HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Thursday, December 22, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 31

MAWAR KUNING

Pagi itu aku masuk pejabat lewat dari biasa. Masa keluar dari rumah aku perasaan tayar kereta depan sebelah pemandu tak ada angin. Pancit. Mujurlah masih di kawasan rumah, jadi mudah juga untuk aku meminta tolong dari jiran.

Tiba sahaja di pejabat semua mata memandang aku. Hairan juga. Nak kata lewat sangat tidaklah. Satu jam sahaja. Itu pun aku telah memaklumkan kelewatanku kepada En. Taufik ‘boss’ ku.

Apa yang tak kena ni. Baju aku terkoyak ke? Aku pandang ke baju di badanku. Tak ada apa. Pelik pulak! Hatiku berbisik sendiri.

“Sama cantik sama padan. Patutlah berseri, Macam berpakat pulak!” Syarina berkata agak kuat. Aku yang tak tahu apa-apa memandang Syarina. Mengangkat bahu.

“Tu…” Panjang muncungnya menunjukkan ke arah bunga di atas meja di luar bilikku.

Baru aku perasaan tentang kehadiran bunga di situ. Bunga mawar berwarna kuning. Cantik gubahannya terletak di dalam bakul. Kebetulan sama pula dengan warna bajuku. Berwarna kuning dengan dihiasi bunga ros kecil berwarna putih.

“Tahulah bunga, tapi kenapa muncung tu panjang sangat. Macamlah tak pernah tengok bunga.” Aku menjawab lalu menuju ke bilik.

“Bunga itu untuk awaklah Zulaikha.” Syarina memberikan penjelasan.

“Untuk saya? Siapa yang hantar?” Aku menyoalnya kembali. Aku berhenti di pintu bilik

Tak percaya sungguh. Tak pernah aku menerima bunga sepanjang bekerja di sini. Hari ini tiba-tiba saja bunga berwarna kuning itu menjadi milikku. Tidakkah itu menggambarkan sesuatu yang memang pelik.

“Tak tahu. Kalau tahu siapa yang hantar taklah kami nak tahu sangat ni..”

“Wah! Diam-diam ada secret admirer ya?” Azira pula mengusik.

“Orang itu silap kasi tak? Atau pun salah alamat ni…”Aku masih memandang ke arah bunga itu.

“Zulaikha ada secret admirer?” Entah bila En. Taufik berada di belakangku. Semua mata memandang En. Taufik pula. Kalau nak bercakap tu perlahanlah sikit, aku bersuara di dalam hati. Sekarang kami pula menjadi bahan perhatian.

“Cepatlah tengok kad tu. Teringin kami nak tahu siapa pengirimnya.” Syarina pula yang terlebih gaya. Macam dia pula yang menerima bunga.

“Saya pun nak tahu juga Zulaikha…” Boss aku yang berusia pertengahan 30 an dan masih 'available' itu pun sama menyibuk. Mungkin dia pun teruja kerana pertama kali melihat mawar kuning di situ.

Aku mendiamkan diri. Tak mahu nak bersoal jawab lagi. Nanti panjang pula ceritanya. Fasal bunga itu satu hari nanti tak buat kerja.

Dalam menahan malu, aku mengambil jambangan bunga tersebut. Membawanya ke bilik.
Aku letakkan di atas meja. Kad yang terselit aku ambil. Keluarkan dari sampulnya dan terus membaca bait-bait tulisan yang tertera di atas kad tersebut.

Mawar Kuning Indah Berseri
Jadi Tatapan Harum Mewangi
Bagai Cintamu Cintaku Bersemi
Sepanjang Masa Mekar di Hati

- Abang -

Siapa pula yang tengah bercinta ni? Jiwa-jiwa betul ayat yang ditulis. Tulisan tangan itu memang tidak pernah aku lihat sebelum ini.

Aku pandang sekali lagi ke arah bunga tersebut. Ada 21 kuntum semuanya. Mamat mana pula yang membahasakan dirinya abang ini. Atau ada orang tak betul yang cuba mempermain-mainkan aku.

Aku menongkat dagu. Pen aku ketuk-ketuk ke meja. Memang pening memikirkannya. Macam mencari jigsaw puzzle yang hilang sekeping. Macam teka silangkata yang jawapannya tidak tercetak di penghujung muka surat.

Aku tinggalkan persoalan yang masih tiada jawapan itu Tidak aku alehkan kedudukan bunga tersebut. Memang rasa tenang dan cantik ia di situ. Nak ucapkan terima kasih kepada siapa ya? Pemberi bunga itu tidak aku ketahui.

