HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Tuesday, January 24, 2006

Resahnya Hati, Celarunya Jiwa

Terlalu sukarnya aku menerima dia
biarpun telah berkali aku mencuba
Dia begitu dekat di mata
namun semakin jauh dari jiwa

Aku masih lagi mencari
Akan kata pasti
Walaupun kenyataan itu
makin menghampiri, di sini

- Intan Zulaikha Ahmad Sharifuddin

Monday, January 23, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 36

“Zu.. ada orang tunggu kat depan tu.”
“Siapa?” Aku menyoal tanpa bergerak dari tempat duduk. Masih meneruskan membaca surat khabar.

“Siapa lagi kalau bukan tunang kesayangan awaklah…”
“Pembetulan… Dia sayangkan aku mungkin, tapi aku nak sayang kat dia, lambat lagilah…!”

“Sombongnya!” Syikin mencuit aku.
“Pergilah dia tengah menunggu tu. Tak elok pulak jiran-jiran tengok ada kereta kat depan rumah lama-lama.”
“Datang tak beritahu.. apa salahnya talipon dulu!”
“Eh.. Cik Zu, macammanalah dia nak talipon, talipon awak tu tak berfungsi..”

Baru aku teringat, dari pagi talipon itu ditutup untuk di ‘charge’.

“Engkau bagilah alasan, mengatakan aku tak ada ke?”
“Kereta tertonggok kat depan tu, nak beritahu apa lagi!”
“Katalah apa saja… aku keluar ke kedai ke, pergi KL naik komuter ke..”

“Zu.. Zu, walau apa pun sengketa antara kau dan dia; aku tak mahu terlibat. Bersuhabat nak menipu dia..”
“Ini yang aku malas ni… dah tahu mana rumah, sukahati nak datang bila-bila masa sahaja.” Aku merungut.

“Kasihan tunang awak tu, dari jauh dia datang nak jumpa tapi tunang kesayangannya asyik nak mengelak aja..” Syikin menggeleng-gelengkan kepala.

Aku mencapai tudung di bilik. Melangkah keluar menuju ke pagar. Dia sudah berdiri di luar kereta. Menyandarkan badan ke kereta dengan memakai kaca mata hitam.

Dia melemparkan senyuman apabila melihat aku menghampirinya. Salam yang diberi aku sambut tanpa senyuman.

“Rindunya abang dah dua minggu tak jumpa Zu..” Aduh, dah pandai pula dia menuturkan kata-kata rindu. Aku layan dia macam itu pun boleh rindu-rinduan lagi.

“Temankan abang keluar hari ini…”
“Sorry ya, I ada banyak kerja yang perlu dibuat! Nak lipat kain, gosok baju… dan lain-lain kerja lagi."Aku senaraikan kerja itu satu persatu. Dia masih memandangku bila aku habis bercakap. Kaca matanya ditanggalkan.

“Tak mahu keluarlah ni…” Aku diam bila dia berkata begitu. Kalau tak faham tak tahulah!

“Zu…kita jumpa pun bukan selalu. Bila abang ajak Zu keluar, ada saja alasannya. Zu tak mahu keluar dengan abang tak apa tapi….” Kata-kata terhenti di situ.

“Abang akan tunggu di sini sehingga Zu buat keputusan nak ikut abang.”

Eh… Beraninya dia berkata begitu. Sudah pandai pula nak mengugut aku? Kalau dia jadi pak pacak kat situ, apa pula kata jiran-jiran. Tentu tak manis seorang lelaki menunggu di luar rumah bujang perempuan. Dibuatnya ada orang bertanya macammana? Ish… Yang malu aku juga…

“Oklah… tunggu I tukar baju….” Setelah berfikir sebentar aku membuat keputusan yang bukan kerelaan hatiku.

Tatkala aku memandangnya, dia menghadiahkan aku sekuntum senyuman. Sukalah bila hasratnya aku turuti.

Tak apa… kali ini engkau menang, Amir Zuhairi. Aku berbisik sendiri menyatakan rasa tidak puas hati.

Aku melangkah kembali ke dalam rumah, Memberitahu Syikin yang aku akan keluar dengan dia, Syikin pula menghadiahkan sebuah senyuman.

“Tak suka pun ikut juga….’ Perli akulah tu.

“Kena paksa.. terpaksalah! Kalau tidak dia nak buat mogok depan rumah. Niaya saja.” Bila dengar saja apa yang aku tuturkan, Syikin tidak lagi berselindung dengan senyumannya. Bunyi tawanya membuatkan aku memasamkan muka.
*****

“Kita nak ke mana ni…” Aku bertanya ingin tahu arah tujunya.
“Abang yang memandu jadi Zu kena ikut sajalah mana abang nak bawa.” Aku mendiamkan diri. Dia cuma tersenyum. Sengaja nak menyakitkan hatiku.

CD dimasukkan ke tempat pemainnya. Berkumandang lagu Menanti Sebuah Jawapan dari kumpulan yang terkenal di Indonesia itu. Dia menyanyi-nyanyi kecil. Tak sangka pula dia ni jiwa-jiwa juga.

“I nak minta tolong sikit, boleh tak?” Lagu itu diperlahankannya. Dia mengangguk.
“Tolong buang perkataan ‘abang’ tu!”

“Kenapa?”
“Tak selesalah di pendengaran…”

“Apa salahnya. Tak susahkan nak menyebutnya. Lagi pun lambat laun panggilan itu juga yang akan Zu gunakan. Apa kata Zu berlatih dari sekarang?”

