HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Thursday, October 13, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 18

KAU HADIR JUA

Sejak seminggu lalu, mak beria-ia berpesan supaya aku tidak lupa untuk pulang ke kampung di minggu ini. Kak Ngah pun berpesan perkara yang sama. Malahan Kak Ngah lagi ‘advance’, selang dua hari dia akan mengingatkanku.

Aku amat mengerti perasaan Kak Ngah. Terpancar cahaya keriangan di wajahnya… Gembira teramat sangat. Hampir beberapa tahun menanti baru kini dia disahkan hamil lagi. Selepas kelahiran anak pertama dulu, Kak Ngah mengalami keguguran. Puas juga mereka suami isteri berusaha. Berbagai kaedah dicuba untuk menambah zuriat tapi masih belum diberikan rezeki. Cuma tahun lepas mereka membuat umrah, akhirnya niat mereka dikabulkan olehNYA.

Hujung minggu ini akan diadakan kenduri kesyukuran, Pada mulanya aku ingin pulang selepas kerja tapi mak melarang. Kata mak, malam-malam tak elok memandu bersendirian. Apa-apa terjadi susah nanti!

Memandu di waktu pagi ini agak menyeronokkan. Tiada terjerat di dalam kesesakan yang panjang. Sambil memandu aku menyanyi sendiri mengikut rentak lagu yang berkumandang di radio. Menghilangkan kebosanan dan rasa mengantuk. Mujurlah perjalanan tidak lama. Hanya mengambil masa dua jam sahaja. Jadinya tak perlu aku berhenti di R&R menuju ke Utara.

Kepulangan aku disambut dengan senyuman manis Kak Ngah. Nampak perutnya yang semakin besar. Berseri-seri wajah seorang ibu yang bakal menimang orang baru. Mak pun apa kurangnya. Macamlah dah lama kami tidak bertemu. Habis pipi aku diciumnya. Malu juga aku dibuatnya, bila diperhatikan oleh suami Kak Ngah.

“Anak manjalah katakan….” Sempat dia bergurau. Suami Kak Ngah yang aku kenali memang periang orangnya. Ada sahaja gurauan dan usikan dalam perbualan. Orang yang mendengarnya pun tak kering gusi.


Petang itu aku ke Tapah membeli beberapa barangan yang dipinta oleh Kak Ngah. Entah kenapa di saat akhir, Kak Ngah ingin memberikan bunga telur sebagai cenderahati kepada tetamu. Aku menurut sahaja, ialah… hati orang mengandung perlu dijaga. Mereka ini agak sensitif. Dan aku yang hanya menjadi pemerhati ditugaskan untuk perkara khas sebegitu.

Pulang dari Tapah, aku melihat ada kereta lain yang parkir di sebelah kereta Kak Ngah. Kereta Honda itu mengingatkan aku kepada seseorang. Tapi tak mungkinlah.. Hati menafikannya. Mungkin kawan Kak Ngah agaknya, hati berbisik lagi.

“Assalammu’alaikum…” salamku beri sebelum melangkah masuk ke rumah.

Salamku dijawab oleh seorang wanita. Bukan suara mak. Aku memerhatikannya lalu bersalam. Sesekali balik, jiran mak pun aku tidak kenali.

“Adik…..” Malunya aku kalau mak memanggil begitu di hadapan orang lain.

“Ini mak cik Zubaidah…” Mak memperkenalkan aku kepada wanita separuh umur itu. Nampak bergaya orangnya.

“Apa khabar mak cik?” Aku menghulurkan tangan. Entah Zubaidah mana aku pun tak tahu. Salamku disambut dan dipegang irat.

“Ini Zulaikha?” Tanyanya lagi. Dia memandang ke mukaku lalu melemparkan senyuman.

Kami berbual sambil menikmati hidangan teh petang. Di dapur aku mendengar riuhnya jiran-jiran membuat persiapan untuk majlis malam nanti.

“Assalammu’alaikum….” Aku mendengar suara lelaki memberi salam lantas menoleh.

Saat itu aku rasakan nafas seakan terhenti. Darah seakan berhenti mengalir. Terkejut bukan kepalang. Matanya pula memandang ke arahku… Aku menjadi semakin resah.

Macammana dia ada di sini? Dari mana dia datang? Tiba-tiba sahaja muncul di depanku, setelah peristiwa dulu. Mimpikah ini? Tidak, aku tidak bermimpi di siang hari. Dia di hadapanku adalah dia yang pernah menjerkah aku suatu waktu dulu. Dan dengan selambanya dia duduk di sebelah mak cik Zubaidah.