Aku meneruskan kerja yang lebih memerlukan perhatian daripada pengirim bunga tersebut.

Pukul 12.00 tengahari hand-setku berbunyi. Menandakan ada mesej masuk.

“Dah terima bunga?” Aku membaca mesej tersebut..

Nombor talipon aku pandang. Tiada nama empunyanya. Aku sekadar mendiamkan diri. Tidak membalas mesej tersebut.

Talipon di meja pula berdering.

“Assalammu’alaikum…” Aku terdiam sebentar.
“Wa’alaikummusalam” Aku menjawab lambat-lambat.

Suara itu mengingatkan aku kepada lelaki yang pernah menagih hutangnya dahulu. Lelaki yang telah menjadi tunangku tiga minggu lalu. Lelaki yang berpakaian sedondon dan bergambar bersamaku. Lelaki yang mendiamkan diri. Tidak menghubungiku setelah kami bertunang.

Suara itu membangkitkan keresahan di hatiku. Aku pandang ke jari manis. Memang tiada cincin terletak di situ. Aku menyimpannya di dalam kotak barangan kemas selepas majlis itu. Tidak ku pakai.

“Dah terima bunga dari abang?” Pertanyaannya menjadikan tekak aku terasa perit.

Tiba-tiba saja aku ingin melontarkan apa saja yang berada di dalam perutku. Hari ini dua kejutan aku terima. Satu menerima bunga daripadanya. Kedua bila dia membahasakan dirinya abang.

“Sudah. Terima kasih…” Ucapku antara kedengaran dengan tidak.

“Terima kasih sahaja?” Dia bertanya kembali. Aku tak mahu membalas kata-katanya. Beberapa kali bertemu dan berbual dengannya membuatkan aku semakin tahu apa jawapanya bila aku tersilap cakap.

“Dah kira berapa kuntum semuanya?” Apa perlu dia bertanya semua itu.

“Tak kanlah you tak tahu, you yang hantar sendiri….” Dia ketawa.

“Dua puluh satu kuntum, maknanya dah dua puluh satu hari kita bertunang…” Dia bagai mengingatkan diriku. Tahulah aku ini tunangnya. Tak perlulah nak diberitahu lagi.… Hatiku mengomel sendiri.

“Diam saja. Tak sudi berbual dengan abang?” Dia bersuara lagi setelah tiada response dariku.

“I tengah sibuk ni… “ Itu saja alasan yang dapat aku berikan saat ini.

“Sibuk?” Dia menyoal kembali.
“Sekarang ni bukan kah lunch time?” Aduh, bagaimana aku boleh terlupa pula yang sekarang ini telah tengahari? Memang hampir waktu makan tengahari.

Zulaikha, kalau cari alasan pun biarlah yang konkrit. Kalau nak melarikan diri pun berilah alasan yang munasabah. Kan dah terperangkap. Aku berbisik sendiri.

“Abang datang sekarang. Kita lunch sama nak?” Aku hampir menjerit bila dia berkata begitu.

“Em em..I dah berjanji dengan kawan sepejabat nak lunch sama-sama.”

Haru juga kalau dia betul-betul datang. Pertunanganku masih menjadi rahsia lagi. Tiada seorang pun kawan sepejabat yang tahu. Kecuali rakan serumahku.

“Ok.. Next time abang datang office Zu. Kita lunch sama-sama.”

“Call dulu ya,,,” Aku berpesan kepadanya. Bukan apa mudah untuk aku mencipta alasan lagi. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu dia datang bertemuku di pejabat.

“Zu, Abang miss you…”
“I kena keluar ni, kawan-kawan dah melambai tu….” Aku ingin saja meletakkan talipon di saat ini.
“Zu….” Suaranya seakan berbisik. Apalah nak jadi dengan mamat ini. Seram sejuk pula dengar dia bercakap seperti itu.
“I dah lewat ni…”
“Zu terlupa sesuatu..”
“Terlupa? Lupa apa?”
“Terlupa nak sebut I love you…” Dia ketawa panjang. Kemudian terus meletakkan talipon.

Berjaya juga dia menaikkan kemarahanku. Rasanya ingin saja aku melepaskan rasa tidak puas hatiku jika dia masih berada di hujung talian. Membaling talipon itu kalaulah dia berada di hadapanku.

Amir Zuhairi, spesis apakah dia kerana tidak tahu bahawa aku memang tidak menyukainya. Jauh sekali untuk jatuh cinta dan hidup bersamanya..

