HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Thursday, August 24, 2006




TENTANG CINTA

- Hadirnya tidak terasa, keindahan bermain di jiwa, sehari tidak bersua, rindu menyelinap di segenap rasa.
- Cinta menggelapkan pandangan mata, imaginasi melebihi segala, biar pun jelek namun tetap indah di mana-mana.
- Apa orang kata tidak perlu diambil kira, yang penting hati rasa gembira..
- Ke lautan api sanggup direnangi, ke gunung sanggup didaki, ke lurah sanggup dituruni, sanggup berkorban apa saja malah mati pun ingin bersama.
- Cemburu berdetik di hati, lagu menjadi teman.. wajahnya di mana-mana...
- Bila diulit rasa, wajah menceritakan segalanya....
- Tidak selamanya tamat di gerbang perkahwinan, ada kalanya kandas di perjalanan....

*****

Cinta berada di mana-mana
Cinta itu milik kita
Luas pengertiannya..
Cinta sesama insan
Cinta kepada Tuhan
Akal dan fikiran
Dapat membezakan
Antara kebenaran dan kepalsuan...

*****

- Ain menjadi pelik dengan sikap lelaki itu. Dari tadi hanya berdiri di situ. Ain mengira-ngira agaknya ada dalam setengah jam. Orang datang dan pergi silih berganti. Tapi dia masih di situ. Menjadi pak pacak.

"Menanti temankah dia?" Ain bertanya sendiri. Untuk apa aku sibuk-sibuk pasal dia. Ain menjawab sendiri.

Lebih menggusarkan Ain, mata lelaki itu tidak lepas dari memandangnya.
"Orang jahat nak merompak aku?" Rasa takut mula mencengkam dalam hatinya.

Sedutan dari "TIADA KEDUA" akan menemui anda tidak lama lagi....

Tuesday, August 15, 2006

SUKARNYA MEMAHAMI HATI LELAKI ITU..


Malam yang gelap. Bintang tidak kelihatan di dada langit. Aku duduk sendiri di kamar sepi ini. Ditemani alunan lagu merdu dari stesen kegemaranku. Sesekali aku menyanyi kecil. Mengikut rentak lagu yang diputarkan.

Penat melihat keluar, aku berbaring di atas katil. Jam di dinding menunjukkan malam semakin larut. Entah kenapa mata ini masih tidak mahu terlelap lagi. Puas aku mengiring ke kiri dan ke kanan. Namun kedua mata masih terbuka luas.

Aku mengimbas kembali pertemuan antara aku dan dia. Banyak sakitnya dari baik. Entah kenapa setiap pertemuan dengan dia mesti berakhir dengan pertelingkahan. Ada saja yang tidak kena di mataku. Sikapnya yang bersahaja kadang-kadang menjengkelkan.

Aku tak tahu apa yang dicari dalam diriku. Apa yang diinginkannya. Apa saja yang aku lakukan sedikit pun tidak menggoyang pendiriannya. Malah ada masa dia tersenyum. Ada masa dia ketawa dengan sikapku. Ada masa dia kembali mengusik membuatkan aku terus menarik muka tebal.

Apa manisnya perhubungan ini jika hati sering disakiti. Namun dia begitu-begitu juga. Tidak jemu bertanya khabar. Tidak bosan dengan suaraku yang marah-marah. Ada waktunya belum habis perbualannya aku telah menutup talipon. Selagi belum dimatikan nada itu akan terus berdering.

Aku benci dengan dia. Benarlah kebencian telah menutup segala ruang rasa dari melihat kebaikannya. Yang ada dalam mataku hanya sikap dia yang begitu merimaskan.

Masih ada juga lelaki yang bersifat begitu. Tidak berhenti merayu. Walaupun berulang kali niatnya ditolak namun dia tidak pernah berputus asa. Alangkah mudah jika dia memahami bahawa tempatnya memang tiada di dalam hati ini. Mengapa masih sukar untuk memahami lagi.

Di luar sana mungkin ada perempuan yang memahaminya. Menerima huluran tangannya. Namun aku juga yang dicari.

