HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Friday, November 25, 2005

JANJI DIIKAT, KATA DIPADU

....... Aku menanti penuh resah di kamar yang serba indah. Bau bunga rampai serbak mewangi memenuhi ruang kamar yang berwarna 'beige'. Segala-galanya aku serahkan kepada mak untuk menyediakannya. Nak harapkan aku? Pasti segala-galanya tidak seperti hari ini..

Di ruang tetamu riuh rendah dengan suara-suara tetamu dan sanak saudara. Pihak lelaki telah tiba akhirnya, menurut waktu yang dijanjikan. Degupan jantungku bertambah kencang. Dari kamar ini aku mendengar suara Pak Long. Kata berbalas kata .....

Sedutan dari Ep. 28 - Nak tahu selanjutnya tunggu saya pulang dari kampung! :)

Tuesday, November 22, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 27

KEPASTIAN

Johari menelentang di dada katil. Segala yang dilakukannya serba tak kena. Matanya tertancap ke arah siling. Fikirannya berlari ke satu wajah. Sejak akhir-akhir ini wajah itu sering bertandang dalam tidurnya. Mengganggu emosinya.

Benarkah Zulaikha telah bertunang? Persoalan itu berulangkali menjengah mindanya. Bila waktunya Zulaikha mengenali lelaki itu?

Tak mungkin! Johari cuba menafikannya sendiri. Bila telinganya menangkap perkataan ‘tunang’ yang terluah dari bibir Zulaikha; Johari terasa jiwanya melayang. Harapan yang kian dibina seakan runtuh saat itu juga.

Baru kini dia menyedari kesilapan diri. Beberapa tahun kebelakangan dia tidak memperdulikan perasaan Zulaikha. Kenapa dia begitu bodoh! Saat segalanya baru bermula Zulaikha pula makin menjauh.

“Kerana dia yang “terbaik”, saya tak akan melepaskannya!” Kata-kata lelaki itu mengasak kembali otaknya.

Lelaki itu menjadi saingannya kini untuk merebut sekeping hati milik Zulaikha. Johari bertekad; walau apa pun caranya Zulaikha mesti menjadi miliknya jua. Mana mungkin dia akan melepaskan Zulaikha. Tidak mungkin! Hatinya menjerit.

Talipon bimbit di atas meja dicapai. Nombor ditekan. Deringan pertama. Deringan kedua masih tidak berjawab. Johari menanti penuh sabar.

“Ha..” Johari menyapa mesra.
“Maaf, saya bukan Zulaikha…”
“Zulaikha mana?” Johari ingin tahu.
“Dia sedang bersolat…
“Ada apa-apa pesanan?” Ramah suara di hujung talian.
“Minta dia call Johari.”
“Ok.” Talian dimatikan. Johari sedikit hampa.

10 minit telah berlalu. Talipon masih lagi tidak berbunyi. 20 minit berlalu. 30 minit berlalu masih lagi begitu. Johari cuba menalipon lagi. Agak lama juga baru panggilan dijawab.

“Assalammu’alaikum..” Terdengar suara halus Zulaikha. Gemersik di pendengaran Johari.
“Ha… Jo rindulah!”
“Mimpi apa ni?”
“Jo sakit ke?” Johari ketawa.
“Memang Jo rindu ini… Dah lama kita tak ‘dating’..” Johari menyatakan apa yang dirasa di saat itu.
“Eh.. setahun tanpa khabar berita, tak rindu pun!”
“Tiba-tiba saja dah pandai rindu?” Zulaikha bagai menyindirnya.
“Dulu lain, sekarang lain…”
“Sekarang ni memang Jo rindu sesangat dengan Ha. Kalau boleh nak selalu dekat dengan Ha.”

Senyap seketika, kemudian kedengaran tawa Zulaikha.

“Talipon ini nak cakap fasal itu?” Suara Zulaikha masih lagi lembut. Itu yang membuatkan Johari semakin rindu.

“Tak bolehke?”
‘Boleh… Cuma silap orang dan silap masa sahaja!”

“Betulke Ha dah bertunang dengan lelaki itu?”
“Minat juga nak tahu fasal Ha?”

“Jo cuma nak kan kepastian!”
“Apa yang didengar itulah kenyataannya.” Jawapan Zulaikha mengecewakan Johari. Rasa cemburu menjalar ke hati.

“Jo tak percaya! Ha bohongkan?”
“Ha lakukan semua itu kerana nak balas dendam.”
“Nak sakitkan hati Jo.”

“Ha tak paksa Jo mempercayainya… terpulanglah!”
“Tapi kenyataan tetap kenyataan.” Suara Zulaikha terasa menyakitkan telinga Johari.

“Mana Ha kenal dia?” Johari masih tidak berputus asa.
“Kenapa ambil berat sangat ni?” Soalan dibalas dengan soalan.

“Oklah Jo. Dah lama kita berbual ni..”
“Ha nak kena pergi kerja awal pagi esok.”

“Ha.. Jo sayangkan Ha!”
“Jo tak akan lepaskan Ha begitu saja.” Johari merayu.

Talian dimatikan bila Zulaikha mengucapkan salam.