*******

N3 ini teristimewa untuk kak Ida sebagai hadiah "Anniversary". Hanya rangkaian kata dapat diberikan. "Selamat Ulang Tahun Perkahwinan yang ke... pada 18/12 yang lalu. Dengan doa moga bahagia sepanjang masa dalam kasih yang tak bertepi, harum mewangi selalu. Dirahmati Allah dalam meniti perjalanan hidup ini.


Monday, December 19, 2005

RELAX SEKEJAP

Hari ini tak ada n3 baru, penulis nak berihat sambil dengar lagu yang Amir Zuhairi nyanyikan tanpa henti. Bukan satu tapi dua. Lagu ini sering diputar oleh Amir Zuhairi untuk Zulaikha. Sayangnya Zulaikha masih tak tahu lagi... Kasihankan?

Pembaca boleh ikut sama menyanyi, penulis cuma sediakan lirik sahaja, muzik main sendiri.

DALAM DIAM AKU MENYINTAIMU

Entah mengapa ku rasa tak menentu
Semenjak aku mengenali dirimu, sayang
Terbayang-bayang wajahmu di mataku
Hingga tersentuh rasa indah di kalbu
apakah ertinya

Aku tak tahu mengapa aku rindu
Ingin ku curah tetapi rasa malu
Cubalah engkau mengerti isi hati ku
Di dalam diam aku menyintai mu

Ku harap kau faham perasaan ku
yang kini dilamun rindu pada mu
sungguhnya aku telah jatuh cinta
oh...indahnya bila bersama mu
cinta ku dengan ikhlasnya
janganlah engkau sia-siakan

*******

MUNGKINKAH TERJADI

Seringkali hati bertanya
Tiap saat kita bersama
Sampai bilaku harus memendam rasa

Tak pernah aku merasai
Bibir terkunci
Jiwa bergelora rasa tak percaya
Adakah ku bermimpi
Mimpi di siang hari

( korus )
Dirimu... telah lama ku nantikan
Wajah yang bermain
Di mimpi-mimpiku
Hidupku.. kini bagaikan penjara
Tanpamu di sisi tak bermakna oh..oh..

Mungkinkah akan terjadi
Dirimu aku miliki
Berilah tanda kepastianmu
Namun jika tak tercapai
Harapanku
Selama hayat dirimu tetapku sanjungi

Saturday, December 17, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 30

DENGARLAH KATA HATIKU INI

Senyuman itu tidak lekang dari bibir. Terasa separuh dari kebahagiaan menyusup di dada. Separuh lagi akan cuba diperolehi walau pun terpaksa membayar harga yang tinggi. Walau pun kesabaran diletakkan di tempat teratas sekali.

Sungguh! Kali ini dia akan mempertahankan segalanya. Apa yang mendatang akan dihadapi dengan hati terbuka, minda yang luas.

Kalau boleh saat ini ingin dia berada bersama Zulaikha. Menatap wajah gadis itu tanpa rasa malu. Melihat sepasang mata bundar milik Zulaikha yang kini telah sah menjadi tunangannya.

Tapi mengapa setelah dua minggu berlalu, dia masih tidak punya kekuatan lagi. Nombor didail. Deringan pertama diletakkan kembali talipon itu.

Rindunya semakin melaut di hati. Rindu mendengar suara lunak Zulaikha. Ah... Zulaikha, kenapa masih bersikap antara kita tiada apa-apa lagi. Pada hal cincin telah tersarung di jari.

Cubalah mengerti sekeping hati milik Amir Zuhairi....

*****

Potret itu ditatap lagi. Masuk kali ini entah berapa kali potret itu dipandang. Dia tak pernah mengira. Ditatap beribu kali pun dia tak pernah jemu. Sesekali dia mengusap wajah yang berada di dalam frame berbingkai warna emas itu.

Ada senyuman yang bermain di bibirnya. Potret itu sengaja diletakkan di hadapannya. Menjadi hiasan di meja. Bagai ada semangat yang lahir di jiwanya tatkala merenung seraut wajah itu.

Ketukan di pintu hampir tidak kedengaran. Dia tenggelam dalam dunia tersendiri.

“Tahniah Amir…” Sekilas dipandang orang yang menyapanya. Tanpa dipelawa sahabatnya itu telah duduk di kerusi.

“Maaflah tak berkesempatan nak hantar sama…
Kau pun satu, beritahu lewat sangat!” Suara Affendi sahabatnya itu berterusan tanpa ada titik noktah.

