HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Sunday, October 16, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 19

MISTERI TERUNGKAI

Semua tetamu telah pulang. Yang ada cuma jiran-jiran terdekat yang menolong hingga segalanya selesai. Begitulah kehidupan di kampung. Semangat gotong royong dan bantu membantu masih tebal lagi.

Usai segalanya, kami duduk-duduk di meja makan. Kak Ngah tidak turut serta. Penat agaknya. Mak dan Mak Cik Zubaidah menyambung semula perbualan mereka yang terhenti siang tadi.

Amir dan Abang Irwan masih di ruang tamu. Orang lelaki, mana dia hendak lama-lama di dapur kecuali tukang masak atau pun menjamu selera.

Aku sebenarnya dalam keadaan serba salah. Nak masuk tidur dulu, hari masih awal lagi. Nanti apa pula kata tetamu yang diundang khas oleh mak.

Bila aku keluar dari bilik air, aku terdengar perbualan mak dan mak cik Zubaidah. Perbualan mereka membuatkan aku tidak jadi kembali ke meja itu.

“Ramai sungguh orang datang tadi…”

“Macam inilah kak, kalau kenduri di kampung…”

“Zulaikha itu, dah ada orang yang punya ke?” Aku hampir terbatuk namun masih sempat ditahan. Tak mahu mereka mengetahui bahawa perbualan itu dicuri dengar olehku.

“Entahlah kak, umur pun makin meningkat tapi tiada tanda-tanda pun nak berdua” Mak menjelaskan duduk perkara sebenar.

“Samalah dengan Amir tu… Bila ditanya katanya tak ada calun lagi. Nak dicarikan calun ada saja alasan yang diberi”

“Susah orang muda sekarang ni.. “ Mak Cik Zubaidah mengeluh.

“Tahun ini umur Amir dah 30 tahun. Dulu-dulu umur macam tu dah ada anak 3-4 orang.

“Entah bilalah saya dapat menimang cucu! Adik-adiknya itu belajar lagi…. “

“Orang macam mana yang ditunggu pun, tak tahulah…..” Mak Cik Zubaidah meluahkan segala yang terbuku di hati kepada mak.

“Sabarlah kak… kita orang tua ini tunggu sajalah. Doakan yang terbaik untuk anak-anak.” Itu yang aku dengar mak cakap.

Perbualan mereka terhenti apabila melihat kelibat aku. Aku berjalan menuju ke meja membawa air teh. Aku tak mahu mereka mengesyakki yang perbualan mereka telah aku dengar.



Saat itu juga, Amir berjalan ke dapur. Entah apa yang dicarinya aku pun tak tahu. Malas nak ambil tahu. Aku kembali ke kabinet mengambil sebiji cawan lagi. Tetamu mesti dilayan sebaiknya. Air muka mak mesti dijaga. Aku tak mahu dikatakan anak yang tidak diajar dengan tata susila dan kesopanan.

Nak duduk atau tidak di situ. Otakku ligat berputar.

“Mak, Mak cik jemputlah minum. Saya nak ke atas…” Aku cuba mencari alasan yang terbaik.

“Tak jemput kita minum sekali?” Dia pula menjawab.

Orang tak jemput, tak payahlah minum. Tak kan tak faham-faham! Ayat itu hanya berlegar di kepala. Tidak aku keluarkan. Kalau aku berkata begitu, pastinya mak akan pengsan.

“Jemputlah minum….” Aku masih berdiri setelah menuangkan air ke cawannya.

“Duduklah sekejap. Kita berborak-borak, esok pun bukan nak kejar apa. Masih cuti lagi… “ Mak membuat usul.

Dan bila mak sudah berkata begitu, aku jadi lemah. Nak beri alasan apa? Mak menegur dengar caranya yang tersendiri. Mak memang masak dengan perangaiku. Selalu tidur lewat malam.

Aku tidak jadi melangkah. Terus duduk di sebelah mak. Ini bermakna aku duduk bertentangan dengan ‘dia’.