**

Soalan Johari benar-benar menjeratku. Aku berbuat begitu kerana tidak mahu Johari menyimpan harapan lagi. Tidak mahu Johari mengganggu lagi. Cukup sahaja sebagai kawan. Tidak lebih dari itu.

Kini… pengakuanku membuatkan aku pula tersepit. Sudahnya aku juga harus menerima kenyataan, bahawa tidak lama lagi cincin bakal tersarung menghiasi jari manisku.

Kebaya nyonya bersongket ungu
Anggun dipakai di majlis rasmi
Hati berdebar menghitung waktu
Menanti hari mengikat janji

Tepak sirih penyeri hantaran
Sejak dahulu tidak dilupakan
Tidak terpujuk hati yang rawan
Senyum diukir jadi hiasan

Saturday, November 19, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 26

SIMPATIMU AKU DAMBAKAN

Petang Ahad itu kami bertemu lagi. Tempatnya di Selera Coffe House, Hotel Pan Pacific. Semakin aku ingin menjauhkan diri daripadanya, semakin kerap pula aku bertemu dengannya. Jika tidak kerana hal begini, tak mahu aku bersusah-payah datang sejauh ini.

Sejak pertemuan dengannya beberapa minggu lalu, dia semakin kerap menaliponku. Sekadar bertanya khabar katanya.

Sesekali dia mengajakku keluar. Aku menolak lembut. Alasannya banyak kerja di pejabat. Jadi hujung minggu aku perlu berihat di rumah.

Tiba-tiba pula aku yang ingin bertemunya! Amir Zuhairi agak terkejut juga bila menerima panggilanku. Itulah kali pertama aku menaliponnya.

Pada mulanya ingin saja aku bertanya tentang perkhabaran mak di talipon. Tapi aku sabarkan diri.
Sedang marah tak elok bercakap. Lain pula yang dicakap lain pula yang keluar. Perkara begini perlu dibawa berbincang. Sekurang-kurangnya aku boleh melihat reaksi Amir Zuhairi yang sebenarnya.

Kami mengadap makanan yang terhidang di meja Aku sedang berkira-kira untuk memulakan perbualan. Tapi macammana ini. Tak mungkin aku nak terus memarahinya.

“Datang dengan apa?” Dia bertanya sebelum sempat aku memulakan bicara.

“Komuter..” Pendek jawapanku. Aku meminta Syikin menghantar ke Stesen Komuter Serdang. Mudah. Tak perlu nak bersesak-sesak di jalanraya. Lagi pun Hotel Pan Pacific berdekatan dengan Stesen Komuter Putra.

“Em…. “ Aku diam kembali. Kenapa pula aku boleh kelu ni.

Amir pula tak habis-habis menatap wajahku. Ini yang aku tak tahan. Kali pertama bertemu macam itu juga. Kali kedua lagilah. Depan mak pun dia berani buat begitu. Sampaikan aku diusik oleh Mak dan Kak Ngah. Mak Cik Zubaidah pun turut sama memainkan peranan.

Aku meneguk fresh orange. Sambil itu aku mengumpul kekuatan diri.

“Mak I baru talipon….” Aku tidak meneruskan perbualan. Dia memandangku lagi.

“Jadi Zu dah tahulah ya?” Nama pendekku digunakan. Tiada lagi panggilan you.

Amir Zuhairi tersenyum. Bukan senyuman sinis. Bila dia tersenyum, wajahnya semakin menarik. Patutlah mak berkata sedap mata memandang.

“You memang dah rancangkan dari mula lagi ya? “
“Datang rumah I kemudian buat keputusan sendiri!” Aku inginkan kepastian.
“Actually I pun tak tahu yang I akan ke rumah Zu Bila ibu I ajak I ikut saja.”
‘Tak sangka pula segalanya berjalan begitu mudah.”
“Pucuk dicita ulama mendatang..” Aku menarik nafas mendengar penjelasan Amir Zuhairi.

“Mengapa you pandai-pandai menghantar lamaran? You tak tanya pun pendapat I.” Suaraku tidak bernada tinggi. Tapi cukup untuk dia mengetahui akan ketidaksenangan perasaanku saat itu.

“Kenapa pula nak meminta pendapat Zu? Tanyalah ibu I. Dia dah tak sabar-sabar nak menerima menantu. I pun ikut ajelah…” Ujarnya bersahaja.

“Carilah orang lain, kenapa I pula?”.
“Mesti ramai yang berlumba-lumba nak terima pinangan you!” Aku masih mempertahankan kebenaran pemikiranku.

“Pilihan seorang ibu itu selalunya tepat. Mana ada ibu yang nak lihat kehancuran anak mereka. Mereka selalunya pilih yang terbaik untuk anak-anak mereka.” Macam ceramah pula aku mendengar kata-kata Amir Zuhairi.

“At least you cakaplah you tak bersetuju. I pasti ibu you akan dengar cakap you.”
“Dia akan mencari orang lain untuk you” Aku memberikan usul.

“Siapa kata I tak bersetuju?” Jawapannya membuatkan hilang arah.

“I tak bersetuju!” Aku separuh menjerit. Sedaya upaya memperlahankan volumenya. Risau pula kami menjadi bahan perhatian.