Aku mendiamkan diri. Muka pun dah jadi macam asam boi. Aku yang mengusulkan perkataan itu dibuang. Dia pula pandai-pandai mencadangkan agar aku berlatih menyebutnya dari sekarang. Susah juga nak berurusan dengan Amir Zuhairi ni.. Getus hatiku.

“Dengan abang susah nak tengok Zu tersenyum. Tapi dengan si Razif tu siap boleh ketawa dan bergurau senda” Wajahku dipandang sekilas. Ke situ pula perginya. Ini gara-gara terserempak di Mc Donald hari itu.

“I dah lama kenal dengan dia. Dengan you baru saja. Mana nak sama.” Aku tidak mahu beralah. Satu lagi sikapnya aku ketahui. Kuatnya cemburu dia!

“Kenal baru pun tapi yang nak duduk serumah nanti dengan abang; bukan dengan Razif"."

"Zu kenalah belajar dari sekarang.. Belajar bagaimana menjadi seorang isteri mithali, yang akan menggermbirakan hati suami.” Pedasnya kata-kata itu di telingaku. Aku kehilangan bicara.

“Tak pakai lagi cincin yang abang beri? Terlupa lagi?’ Dia bertanya lagi i apabila melihat kata-katanya itu tidak aku balas.

“Tapi tak pakai pun tak apa. Zu tetap tunang abang. Yang ini Zu tak boleh nak nafikan. Abang tahu, Zu pun tahu. Keluarga kita pun tahu!” Dia menyambung lagi.

Kenapalah dia hari ini? Panjang pula madah bicaranya. Naik sakit pula telinga aku mendengarnya. Nak melawan balik aku tak ada modal dah! Semua lontaran kata-katanya memang benar. Hati, kenapa pula mengakui kali ini?

Walau sekuat mana aku nafikan; memang dia adalah tunangku. Dan aku adalah tunangnya. Kami akan berkahwin tak lama lagi. Kahwin? Ada rasa gementar bila perkataan itu mengisi kotak fikiran.

“Kita nak ke mana ni…” Aku bertanya sekali lagi. Malas aku nak mendengar dia berceramah lagi.


“Kita pergi shopping kompleks. Nak cari hadiah untuk seseorang… Zu tolong pilihkan ya…” Tuturnya lembut.

Kereta telah pun membelok ke tempat parkir di Mines Shopping Fair. Aku tidak bertanya hadiah yang ingin dibelinya untuk siapa. Kaki melangkah mengikut dia ke dalam lift menuju ke kedai-kedai di sekitar Mines Shopping Fair.

"Ini yang jalan laju sangat kenapa?" Dia menegurku apabila aku berada di depannya. Hari ini aku memang mati kutu bersama dia. Apa saja yang aku lakukan semua ditegur.

Aku menantinya berjalan seiringan. Tanganku diraih mesra.

"Eh.. apa ni! Kita belum kahwin lagi. Mana boleh pegang-pegang sesuka hati."
"Kalau dah kahwin, boleh peganglah..."

Aku menarik nafas panjang. Ada rasa malu bertapak di hati. Dan dia tersenyum panjang. Seronok agaknya dapat mempermainkanku.


Monday, January 16, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 35

MELIHAT KE DALAM DIRI
Selepas menunaikan solat Isyak, aku duduk di atas katil. Novel ‘Rindu di Kalbu” terbitan Alaf 21 aku selak satu persatu. Itu novel pertama karya penulis baru yang tinggal di Kajang. Aku dapat tahu ramai juga penulis Alaf 21 yang tinggal di sekitar Kajang dan Bangi. Ada juga beberapa penulis yang telah aku temui.

Beberapa muka surat aku baca, aku menutupnya kembali. Entah kenapa mata ini amat payah untuk dipejamkan. Aku teingat pertemuanku dengan Amir Zuhairi@tunangku. Tunang? Sudahnya kau akui juga dia tunangmu? Getus hatiku.

Apakah aku bersikap tidak adil kepadanya? Boleh dikatakan dia mempunyai beberapa
ciri-ciri lelaki pilihan kalau pun bukan lelaki idaman. Tidak terlalu handsome tetapi mempunyai seraut wajah yang menarik. Hidung agak mancung. Kulit tidak terlalu cerah. Ada lekukan di bawah dagunya.

Agak serius. Bila tersenyum dapat mencairkan hati wanita. Cakapnya pun lembut denganku. Atau apakah dia berbuat begitu untuk mengambil hatiku?

Zulaikha, diam-diam sempat juga menganalisa peribadi tunangmu? Sekali lagi ada bisikan suara di telingaku.

Cintailah orang yang menyintaimu bukan orang yang kamu cintai. Terimalah orang yang menyukaimu bukan orang yang kamu sukai. Kata-kata itu entah berapa kali aku dengar dan baca. Kak Ngah pun pernah berkata begitu. Mak apa lagilah. Amir Zuhairi itu memang ‘perfect’ di pandangan matanya.

Tapi bila terkena diri sendiri, rasanya sukar juga untuk menerimanya. Ialah kita biasa menasihati orang lain. Memberi nasihat memang mudah. Untuk membuat sendiri apa yang dikatakan agak payah juga.

Aku masih tidak dapat melupakan Johari? Nama itu pula hadir dalam ingatanku. Agak lama juga aku tidak mendengar beritanya. Merajukkah dia? Untuk apa pula aku terkenang.