“Eh mana kau kenal dia. Diam-diam saja dah hantar cincin kat orang tu!” Affendi meluahkan segala yang tersimpan di hati.

“Aku yang macho ni pun tak jumpa lagi yang berkenan di hati…
Aleh-aleh kau yang takut pandang perempuan bertunang dulu…”

“Perasaanlah tu..” Amir Zuhairi hanya tersenyum mendengar omelan Affendi.
“Ceritalah… Nak juga aku tahu, kat mana kau sambar dia?” Rasa ingin tahu membuatkan Affendi bertalu-talu bertanya.

“Sambar-sambar tak mainlah. Aku ikat dia dengan cara terhormat tahu!”

“Weh… sejak dapat title tunang orang ni, makin sensitive pulak. Guna bahasa macam itu pun dah marah?” Affendi menggelengkan kepala memandang Amir Zuhairi. Gelihati pun ada, dengan gelagat Amir Zuhairi.

“Ingat lagi tak pasal kemalangan yang aku ceritakan dulu?” Amir Zuhairi membuka cerita kembali. Dia pun tersenyum sama bila mengingatkan peristiwa yang mempertemukannya dengan Zulaikha.

Dipandang wajah Affendi yang berkerut-kerut. Mungkin sedang memerah otak untuk mengingati kembali apa yang pernah diceritakannya dahulu..

“Perempuan yang langgar belakang kereta kau tu?” Amir mengangguk-nganggukkan kepala.

“Yang kau marah-marah kat dia tu?” Affendi ingin tahu lagi.

“Perempuan itulah.. Mana ada perempuan lain yang pernah langgar kereta aku? Aku ada cerita yang lain ke?” Amir Zuhairi menyoal Affendi.

“Cantik tak?” Affendi betul-betul ingin tahu tentang perempuan yang berjaya menawan hati Amir Zuhairi.

“Kau ni.. tak habis-habis nak tengok yang cantik saja. Cantik itu subjektiflah Fendi….
Kalau nak tahu sangat tengoklah sendiri. Ini gambar aku dan dia masa bertunang dulu.” Amir Zuhairi menghulurkan frame di atas meja kepada Affendi.

“Fullamak! Kalau macam ini, aku pun rela dilanggar juga. Memang tak rugi!” Affendi memandang tanpa berkelip.

“Ha!….. Jangan pandang lama-lama. Dia itu dah ada orang punya tahu!
Perempuan lain kau boleh tengok sampai mata terjojol tapi yang ini tak boleh.” Amir Zuhairi merampas kembali frame gambar di tangan Affendi.

“Tak sangka aku; kau ini cemburu juga orangnya. Tengok gambar pun dah macam itu….
Agaknya kan macammana kalau orang lain pandang tunang kau Amir. Kau hadiahkan penumbuk kepada mereka ke?” Affendi ketawa.

“Aku tak nampak tak apa. Kalau aku nampak itu dah cerita lain pulak.” Risau juga hati Amir Zuhairi memikirkan pertanyaan Affendi.

“Dia boleh terima kau jadi tunangnya setelah kau marah-marah dia? Amazing betul….” Affendi masih ingin tahu lagi. Macam tak percaya pun ada terselit di hatinya bila Amir Zuhairi mendahuluinya fasal memikat perempuan.

“Kes aku ini kira kes berat juga…” Amir Zuhairi mengeluh.

“Apa hal pulak ni… Tadi happy semacam bila dah bertunang. Ini mengeluh pulak!”

“Memanglah aku happy dia jadi tunang aku. Masalahnya dia masih tak dapat menerima aku dengan sepenuh hati. Aku agak suku hati pun tidak..”

“Sebab dia tak dapat menerima kau suku hati? Jangan kau jadi tiga suku sudahlah…” Affendi tidak dapat menahan ketawa. Ruang yang sunyi seketika dipenuhi ketawanya yang panjang.

“Tak adalah sampai macam itu sekali.”
“Dia menerima aku pun rasanya macam terpaksa aja…”

“Tak mungkinlah!” Affendi menyangkal kata-kata Amir Zuhairi.
“Mana kau tahu?”
“Senyuman tunang kau dalam gambar tu tak macam dipaksa pun..”Affendi masih tidak faham dengan apa yang ingin disampaikan oleh Amir Zuhairi.

“Memanglah nampak ceria tapi dalam hati siapa yang tahu…”
“Kalau kau dah tahu… mengapa kau buat tindakan drastik macam itu?”