“Perkahwinan adalah persetujuan antara dua pihak. Kalau satu pihak tak bersetuju, perkahwinan tidak akan memberi apa-apa makna.” Aku bersuara penuh yakin.

“Lagi pun memang I tak cintakan you…”
“Bukankah itu membuktikan bahawa hubungan ini tak akan berjalan dengan baik.” Aku melepaskan geram.

“Cinta boleh dipupuk setelah berumahtangga”
“Zu tengok berapa orang yang bahagia walaupun pada mulanya tiada perasaan cinta. Cinta yang dah ada bertahun-tahun pun tidak menjamin kebahagiaan sesebuah rumahtangga.” Pandai pula dia memberikan pendapat.

Ah… semakin rumit pula perbincangan ini. Ia tak semudah yang aku sangkakan. Aku fikirkan Amir Zuhairi akan mengerti apa yang aku rasa saat ini. Rupanya jauh dari jangkauanku.

“Lagipun…….” Dia berhenti sebentar.

“Zu… “ Panggilnya lembut. Baru aku sedang aku tidak menumpukan sepenuhnya kepada kata-katanya sebentar tadi. Amir Zuhairi memandangku penuh tandatanya.

“Mak Zu pun dah bersetuju. Lamaran dah diterima”.
“Tentang anaknya I tak tahulah…”
“Kata itu adalah janji.” Bukan aku yang berjanji. Janji mak membuatkan aku betul-betul tersepit.

Aku mengeluh. Niat di hati tadi ingin meminta pertolongan supaya Amir Zuhairi membatalkan lamaran ini. Sudahnya aku pula yang mendengar ceramah tak rasmi darinya.

“I tetap tak bersetuju.” Aku mengulangi kata-kata itu.

“Itu I tak tahu. Yang penting semua orang dah bersetuju. You tunggu ajalah nanti bila kita diijab kabulkan.” Amir Zuhairi berkata tegas. Autocratic betul!

Belum apa-apa dia telah membuat perancangan sendiri. Bertunang pun belum tentu lagi…. Dah fikir hendak hidup bersama. Macamlah aku telah bersetuju.

“Cakap you saja yang nak diikut. Kahwin besok entah macam mana?” Aku melepaskan rasa tidak puas hati.

“Lepas kita kahwin, Zu tahulah siapa suami Zu nanti.” Aku terkejut dengan kenyataannya. Dia tersengih. Eeee…. Macammana aku boleh terlepas cakap tadi.

“Kita sebenarnya dah bertunang pun…” Dia mencelah.

“You jangan nak merepeklah. Kita baru nak membincangkan…” Aku membalas kata-katanya.

“Zu, ini cepat lupakan!”
“ Masa susah minta pertolongan I. Masa senang tak pedulikan langsung.”

“Apa yang I buat, I tak lupa apa-apa pun.” Aku menjungkit bahu tidak faham cakap-cakapnya.

“Kan Zu dah mengaku yang I tunang Zu masa diperkenalkan dengan Johari dulu. Tak ingat lagi?” Aku menggelengkan kepala. Baru aku teringat saat itu.

“I dah ucapkan terima kasih atas pertolongan you tu.”

“Kata orang budi baik dikenang juga. Ada masa perlu dibalas.” Kata-kata Amir Zuhairi menyentap perasaanku. Terlalu dalam maknanya..

“So, permintaan I tak banyak.”
“Terima saja lamaran itu, habis cerita.”
“Anggap saja ini muktamad. No compromise..” Aku membisu.

“Percayalah….”
“Persetujuan Zu akan menggembirakan semua pihak. Termasuk I.” ujarnya lembut.

Memang semua pihak akan gembira. Bagaimana pula dengan aku? Aku ingin bersuara lagi. Untuk apa? Segala-galanya telah jelas kini. Apa pun alasan aku. Keputusan telah dibuat.
"Lepas ini kita boleh membeli barangan untuk majlis pertunangan pula. Tak sabar rasanya nak bershopping dengan Zu.” Kita? Aku dan dia? Persoalan itu datang dan pergi.

Amir Zuhairi pula terlebih gembira. Macam pula dia jadi perempuan. Aku pula jadi lelaki. Biasanya perempuan yang excited sangat memperkatakan majlis pertunangan. Ini dah terbalik pula.

Aku jadi mangsa persahabatan akrab Mak dan Mak Cik Zubaidah. Jadi mangsa? Macam teruk sangat bunyinya. Aku bukan pula didera. Kepada siapa harus aku mengadu?

“Kita jalan-jalan dulu, kemudian I hantar Zu balik.” Suaranya memecah kebisuan antara kami..

Nak jalan dengan Amir Zuhairi? Kalau boleh ingin saja cepat-cepat aku beredar dari situ.. Hasil perbincangan tidak menyebelahiku. Tak seperti yang aku harapkan.

“Serdang tu jauh. I tak mahu menyusahkan you…”
“Lagi pun kereta I parkir kat Stesen Komuter tu.” Aku memberikan penjelasan. Sengaja menyembunyikan hakikat sebenar.

Aku inginkan ketenangan di saat ini.

“Kalau macam itu, kita jalan sama-sama ke Stesen Komuter..” Aku tak dapat mengelak lagi.

