HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Friday, April 06, 2007

Ep. 9 : OMBAK ITU ADALAH HATIKU...



Kamil masih lagi berteleku di dalam kamarnya. Entah kenapa cerita Aris mengenai Ain menyentuh tangkai hatinya. Kenapa dia yang tidak bertemu dengan Ain. Kenapa Aris yang tak ada apa-apa itu boleh bertemu dengan Ain. Hatinya diburu persoalan yang tiada jawapannya.

Hari minggu dia cuba menjenguk-jenguk gerai ibu Ain. Namun dia hampa. Ain tidak lagi kelihatan di situ. Hanya sekali itu. Dan sekali itulah membuatkan jantungnya berlari deras. Beberapa kali dia cuba mengusir bayangan wajah gadis itu. Tapi ia hadir juga tanpa dipinta. Wajah itu mempunyai keunikan yang tersendiri.

Diari berwarna hitam yang terletak di atas meja di tepi katil dicapai. Sejak akhir-akhir diari itu menjadi penemannya. Tempat dia meluahkan rasa hatinya. Ingin diceritakan segalanya kepada Aris tapi dia termalu sendiri. Ialah jika tiap-tiap hari dia bercerita perkara yang sama tentu Aris pun akan rasa bosan.

Dan akhirnya diari itu menjadi teman setianya… Kamil mencatat sesuatu...

Mengapa bayangan wajahmu seringkali hadir
Menemaniku tanpa mengira waktu
Berkali aku cuba mengusirnya
Namun ia bertandang jua

Apakah aku telah jatuh cinta?
- Kamil Irsyad -

Kamil meluahkan segalanya di dalam diari berwarna hitam. Kenyataan itu membelenggu dirinya kini. Dia merenung di kejauhan malam. Sepatutnya waktu begini dia telah lena diulit mimpi. Namun sejak bertemu dengan gadis itu matanya amat sukar dilelapkan. Wajah itu menari-nari di ruang mata. Dan diari itu menjadi saksi, resah gelisah hati lelakinya.
***

Ain duduk di kerusi di dalam biliknya. Dia baru saja melepaskan lelah. Tadi dia sibuk dengan sambutan hari lahir 3 orang muridnya. Kebetulan tarikh lahir mereka jatuh pada hari yang sama cuma tahun saja yang berbeza. Ibu murid-murid tersebut yang beria-ia benar ingin menyambut majlis hari jadi tersebut. Dan dia hanya merealisasikan permintaan ibu mreka. Bukannya susah pun.

Yang untung ibunya juga kerana mendapat tempahan yang lebih. Rezeki Tuhan nak bagi.

Baru saja dia membuka lembaran akhbar, ada ketukan di pintu. Terjenguk kepala Helmi. Kanak-kanak yang menangis tempohari tidak lagi kememe.

"Cik gu, abang cikgu datang." Petah dia bercakap. Abang? Tersnyum Ain mendengarnya. Pastilah Iqbal yang dimaksudkan. Helmi telah beberapa kali terseerempan dengan Iqbal. Kerana badan Iqbal yang bersaiz lebih besar daripadanya membuatkan ramai yang menyangka itu abang Ain.

Apa kena pula Iqbal ni. Tak kan kat rumah pun tak boleh jumpa? Ain mengomel sendiri.

"Panggil dia masuk Helmi..." Lembut tutur kata Ain. Helmi adalah antara murid yang rapat dengannya.

Lelaki yang dimaksudkan melangkah masuk. Ain memandang. Ada rasa terkejut mewarnai dirinya. Tapi dia buat selamba saja. Lelaki setengah tiang itu berani datang ke sini? Mana dia tahu aku kerja kat sini?

"Jemputlah duduk En. Kamil." Semenjak lelaki itu datang ke rumahnya. Dia memang tahu nama lelaki itu.

Kamil memandang Ain tanpa berkelip. Senyuman diberikan. Ain sekadar membalas lalu mengajukan pertanyaan.

"En. Kamil nak hantar anak ke sini? Ini borang untuk diisi. " Ain menghulurkan borang kemasukan pelajar. Begitulah yang dilakukan bila ada ibu bapa yang datang bertemunya.
"Emmm... bukan anak saya. Tapi saya! Boleh tak?" Kamil masih tersenyum. Sengaja dia nak mengusik Ain. Dari tadi dia lihat Ain macam kurang senang dengan kedatangannya. Tapi kerana rindu dia datang juga. Mujurlah ibu Ain memberitahunya di mana Ain bekerja.
"En. Kamil tadika ini memang belum ada lagi tenaga pengajar lelaki!" Sebal hati Ain. Perkara begini boleh dibuat jenaka.
"Kalau saya memohon boleh tak?" Kamil sekadar menduga.
"Maaflah En. Kamil, belum pernah dibuat orang. Tapi jika suatu masa nanti ada perubahan, En. Kamil boleh memohon jawatan itu. Buat masa ini jawatan itu belum diwujudkan lagi..." Panjang lebar Ain menerangkan.

"Emmm... bukan apa saya dengar memang ada kekosongan jawatan tersebut."
"Memang ada tapi untuk perempuan sahaja. Maaflah permohon En. Kamil tidak dapat dilayan. Kalau nak hantar anak, boleh saja."
"Saya belum ada anak lagi." Kamil berharap sangat supaya Ain tahu bahawa statusnya memang masih bujang lagi. Tapi entah kenapa Ain seperti tidak berminat.
"Oh... bila ada anak nanti, En. Kamil boleh hantar ke sini. Bila-bila masa sahaja kami menerimanya. Tapi kenalah daftar awal."
"Ok, saya minta diri dulu" Kamil melihat ke arah jam di tangan. Rasanya sekejap sangat dia dapat berbual dengan Ain.
Ain menganggukkan kepala.

Sebelum beredar sempat Kamil meluahkan bicara...
"Kalau saya datang lagi lain kali, boleh ke?" Tanpa sempat Ain menjawab Kamil telah keluar. Sengaja dibiarkan pertanyaan itu tergantung.

Sewel ke apa? Dah tak ada anak nak datang sini lagi. Ain mengomel sendiri tanda tidak berpuas hati.

Edisi belum edit... Moga pembaca hilang rindu dengan Kamil Irsyad & Ain Haryani.

*Ucapan terima kasih kepada mereka yang mengirimkan ucapan hari lahir Ija hari ini. Terharu atas sebuah ingatan...*