“Aku suka kat dia sejak hari kemalangan itu…
Tak sangka pulak, ibu aku dan mak dia kenal baik…
Mak dia berkenan kat aku. Ibu aku berkenan kat dia…
So, dia pun terpaksalah menerima aku kerana dia dah tersilap cakap…”

“Sebab itu aja?”

“Eh… kau tak takut ke apa-apa jadi di kemudian hari nanti.” Perbualan menjadi semakin serius pula.

“Mana tahu kan tunang kau buat hal…...
Bila tiba hari nak nikah, dia lari dengan orang lain. Walaupun pada awalnya dia setuju…
Macam yang tersiar dalam akhbar itu…
Mak bapak juga yang malu..
Masa itu kau tak boleh nak cakap apa lagi..”Affendi pula yang menjadi bimbang.

“Eh… mulut kau tak ada insuran ke Fendi? Sepatutnya kau doakan kebahagiaan aku.” Amir Zuhairi merasa tidak senang dengan kata-kata Affendi.

“Aku ingatkan saja. Kata orang beringat sebelum kena. Dah terkena memang tak boleh nak ingat apa-apa lagi. Meratap, menangis pun tak berguna lagi.”

“Aku yakin Zulaikha tak lah sampai macam itu. Dia hormatkan orang tua”

“Lagi pun dia kena fikir juga. Ibu aku pun dah sayang kat dia. Si kembar tu lagilah…. Sikit-sikit kak Zu. Macam Zulaikha kakak mereka pula. Aku pulak macam bakal abang ipar. Tak patut betul!” Sejak Zulaikha menjadi tunangannya memang nama itulah yang sering disebut-sebut oleh ibu dan adik kembarnya.

“Kalau dah macam itu kau kenalah ambil hati dia..” Nasihat diberikan oleh Affendi.

“Itulah yang aku fikirkan dari dulu. Tapi dia ni lain sikit. Bercakap tak banyak. Nak ikut cakap orang lagilah susah.” Amir Zuhairi terbayangkan beberapa pertemuan mereka yang lalu.

“Tapi dengan ibu aku, adik kembar aku… ada saja ceritanya. Cakapnya pun lembut. Sampaikan ibu aku pun nasihatkan adik-adikku supaya belajar dengan tunang aku tu..”

“Cuma dengan aku, mulutnya berat sangat. Endah tak endah pulak tu. “ Amir Zuhairi menyatakan ketidakpuasan hatinya.

“Cabaran tu Amir. Aku doakan kau berjaya dalam cabaran ini..” Affendi memberikan kata perangsang.

‘Eh… perut aku dah berbunyi ni. Jom pergi makan. Kang tak sempat pulak!” Amir Zuhairi mengubah topik.

“Boleh juga kau makan masa tengah bimbang ni ya, Amir. Bukanke mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur tak lena.?” Affendi masih lagi mengusik Amir Zuhairi.

“Makan tetap makan, kang aku pengsan kau nak angkat?”

“Apa susahnya… panggil saja tunang kau tu. For sure kau terus bangun. Makan pun entah ke mana.”

“Aku pun boleh berkenalan dengan tunang kau tu.” Amir Zuhairi menjegilkan mata ke arah Affendi.

“Kalau dia ada, aku pengsan lama-lama” Ketawa mereka berderai bila Amir Zuhairi berkata begitu. Affendi bagai dapat menangkap apa yang tersembunyi di sebalik kata-kata Amir Zuhairi.

UNTUK ANN SELAMAT HARI LAHIR KE.... 13/12.... (JOM RAMAI-RAMAI NYANYI LAGU HAPPY BIRTHDAY...) MOGA PERJALANAN HIDUPMU DIRESTUI OLEH ILAHI.
TIADA HADIAH YANG DAPAT DIBERIKAN SELAIN DRPD N3 INI, LEWAT BICARA KITA YANG LALU...
DAN AMIR ZUHAIRI KIRIM SALAM, TERIMA KASIH MEMINATINYA TAPI HATINYA CUMA UNTUK ZULAIKHA SAHAJA. TIADA KEKOSONGAN UNTUK ORANG LAIN...:P

UNTUK PEMBACA SETIA YANG SELALU KELUAR MASUK, ADA YANG TAK TINGGAL JEJAK SEMOGA GEMBIRA MEMBACA N3 INI. MAAF YA KERANA MENUNGGU MASA YANG LAMA UNTUK MEMBACA SAMBUNGANNYA.

MAAF JUGA KERANA TAK SEMPAT NAK BALAS TAG BOARD... SAYA SEBENARNYA MEMBACA SEMUA YANG DITULIS. SAYA SAYANG KAMU SEMUA... :D

Friday, December 16, 2005

DENGARLAH KATA HATIKU...