Dalam perjalanan pulang. Aku teringat kata-kata ini yang dipetik dari sebuah blog yang aku kunjungi:

Kalau pun terlalu membenci
Usah pamirkan sepenuh hati
Kalau pun terlalu menyukai
Usah luahkan separuh mati
Nanti rindu jadi benci
Benci jadi rindu

Aku tidak menyukainya tapi aku terpaksa menerimanya. Rela dalam paksa?

*****

Hadiah di hujung minggu buat pengunjung setia dan pembaca e-novel ini. Terima kasih kepada Ann yang menalipon kak Ija. Seronok dapat berbual dengan Ann. Ha..ha.. rupanya ramai peminat Amir Zuhairi di sini. Atas kriteria apakah Amir Zuhairi diminati? Ada sesiapa yang nak memberikan jawapan???

Friday, November 18, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 25

HASRAT TAK TERCAPAI

“Hampanya hati Hana kak…”
“Hancur luluh segala harapan…” Hana mempamerkan riak wajah yang muram

“Putus cinta ke?”
“Jumpa akak terus meluahkan rasa kecewa?”
“Siapa yang dah hiris hati Hana ni Hani..” Aku bertanya tanpa henti.

Agak lama juga aku tidak bertemu dengan si kembar ini. Masing-masing sibuk dengan tugas dan tuntutan waktu yang bagai tidak mengizinkan kami bertemu. Aku pun memang agak lama juga tidak on-line. Ialah sejak berita yang mak bawa itu, perasaan menjadi tidak keruan. Hidup aku pun macam tunggang langgang saja.

“Tak ada siapa kak..” Beritahu Hani.

“Kalau tiada siapa yang menyakiti hati Hana, mengapa muka itu macam tapai masam saja.”
“Pelik betul akak tengok!” Aku cuba menceriakan suasana.

Pecah ketawa Hana dan Hani. Aku pun tumpang ketawa sama.

“Akak ni… tak patut betul! Ada ke muka Hana yang ayu ni disamakan seperti tapai masam.” Hana meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya.

“Habis itu apa? Ceritakanlah kepada akak.” Ingin sangat aku mengetahui apa yang terbuku di hati Hana saat itu.

“Along Hana itu….”

Hana teringat kembali perbualannya dengan Alongnya semasa pulang bercuti dulu. Satu-satunya abang dan lelaki di dalam keluarganya. Waktu itu mereka bersantai di halaman rumah. Duduk-duduk sambil mengambil angin petang. Berbicara pasal studi dan lain-lain lagi.

Peluang yang ada tidak Hana sia-siakan.

“Along, Hana nak tanya sikit, boleh tak?” Hani yang duduk di sebelah memandang Hana. Tahu apa yang akan keluar dari bibir Hana. Sebelum itu pun mereka telah pun berbincang siapa yang patut memikul tugas tersebut.

“Ada masalah ke? Tiba-tiba saja nak bertanya?” Along meletakkan majalah yang dibaca. Muka adik kembarnya dipandang silih berganti.

“Along dah ada ‘girl-friend’ ke?” Hana bersuara perlahan. Risau juga dia kalau-kalau abangnya naik angin tiba-tiba.

“Melambak! Tak terkira dengan jari.” Along menjawab. Muka dialehkan kepada majalah kembali.

“Tahulah… yang ‘specialnya’ ada ke?” Hani pula mencelah.

“Apahal ni.. Balik ke rumah sekejap macam CIA pulak. Menyiasat hal peribadi Along.”

“Orang sesekali balik ni.. masakkanlah makanan yang sedap-sedap. Tunjukkanlah kepakaran dalam bab masak memasak.”
"Tak tahu, belajar bukan pandai makan saja." Hana dan Hani terdiam seketika. Siang-siang kena perli.

"Along ni... ke situ pulak! Siapa kata kami tak pandai masak. Tengok oranglah..." Hani mempertahankan diri.

"Along jangan nak tukar topik pulak?" Hana mengingatkan. Along tersenyum melihat keletah adik kembarnya.

“Kalau tak ada… Hana nak kenalkan Along dengan seseorang…” Hana menyambung kembali perbulan asal yang terhenti. Memberanikan diri menyatakan apa yang terpendam di hati.

“Bab itu Along tak minatlah! Baiklah Hana dan Hani tumpukan kepada pelajaran.”

“Along tak tengok lagi siapa yang nak kami kenalkan.”
“Orangnya baik Long! Cantik.. Kalau Along dah jumpa dia… kami percaya Along akan menyukainya.” Hana memujuk.

“Oh… dah berpakatlah ni..”
“Apa lagi yang Hana dan Hani dah ceritakan pasal Along kat dia?” Perbualan menjadi semakin rancak.

“Kami tak cerita apa-apa. Dia pun tak tahu apa-apa.”

“Hana… cantik sahaja tak mencukupi. Ia mesti diiringi dengan eleman lain. Kadang-kadang sifat luaran seseorang itu tidak sama dengan apa yang ada di dalam. Sesiapa sahaja boleh menunjukkan dia baik. Berpura-pura baik untuk mendapatkan sesuatu yang diidamkan.” Panjang lebar Along memberi nasihat.