Lelaki, sukarnya aku memahami isi hatimu... Bagaimana akan aku kabarkan lagi? Apakah cinta membuat hatimu begitu kebal?

Katanya:-

Bila cinta bermain di dada
Yang sukar pun akan digapai jua
Biar hati terus terluka
Memilikimu bukan sia-sia

****
Tie, sernonok berbual denganmu, moga ada rentetan pertemuan selepas ini.

Monday, August 14, 2006

MAAF DARI HATI...

*Ada waktu kita berbicara..
Ada masa kita bersua.....*

Salam sayang untuk pembaca semua,

Pertama saya memohon maaf kerana terdapat kekeliruan kepada pembaca. Mungkin ada yang menyangka bahawa Ep. 62(ii) adalah episod akhir untuk e-novel "Lepaskan Aku Dari Hatimu". Ini berpunca dari apa yang tercatit sebagai "Final".

Untuk makluman semua Ep. 62(ii) adalah Ep. akhir yang ditulis di dalam blog ini. Saya berbuat begitu untuk memberi ruang kepada versi lain pula. Jadi segala persoalan, yang tersirat dan tersurat akan diketahui dalam edisi sebenarnya. Insyaallah....

Terima kasih kepada pembaca yang memberikan sokongan dan komen-komen yang membina. Perhatian anda semua amat dihargai.

Selepas ini saya akan menyiarkan cerita2 pendek/puisi yg. pernah tersiar dan dari koleksi sendiri sebelum e-novel baru "TIADA KEDUA" bermula.

Ada yang bertanya samada kisah AZ & Zu adalah kisah benar?
Jawapan saya: Ia adalah adunan daripada realiti dan imaginasi. Mungkin sifat Zu ada di dalam diri pembaca sendiri. Mungkin juga karektor AZ ada dalam diri teman-teman rapat di sekeliling kita.

Salam sayang,
Ija

Friday, August 11, 2006

PROLOG





















~ MENANTI SEBUAH JAWABAN ~ ~ PADI ~

Aku tak bisa luluhkan hatimu
Dan aku tak bisa menyentuh cintamu...
Seiiring jejak kakiku bergetar
Aku telah terpagut oleh cintamu

Menelusup hariku dengan harapan
(Namun kau masih) terdiam membisu

Reff.
Sepenuhnya aku ingin memelukmu
Mendekap penuh harapan
Tuk mencintaimu
Setulusnya aku akan terus menunggu
Menanti sebuah jawaban
Tuk memilikimu

Betapa pilunya rindu menusuk jiwaku
Semoga kau tau isi hatiku
Dan seiring waktu yang terus berputar
Aku masih terhanyut dalam mimpiku

Aku tak bisa luluhkan hatimu
Dan aku tak bisa menyentuh cintamu...


*****

Amir Zuhairi mendengar lagu itu sepenuh jiwa. Liriknya yang puitis memang menyentuh hati kecilnya. Suara penyanyi kumpulan band yang terkenal itu membuainya sekejap. Bila diamati bait-bait lagu itu memang sinonim dengan apa yang dialaminya kini.

Dia teringat kepada Zulaikha. Apa yang dilakukannya kini? Kenapalah terlalu payah untuk seorang perempuan bernama Zulaikha menerimanya. Hanya kerana keterlanjuran kata tempohari Zulaikha makin menjauh. Kata maaf darinya bagai angin lalu. Sedikit pun Zulaikha tidak pernah menimbangkannya.

Berkali-kali dia merayu kepada Zulaikha. Berbagai cara dia lakukan! Hingga kini begitu saja sikap Zulaikha. Dinginnya bagai salju di kutub utara. Yang entah bila akan cair! Begitu keraskah sekeping hati milik Zulaikha?

Namun kenapa Zulaikha juga yang diimpikan menjadi teman hidupnya? Tidak jemu dia menanti. Ada sesuatu dalam diri Zulaikha yang membuatkan dia tidak mahu melepaskan Zulaikha dari hatinya. Kalau boleh biarlah Zulaikha berada di dalam hatinya untuk selama-lamanya. Kejamkah dia jika bersikap begitu. Amir Zuhairi buntu...

