya?" Lelaki itu bertanya lagi.

Ain berhenti sekejap. Memikir sesuatu. Tapi dia tidak dapat memokuskan ingatannya. Tapi macammana dia tahu nama aku.? Hatinya berbelah bagi.

"Saya Asri..."
"Asri mana pula ni.. " Hati Ain berdetik.

"Saya kawan Kamil." Mungkin kerana Ain yang terpinga-pinga membuatkan lelaki bernama Asri itu menerangkan panjang lebar.

Tadi Asri ini Kamil. Dua-dua nama itu terlalu asing bagi Ain. Seingat Ain tiada nama itu dalam kamus persekolahnya. Tapi kalau Farid Kamil pelakun yang iras-iras Erra Fazira itu tahulah dia. Takkan kawan Farid Kamil itu pula. Sedangkan sesekali saja dia menonton drama lakunan Farid.

"Maaflah saya tak kenal Encik...." Ain berjalan selamba. Meninggalkan lelaki itu di situ.
"Ain dah lupa?" Lelaki itu berjalan seiringan dengan Ain. Ain mendiamkan diri. Malas dia mahu melayan lelaki bernama Asri itu.

Sekarang ini ramai yang menggunakan taktik begitu. Kata kenallah, padahal itu hanya umpan untuk berkenalan. Mungkin juga untuk mengenakan gadis-gadis supaya terperangkap.

"Aku bukanlah orang yang begitu..." Ain berbisik sendiri.

Asri memerhatikan Ain dari sisi.
"Comelnya... patutlah Kamil boleh terpikat!" Desis hatinya. Tudung merah jambu berbunga yang dikenakan dengan blaus putih itu membuatkan dia seperti gadis remaja. Baby face.

Cuma agak sombong sedikit. Beku. Atau memang benar apa yang Kamil ceritakan. Ain telah berpunya. Itu sebabnya dia bersikap begitu.

Jika tidak kerana Kamil telah meluahkan rasa hati kepadanya, mungkin dia pun ingin mencuba memikat Ain. Tambahan pula maknya di kampung pun asyik bertanya saja. Bila nak bawa bakal menantu?

Ain terus berjalan menolak troli. Tanpa memperdulikan lelaki itu. Banyak lagi barang yang perlu dicari.

"Ain tak kenal saya?" Asri masih tidak jemu bertanya. Tatkala itu Ain asyik memilih dan membelek di tempat dingin beku. Memerhatikan tarikh luput dilabel yang membalut butter itu. Bimbang jika dia tersilap pilih. Mana tahu tarikh luput telah pun berakhir.

Setelah berpuas hati Ain memasukkan beberapa ketul butter ke dalam troli. Dia telah biasa dengan brand tersebut untuk membuat kek.

"Saya pernah datang ke rumah Ain masa mengambil tempahan kuih 3 minggu lepas." Memang Ain masih ingat lagi ada dua orang jejaka yang berkunjung ke rumahnya. Tapi wajah mereka samar-samar saja. Ialah waktu itu apalah kerjanya merenung tetamu yang tidak dikenali. Malulah dia. Lagi pun dia kan perempuan. Nanti dituduh pula yang bukan-bukan.

Selepas menghidangkan air dia pun terus berlalu. Tak mahu dia berlama-lama di situ.

Saturday, February 03, 2007

LADHM - "Hati Makin Terusik.."

Nak ku pujuk tidak berdaya, sudahnya membisu memendam rasa...

Aku masih berdiri di sini. Tegak bagaikan patung. Memerhati orang yang lalu lalang. Kerusi di depan itu pun telah berganti penghuninya. Sedangkan aku masih lagi di sini.

"Ke manalah dia pergi ni.. Janjinya sekejap saja..." Aku mengomel sendiri. Wajahku yang dipaksa ceria tadi bertukar rupa. Tambahan pula ada rasa yang menyucuk-menyucuk di perut. Rasanya macam tak tertahan lagi.