Senyuman itu tidak lekang dari bibir. Terasa separuh dari kebahagiaan menyusup di dada. Separuh lagi akan cuba diperolehi walau pun terpaksa membayar harga yang tinggi. Walau pun kesabaran diletakkan di tempat teratas sekali.

Sungguh! Kali ini dia akan mempertahankan segalanya. Apa yang mendatang akan dihadapi dengan hati terbuka, minda yang luas.

Kalau boleh saat ini ingin dia berada bersama Zulaikha. Menatap wajah gadis itu tanpa rasa malu. Melihat sepasang mata bundar milik Zulaikha yang kini telah sah menjadi tunangannya.

Tapi mengapa setelah dua minggu berlalu, dia masih tidak punya kekuatan lagi. Rindunya semakin melaut di hati. Rindu mendengar suara lunak Zulaikha. Ah... Zulaikha, kenapa masih bersikap antara mereka masih tiada apa-apa lagi. Pada hal cincin telah tersarung di jari.

Cubalah mengerti sekeping hati milik Amir Zuhairi....

Thursday, December 08, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 29

ADA RASA MEMBEKU DI HATI....

Aku merenung cincin di jari. Terasa beratnya ia berada di situ.

"Tak habis-habis lagi membelek cincin itu dari tadi?" Teguran Kak Ngah mengejutkan aku. Dia berdiri di pintu bilik. Berapa lama agaknya dia di situ, aku tidak tahu.

"Cantiknya... Pandai Amir pilih! Kak Ngah pun teruja...." Tak semena-mena pujian itu diberikan kepada Amir Zuhairi.

Kalaulah mereka tahu apa yang terjadi di hari itu....

Atas desakan mak dan mak cik Zubaidah; kami keluar bersama membeli barangan yang diperlukan untuk majlis pertunangan itu. Habis bershopping di Sogo kami ke Semua House, menjenguk di Habib.

"Zu pilihlah mana satu yang berkenan.... " Kami duduk di hadapan deretan cincin yang berbagai bentuk rekaannya.

"Mana-mana pun boleh, I tak kisah!" Dia terdiam. Memang aku tidak kisah semua itu. Hanya sebentuk cincin sahaja. Ia tidak memberi apa-apa makna padaku. Lainlah kalau aku membeli bersama orang tersayang....

"Cuba yang ini..." Dia mengambil sebentuk cincin dari jurujual itu.

Ingin memasukkan ke jari manisku. "Tak apa.... I boleh pakai sendiri." Pandai-pandai pula nak menyarungkan ke jariku.

Dia tersenyum melihat keenggananku.

Entah berapa bentuk cincin yang aku cuba. Ada saja yang tak kena di matanya. Macam dia pulak yang memakainya.

Akhirnya dia tertarik untuk membeli sebentuk cincin. Rekaannya simple tapi menawan hati. Aku sempat memandang kepada tag harga di cincin tersebut.

"Cari yang lainlah..." Aku merendahkan suara.

Dia memandangku. Ingin tahu kenapa aku boleh berubah. Tadi bersetuju.

"Emm... harganya itu..." Suaraku masih rendah. Macam oang berbisik pula.
"Kenapa?"
"Tinggi sangat.." Aku kurang senang. Beli mahal pun tak mungkin dapat membeli hatiku.
"Tak apalah...... Bukannya selalu beli pun. Untuk yang teristimewa mesti pilih yang terbaik."

"Baju tunang dah ada?" Dia bertanya sejurus kami keluar dari Habib. Aku menggelengkan kepala. Nampak sangat aku tidak berminat ke arah itu semua.

Memang aku tidak terfikir tentang baju apa yang perlu dipakai di hari tersebut.

"Oklah.. kita cari baju tunang dulu..." Mungkin dia perasaan bahawa aku memang dah penat. Dalam masa sehari semua perlu dicari. Mahu patah kakiku berjalan ke sana sini.

"Kalau tempah sempat lagi ke?" Dua minggu lagi majlis pertunangan ini. Ada tailor yang boleh menjahit dalam masa seminggu..
"Tengok tailor juga...."

Eh tak kan semua benda dia beli untuk aku? Aku punya dia belikan. Dia punya pun dia yang belikan. Tak sayang duit ke?