“Dia ni tak macam itu Along. Kami yakin!”
“Itu sebabnya kami nak kenalkan dengan Along.”
“Along jumpalah dia dulu.....”
“Kemudian, barulah Along buat keputusan..” Hani pula cuba memujuk.

“Buat masa ini Along tak mahulah pening-peningkan kepala memikirkan semua itu.”

“Along ni… kata tak ada mak we, orang nak kenalkan pun tak mahu!”
“Bukannya kena bayar….”
“Paling tidak pun belanja makan sahaja.” Hana masih belum putus asa memujuk. Matanya dilarikan ke halaman rumah. Terpesona dengan bunga-bunga yang berbagai warna. Memang ibunya rajin menanam pokok bunga.

“Macam ni lah.. Biar Along menentukan siapa pilihan hati Along.”
“Hana dan Hani tak perlu risau.”
“Kita tutup cerita itu!” Along memberikan keputusan.

*****

“Hari itu akak dah beritahu, abang Hana itu dah ada pilihan sendiri.”
“Kita tak boleh paksa orang lain mengikut kehendak kita Hana.” Aku memberikan pendapat setelah Hana habis bercerita.

“Rasanya macam hendak sangat Hana check handphone Along Hana itu.”
“Nak tahu siapa Along sedang berkawan.” Hana masih tidak berpuas hati.

“Tak baik Hana, Hani..”
“Cuba Hana di tempat abang Hana.”
“Mesti Hana tak suka keadaan macam itu. Itu namanya pencerobohan. Menggangu privasi.” Aku sekadar memberikan nasihat.

“Hani tak puas hatilah kak!”

‘Tak puas hati pun Hani kena terima.”
“Kena hormat keputusan abang Hana dan Hani.”

“Tapi Hani nak juga kenalkan kakak dengan Along….” Hani melepaskan rasa geramnya.

“Jangan risau… Kakak tetap kakak kamu berdua walaupun tak kenal siapa abang Hana dan Hani” Aku pun tak mahu memanjang-manjangkan cerita. Cerita aku pun belum lagi ada jalan penyelesaian.

Wednesday, November 16, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 24

KELIRU
Aku melepaskan pandangan ke luar jendela. Langit gelap tak berbintang. Angin malam bertiup lembut. Terbuai-buai langsir terkena angin di tingkap separuh terbuka itu.

Kata-kata emak memenuhi ruang kepala. Berulang-ulang. Cepatnya waktu berputar. Begitu cepat juga emak membuat keputusan.

“Mengapa Zu?” Syikin inginkan kepastian.

Sejak mendapat panggilan emak, aku tidak banyak bercakap. Apa yang Syikin cakap antara dengar dengan tidak sahaja. Minatku untuk menonton tv juga mati.

Aku meraup wajah sendiri. Jari jemari memintal-mintal rambut. Kemudian duduk menongkat dagu. Berfikir.

Bila berkeadaan begini, Syikin amat mengerti. Masalah besar sedang melanda dalam diriku.

“Dari tadi aku lihat kau macam ini…”
“Makan pun sikit sangat. Kalau tidak ulam-ulam dalam piring itu habis kena baham!” Waktu-waktu begini Syikin masih sempat bergurau.

Menu malam ini memang menyelerakan. Sambal tumis udang, ikan sepat goreng, kailan goreng dan ulamnya kacang botol dan pegaga. Tidak ketinggalan sambal belacan dan budu yang dibawa oleh Syikin dari Trengganu. Tapi aku kurang berselera menikmatinya.

“Selalunya kan… kalau seseorang itu tak lalu makan, asyik menung sana menung sini itu tandanya dah diserang sejenis penyakit!” Syikin menyikuku lalu tersenyum.

“Aku sihatlah! Mana ada sakit..”
“Kalau sakit tentu aku tak duduk di sini, berihat di hospital.”

“Sakit yang tak terpandang oleh mata kasar, hanya hati sendiri yang mengetahui.” Syikin berfalsafah.

“Mengaku sajalah Zu…”Syikin separuh merayu.

“Nak mengaku apa? Aku tak buat salahlah…” Sengaja aku mengusik Syikin pula.

“Risau aku tengok. Sejak tadi mundar mandir. Sekejap duduk sekejap bangun.”
“Ceritalah Zu…. “

“Otak aku sarat sangat ni. Tak tahu nak fikir macam mana lagi! Buntu betul.” Memang aku teramat buntu saat ini.

Syikin masih menunggu.

Apa yang emak beritahu, itulah yang aku ceritakan kepada Syikin. Tidak satu pun yang tertinggal.

“Tahniah. Masin mulut aku!” Perkataan itu meluncur laju dari bibir Syikin sebaik saja aku habis bercakap.

.“Aku ingatkan kau bersimpati tapi tidak. Terlebih suka pulak dia.” Aku menarik muka dan mengetap bibir. Geram sungguh dengan perangai Syikin

“Sukalah sebab kawan aku ada ‘body-guard’ tak lama lagi!”
“Sakit pening ada orang ambil peduli..” Sesekali kalau biarkan Syikin bercakap mengalahkan mak nenek pula.

“Betul juga kata emak Zu, nak tunggu apa lagi.. “
“Atau masih mengharap Johari?”