Mengingati seorang kawan apa salahnya. Ada masanya. harga sesebuah persahabatan lebih bernilai daripada cinta. Semenjak aku memberitahunya yang aku sudah bertunang, Johari mengambil sikap berdiam diri. Cuma dia masih tidak mempercayai bahawa aku betul-betul telah bertunang. Lewat SMS lalu dia mengatakan bahawa aku menipu dengan ceita tunang ciptaan sendiri untuk mengelak darinya.

Kenapa tidak memberi peluang kepada Amir Zuhairi? Pertanyaan itu mengasak hatiku. Beri peluang? Ya.. kenapa tak diberi peluang? Soalan itu hadir kembali.

Soal hati ini terlalu kompleks! Kadang-kadang walau pun seseorang itu terlalu baik sekali pun, bukan mudah untuk menerimanya. Bertakhta di hati. Hati bukan boleh dipujuk-pujuk.

Kata-kata Azira membuatkan aku berfikir lagi. Betulkah En. Taufik “bossku” yang masih ‘eligible’ itu suka kepadaku. Bagaimana Azira pula boleh perasan akan sikapnya? Sedangkan aku sedikit pun tidak pernah terfikir ke arah itu.

Hubungan aku dengannya hanyalah hubungan di antara pekerja dengan majikan. Tiada apa-apa selain daripada itu.

Benarkah aku tidak perasan? Kenapa malam ini semua persoalan itu datang serentak? En. Taufik pernah menceritakan kisah keluarganya kepadaku. Mungkin dia fikir aku boleh dipercayai. Itu sebab dia bercerita.

Dia pernah bercerita bahawa dia membujang hingga kini kerana menyara adik-adiknya yang bersekolah. Bapanya meninggal semasa usianya 18 tahun. Adik beradiknya ramai. Kerana dia anak sulung, segala tanggungjawab terletak di atas bahunya.

Dia juga seperti orang lain pernah membina harapan untuk mendirikan mahligai bahagia. Tapi kekasihnya berkahwin dengan orang lain kerana tidak sanggup menunggunya terlalu lama. En. Taufik ingin memastikan bahawa adik beradiknya berjaya dahulu.. Kekasihnya bertemu orang lain yang mempunyai segala-galanya lebih daripada dia.

Kekecewaan itulah membuatkan dia lebih bersemangat untuk terus mengejar cita-cita yang terbekanglai. Rezekinya murah mungkin kerana berkat doa ibunya. Mungkin juga waktu sukarnya telah tiba ke penghujung jalan. Akhirnya dia di sini menjadi bossku. Dan masih bujang lagi.

Aku pun tidak tahu kenapa dia menceritakan segalanya. Itu kisah beberapa bulan lalu.. Semasa aku menerima bunga mawar kuning, dia pun ‘excited’ ingin tahu siapa pengirimnya. Ah… mungkin dia pun bergurau juga seperti orang lain.

Bagaimana kalau telahan Azira itu tepat? Azira ini kadang-kadang dapat membaca apa yang tersirat. Tak mungkinlah! Kata-kata itu hanya mainan. Azira hanya ingin mengusik kerana dia tidak tahu aku telah bertunang.

Masa bertunang ini darah manis! Aku pun tak tahu di mana kemanisannya. Itu kata orang tua-tua zaman dahulu. Masa bertunang akan banyak dugaan yang mendatang. Siapa yang tahan akan berjaya mengatasi dugaan tersebut.

Agaknya inilah antara ujian semasa alam pertunangan!

Lagu negaraku di corong radio mengejutkan aku. Sudah pukul 12.00 tengah malam rupanya. Mata.. tidurlah cepat, aku ingin bangun awal pagi esok.

Sunday, January 15, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 34

SAYU

Ada rasa sayu yang beralun di jiwanya waktu itu. Bertemu dengan Zulaikha adalah saat paling menggembirakan dirinya. Memang dia sering menunggu saat-saat itu. Namun bila melihat Zulaikha tidak memakai cincin pemberiannya, Amir Zuhairi dihimpit pilu.

Sungguh! Terasa yang Zulaikha bagai tidak menghargai pemberiannya. Terlalu bencikah Zulaikha terhadap dirinya? Hinggakan masih tidak mahu mengakui yang mereka telah bertunang?

Apa yang kurang dalam dirinya? Dia tertanya-tanya sendiri. Walaupun usia pertunangan itu masih dikira baru lagi tapi sayangnya kepada Zulaikha semakin meninggi dari hari ke hari.

Agaknya bila hati telah semakin sayang segala perlakuan orang yang dikasih tetap diterima. Hati terusik sedikit pun tidak mengapa.

Dia mengambil kekasih orang? Kata-kata Affendi menerjah ke otaknya. Ingatannya kembali kepada pertemuan dengan lelaki itu.

Sebab itukah sikap Zulaikha jadi begitu? Memprotes di dalam diam.

Ah… dia peduli apa? Yang penting sekarang Zulaikha adalah tunangannya. Orang lain tidak berhak! Mereka telah ada satu ikatan untuk menuju ke gerbang perkahwinan.

Masalahnya sekarang, bagaimana harus dia lakukan untuk memenangi hati Zulaikha.

Dia menekan radio. Mencari-cari stesen dan lagu yang enak di pendengaran. Sekarang ini semua stesen telah bertukar nama. Stesen radio juga telah semakin bertambah. DJ Radio pun semakin kreatif. Masing-masing cuba memikat hati pendengar untuk terus mendengar stesen mereka.

