HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Sunday, October 23, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 20

RESAH MENGHANTUI

“Seronok balik kampung Zu?” Syikin bertanya sepulangnya dari kerja.

“Balik kampung jumpa mak mestilah seronok. Boleh bermanja…” Aku diam sebentar.

“Tapi ada juga yang tak seronoknya….”

“Ada apa-apa yang berlaku?” Perasaan ingin tahu tergambar di wajah Syikin.

‘Aku terjumpa dengan pemungut hutang yang aku ceritakan dulu…”

“Eh macammana kau tahu dia pemungut hutang?”

“Dia dah mengaku!”

“Siapa dia? Teringin juga aku nak tahu.”

“Tentu kau tak percaya, pemanggil misteri itu MR. 12*..” Aku meluahkan rasa tidak puas hati.

Ha… Ha….Ha….. Ketawa Syikin meledak.

“Sejak peristiwa itu kau tak jumpa dia kan?… Tiba-tiba jumpa kat rumah sendiri. Lepas ini mesti ada cerita lebih menarik lagi.” Syikin pula membuat andaian.

“Memang menarik.. Dia datang dengan maknya. Rupanya mak aku dengan maknya kawan baik.” Aku masih lagi tidak percaya dengan pertemuan itu.

“Memang ada jodohlah tu… Mula-mula jumpa bertekak. Lepas itu jumpa bawa mak. Last sekali...jumpa depan tok kadhi.” Aku menjegilkan mata ke arah Syikin.

Syikin ketawa kuat. Agaknya geli hati dengan cerita yang direka sendiri.

“Yang aku menyampah…Matanya tak lepas dari merenung aku. Naik rimas dibuatnya. Depan mak dia dan mak aku pun dia boleh buat macam itu. Tak malu betul!” Sungguh aku benci bila mengenangkan saat dia di rumahku dulu.

“Tak baik benci kat oranglah Zu…. Esok-esok dialah yang Zu pandang siang dan malam. Siapa sangka.” Ujar Syikin lagi.

“Norasyikin Mohd. Nor….” Nama penuh Syikin aku sebut.

“Usahlah nak membuat tanggapan dan mereka-reka cerita yang tak masuk dek akal.” Aku pura-pura marah.

“Kau suruh cerita, aku cerita, dah aku cerita kau tambah pula cerita. Tak patut betul!” Aku bercakap seperti orang berjauh hati.

“Zu… kalau kau merajuk, aku memang tak ada bakat nak pujuk. Tapi kalau orang tu aku rasa memang pandai sangat..”

Aku mencubit lengan Syikin. Dia mengaduh.

“Kalau kau nak rasa cubitan aku, cubalah cakap macam itu lagi.” Syikin hanya tersenyum menampakkan giginya yang putih bersih.

“Kat atas meja tu ada ole-ole untuk kau. Mak aku kirim salam.” Aku mengubah topik.

Jambu batu tanpa biji itu aku beli semasa melalui Pekan Bidor. Memang Syikin penggemar jambu batu. Tiap kali aku balik kampung, tidak pernah dia lupa memesan buah itu.

“Thanks. Lepas ini boleh cicah dengan kicap dicampur dengan cili padi.”

“Emmm…bestnya!” Syikin beredar ke ruang dapur.

*****

Kelakuan Amir Zuhairi diperhatikan oleh Puan Zubaidah. Semenjak pulang dari Tapah, nampak ketara benar sikap Amir Zuhairi. Selalu termenung. Ditanya sepatah dijawab sepatah. Kadang-kadang macam tidak mendengar apa yang ditanyakan.

“Mir….” Panggilan Puan Zubaidah hanya dijawab perlahan.

Semenjak suaminya meninggal dunia lima tahun dahulu rumahnya terasa sunyi. Ada anak-anak pun tidak sepenuh masa berada di rumah. Anak perempuan kembarnya masih lagi menuntut di UPM.

Puan Zubaidah memandang sekeliling. Ingatan terhadap arwah suami terbayang di mata.