Bil pandangan mata kami bersabung, 'dia' hanya tersenyum sahaja. Mungkin dia tahu aku tidak dapat berbuat apa-apa kerana dia tetamu kami. Seharusnya tetamu mesti dihormati, mesti dilayan dengan baik.
Mak dan Mak Cik Zubaidah tersenyum. Aku perasan yang mak cik Zubaidah asyik memandang ke wajahku. Kemudian beralih ke wajah anaknya. Dahlah maknya asyik memandang aku. Anaknya pun turut serta. Pelik sangatkah wajah aku hari ini?

Mak pun pandai-pandai bercerita aku duduk di mana dan kerja di mana.

“Amir pun sesekali ada pergi ke Putrajaya. Kajang dengan Putrajaya itu dekat... .” Aku hanya mengangguk.

"Tak pernah terserampak ke? Amir ni kaki jalan juga." Aku sekadar menggelengkan kepala. Tak berani aku memandang wajah 'dia'.

Dia kaki jalan ke kaki apa ke.. Aku peduli apa? Eh... kenapa bila berhadapan dengan 'dia' ini aku selalu saja membebel tak tentu pasal. Cuma ayat itu tak keluar saja dari mulut ini. Teruk penyakitmu, Zulaikha!

Ramah pula dia malam ini. Tak pula macam peristiwa sewaktu aku terlanggarnya. Depan mak aku bolehlah 'dia' berlakun dengan baik. Ala… sorilah lakunannya tidak berkesan di mataku.

Aku lebih banyak berdiam diri. Tiap kali aku bersuara, ‘dia’ tak lepas dari memandangku. Dan pandangan mak dia pun tak lepas dari mataku. Rimas sekali.

Jam 12 malam, aku meminta diri. Memang aku benar-benar mengantuk! Mak dan mak cik masih terus berbual....

“Sweet dream….” Aku mendengar ucapan itu dari sisi. Entah bila dia bangun dari kerusi itu aku pun tak pasti. Suka hati akulah nak mimpi ke tak nak mimpi. Yang dia menyibuk ni entah kenapa. Yang pasti 'dia' tak muncul dalam mimpiku.

Berani sungguh! Bukan berani tapi tak tahu malu. Hatiku berbisik.



Selepas sarapan Mak Cik Zubaidah dan 'dia' bersiap-siap untuk ke Pulau Pinang. Mak Cik Zubaidah ada juga mempelawa aku dan mak supaya turut serta. Sambil itu boleh makan angin katanya.

Aku menolak dengan cara lembut lagipun cuti aku sehingga esok sahaja. Nak jalan-jalan kena ambil cuti sekurang-kurangnya seminggu.

“Tak apalah… lain kali kami datang sini lagi. Zulaikha dan emaknya boleh ikut sekali. Amir pun boleh bawa jalan-jalan kat sana. Banyak tempat menarik yang Amir boleh tunjukkan.” Ini nak promosi Pulau Pinang ke nak promosi anak?

Zulaikha…. Tak baik berprasangka. Niat mak cik itu baik. Lagi pun dah lama kau tak pergi ke Pulau Pinang kan? Suara dalaman aku berbisik.

Mujurlah ‘dia’ berbual dengan mak, Kak Ngah dan Abang Irwan. Jika tidak entah apa yang dijawabnya apabila mendengar jemputan yang diberi oleh ibunya.

Mak Cik Zubaidah memelukku macam bagai tidak mahu dilepaskan. Padahal inilah pertama kali kami bertemu.

Dia memandangku setelah bersalam dengan mak. Tidak ketinggalan dia menghadiahkan 'artificial' smiles. Menarik juga wajahnya. Lekuk di dagunya terselah. Patutlah mak tertawan, tak habis-habis memuji.

Aku berdiri di depan kereta. Sengaja menjauhkan diri daripada mereka.

“Balik dulu… " Dia berjalan ke tempat duduk pemandu. Berhenti seketika lalu menyambung semula.