Handphone yang berada di dalam handbag aku keluarkan. Nombornya aku dail. Tapi tiada jawapan. Hanya bunyi nada dail kemudian senyap. Aku cuba beberapa kali. Tapi hasilnya masih sama. Ini meningkatkan lagi tahap kebosananku.

"Suruh tunggu kat sini. Tapi dia entah ke mana." Rasa tidak puas hati bercampur dengan geram makin melebar. Tambahan pula menahan sesuatu. Tanpa berlengah aku beredar ke tempat 'istirehat' sementara. Alahai ramainya orang. Terpaksalah beratur pula. Ini yang malas jika ke tempat begini semasa hujung minggu.

Aku tidak memikirkan dia lagi. Biarlah dia menungguku. Tadi aku menunggu dia. Biar pula dia rasa betapa jemunya berada di dalam gua penantian.

Aku mengambil masa santaiku. Tidak perlu terkejar-kejar. Sebaik saja berada di tempat aku menunggu tadi. Dia telah berada di situ. Memerhati langkahku yang perlahan. Dahinya berkerut. Muka apalah lagi. Tiada senyuman manis. Serius habis!

"Abang suruh tunggu sekejap pun tak boleh?" Eh... Apa hal pula tiba-tiba saja melontarkan peluru kemarahan kepadaku. Aku pula yang disalahkan. Sedangkan jariku dah terseliuh menekan nombornya.

"Tak berterima kasih langsung! Kalau aku terus pergi senyap-senyap tadi, ha baru dia tahu.." Hatiku saja yang berkata-kata saat itu. Tidak perlu diluahkan. Ialah aku pun semakin 'panas' juga. Kang bergaduh depan orang lain lagilah malu. Sia-sia saja mempertontonkan bakatku di depan orang ramai. Takkan aku nak bagi wayang free pula?

Rasanya mood untuk bershopping dengannya makin pudar. Kalau macam inilah baik aku duduk kat rumah. Sekurang-kurangnya boleh juga mengadap novel yang aku beli tempohari. Masih ada lagi yang belum dibuka balutan. Tak perlu aku bersesak-sesak di sini. Apatah lagi nak mengadap mukanya yang serius memanjang!

"I pergi ladies sekejap. Kalau 'terburai' kat sini, you nak tolong bersihkan?" Aku perlu memberitahunya. Menegakkan kebenaran tidak mahu dituduh sesuka hati.

"Lagi pun dah jenuh nombor you tu I tekan tapi tak ada jawapan. Nasib baik jari I tak patah. Kalau patah tak dapatlah orang itu sarungkan cincin. Kan dah rugi beli cincin mahal-mahal tapi tersimpan dalam bekasnya saja. " Aku masih menjawab perlahan. Menahan gelodak di hatiku. Masa itu kami dalam perjalanan menuju ke sebuah kedai.

Apa pula keluar pasal cincin ini? Mulut ini kenapalah boleh cakap yang bukan-bukan. Aku mendengus sendiri.

"Abang minta maaf." Ucapan itu dilafazkan. Agaknya baru teringat yang aku tidak bersalah. Yang salah dia.
"Talipon abang dah habis bateri."
"Tahu pun! Lain kali siasatlah dulu. Janganlah nak buat tuduhan melulu saja". Entah kenapa aku masih tidak berpuas hati dengan ucapan maafnya.
"Marah?" Jari jemariku dicapai. Inilah yang aku benci. Kalau nak bercakap, cakap sajalah. Yang nak pegang tanganku buat apa? Aku menarik kembali tanganku. Tapi pegangannya kukuh. Tak kan aku nak main tarik-tarik tangan kat sini... Kalau tarik tali logiklah juga.

Sudahnya aku membiarkan dia berbuat begitu dengan rasa sebal.

"Eh.. you buat apa kat sini?" Aku terkejut bila dia berada di belakangku. Rasa malu memanglah tak boleh sorok lagi. Walau pun tiada cermin di hadapanku tapi aku tahu sangat mukaku bertukar warna.