Dalam sibuk mencari, telinganya menangkap nyanyian sebuah kumpulan yang terkenal itu. Memang dia juga meminati kumpulan tersebut. Suara penyanyi lelaki itu membuatkan dirinya terbuai.

Dia ikut sama menyanyi menghayati lagu itu dengan penuh perasaan. Lirik lagu “Relaku Pujuk” diamati satu persatu. Bukan semua lirik lagu itu mengkhayalkan. Ada juga lagu yang boleh membakar semangat seperti lagu itu. .

Dikejar baying-bayang resah
Bila hatimu masih tak berubah
Enggan dipunya dan dipenjara
Belaian cintaku ini

Aku bukanlah lelaki yang tewas
Bisa menyambar walau ku ditolak
Biar diuji kanan dan kiri
Kau kan tetap ku miliki

Tiada lafaz yang lebih agung
Kalimah cintamu
Yang ku tunggu-tunggu

Biar jasadku yang menanggung
Permainan darimu
Relaku pujuk

Janganlah kau salahkan aku
Terus memburu menawan cintamu
Aku percaya sedikit masa
Kau kecundang akhirnya…

Usahlah kau bersedih
Di hadapanmu aku hadir
Memadam resah dan curiga
Dari hatimu

Apakah kali ini
Bisa kau tolak dan berlari
Setelah aku menanamkan azimatku

Seperti lirik lagu itu, begitulah Amir Zuhairi. Dia akan cuba untuk terus menakluki hati Zulaikha. Biar Zulaikha tahu kasihnya memang tulus…

***

Dari Alamanda, Amir Zuhairi mengunjungi Masjid Putrajaya.. Selepas menunaikan rukun Islam yang kedua, Amir Zuhairi berdoa. Kepada Tuhan dia berserah, moga pintu hati Zulaikha terbuka untuk menerimanya.

***

Di Ampang Jaya, selepas menikmati hidangan malam, kedua-dua anak beranak itu berihat di kerusi, di luar rumah. . Cahaya rangbulan amat cantik sekali. Menyinari alam ciptaan Tuhan. Malam-malam begini baru mereka dapat berbual.

“Kamu dengan Zulaikha itu macammana?” Suara Puan Zubaidah memecah keheningan malam.
“Ok..” Amir Zuhairi tidak tahu apa yang patut dijawab.

Dia pun keliru sebenarnya tentang jalinan hubungan mereka. Kalau kata tak baik, ibunya akan bertanya lagi.

“Minggu depan ini ajaklah dia datang ke rumah. Dah lama ibu tak jumpa dia.”
“Dia tu selalu sibuk..” Alasan apa lagi yang patut diberi. Permintaan dia sendiri pun sering ditolak.

“Kamu selalu jumpa dia ke?” Puan Zubaidah sengaja ingin tahu.
“Baru jumpa tengahari tadi.”

“Masa bertunang ini kena jaga juga tata susila. Tak boleh nak lebih-lebih..”
“Ibu ni… Amir tahulah mana yang elok dan tak elok..”

“Ibu ingatkan saja, dalam beringat tu ada masanya terlupa juga. Tunang itu bukanlah tiket untuk menghalalkan segalanya.”
“Macam tak percaya pula ibu ni dengan Amir.. Amir ni kan jejaka yang dijamin baik!
Amir takkan lakukan perkara yang pelik-pelik tu..” Amir Zuhairi mempertahankan diri.

“Ibu percaya anak ibu ini seorang lelaki yang baik. Cuma apa yang ibu nampak masa majlis tunang dulu tu, mata Amir macam tak bergerak dari Zulaikha. Sampaikan orang lain pun perasan juga” Puan Zubaidah tersenyum mengingatkan gelagat Amir Zuhairi waktu itu.

Amir Zuhairi tidak dapat menyangkal apa yang dikatakan oleh Puan Zubaidah. Ketara sangatkah tingkah lakunya di majlis itu? Naluri lelakinya memang terpesona dengan apa yang dilihatnya hari itu. Tambahan pula Zulaikha betul-betul berada di sebelahnya. Terlalu hampir. Salahkah dia memandang sesuatu yang indah!

“Jangan lupa, jemput Zulaikha datang rumah minggu depan..” Puan Zubaidah mengingatkan Amir Zuhairi lalu melangkah ke dalam rumah.

Amir Zuhairi masih lagi terpaku di kerusi. Matanya melihat ke dada langit. Cahaya rangbulan makin menyorok di balik awan. Kerana Zulaikha jiwanya tidak tenteram. Tapi yang pasti dia tidak akan berputus asa. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang terbakar biar jadi abu.

Thursday, January 12, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 33

MANA AKU PERGI DIA TETAP DI SISI

“Seperti yang telah dipersetujui di dalam mesyuarat lepas. Cik Zulaikha dan Cik Azira ditugaskan untuk membeli hadiah untuk hari keluarga hujung minggu ini.” En. Taufik memberikan penjelasan akhir semasa mesyuarat diadakan.

Kami semua yang mendengar hanya mengangguk-nganggukkan kepala. Bila bab membeli hadiah hanya aku dan Azira yang diberi mandat. Orang lain awal-awal lagi sudah menolak. Mungkin oang lain memikirkn bahawa agak remeh untuk memilih hadiah yang disesuaikan dengan acara yang dijalankan.

Hendak tak hendak, aku dan Azira memikul mandat yang diberikan.