"Berjalan pun boleh mengelamun!" Usiknya bila aku tidak mendengar apa yang dikatakannya.
"Kalau tak sempat, beli siap aje..."
"Kita cari kat butik di Pertama... "

Bersetuju saja dengan saranannya. Kalau tak cari hari ini maknanya aku perlu keluar dengan dia lagi. Eh.. tak mahu aku. Penat pun penatlah....

"Penat?" Ingatkan dia tak tahu.... Nampak sangat agaknya mukaku yang tak bermaya. Cakap pun sepatah sepatah.

Aku bersetuju saja dengan baju pilihannya untukku. Pandai pula dia memililh warna biru, warna kegemaranku.

Lagu "Staircase to Heaven" mengejutkan aku dari peristiwa dua minggu lepas. Tanpa melihat nama pemanggilnya aku menjawab.

"Assalammu'alaikum Kak Long...." Siapa pula yang pandai-pandai memanggil gelaran itu. Suara macam biasa dengar.
"Eh... silap nomborlah... "
"Kak Zu... dah bertunang ni... tak kenal orang pulak?" Diiringi dengan ketawa yang panjang.

"Pandai-pandai tukar nama siapa suruh?"
"Betullah kan..... Along lawannya Kak Long."
"Belum lagilah...."

Nampaknya bertambahlah masalah aku kali ini. Berita yang Hana dan Hani itu adik Amir Zuhairi tidak menggembirakanku.

"Kak Long... Along kirim salam..." Aku terdengar deraian ketawa lelaki! Sukanya dia...

Jam di dinding aku pandang. Pasti mereka telah pun tiba di Kuala Lumpur.

"Kak Zu... you owe me something.... " Talipon dimatikan.

Wednesday, December 07, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 28

JANJI DIIKAT, KATA DIPADU

Segala persiapan telah dibuat. Hantaran digubah begitu rapi. Ada sembilan dulang semuanya. Cantik sekali. Aku kagum dengan kerja-kerja menggubah yang dibuat oleh Mak Cik Minah. Sentuhan tangannya memang menjadi kebanggaan penduduk setempat.

“Mak Cik buat ini khas untuk Zu.. Lain dari yang lain. Memang Mak Cik menanti saat ini. Sampai juga…” Begitu kata Mak Cik Minah bila aku memuji hasil ciptaannya.

Namun keindahan itu semua tidak menarik minatku. Hatiku kosong!

“Masa rombongan lelaki datang karang, maniskan muka. Jangan bulan gerhana pulak!” Mak berpesan ketika kami berdua di dalam bilik.

Aku mengangguk. Tidak membalas kata-kata emak. Di hati cuma ada satu soalan. Mampukah aku?

Mak macam dapat membaca apa yang tersirat di hatiku saat ini. Aku menerimanya dengan separuh hati. Mak tahu tapi sengaja tidak mahu memahami apa yang bergolak di hati anaknya ini.

..... Aku menanti penuh resah di kamar yang serba indah. Bau bunga rampai serbak mewangi memenuhi ruang kamar yang berwarna 'beige'. Segala-galanya aku serahkan kepada mak untuk menyediakannya. Nak harapkan aku? Pasti segala-galanya tidak seperti hari ini..

Mujurlah Syikin ada menemaniku. Dia yang banyak membantu mententeramkanku

Di ruang tamu riuh rendah dengan suara-suara tetamu dan sanak saudara. Pihak lelaki telah tiba akhirnya, menurut waktu yang dijanjikan. Degupan jantungku bertambah kencang. Dari kamar ini aku mendengar suara Pak Long.

Kata berbalas kata .....

Bunga rampai di dalam dulang
Cantik berseri indah sekali
Datang bukan sebarang datang
Datang bersama hajat di hati

Pembuka bicara dari pihak lelaki setelah salam diberi.....

Kain songket tenunan asli
Jadi kebanggaan zaman berzaman
Khabarkan saja hasrat di hati
Boleh kami bantu ringankan

Waktu malam bulan mengambang
Bintang di langit berkelip-kelipan
Dalam taman bunga berkembang
Ingin disunting untuk jejaka idaman

Aku yang di dalam kamar hampir nak ketawa mendengar mereka berpantun. Adakah aku yang macam ini disamakan dengan sekuntum bunga. Dalam zaman ini pun masih ada yang berpantun-pantun. Namun aku bangga juga kerana mereka masih mengekalkan tradisi tak lapuk dek zaman...

Aku mendengar pula Pak Long menjawab….

Bunga di taman harum mewangi
Menjadi rebutan para jejaka
Kalaulah itu hasrat di hati
Dengan seikhlasnya kami menerima…..