Masa bila pula dia datang aku tidak sedar. Aku sengaja menjamu mata di tempat pakaian dalaman wanita. Sangkaku dia masih di tempat pakaian lelaki. Sengaja aku menghilangkan diri sebentar, bila aku tengok dia sibuk memilih.

"Tak boleh ke abang ke sini? Tak ada pun tertera yang lelaki tak boleh berada di sini. Maknanya ini bukan kawasan larangan". Banyak pula jawapannya. Kenapalah mak terima pinangan lelaki ini. Sepatah aku bercakap, sepuluh patah dia menjawab. Ini dah terbalik pula. Gelaran mulut murai itu memang sesuai untuk dia.

"You cakap nak beli baju tapi buat apa kat sini?"
"Abang nak minta pendapat Zu.. "
"Mana yang berkenan you beli sajalah. Yang nak pakainya you.. Tak payah susah-susah nak minta pendapat I."
"Nak juga tahu penilaian Zu." Memang tak boleh habis jika berbual dengan dia. Aku membontot dia ke tempat tersebut

"Yang ini macammana?" Kemeja berjalur kecil berwarna biru itu ditunjukkan kepadaku. Agaknya dari tadi dia memang berkenan kat kemeja tersebut.
"Ok."
"Ok saja?" Dia menghadiahkan senyuman.
"Habis nak cakap apa? You cubalah dahulu". Dia berlalu ke bilik persalinan.

"Hai, tak sangka jumpa you kat sini. Shopping?" Aku mengamati suara yang menegur. Pandangan kami bertaut seketika.
Hairan agaknya bila aku berada di tempat pakaian lelaki.
"Hai Khairul, bila you balik ke Malaysia?"
"Dah lama." Di sisinya ada seorang wanita. Agak malu-malu.

Aku memandangnya semula. Meminta penjelasan. Setahu aku dia berkahwin dengan sahabatku. Tapi kenapa dia bersama orang lain? Hatiku diburu pertanyaan. Khairul main kayu tiga? Apa dah jadi dengan Fadilah?

Saat itu juga Amir Zuhairi menuju ke arahku. Khairul masih membelakangkannya. Amir Zuhari yang melihat aku berbual dengan seorang lelaki mengangkat kening.

"Zu tunggu Johari?" Aku menjadi serba salah.
"Dah lama tak jumpa dengan dia.." Seenaknya Khairul berkata. Amir Zuhairi hanya diam. Mendengar kata-kata Khairul dalam diam.
"Abang pilih yang ini..." Sengaja ditunjukkan baju itu kepadaku.
Khairul memandangku. Tidak percaya dengan apa yang didengarnya.
"Bukan Johari?" Khairul bertanya. Memandang Amir Zuhairi dengan kehairanan.

Aku tak tahu apa yang berada di dalam hati Amir Zuhairi saat ini. Tika nama Johari keluar daripada mulut Khairul. Memang semua orang tahu bahawa kawanku dulu adalah Johari. Tapi dapat aku kesan, ada riak yang tidak senang di wajah Amir Zuhairi bila mendengar nama tersebut.

"Johari mana?" Ah Khairul banyak pula soalnya bila dia berlalu pergi dengan wanita tersebut. Masih tidak puas hati lagi.

"Siapa tadi tu?" Aku pula disoal.
"Kawan.."
"Kawan?" Apa yang peliknya bila aku berkata begitu?
"Nampaknya Zu banyak simpan rahsia. Banyak perkara yang perlu diceritakan dengan abang."

Aku tak faham apa maksudnya. Kisah lalu biarlah aku simpan di hati. Tak perlu nak ceritakan segalanya kepada dia. Apakah itu sebagai amaran, bahawa aku perlu memberi lapuran sepenuhnya kepada dia?

Rumitnya hidupku.
Mak kenapa pilih dia untukku?