Waktu-waktu malam begini mereka sering berhimpun di rumah. Menonton tv. Ada masanya mereka bermain scrabble. Sesekali terdengar pekikan anak perempuannya bila diusik abang. Tak puas hati dengan perkataan yang dibuat. Tuhan lebih menyanyangimu abang. Nostalgia lalu kembali di layar minda.

Pandangan dialihkan kepada Amir Zuhairi yang masih leka menonton tv. Namun Puan Zubaidah seakan dapat membaca bahawa hanya mata Amir sahaja di tv. Fikiran entah di mana.

“Ada masalah di tempat kerja ke Mir?” Puan Zubaidah bertanya.

Amir Zuhairi hanya menggelengkan kepala.

“Ibu pun hairan sejak akhir-akhir ini Amir banyak termenung. Masalah kerja bukan.. “

“Habis tu masalah apa? Ibu tengok macam orang menanggung beban yang berat saja.” Puan Zubaidah cuba mengorek isi hati Amir Zuhairi.

“Entahlah bu..” Amir Zuhairi mengeluh.

“Mengeluh itu tandanya orang yang berputus asa. Cuba ceritakan masalah sebenar, sekurang-kurangnya beban itu menjadi ringan. Mungkin juga ibu boleh membantu..” Puan Zubaidah bercakap dengan penuh kasih sayang sebagai seorang ibu.

Amir Zuhairi masih lagi berdiam diri.

Puan Zubaidah amat arif dengan perangai Amir Zuhairi. Anaknya itu tidak pernah menyembunyikan apa-apa perkara yang dihadapinya. Mereka akan berbincang dan bertukar pendapat bersama.

Amir Zuhairi juga seorang anak yang bertanggungjawab terhadap keluarga semenjak suaminya meninggal dunia. Cuma kali ini sikap Amir Zuhairi agak berlainan. Ribut tak ada, angin pun tak ada. Entah apa yang membuat anak bujangnya begitu. Bertukar sikap dalam sekelip mata.

“Ceritalah kepada ibu….” Puan Zubaidah memujuk. Tidak mudah berputus asa.

“Ibu akan tahu juga nanti…” Amir Zuhairi masih tidak mahu menyatakan perkara sebenar.

Malam pun kian larut. Amir Zuhairi ke biliknya selepas bersalam dengan Puan Zubaidah.

Bimbang hati seorang ibu tetap bermain di dada. Apakah yang tersembunyi di hati anaknya? Puan Zubaidah ingin mencungkil dan mengetahui dengan lebih lanjut .

5 Comments:

  • At Monday, October 24, 2005 8:45:00 PM, Anonymous Anonymous said…

    hahaha.. eita tahu nape si amir zuhairi asyik termenung... bukan sebab kerja, bukan sebab ada masalah... tapi sebab... ehem10x... zu kan? betul ke ni kak ija?

    :D :D :D

     
  • At Tuesday, October 25, 2005 5:39:00 PM, Anonymous Anonymous said…

    tahniah ija..
    mmg best cerita yg awak buat ni
    rasa dak sabar nak baca yg seterusnya...
    cepat2 tau..hehehe
    selamat berhari raya n selamat berpuasa..

     
  • At Wednesday, October 26, 2005 10:46:00 AM, Anonymous Anonymous said…

    memang best ija..teruskan..tak sabar2 menunggu ni.. hopefully dapat lagi satu episod sebelum raya ye.. boleh ija ?

    Selamat Hari Raya Aidilfitri

     
  • At Thursday, October 27, 2005 12:31:00 AM, Anonymous Anonymous said…

    eita;

    hati asyik terkenang-kenang
    orang dikenang buat tak peduli...
    ada tips utk. penyakit ni?

    :p :p

     
  • At Thursday, October 27, 2005 12:44:00 AM, Anonymous Anonymous said…

    anonymous;
    (tinggalkanlah nama, senang nak sebut..:)

    saya pun x sabar nak sambung lagi.. cuma mood nak menulis x leh jangka

    salam aidilfitri, balik kampung mana?

     

Post a Comment

<< Home