Kelulusan untuk keluar membeli hadiah telah aku perolehi daripada En. Taufik. Senarai telah berada di tangan. Aku dan Azira memutuskan untuk membelinya di Alamanda, Putrajaya. Agak mudah juga untuk mencari barangan yang diperlukan.kerana Carrefour berada di situ. Kerana barangan yang dibeli agak banyak aku meminta Rizal yang bekerja di Unit lain membantu kami.

Penat mencari dan membeli barangan kami mengambil keputusan untuk makan di Mc Donald saja. Barangan yang dibeli awal-awal lagi kami simpan di kereta.

Aku dan Rizal memesan makanan dulu sementara menunggu Azira yang terpaksa ke Ladies. Kami berbual-bual dan sesekali ketawa mengenangkan Hari Keluarga di tahun lepas. Banyak peristiwa yang lucu bila beberapa acara diadakan.

“Assalammu’alaikum…” Aku menoleh ke arah empunya suara. Seperti biasa di pendengaranku.

“Boleh duduk di sini?” Matanya ditujukan kepadaku.

Rizal memandangku. Mengangkat bahu. Agaknya terkejut tiba-tiba sahaja ada orang yang tidak dikenali ingin duduk di meja kami. Pada hal meja lain banyak lagi yang kosong.

“Duduklah…” Dalam serba salah aku memberi keizinan.

Alahai.. Kenapalah asyik terserempak dengan dia ni. Baru aku teringat sms yang dihantarnya pagi tadi.

“Abang ada di sekitar Putrajaya hari ini. . Nak lunch sama pun boleh, kalau sudi ..”

Memang aku sedari dia sering berulang alik dari KLCC ke Putrajaya sejak akhir-akhir ini. Cuma mesejnya tidak aku balas kerana aku agak sibuk hari ini. Tak sangka pula akan bertemu dengannya saat ini.

Ialah… bila pertemuan itu telah ditetapkan, ke mana saja pergi akan bertemu walaupun bukan dengan temu janji.

“Dah order ke?” Aku sekadar ingin tahu kerana tiada dulang yang dibawa ke meja kami.

Tidak dijawabnya soalanku. Hanya menggelengkan kepala.

“Berdua saja?” Matanya tidak lepas dari memandangku.

Mukanya agak serius. Jenis soalan itu mengundang berbagai makna. Cemburukan dia? Rizal memandang kepadaku penuh persoalan.

Baru aku teringat yang aku belum memperkenalkan dia kepada Rizal. Nak kenalkan apa ya? Tunang? Hish…. Heboh nanti satu pejabat. Kenalkan nama cukuplah.

“Sorry, lewat sikit! Aku jumpa kawan lama tadi.” Azira duduk dalam keadaan tercungap-cungap.

Azira memandang pula kepadaku. Agaknya hairan kerana ada tetamu yang tidak diundang di meja kami. Aku memperkenalkannya kepada Azira.

Bila melihat Azira, wajahnya tidak setegang tadi. Baru dia boleh tersenyum. Dia bangun menuju ke kaunter Mc Donald.

“Siapa tu Zu?”
“Kawan…” Itu saja yang dapat aku beritahu Azira.

Dia kembali semula ke meja kami membawa makanan yang dipesan. Ice Cream Sundae bertopping coklat diletakkan di hadapanku. Lalu dia mengambil tempat mengadapku..

Razif yang terkenal dengan peramahnya menceritakan Hari Keluarga yang bakal diadakan hujung minggu ini. Sempat pula Razif mengajak dia datang. Aku hanya menjadi pendengar setia.

Tadi serius sangat. Sekarang ini boleh pula ketawa bila mendengar celoteh Razif dan Azira. Cuma aku yang tak tahu apa nak dibualkan.

Sesekali mata kami bersabung. Rimasnya. Janganlah Azira dan Razif perasan. Nak makan pun aku tak senang. Kalau asyik diperhatikan. Alehlah mata tu ke tempat lain. Getus hatiku.

Selesai makan kami pun beredar ke tempat parkir kereta. Dia pun turut sama. Katanya dia memakir kereta di level yang sama dengan kami.

Azira dan Razif berjalan di depanku. Mungkin agaknya mereka memberi peluang kepadaku.

“Abang hantar Zu balik.” Ujarnya lembut.
“Tak apalah.. I datang dengan mereka, balik pun dengan mereka juga.”

“Tak nampak pun cincin tunang di jari manis tu..” Matanya meleret ke arah tangan kananku.

Rupanya dia perasan. Patutlah matanya tajam merenungku semasa makan tadi. Kenyataan itu membuatkan menjadi resah. Ada berbau amaran.

“Tertinggal kat rumah, hari ini terlewat pergi pejabat.”
“Apa pula kena mengena lewat dengan tak pakai cincin Zu?” Ini yang malas nak berbual dengannya. Semua kena jawapan yang logik.

“Nak kejar masa, jadi keluar rumah adalah benda yang tertinggal.”
“Bukan sengaja ditinggalkan?” Soalan itu tepat mengenai sasaran. Aku diam. Sebenarnya malas nak bertegang leher dengannya.

“Bila nak makan bersama lagi? Kali ini kita berdua saja” Pasti dia merujuk kepada beberapa pertemuan lalu. Ada orang lain antara kami.

“Bila I ada masa nanti…”

Jawapanku membuatkan dia tersenyum lebar. Mengejeklah agaknya.

“Oklah, I pergi dulu. Tak elok pula biarkan dia orang menunggu lama-lama”
“Kalau dia orang tinggalkan Zu, abang boleh hantar balik..” Dia menawarkankan diri.
“Terima kasih..” Untuk apa aku ucapkan kepadanya pun aku tak tahu. Ialah orang berbudi kenalah juga aku berbahasa.