Mungkin benar agaknya orang berkata tentang cinta.. Bila cinta bertakhta di penjuru hati, apa saja rintangan akan dilalui. Untuk menyerah kalah tidak sekali. Dia akan terus mencuba sehingga Zulaikha berubah hati. Biar Zulaikha tahu dia bukan main-main.

Namun sesekali hatinya tergugat juga. Khabar dari kak ngah Zulaikha membuat dia tidak senang duduk. Dia perlu tahu sejauh mana hubungan Taufik dengan Zulaikha'nya'. Mereka satu pejabat. Walaupun Zulaikha mengatakan tiada orang lain antara mereka namun sikap Zulaikha begitu membimbangkan. Apatah lagi Zulaikha masih menyembunyikan hakikat bahawa dia tunangan orang.

Cuma dia tidak mahu menuduh seperti dahulu. Cukuplah sekali!. Dia tidak akan mengulangi lagi. Kalaulah boleh dia ingin bertemu dengan Taufik. Biar Taufik tahu bahawa Zulaikha telah berpunya. Biar Taufik memadamkan apa yang terbetik di hatinya dan mengundurkan diri

Tapi ada benteng yang menahan dia daripada mengambil langkah itu. Apa kata jika Zulaikha tahu dan mengambil tindakan drastik. Dia tidak sanggup! Zulaikha akan terus melarikan diri.

Biarlah tindakannya mengikut peribahasa. "bagai menarik benang dalam tepung". Benang tak putus dan tepung tidak berselerakan.

Ah! Zulaikha memang benar-benar telah mengkucar-kacirkan kehidupannya! Membuat hatinya tidak keruan. Begitu hebatnya perempuan bernama Zulaikha ini!

*****

Lagu dan lirik ini ditujukan kepada Tie & sesiapa yang meminati iramanya. Sedutan di atas bukanlah sambungan kepada ep. 62 tp sebahagian daripada kandungan LADHM.




Monday, August 07, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 62(ii) (Final)

Apa ada pada cinta, jika hadirnya menambah duka, ada apa pada sayang, jika datangnya tidak diundang, ada apa di dalam hati, jika masih terkunci rapi, untuk apa berwajah gembira, jika hati gundah gulana... Untuk kesekian kalinya....Aku pun menjadi seorang perempuan yang tidak mahu apa-apa...

Cincin emas bertatah berlian
Di hari bersejarah tersarung di jari
Biarpun cantik dan menawan

Tidakkan dapat membuang resah di hati...

Aku mundar mandir di dalam kamar itu. Kamar yang dulunya biasa telah dihias cantik. Cadarnya yang berwarna kuning lembut memang menyejukkan mata sesiapa yang memandang. Bilik itu kelihatan begitu berseri. Mak memang pandai memilih. Dia memilih warna kesukaanku. Tapi untuk apa?

Memang warna kuning mendapat tempat di hatiku selain daripada warna biru. Tapi warna kuning itu entah kenapa terlalu hodoh bagiku. Kamar yang indah, tidak lagi indah di pandanganku. Segala-galanya menyiksa batin.

“You ada girlfriend tak?” Pertanyaan itu muncul di bibirku tatkala dalam perjalanan ke rumah kak Ngah.
“Tanya fasal girlfriend ni kenapa? Jeolous ke kalau abang ada girlfriend?” Nak jeolous buat apa. Aku bertanya ada sebabnya. Sengaja nak mengorek rahsia peribadinya. Entah kenapa sekarang pula baru terfikir nak tahu tentang dirinya; walaupun segala-galanya telah tiba ke garis penamat.

“I tanya jawab sajalah.. Ada ke tak ada?”

Dia memandang wajahku. Hanya menoleh sekejap. Tapi jelas senyuman di sudut bibirnya. Entah apa yang mencuit hatinya aku tak tahu. Agak lama baru dia bersuara.