“Zulaikha… ini anak mak cik, Amir. Tadi dia ke surau sana…” Aku menganggukkan muka. Surau kampung ini berdekatan dengan rumah kami. Tetamu yang datang lebih selesa mengerjakan solat di surau tersebut.

“Kita berjumpa lagi….” Ujarnya, lalu tersenyum.

“Dah kenal ke?” Mak Cik Zubaidah dan mak berpandangan sesama sendiri.

Aku tidak menjawab. Tak mahu aku ingatkan perkara yang berlaku di awal pertemuan kami. Kenapa aku perlu mengingati seorang lelaki yang bersikap angkuh dan ego!

“Secara tak disengajakan ibu…” Dia menambah.

Ada saja yang dibualkan oleh mak dan mak cik Zubaidah. Aku hanya menjadi pemerhati. Sesekali aku menjawab bila ada pertanyaan yang ditujukan kepadaku.
Sebenarnya aku kurang selesa berhadapan dengan 'dia'. Malahan rasa terkejut ini masih belum hilang lagi. Yang 'dia' pun macamlah tak ada tempat lain yang nak dipandang. Balik-balik muka aku juga yang ditatapnya. Tak tahu malu betul! Depan mak aku dan mak 'dia' pun boleh berbuat begitu.
Kalau aku punya kuasa, mahu saja aku menampal matanya dengan plaster. Ha...ha..ha.. aku ketawa di dalam hati, kerana aku tahu niat itu tidak akan kesampaian.
Aku meminta diri untuk ke dapur. Banyak kerja lain yang perlu dibereskan lagi sebelum malam menjelang.

Apa yang diberitahu, mak cik Zubaidah dan ‘anaknya’ itu akan bermalam di rumah kami. Mereka akan bertolak ke Pulau Pinang pada keesokan harinya.

Aku menjadi semakin resah. Macammana aku nak elakkan diri darinya. Dulu pertemuan kami (sebolehnya memori itu aku kuburkan!) hanya di jalanan. Kini, dia berada di dalam rumah yang sama denganku. Yang paling aku tidak tahan, lirikan matanya tidak lepas dari memerhatikanku. Ditambah pula dengan senyumannya yang semakin lebar.

Menyampah aku melihatnya!

Waktu pun terasa terlalu panjang. Aku berharap sangat pagi cepat menonjolkan diri. Supaya aku tidak menjadi bahan penyelidikan dan pemerhatiannya.


Dari utara menuju selatan
Berihat sebentar di kedai kopi
Bertemu dengan gadis idaman
Terasa tak mahu berpisah lagi

Bunga kekwa bunga selasih
Bunga mawar dalam jambangan
Senyum dihadiahkan tanda kasih
Mengapa hambar tiada balasan


4 Comments:

  • At Friday, October 14, 2005 8:22:00 AM, Anonymous Anonymous said…

    Ija....
    Cerita nie makin tambah mendebarkan dan meruntun jiwa. Lebih2 dgn bait puisi itu
    Puasa tak hari nie, dah siap utk raya.- suriyati

     
  • At Saturday, October 15, 2005 9:22:00 PM, Anonymous Anonymous said…

    alahai...abang kepada si kembar dah pun muncul...hehe...

    zu dan amir..sehati sejiwa...seia dan sekata...

    bertemu lg, lirikan mata menjadi penghubung...berdebar x kak zu? Salam kak zu dah diya terima...

    alahai...rindunya pada hana dan hani...muncullah cepat

     
  • At Sunday, October 16, 2005 10:02:00 PM, Anonymous Anonymous said…

    Su,
    salam ramadhan,
    slmt bersahur, berpuasa & berbuka.

    debaran itu baru permulaan,
    ada yang lebih meruntun jiwa lagi..

    tkasih jk puisi itu meresap ke hati,
    salam dari kajang
    :p

     
  • At Sunday, October 16, 2005 10:11:00 PM, Anonymous Anonymous said…

    diya;

    lama sungguh rasanya namamu tidak kelihatan... ke manakah menghilang?

    Sehati sejiwa?
    kak Zu tengah cari pot nak menyorokkan diri, hilang dari pandangan!

    hana & hani tengah sibuk skrg. ni,
    mrk dikuarantin!

    :p

     

Post a Comment

<< Home