“Abang call nanti…” Dia menunjukkan isyarat tangan.



“Siapa tu Zu?” Azira bertanya lagi.

Kereta meluncur keluar dari Alamanda. Razif tenang memandu tanpa mempedulikan perbualan kami.

“Aku dah jelaskan tadi. K A W A N..” Aku mengeja perkataan itu.

“Lain macam aku tengok dia.”
“Lain macam apa pula ni. Sama saja, ada dua mata, dua telinga, satu mulut, satu hidung”

“Matanya tak lepas memandang Zu semasa makan tadi. Asyik perhati kat jari Zu saja.”
“Eh.. diam-diam Azira dah jadi spy 007 pulak ni! Aku tak perasan pulak!” Aku berjenaka menyembunyikan gelodak di dada..
“Kawan macam mana tu.. kalau pandangannya pun macam ada ‘something’ aja?” Azira masih tidak berputus asa.

“Dia anak kawan mak aku. Puas hati?” Janganlah Azira bertanya lagi. Bisik hatiku.

“Agaknya dia minat kat Zu kot? Itu sebab asyik pandang kat jari Zu samada dah ada tanda telah berpunya atau pun tidak.” Azira membuat kesimpulan sendiri.

Memang pun aku telah dipunyai. Cuma kau orang saja tak tahu. Dia pandang-pandang sebab aku tak pakai cincin yang diberinya. Akalku menjawab dalam diam.

“Entah-entah kau minat kat dia tak? Itu yang banyak tanya ni. Betul tak Razif?” Razif terpinga-pinga mendengar soalanku.

“Aku tak masuk campur….” Awal-awal lagi Razif telah meminggirkan diri.

“Minat? Huh takut aku dapat pak we macam itu. Tengoklah tadi mukanya serius saja. Mujur ada Razif yang kelakar ni, boleh juga nampak dia ketawa. Kalau tidak entahlah…. Aku pun cari meja lain.”

“Dia kerja kat mana Zu?”
‘Tadi kata tak minat sekarang banyak pula tanya?”

“Bukan apa, kasihan kat anak buah yang dapat boss macam itu. Macammana nak kerja kalau serius 24 jam. Tak happy langsung.”
“Mana kita tahu dia macam itu Azira. Kita tak boleh judge seseorang itu daripada luar sahaja. Don’t judge the book by its cover.”

“Kita untung dapat boss macam En. Taufik kan?”
“Dia itu eligible bachelor Azira, masih kosong lagi. Kau tak nak cuba-cuba isi borang ke?” Aku mengusik Azira.

“Alah! Boss itu aku perhatikan suka kat kau lah Zu!”
“Eh.. Mana buktinya. Tak baik mengada-adakan ceritalah Azira. Berdosa tau.”

“Ialah.. sikit-sikit Zu. Bila kau datang lambat sikit, ha mulalah keluar masuk pejabat menjenguk! Aku yang menengoknya pun tak senang dibuatnya”

“Itu sebab ada benda “urgent” yang dia perlukan..” Aku menerangkan panjang lebar. Tak mahu dikaitkan dengan En. Taufik. Yang seorang ini pun dah hampir memeningkan kepalaku.

“Aku pun eligible jugak. Kau orang tak nak isi borang ke?” Tiba-tiba Razif bersuara.

“Pasang telinga jugak ya Razif ni…” Kami saling berpandangan lalu ketawa.
Sedar-sedar kereta pun telah hampir ke depan pejabat.

Selamat Hari Raya Aidil-Adha buat pengunjung di sini, yang tinggalkan jejak atau pun yang datang jenguk-jenguk sahaja. PC saya buat hal lagi, tak boleh nak access, cuba beberapa kali baru dapat. Nak jawab tag-board pun tak boleh, dah tulis dia hilang macam itu saja. So, moga gembira dengan N3 terbaru ni yang rasanya macam tak ada umph ni. Salam sayang buat semua daripada Ija. Selamat Membaca...

Tuesday, January 03, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 32


Sabtu yang cerah. Cuaca yang panas membuatkan aku lebih suka memerap di rumah. Mata memandang ke arah pokok bunga di halaman. Nampak daun-daun seakan kekuningan. Kasihan pokok itu. Macam hidup segan mati tak mahu. Malangnya dapat tuan seperti aku!

Hari bekerja pulang agak lewat. Selain dari menyiapkan kerja ada pula aktiviti lain. Sesekali aku turun ke padang. Berriadah. Melonggarkan otot-otot yang tegang. Duduk seharian di pejabat di dalam bilik berhawa dingin, agak memenatkan juga. Tiada peluh yang keluar. Sesekali melepaskan ketegangan bersama-sama rakan sealiran amat menyeronokkan.

“Tak keluar ke hari ini Zu?” Aku sekadar menggelengkan kepala.
“Nak relax kat rumah….”

“Semenjak bertunang ini, makin memerap kat rumah. Nak jadi tunang mithali ke?” Sah. Syikin dah memulakan ceramahnya. "Ada ke istilah tunang mithali?"

"Mana tahukan cik abang tu tak bagi keluar rumah?"
“Merepeklah! Tak ada sebab juga yang aku perlu keluar dengan dia…”

“Masa bertunang inilah kita belajar mengenali antara satu sama lain. Kalaulah tunang aku dekat, tak lah aku duduk di rumah hari Sabtu ini…” Syikin menambah.
“Malaslah aku nak tengok muka dia!” Jawapan itu membuatkan Syikin menggelengkan kepala.