“Ada, bukan setakat girlfriend. Dia memang ‘special’ di hati abang.”
“So, kenapa nak teruskan pernikahan ini kalau you dah ada orang lain. Tak baik menipu ibu you. Beritahu ibu you yang sebenarnya habis cerita..”

“Abang dah suka dengan Zu. Pasal girlfriend tu ibu pun dah tahu!” Dia masih juga tersenyum. Aku terasa seperti disindir.

Peliknya macammana mak cik Zubaidah boleh ambil keputusan begini. Apakah perempuan yang dimaksudkan oleh dia bukan pilihan mak cik Zubaidah.

“Dia tak marah ke you kahwin dengan orang lain?”
“Marah juga. Tapi lama-lama abang rasa marah dia akan hilang...”

Jawapannya selamba sahaja. Tiada riak-riak risau di wajahnya. Senangnya dia bercakap. Bagaikan perkara ini begitu enteng kepada dirinya.

Begitu agaknya sikap lelaki. Memandang ringan kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupan. Ada kekasih lain. Kahwin dengan orang lain. Mungkin nak jadi anak yang soleh. Menurut kata ibu.

Aku mendiamkan diri. Malas nak bertanya apa-apa lagi. Aku minta putus pertunangan tak mahu. Tiba-tiba dia bercerita tentang girlfriend pula Silap aku kerana tidak bertanya awal. Jika tidak pasti aku beritahu mak cik Zubaidah. Biar mak cik Zubaidah tahu sikap anaknya yang sebenar.

“Tadi beria-ia tanya, kenapa diam pula sekarang ini.” Ujarnya bila aku tidak membalas kata-katanya.
“Kasihan kat girlfriend you kan. Kena tinggal dik orang yang tak jujur macam you.” Aku marah bukan kerana dia ada girlfriend lain tapi kerana sikapnya tak berterus terang dengan ibunya.

“Abang tak cakap pun yang abang akan tinggalknya dia. Lagi berdekatan dengan dia adalah…” Ish, tak faham aku apa maksud kata-katanya.
“You jangan nak buat main-main. Kalau you permainkan dia, nanti suatu hari you akan dipermainkan. You akan ditinggalkan.” Bersemangat aku bercakap. Aku paling tak suka jenis lelaki begini. Di sana cakap lain, di sini kata lain.

Dia terdiam sejenak. Memikirkan apa yang baru aku katakan tadi agaknya.
“Zu nak tinggalkan abang?” Ke situ pula pertanyaannya. Dia memandang tepat ke wajahku sekejap.
“Dengan rela hati. I tak mahu jadi penghalang antara you dengan dia.” Dia ketawa panjang. Agak lama baru dia berhenti..

“Nak tengok gambar girlfriend abang? Nak tahu cantik ke tidak girlfriend abang’” Beraninya dia! Siap offer gambar girlfriend pula.
“Buat apa nak tengok? You tengoklah sendiri!”
“Kalau tak mahu tengok, tandanya Zu cemburu. Kalau dah cemburu tu tandanya Zu sayang kat abanglah…”
“Hello tolong sikit ya.. Buang masa saja I nak cemburu dengan you ni. Banyak benda lain yang nak I fikirkan.” Pandai-pandai saja dia cakap aku cemburu! Aku merungut dalam diam. Cerita aku pun tak habis nak difikirkan walaupun aku duduk 1001 malam.
“Kalau tak cemburu tengoklah sendiri. Berani?” Nak provok oranglah ni!

Dia menghulurkan talipon bimbitnya kepadaku.

Aku mengambilnya. Teringin aku nak melihat ‘teman istimewa’ yang dikatakannya. Alangkah terkejutnya aku bila melihat gambar yang terhias di skrin talipon bimbitnya. Potret yang tertera di talipon itu adalah gambar aku sendiri. Potret aku dan dia semasa majlis pertunangan kami.

Aku memasamkan muka. Ketawanya bergema dalam kereta itu.

“You ini memang tak patut tahu! You sengaja nak kenakan I ya?”
“Dah Zu nak tahu sangat. Abang beritahulah! Itulah girlfriend abang. Dah nak jadi isteri pun dalam dua hari lagi.”

