HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Wednesday, December 07, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 28

JANJI DIIKAT, KATA DIPADU

Segala persiapan telah dibuat. Hantaran digubah begitu rapi. Ada sembilan dulang semuanya. Cantik sekali. Aku kagum dengan kerja-kerja menggubah yang dibuat oleh Mak Cik Minah. Sentuhan tangannya memang menjadi kebanggaan penduduk setempat.

“Mak Cik buat ini khas untuk Zu.. Lain dari yang lain. Memang Mak Cik menanti saat ini. Sampai juga…” Begitu kata Mak Cik Minah bila aku memuji hasil ciptaannya.

Namun keindahan itu semua tidak menarik minatku. Hatiku kosong!

“Masa rombongan lelaki datang karang, maniskan muka. Jangan bulan gerhana pulak!” Mak berpesan ketika kami berdua di dalam bilik.

Aku mengangguk. Tidak membalas kata-kata emak. Di hati cuma ada satu soalan. Mampukah aku?

Mak macam dapat membaca apa yang tersirat di hatiku saat ini. Aku menerimanya dengan separuh hati. Mak tahu tapi sengaja tidak mahu memahami apa yang bergolak di hati anaknya ini.

..... Aku menanti penuh resah di kamar yang serba indah. Bau bunga rampai serbak mewangi memenuhi ruang kamar yang berwarna 'beige'. Segala-galanya aku serahkan kepada mak untuk menyediakannya. Nak harapkan aku? Pasti segala-galanya tidak seperti hari ini..

Mujurlah Syikin ada menemaniku. Dia yang banyak membantu mententeramkanku

Di ruang tamu riuh rendah dengan suara-suara tetamu dan sanak saudara. Pihak lelaki telah tiba akhirnya, menurut waktu yang dijanjikan. Degupan jantungku bertambah kencang. Dari kamar ini aku mendengar suara Pak Long.

Kata berbalas kata .....

Bunga rampai di dalam dulang
Cantik berseri indah sekali
Datang bukan sebarang datang
Datang bersama hajat di hati

Pembuka bicara dari pihak lelaki setelah salam diberi.....

Kain songket tenunan asli
Jadi kebanggaan zaman berzaman
Khabarkan saja hasrat di hati
Boleh kami bantu ringankan

Waktu malam bulan mengambang
Bintang di langit berkelip-kelipan
Dalam taman bunga berkembang
Ingin disunting untuk jejaka idaman

Aku yang di dalam kamar hampir nak ketawa mendengar mereka berpantun. Adakah aku yang macam ini disamakan dengan sekuntum bunga. Dalam zaman ini pun masih ada yang berpantun-pantun. Namun aku bangga juga kerana mereka masih mengekalkan tradisi tak lapuk dek zaman...

Aku mendengar pula Pak Long menjawab….

Bunga di taman harum mewangi
Menjadi rebutan para jejaka
Kalaulah itu hasrat di hati
Dengan seikhlasnya kami menerima…..

Usailah sudah berbalas pantun. Kini, mereka membincangkan pula tempoh pertunangan. Enam bulan? Kenapa begitu pendek sangat? Sedangkan awal-awal lagi aku telah memberitahu emak supaya kami bertunang selama setahun. Siapa yang pandai-pandai mengubah tempoh ini? Hatiku mendengus.

Setelah doa dibacakan. Mak masuk ke dalam bilik; memberitahu bahawa saat menyarungkan cincin akan dilakukan sebentar lagi ini.

“Ingat pesan mak, dik! Senyum dan cium tangan bakal mak mertua.” Tiada lagi mak memanggil mak cik Zubaidah. Gelaran telah bertukar kepada bakal mak mertua.

Bila mak cik Zubaidah mengeluarkan cincin dari bekasnya. Aku menghulurkan tangan kananku. Saat cincin disarungkan ke jari manisku, bergemerlapan lampu kamera. Antara malu dan sedih aku memaniskan muka. Hari ini aku jadi tumpuan. Aku tidak mahu memalukan mak.

Aku mencium tangan mak cik Zubaidah. Balasannya dia mencium dahiku, kemudian dua belah pipiku.

“Terima kasih menerima anak mak cik. Amir kirim salam…” Sempat dia membisikannya di telingaku.

Aku tersenyum semanis madu. Hati pula sepahit hempedu. Menunjukkan kegembiraan. Tapi di hati siapakah yang dapat mengerti apa yang aku rasa saat ini. Ada rasa sedih yang bergayut di hujung hati.

Bila pandangan di hala ke hadapan…. Macam terkena kejutan letrik pula. Atau aku kini di alam mimpi. Dua wajah itu memang aku kenali. Hana dan Hani berdiri di belakang Mak Cik Zubaidah. Mereka dari rombongan pihak lelaki?

Mereka juga membalas pandanganku sambil tersenyum.
“Tahniah kak!” Ucap mereka bersama lalu bergilir-gilir menyalamiku. Ingin aku bertanya lagi tapi waktu membataskan segalanya saat itu.

Atas permintaan pihak lelaki, aku keluar dari kamar untuk diperkenalkan kepada saudara terdekat mak cik Zubaidah.

Aku bersalam-salaman dengan mereka sambil menghadiahkan senyum tanpa henti. Untuk mak aku menjadi seorang pelakun yang berjaya hari ini!

Seketika, ada sesuatu yang mengalehkan mata aku ke muka pintu. Buat apa dia ada di sini? Apa yang membawa dia hingga ke mari? Sedondon pula dengan pakaian aku. Baju kurung moden berwarna biru dan dia berbaju melayu warna biru juga.

Dia memandangku. Bagai itulah kali pertama kami bertemu.

“Ha.. Amir, masuklah….. Boleh bergambar bersama.” Mak Cik Zubaidah mempelawa.

Gambar bersama? Aku menjadi tidak menentu. Semua mata merenung ke arahku. Aku hanya mampu tersenyum. Nak cakap tak mahu tak boleh. Akhirnya dia berdiri di sebelahku diikuti oleh mak cik Zubaidah. Hana dan Hani juga tidak ketinggalan.

“Along ambik gambar berdualah…” Hana pula mengusulkan.

Tak tahu malu betul. Pantang disuruh dengan selambanya dia berdiri di sisiku.

“You look gorgeous…,” Ucapnya perlahan.

“Tambah berseri bila cincin dah tersarung di jari!” Aku hanya diam sahaja. Tidak membalas kata-katanya. Cuma segaris senyuman aku hadiahkan.

Pandangannya tidak berkelip. Pasti dia melihat kelainan di wajahku. Dengan solekan yang aku rasa tebalnya beberapa inci. Aku cuba menolak bila wajahku disolekkan, tapi kata Mak Cik Minah hari inilah sepatutnya aku kelihatan lebih anggun. Ikutkan hati hanya lipstick nipis yang aku calitkan.

“Along… cukup-cukuplah pandang orang di sebelah!” Usikan Hani membuatkan rona mukaku bertambah merah walaupun tiada cermin di situ.

Dan di hari bersejarah ini abadilah potret kami berdua. Dia tersenyum penuh makna. Aku? Kaki bagai terikat. Umpama patung berdiri tegak di situ tanpa dapat bergerak!

*******

Maaf ya... saya mengambil waktu yang lama untuk menyambungnya kembali. Ep. ini pun tak sempat nak edit sepenuhnya. Moga semuanya berpuas hati! Keringkan airmatamu.... Amir & Zulaikha kembali lagi.. :p

7 Comments:

Post a Comment

<< Home