“Malas-malas pun dah ada perjanjian di antara kau dan dia. Tak nak pandang pun, esok-esok kena pandang juga. Malah lebih dari itu…..” Syikin mempamerkan senyuman meleret. Meninggalkan ayat yang tergantung.
“Senyum-senyum ini kenapa? Mesti ada benda lain yang tersirat!” Aku menampar lengannya.
“Eh… boleh terasa pulak! Ingatkan tak faham….” Senyuman Syikin bertukar pula kepada ketawa.
“Tak kuasa nak fikir semua tu..” Aku mengangkat bahu.

Sejak aku menolak pelawaan Amir Zuhairi hari itu, dia tidak menalipon lagi. Serik agaknya. Atau pun mungkin dah berputus asa. Biarlah. Tenang hidup aku seketika.

Tapi SMS dari Amir Zuhairi tetap aku terima. Rajin pulak tu walaupun aku tidak membalasnya. Mana dia pergi dia beritahuku. Untuk apa pun entahlah. Aku tak pernah bertanya.

“X jwb pun x apa, tp abang tahu Zu bc msg ni…”

Macam tahu-tahu pula yang sms darinya aku baca. Ialah, mana tahu kalau message tu berkaitan dengan Mak Cik Zubaidah. Aku kena baca juga. Yang tak seronoknya tiap kali aku membaca message darinya, aku terpaksa menyebut abang. Nak muntah rasanya bila lima huruf itu aku sebut. Siapa yang bagi permission dia membahasakan dirinya abang tak tahulah. Sesedap rasa saja nak sebut!

Talipon bimbitku berbunyi membuatkan aku berlari ke dalam rumah.

“Assalammu’alaikum…” Suara Hana bergema di telinga.
“Wa’alaikummussalam…” Jawapku sambil tersenyum.

Kami berbual bertanya khabar. Agak lama juga aku tidak berbual dengan si kembar itu. Mereka agak sibuk dengan studi kebelakangan ini.

“Kak Zu, kami nak datang rumah kak Zu malam ini.”
“Hana dan Hani ke?”
“Tak… Kami bertiga..”
“Kak Zu nak jemput Hana kat mana?” Aku inginkan kepastian.
“Ada orang nak hantar…”
“Housemate Hana ke?” Apa yang diberitahu oleh Hana hari itu, ada di antara teman serumahnya yang mempunyai kereta.
“Kalau macam itu Kak Zu kena pergi membeli apa yang patut untuk dimasak malam ini.”

Memang barangan dapur banyak yang tak ada. Cadangnya aku akan membeli di esok hari untuk dibuat stok.
“Tak perlulah susah-susah kak Zu. Ada orang nak belanja….” Hana pula ketawa.
“Wah! Kawan Hana dapat durian runtuh ke?”
“Bukan kawanlah kak Zu. Along yang beria-ia nak belanja.” Aku terkedu.

Along? Maknanya Amir Zuhairi. Dalam diam dia memasang strategi tersendiri. Pandainya. Menggunakan si kembar itu untuk bertemu denganku. Kalau dah bersama si kembar memang aku tak dapat memberi alasan lagi.

“Kak Zu… “ Suara Hana mengejutkanku.
“Ya…” Aku menjawab pendek.
“Ingatkan kak Zu tak ada tadi. Beberapa kali Hana panggil kak Zu…” Entah kenapa bila nama itu disebut aku macam tak ada mood nak berbual lagi.

“Makan di mana Hana? Kak Zu terus ke tempat itu sajalah.” Aku memberikan cadangan.
“Hana tak tahulah kak Zu. Along yang nak belanja…”
“Dia beritahu selepas maghrib nanti dia akan jemput kak Zu…” Aduh.. Nak jemput makan pun pakai orang tengah!

Kalau tak gunakan orang tengah tak dapatlah tunang awak tu nak makan bersama… Wahai Zulaikha! Ada suara yang bagai berbisik di telingaku.

“Eh.. Along Hana mana tahu rumah kak Zu?”
“Kak Zu bagi alamat, Along tu mesti dapat cari punyalah…” Hana menjawab dengan yakin.

"Siapa?" Syikin menyoal bila melihat aku bagai memikirkan sesuatu.

"Hana, ajak dinner malam ini...... Ada orang nak menyelam minum air. Nak makan ketam tapi order udang!" Sebutan itu lancar dari mulutku.

Syikin ketawa berdekah-dekah. Faham sangat bila peribahasa ciptaanku keluar bagai air yang mengalir. Dia dapat mengagak.

"Itulah nak mengelak sangat. Sekarang dah tak tertepis! Aku fikirkan... Amir tu bukan calang-calang orang yang sesenangnya untuk kau buat main-main." Syikin bagai memberi peringatan kepadaku.

***

Kami tiba di Yankies Hut lebih kurang pukul 8.30 malam. Dari rumah aku ke tempat itu tidaklah begitu jauh. Cuma mengambil masa lebihkurang 15 minit sahaja. Amir pula macam telah biasa dengan restoran tersebut.

Di luar restoran itu memang telah berderet beberapa kereta. Malam ini ramai juga pengunjung restoran tersebut. Sekarang ini orang tidak memilih waktu untuk makan di luar. Dahulu selepas gaji sahaja akan penuh restoran tapi kini tidak lagi. Tengah bulan pun penuh juga. Silap-silap haribulan meja penuh.