“Tapi memang girlfriend abang tu marah-marah bila tahu abang nak kahwin dengan dia. Siap nak tinggalkan abang sorang-sorang di depan tok kadi” Dah sah, kak Ngah ini memang tak sayang mulut. Semua yang aku cakap hari itu diceritakan kepada Amir.

Perli akulah tu…. Kata-katanya mengingatkan akan sikapku terhadapnya. Bencinya!. Ada saja jalan nak mengenakan aku.

“Abang mana ada orang lain. Hanya Zu sorang saja dalam hati abang. Kalau tak; tak kan abang susah hati macam ini. Abang buat baik pun Zu tak nampak. Agaknya kena mandi bunga baru Zu boleh terima abang.” Lirih suaranya. Nak minta simpatilah itu.

Dia menyambung lagi… “Dah akad nikah nanti baru agaknya jantung abang ini kembali normal. Sekarang ini degupannya laju sangat! Bimbang jika Zu kotakan apa yang Zu katakan hari itu." Panjang taklimatnya.

"Abang ni teruk sangat ke Zu? Sampai susah sangat nak terima abang? Di mana kurangnya abang?" Aku mengangkat bahu. Tidak mahu aku menjawab. Dia sepatutnya tahu kenapa dan mengapa aku masih bersikap begini. Sayangnya dia masih tidak mahu mengerti langsung.

"Ialah abang ini bukan sesiapa, tak padan dengan Zu kan? Harta tiada rupa pun kurang." Eh.. mamat ini makin dekat hari bersejarah itu, makin banyak pula cakap. Gaya cakap macam orang merajuk pula. Selalunya tak lah macam ini. Ada rasa nak ketawa mendengara omelannya tapi aku tahankan.

Aku teringat kata-kataku kepada Syikin hari itu. Kasihan kat perempuan yang dapat dia. Suka membebel. Dan sekarang kata-kata itu mengenai batang hidung aku sendiri. Akukah perempuan malang itu?

**

"Zu tak siap lagi. Dah pukul berapa ini?" Kak Ngah terjengul di depanku. Entah bila dia masuk aku tak tahu.

Tenggelam lamunanku sekejap tadi.

“Kak Ngah adik rasa macam nak demamlah “ Memang badanku terasa seram sejuk sekali. Menghitung waktu yang semakin hampir membuatkan aku jadi tidak keruan.

“Mana tak demam. Makan tak mahu. Asyik duduk memerap kat bilik saja.”
“Tak ada selera nak makan.” Tekak ku terasa perit untuk menelan makanan.
“Tak boleh macam itu dik. Kena makan juga. Kang pengantin perempuan pengsan kecoh semua orang nanti. Kasihan kat Amir itu. Tak jadi nikah pula “
“Tak jadi lagi baik. Dekat dia kak Ngah kasihan. Kat adik ni semua org. tak kasihan”. Aku memang berjauh hati sangat. Kak Ngah menggelengkan kepala melihat kedegilanku.

“Tak baik cakap macam itu dik. Sepatutnya kita berdoa supaya benda-benda yang baik-baik ini tiada halangan! Dah usah fikirkan sangat! Pergi mandi; sekjap lagi mak Nah nak datang. Kalau belum pakai baju macammana nak siapkan. Biar malam ini adik jadi pengantin yang cantik.” Aku mencebikkan bibir.

“Rasa berdebar tu biasalah dik. Lepas segalanya usai, rasa takut itu akan hilang dengan sendirinya. Semua bakal pengantin macam itulah.”. Kak Ngah menasihatiku. Nasihat daripada orang yang berpengalaman. Tapi masalahnya debaranku bukan kerana itu. Debaranku kerana aku akan berkongsi hidup dengan dia.