“Zu pernah cakapkan Johari itu tak ada dalam kamus hidup Zu lagi.” Syikin semakin serius berkata. Macam aku berhadapan dengan mak pula.

“Orang perempuan ini biar orang lelaki suka lebih kepada kita, jangan kita yang terlebih suka kepada mereka. Dari situ kita akan tahu bahawa mereka amat menghargai kita…”

“Bukan macam Johari itu! Dulu…endah tak endah, sekarang ini terkejar-kejar. Tambahan pula ada persaingan. Baru dia tahu langit tinggi ke rendah.” Ini yang aku tak tahan dengan Syikin. Habis semua diputar kembali.

“Terima MR 12* tu? Tak terfikir langsung dia bakal jadi…..” Aku tak jadi menyambung ayat itu.

“Aku yakin….dia memang bersungguh-sungguh tu.”
"Aku fikir tak! Dia pun tersepit macam aku ini." Aku mencelah kata-kata Syikin.

“ Kalau tidak pinangan tak akan dihantar. Nak dapat anak, hati emak kena tawan dulu.”
“Bagus strategi dia.” Syikin tersenyum lebar.

“Terima sajalah…. Tak perlu nak pening-peningkan kepala” Syikin menutup mulutnya. Beberapa kali aku tengok dia menguap.
Tak sedar aku malam semakin larut.

Apa pun yang Syikin katakan.. Hatiku masih tetap tidak mahu menerimanya.
Di corong radio, aku mendengar bait-bait lagu ini...
- Kalau pinang masih muda
Rasanya kelat sudahlah pasti
Kalau hilang kasih lama
Cari lain sebagai ganti
Mengapa dinanti...

- Patahkan tumbuh hilang berganti
Akan sembuh kalau diubati,,,


Tuesday, November 15, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 23

DITELAN MATI MAK, DILUAH MATI BAPAK

Panggilan emak sebentar tadi membuatkan aku terus menggeletar. Terasa mahu aku pitam saat itu juga. Emak memang sihat. Tidak sakit apa-apa. Cuma berita yang mak sampaikan menjadikan aku seperti orang sakit. Lidah aku kelu seketika.

“Ada orang berharap sungguh….”
“Secara lisannya mak dah pun bersetuju.” Ucap mak panjang lebar.

“Bersetuju apa mak? Berharap apa?” Aku terpinga-pinga.

“Susah betul bercakap dengan kamu ni…"
“Benda senang macam ini pun tak faham!” Dapat aku bayangkan wajah mak kalau kami berhadapan. Dengan matanya yang sengaja dibesarkan bila aku bertanya kembali.

“Memang adik tak faham sungguh. Mak cakap berbelit-belit. Cuba mak beritahu dalam ayat yang mudah.” Terasa aku seperti guru BM bila bercakap dengan mak begitu.

“Ada orang masuk meminang. Mak dah pun menerimanya. Tunggu saja hari bila nak adakan majlis pertunangan.” Jelas mak. pendek.

Aku yang mendengarnya terasa pening tiba-tiba. Janganlah migrane aku datang pada saat ini.

“Siapa dia mak? Senang-senang aje mak nak terima tanpa bertanya adik dahulu?” Aku menunjukkan rasa kesal.

“Adik tak kenal dia pun. Diam-diam mak buat keputusan sendiri.” Suaraku semakin sayu. Terasa air mata hampir menitis. Sebak membanjiri hati.

Sepatutnya aku gembira mendengar berita ini. Ialah dalam umur masuk 27 tahun ada org. yang berminat denganku. Tapi tidak dengan aku. Perkhabaran itu seperti satu hukuman pula.

Sampai hati emak menentukan haluan hidup aku sendiri. Aku dah dewasa. Umur pun dah 27 tahun. Tapi mak pula yang memandai-mandai menetapkan jodohku. Walau pun zaman dah bertukar, pemikiran mak masih sama dengan zaman dahulu.

“Apa pula kamu tak kenal. Kamu dah jumpa pun bakal tunang kamu itu..” Emak menyambung lagi.

Ini dah kes teruk. Mak dah pula mengatakan entah siapa-siapa itu bakal tunang aku. Bila pula aku dah berjumpa dengan mamat ini.

“Belum apa-apa lagi mak dah mengaku dia bakal tunang adik. Mak tak tanya pun pendapat adik. Mak janganlah nak bergurau dengan adik. Ini hidup adik…” Aku semakin merasa tertekan.

“Kamu kenal kan… Anak mak cik Zubaidah itu. Alah yang datang masa majlis kenduri kesyukuran Kak Ngah itu.” Kata-kata mak mengingatkah aku kepada majlis itu.

“Budak lelaki yang bersembang dengan kamu tu. Yang selalu mak cerita dulu. Tak kan kamu tak ingat lagi. Bukannya lama sangat majlis itu.” Telefon di tanganku hampir terlepas mendengar kata-kata emak.

“Adik belum nak kahwin lagi mak!” Aku separuh menjerit.

Dengan Amir Zuhairi… Hish lelaki itu tak sudah-sudah nak menyusahkan hidup aku. Pandai-pandai pula dia hantar rombongan. Macam manalah dia boleh mengikut saranan emak dia. Tak sangka ada juga lelaki yang ikut saja cakap emaknya. Tak faham sungguh.