Kami memilih untuk makan di rumah yang bertangga itu. Macam rumah kampung pula. Hana dan Hani duduk bersebelahan. Aku memang tidak pilihan. Duduk bersimpuh di sebelah Amir Zuhairi. Amat janggal sekali aku rasakan. Tapi nak buat macammana! Nak tak nak aku kena hadapi juga.

“Adik, kami pilih dulu. Dalam 10 minit datang balik ya..” Amir Zuhairi memberitahu pelayan yang membawa menu itu.

Menu diunjukkan kepada aku.

“Zu pilihkan untuk abang, boleh?” Alahai memang dia sengaja nak menguji aku ni.
“Em… dah berabang-abang ni. Romantik betul Along ni.” Hana dan Hani tersengih-sengih. Memandang aku dan kemudian beraleh ke arah Amir Zuhairi.
“Hana dan Hani pilihkanlah. Kak Zu tak pandailah…” Aku memberi cadangan.

“Mana boleh kak Zu. Along dah bagi penghormatan pada Kak Zu untuk memilih.” Hani pula memberikan sokongan. Tak patut betul si kembar ni. Memang tak boleh nak minta tolong.

“Betul ni. Tak menyesal nanti kalau kak Zu pilih yang mahal-mahal.” Aku cuba berjenaka. Dalam hati hanya Tuhan yang tahu saat itu.

“Apa susah kak Zu. Ada orang nak bayar. Mahal-mahal pun demi tunang tersayang, mesti sanggup kan Along!” Hana mengusik.

Aku tidak mengangkat muka. Mata aku pandang ke arah senarai menu satu persatu. Aku memesan Ikan Siakap Kukus Ala Thai, Sayur Campur, Tom Yam Campur, Udang Goreng Tepung dan Sotong Bercili kepada pelayan yang datang kembali dengan pen dan kertas.

Minuman pula Amir Zuhairi memesan jus mangga, jus oren untuk Hana dan Hani. Aku lebih suka memilih air barli tanpa ais.

“Cayalah… Kak Zu tahu tak makanan yang dipesan itu semua kegemaran Along.”
“Ia ke?”
“Memang serasilah ni… Makanan pun sama taste!” Hani pula menambah.

“Kira-kiranya abang memang bertuahlah. Tak payah beritahu pun Zu dah tahu!” Kata-kata Amir Zuhairi seakan hampir dengan telingaku.

Aku tunduk. Rasanya darah merah menyerbu ke muka. Apatah lagi bila suara Amir Zuhairi kedengaran lembut sekali. Tak kanlah nak menggoda aku semasa Hana dan Hani ada bersama.

“Along cukuplah tu… Tengok, muka kak Zu pun dah mula merah.. Macam cili.”

Mereka ketawa serentak. Aku memang tak berani langsung nak memandang Amir Zuhairi. Tapi aku dapat rasakan bahawa matanya tunak memandang ke arahku.

“Eloklah macam itu.. tak payah nak sapu blusher.” Aku menjadi bahan usikan pula.

Sementara menanti makanan yang dipesan tiba, kami bercerita hal-hal lain.

“Kak Zu ceritalah macammana boleh berjumpa dengan Along ni.. You owe me…..” Hana mula mengorek asal pertemuan antara aku dan Amir Zuhairi.

“Tanyalah kat Along Hana..” Aku pasti Amir Zuhairi akan menyimpan cerita itu kemas-kemas di hatinya.
“Tanya dah tapi Along tu secretive sangat..” Hani pula memberikan pendapat.

“Along tu macam gelaran pengutip hutang ya Hana, Hani!” Aku teringat panggilan daripada Amir Zuhairi beberapa bulan lalu sebelum kami bertunang. Patutlah bercakap fasal hutang, memang Along pun.

Aku memandang Amir Zuhairi. Dia hanya tersengih. Pasti dia dapat mengagak kenapa aku berkata demikian. Tadi kenakan aku, sekarang biar dia tahu pula.

“Tapi Along kami bukan Along tu..kak Zu.” Hana dan Hani berkata serentak.
“Kalau Along kamu tak bercerita, kak Zu pun tak mahu beritahu. Nak tahu juga kenalah minta Along ceritakan.” Aku mematikan topik tersebut.

Kami memulakan sessi makan setelah Amir Zuhairi membacakan doa. Memang menyelerakan sungguh, hinggakan aku terlupa bahawa Amir Zuhairi berada di sebelah. Aku kurang senang bila dia mengambil dan meletakkan makanan di dalam pingganku. Hana dan Hani hanya memandang tanpa berkata apa-apa. Mungkin mereka menganggap bahawa aku dan Amir Zuhairi seperti pasangan lain yang dalam percintaan.

Sesekali tangannya bersentuhan denganku semasa mengambil ikan kukus. Aku tak tahu samada Amir Zuhairi tidak sengaja melakukan begitu. Atau dia cuba mengambil kesempatan di hadapan adik kembarnya.

*********

Maaf ya pembaca yang budiman, PC saya buat hal... beberapa kali cuba masih tak menembusi blog ni. Agaknya tahun baru dia pun nak rihat. Ini saya pinjam NB cik abang, lega at last boleh juga di publish. Untuk semua SELAMAT TAHUN BARU DARI IJA... Moga tahun 2006 ini lebih memberi makna buat semua. Harapan saya juga LADHM akan tamat secepat mungkin. Ada yang bertanya kenapa tak jadikan novel saja? Itu masih lagi KIV....