“Usahlah lupa, cik puan masih ada hutang yang belum dilangsaikan lagi” Dia mengingatkan aku. Mak dan mak cik Zubaidah berdiri agak jauh ketika itu. Suaranya agak perlahan tapi jelas di pendengaranku.

Dan aku teringat kembali panggilan talipon itu? Hutang?

‘You? “ Aku terkejut. Selama ini dialah yang sering menggangguku. Rasa marah dan sakit hati tumbuh kembali.
Dia pula, dengan selambanya tersenyum...... Macam tak ada apa-apa yang berlaku.

“I’ll make sure, we will meet again…. Boleh?” Aku tidak mengangguk. Tidak juga menggeleng.

Kereta pun meluncur laju meninggalkan aku yang masih termanggu-manggu.

“Itulah Amir Zuhairi yang mak beritahu hari itu”

“Kalau dia Amir Zuhairi, kenapa pula mak?" Aku kurang sedap mendengar mak berkata begitu.

“Bolehlah…dik, ibu dia pun macam dah berkenan dengan adik. Tengok tadi tu peluk macam tak mahu lepaskan adik” Kak Ngah menggiat.

“Nampaknya makin meriahlah kenduri akan datang!” Abang Irwan pula mengusik.

“Tak ada kena mengena dengan adik” Aku melangkah masuk. Lama-lama di situ, semakin panas telingaku. Hatiku makin bertambah sakit.

Berkain batik kurung Kedah
Duduk bersimpuh sopan sekali
Misteri panggilan terungkai sudah
Tidakku duga, milikmu lelaki..

7 Comments:

  • At Monday, October 17, 2005 9:44:00 PM, Anonymous Anonymous said…

    haaaa... baru best..baca terus-terusan.
    zulaikha.. sambut saja cinta amir zuhairi tu. ramai lagi yg menanti. nnt kalau dia dah tak ada, awak merana.
    hehheee..

     
  • At Wednesday, October 19, 2005 9:15:00 PM, Anonymous Anonymous said…

    hurm...nampaknya bukan setakat hani dan hana saja yg terpikat....makcik zubaidah juga dah terpikat pada zulaikha,

    Apa lagi kak zu...terima la abg Amir tu. baik aper dia...cuma arie tue je celupar sket...dalam celupar-celupar tue....dia dh jatuh hati pada bakal kakak ipar kembar tue...

    Alahai...twin cepatlah muncul...jalankan peranan anda...

    hehehe....best...go kak ija go~!!!

     
  • At Thursday, October 20, 2005 4:45:00 PM, Anonymous Anonymous said…

    seriadriani;

    zulaikha nak uji dulu...
    amir ni main-main ke, betul2..

     
  • At Thursday, October 20, 2005 4:50:00 PM, Anonymous Anonymous said…

    nisha_gal,

    x-zulaikha tengah pasang strategi,
    nak memenangi hati zulaikha kembali.

    suka kat watak Amir Zuhairi?

     
  • At Thursday, October 20, 2005 4:58:00 PM, Anonymous Anonymous said…

    diya:

    xm dah habis ke?

    zulaikha tengah pening kepala..
    hish3X... sama2 terkejut boleh jumpa depan org. tua..
    amir lagilah suka sangat! cool pulak tu!

    masalahnya semua org. mcm. suka sesangat tapi empunya diri x ada jawapan...

    hana dan hani akan muncul lagi. nantikan ep. berikutnya.

    thanks diya..

     
  • At Thursday, October 20, 2005 9:22:00 PM, Anonymous Anonymous said…

    EEeeee…. Kak ija!!!!!!! Cite makin best!! Zulhairi dah mula memikat… hiks! Zu pulak maintain nak jual mahal walaupun hati dah terpikat sbnrnya… :D bila diaorng nak jumpa lagi?

    :D :D :D

     
  • At Friday, October 21, 2005 1:39:00 PM, Anonymous Anonymous said…

    eita

    ramai yg. sokong amir
    tp x bermakna dia dgn. mudahnya nak pikat zulaikha..

    kita pun teruja juga
    :p

     

Post a Comment

<< Home