“Tolonglah…. Mak. Adik tak mahu. Janganlah paksa adik.” Aku memohon simpati emak.

“Apa yang kurang dengan budak itu. Kerja pun bagus. Rupa pun sedap mata memandang. Budi bahasa pun tak kurang.” Aku tahu kata-kata emak mesti merujuk pertemuan di majlis itu.

Pandainya Amir Zuhairi berpura-pura. Tak sangka pula aku kedatangan mereka bukan sekadar lawatan sahabat lama. Rupanya mempunyai agenda tersendiri. Aku saja yang tak tahu menahu.

Patutlah mak cik Zubaidah sering memandang aku dan Amir Zuhairi. Kemudin senyum sendiri. Yang Amir ini satu hal, terlebih ramah lagi dengan ‘artificial smiles’nya.

“Macam mak beritahu tadi. Mak dah bersetuju. Tak mungkin mak nak menolak pula. Mak cik Zubaidah itu pula kawan mak. Mak tak nak kecilkan hati dia..” Inilah payahnya kalau kawan dengan kawan mengatur hidup anak-anak.

“Kamu pun tak ada kawan lagi. Atau pun kamu masih lagi menunggu Johari tu? Kawan lama-lama pun tak menjadi juga.” Mak semacam mengeluh.

Aku terdiam seketika, bila nama Johari dibabitkan sama. Memang aku akui segala kata-kata emak. Tak dapat disangkal lagi. Tapi mengapa pula Amir Zuhairi jadi pilihan? Sampai emak pun tertarik dengan MR. 12*.

“Bagilah adik berfikir dulu mak…” Aku masih tidak berputus asa.

“Tak payah fikir-fikir. Mak buat segalanya yang terbaik untuk adik.” Itu kata putus mak.

“Mak dengan mak cik Zubaidah tak perlulah mengatur hidup adik mak. Mana tahukan Amir itu dah ada pilihan. Kan susah nanti jadinya.” Aku memberitahu mak.

“Amir itulah yang beria-ia nak kan kamu!” Kenyataan itu tambah mengejutkan aku.

Aku terdiam. Apa lagi nak dicakapkan. Mak telah pun membuat keputusan.

“Terpulanglah kepada mak….” Akhirnya aku menjawab lemah.

Gagang talipon diletakkan setelah perbualan berakhir dengan salam.

Tiba-tiba saja hati aku yang sedih bertukar rentak bila teringatkan Amir Zuhairi. Kalau dia berada di depan aku saat ini… tahulah apa aku nak buat dengannya. Perang besar pun peranglah. Apa aku peduli.

Apa perlu aku buat. Bertemu dengannya? Hish… tiap kali dia mengajak keluar aku sering menolak. Aleh2 aku pula yang bagai tak sabar untuk bertemunya.

Kalau tak bertemu bagaimana harus ada jalan penyelesainya? Aku menjadi semakin bingung...

Sunday, November 13, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 22

SEMAKIN KUSUT

“Sampai hati Ha!” Lirihnya suara Johari di hujung talian. Dia tidak menunggu lama untuk menaliponku sepulangnya dari restoran itu.

Aku memang tidak menduga bahawa pertemuanku dengan Amir Zuhairi akan diiringi pula oleh Johari.

Saat aku melepaskan pandangan ke arah mereka berdua, hatiku berbisik sendiri. Ada sesuatu yang bakal terjadi. Mereka saling berpandangan. Riak di wajah Johari menampakkan rasa ketidaksenangan. Agak keruh.

Amir Zuhairi tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Cuma keningnya terangkat sedikit sambil menghulurkan sudu kepadaku.

Aku pula yang semakin resah.

Ketika itu juga aku mendapat idea nakal…

“Kenalkan, kawan I… Johari.” Aku memandang Amir Zuhairi.

“Jo…” Aku terhenti seketika.

“Ini tunang Ha.. Amir Zuhairi.” Mereka berjabat tangan.

Johari memandangku lama. Kurang percaya dengan apa yang didengarnya. Mungkin meminta aku mengulanginya ayat itu sekali lagi. Ya… diam-diam, tanpa angin dia menerima perkhabaran itu.

Aku tidak berani memandang wajah Amir Zuhairi saat aku menyatakan perkataan ‘tunang’. Walau apa anggapannya, aku ada sebab tersendiri untuk menyatakan begitu.

“Rasanya… kita pernah bertemu sebelum ini..” Aku pula diberi kejutan. Bila pula mereka bertemu?

“Di mana ya? I rasa inilah pertama kali kita berjumpa.” Jawapan Johari membuatkan aku memandang wajah Amir Zuhairi. Mereka bermain teka-teki. Seorang mengatakan pernah berjumpa, seorang lagi menafikannya.

“Saya tersilap orang kot! Mungkin pelanduk dua serupa agaknya….”

“Dah lama kenal Ha?” Amir Zuhairi memandang wajahku tatkala soalan itu diajukan kepadanya. Tersenyum.

“Ikut kalendar mungkin tidak cukup haul tapi cukup untuk mengenali hati budinya.” Pandainya Amir Zuhairi berjenaka.