Usailah sudah berbalas pantun. Kini, mereka membincangkan pula tempoh pertunangan. Enam bulan? Kenapa begitu pendek sangat? Sedangkan awal-awal lagi aku telah memberitahu emak supaya kami bertunang selama setahun. Siapa yang pandai-pandai mengubah tempoh ini? Hatiku mendengus.

Setelah doa dibacakan. Mak masuk ke dalam bilik; memberitahu bahawa saat menyarungkan cincin akan dilakukan sebentar lagi ini.

“Ingat pesan mak, dik! Senyum dan cium tangan bakal mak mertua.” Tiada lagi mak memanggil mak cik Zubaidah. Gelaran telah bertukar kepada bakal mak mertua.

Bila mak cik Zubaidah mengeluarkan cincin dari bekasnya. Aku menghulurkan tangan kananku. Saat cincin disarungkan ke jari manisku, bergemerlapan lampu kamera. Antara malu dan sedih aku memaniskan muka. Hari ini aku jadi tumpuan. Aku tidak mahu memalukan mak.

Aku mencium tangan mak cik Zubaidah. Balasannya dia mencium dahiku, kemudian dua belah pipiku.

“Terima kasih menerima anak mak cik. Amir kirim salam…” Sempat dia membisikannya di telingaku.

Aku tersenyum semanis madu. Hati pula sepahit hempedu. Menunjukkan kegembiraan. Tapi di hati siapakah yang dapat mengerti apa yang aku rasa saat ini. Ada rasa sedih yang bergayut di hujung hati.

Bila pandangan di hala ke hadapan…. Macam terkena kejutan letrik pula. Atau aku kini di alam mimpi. Dua wajah itu memang aku kenali. Hana dan Hani berdiri di belakang Mak Cik Zubaidah. Mereka dari rombongan pihak lelaki?

Mereka juga membalas pandanganku sambil tersenyum.
“Tahniah kak!” Ucap mereka bersama lalu bergilir-gilir menyalamiku. Ingin aku bertanya lagi tapi waktu membataskan segalanya saat itu.

Atas permintaan pihak lelaki, aku keluar dari kamar untuk diperkenalkan kepada saudara terdekat mak cik Zubaidah.

Aku bersalam-salaman dengan mereka sambil menghadiahkan senyum tanpa henti. Untuk mak aku menjadi seorang pelakun yang berjaya hari ini!

Seketika, ada sesuatu yang mengalehkan mata aku ke muka pintu. Buat apa dia ada di sini? Apa yang membawa dia hingga ke mari? Sedondon pula dengan pakaian aku. Baju kurung moden berwarna biru dan dia berbaju melayu warna biru juga.

Dia memandangku. Bagai itulah kali pertama kami bertemu.

“Ha.. Amir, masuklah….. Boleh bergambar bersama.” Mak Cik Zubaidah mempelawa.

Gambar bersama? Aku menjadi tidak menentu. Semua mata merenung ke arahku. Aku hanya mampu tersenyum. Nak cakap tak mahu tak boleh. Akhirnya dia berdiri di sebelahku diikuti oleh mak cik Zubaidah. Hana dan Hani juga tidak ketinggalan.

“Along ambik gambar berdualah…” Hana pula mengusulkan.

Tak tahu malu betul. Pantang disuruh dengan selambanya dia berdiri di sisiku.

“You look gorgeous…,” Ucapnya perlahan.

“Tambah berseri bila cincin dah tersarung di jari!” Aku hanya diam sahaja. Tidak membalas kata-katanya. Cuma segaris senyuman aku hadiahkan.

Pandangannya tidak berkelip. Pasti dia melihat kelainan di wajahku. Dengan solekan yang aku rasa tebalnya beberapa inci. Aku cuba menolak bila wajahku disolekkan, tapi kata Mak Cik Minah hari inilah sepatutnya aku kelihatan lebih anggun. Ikutkan hati hanya lipstick nipis yang aku calitkan.

“Along… cukup-cukuplah pandang orang di sebelah!” Usikan Hani membuatkan rona mukaku bertambah merah walaupun tiada cermin di situ.

Dan di hari bersejarah ini abadilah potret kami berdua. Dia tersenyum penuh makna. Aku? Kaki bagai terikat. Umpama patung berdiri tegak di situ tanpa dapat bergerak!

*******

Maaf ya... saya mengambil waktu yang lama untuk menyambungnya kembali. Ep. ini pun tak sempat nak edit sepenuhnya. Moga semuanya berpuas hati! Keringkan airmatamu.... Amir & Zulaikha kembali lagi.. :p