“I pula dah lama kenal Ha…. Dia ini memang kawan ‘terbaik’ I. Sayangnya… orang lain dah sambar dulu.” Ada bunga-bunga kekesalan di dalam kata-kata Johari.

Cerita yang aku reka semakin kusut jadinya. Tidak seperti yang aku harapkan. Aku fikir Johari akan berundur dengan begitu mudah. Lagi pun semenjak dia pulang dari luar negara, sikapnya semakin berubah. Tidak terlalu mendesak.

“Kerana Zulaikha yang terbaik, saya tak tunggu lama untuk mengikatnya.” Ada pertentangan dalam kata-kata Amir Zuhairi. Putik-putik perang dingin mula meletus di antara mereka. Kerana perkataan “tunang”, perbualan pun semakin hangat.

“Sepatutnya Ha keluar dengan I hari ini.. tapi dia menolak. Rupanya nak keluar dengan ‘tunang’ dia.” Johari menimbulkan kembali pelawaannya yang aku tolak.

“Well… best man win!” Amir Zuhairi tidak mahu mengalah.

‘Setakat tunang belum tentu akan berkahwin. Bila-bila masa pun boleh putus!” Aku terkebil-kebil mendengar suara Johari yang mendatar. Menahan marah barangkali.

Jelas sekali kata-kata itu berbau amaran. Amir Zuhairi sedikit terkejut. Pandangannya tertumpu kepada aku pula. Dia terheret sama dalam masalah aku dan Johari. Andai aku tidak gatal-gatal mulut membuat cerita pasti perkara begini tidak terjadi.

Dalam hati aku berdoa, usahlah ada perbalahan di antara mereka.

“Oklah… member-member Jo pun dah lama menunggu tu. Jo ingatkan nak kenalkan mereka dengan Ha. Tak kesampaian kali ini.” Johari merujuk kepada situasi kalau aku menerima pelawaannya untuk bertemu.

Aku lega. Sekurang-kurangnya aku tidak duduk di situ menyaksikan gelagat mereka berdua. Mendengar perbualan mereka yang semakin lama tidak sedap di pendengaran.

“Tahniah dari Jo… “ Tangannya dihulurkan kepadaku.

Sebelum beredar sempat dia berbisik kepadaku. Sesuatu yang membuatkan aku hampir ketawa. Nampaknya lakunan aku tadi bejaya menimbulkan kemarahannya.

Situasi yang berlaku membuatkan selera makanku terbantut kembali.

Aku menanti Amir Zuhairi bersuara. Bersedia untuk menjawab segala pertanyaannya. Anehnya Amir Zuhairi selamba sahaja. Bagai tiada apa yang berlaku. Boleh pula dia meneruskan kembali menikmati juadah hari itu.

“Berapa yang I patut bayar?” Aku merujuk kepada tujuan pertemuan kami.

“Bayar apa?” Dia menyoal kembali. Eh… Mamat ni pelupa ke buat-buat lupa.

“Bayar repair kerosakan kereta you…akibat perlanggaran hari itu.” Kalau dia lupa biar aku ingatkan kembali.

“Zulaikha sudi keluar dengan saya ini pun dah dikira satu rahmat. Maknanya bayaran itu telah dijelaskan.” Mudahnya cara bayaran dia. Kalau macam itu sesiapa yang melanggarnya, ajak keluar makan. Segalanya telah selesai.

“I am serious…. Cakaplah berapa yang I patut bayar?”

“Saya pun tak main-main. Serious juga…” Ujar Amir Zuhairi.

“Maknanya I tak berhutang lagi dengan you?” Aku inginkan kepastian. Mana tahu hari ini cakap lain, besok lain pula jadinya.9

“Zulaikha nak surat perjanjian ke?” Ah ke situ pula pertanyaannya.

“Tak percaya dengan apa yang saya beritahu tadi?” Dia pula menyoalku

“Terima kasih.” Aku menghadiahkan sekuntum senyuman kepadanya.

“Kalau Zulaikha senyum selalu kan manis!” Aku meletakkan kembali gelas yang hampir ke bibir. Mujurlah aku belum minum lagi. Jika tidak pasti aku tersedak kala itu.

Wah main puji-puji pula. Ikhlaskah pujian itu? Atau ada makna di sebalik kata? Zulaikha… tak baik berprasangka. Suara dalaman mengingatkan.

“Hari ini saya rasa bertuah sekali. Dapat makan dengan Zulaikha dan dapat sedekah juga..”

“Sedekah?”

“Senyum itu kan satu sedekah!” Dia menguraikan kekeliruan yang bermain di fikiranku.

Aku senyum lagi. Tak sangka pula! Amir Zuhairi boleh bergurau.

Dalam perjalanan pulang ke rumah Kak Ngah, persoalan ‘tunang’ tertutup rapi. Amir Zuhairi tidak membangkitkannya. Aku harap dia akan melupakan insiden itu.

*******
Maaf ya... saya bercuti sakan selama 2 minggu. Cuti Raya kemudian cuti-cuti Malaysia. Khas buat semua pengunjung blog ini, n3 baru ala2 raya (tapi x ada cerita raya di dalamnya..) Salam sayang buat semua.