**

“Mak Nah, tak mahu mekap tebal-tebal. Zu nak simple saja.. Kang jadi macam pelakun opera pula” Aku memberikan arahan kepada Mak Nah.
“Zu duduk diam-diam, Mak Nah tahulah apa nak buat!”
“Mak Nah, Zu sakit perutlah. Nak pergi bilik air.” Masuk kali ini entah berapa kali aku telah ke bilik air. Mak Nah menggelengkan kepala.
“Selalunya bakal pengantin lelaki yang macam ini. Terbalik pula. Zu bukannya nak berjabat tangan dengan tok kadi.” Kak Ngah yang duduk memerhatiku disolek tersenyum.
“Mak Nah, sorrylah Zu sakit perut lagi…” Aku bangun sekali lagi.
“Apa nak jadi dengan budak ini. Kalau macam ini sampai pengantin lelaki datang pun tak siap-siap.” Mak Nah mengomel.

Tugas mak Nah berakhirnya juga setelah berulang kali aku ke bilik air. Takut aku nak memandang wajahku di cermin. Memang nampak begitu berlainan. Hampir aku tidak kenal diriku sendiri.

“Ha.. cantik pun adik kak Ngah ini. Tapi senyumlah sikit. Jangan nak masam saja.. Hilang seri pengantin nanti.” Macammanalah aku nak senyum. Hatiku menjadi tidak keruan.

**
Aku akan diakad nikahkan selepas Isyak. Mak yang memilih hari Jumaat. Aku memandang ke luar jendela sekejap. Hujan renyai-renyai. Sejak semalam cuacanya begini. Mungkin cuaca pun bersimpati dengan aku. Bersama menangisi apa yang aku alami kini.

Jam loceng di atas meja solek aku pandang. Pukul 9.15, lagi 15 minit. Tanpa disedari air mataku mengalir di pipi. Mujurlah tiada siapa di sisi. Kak Ngah dan mak Nah telah turun. Mak pun telah turun setelah menasihati aku apa yang patut.

Irama talipon bimbitku berlagu menandakan ada SMS yang masuk.

Slmt Pengantin Baru Zu..
Jgn lari pula bila MR. 12* dtg…
Susah dia nak kjr mlm2 ni.
Doaku dr jauh..

Aku tersenyum membaca mesej yang Syikin tuliskan. Ada-ada saja tulisannya membuatkan aku ketawa.

Talipon yang aku letakkan berbunyi semula. Pemanggilnya memang telah aku ketahui. Aku menjawab malas.

“Assalammu’alaikum sayang…” Mimpi apa agaknya tiba-tiba saja panggil aku sayang. Bulu roma terasa tegak saat dia berkata begitu.
“Wa’alaikummussalam…”
“Selamat Pengantin Baru Zu, abang akan tiba sebentar lagi Tak sabar abang nak menatap wajah Zu dalam pakaian pengantin”

Aku menarik nafas. Bertambah debaran dalam dadaku. Mengalahkan orang yang lari 1000meter. Walaupun begitu tidak mahu dia mengetahuinya. Kalau dia tahu mesti aku jadi bahan usikannya.

Tidak lama kemudian aku mendengar suara riuh rendah di tingkat bawah. Mak, kak Ngah dan beberapa yang lain masuk ke bilikku.

“Amir dah sampai…” kak Ngah berbisik. Lagilah aku rasa seperti nak masuk ke bilik air semula. Perutku yang elok tadi terasa memulas.
“Kak Ngah, adik sakit perut lagi….” Mak menggelengkan kepala. Mungkin dia mengerti agaknya sakitku adalah kerana perasaanku semata-mata.

Mak Nah melihat ke wajahku. Membetulkan apa yang patut. Touch-up untuk kali terakhir sebelum majlis bermula.

Tika aku turun, tetamu telah memenuhi ruang tengah itu. Aku hanya menundukkan muka tidak berani memandang wajah sesiapa pun. Aku didudukkan di sudut yang telah dikhaskan untuk upacara menyarung cincin nanti. Kak Ngah masih setia di sisiku. Sedikit sebanyak adanya dia di situ memberikan kekuatan kepadaku.

Kerana semua telah ada di situ jadi upacara pun bermula tanpa banyak bicara. Pernikahanku akan diwalikan oleh adik aruah ayah. Ayub Zaidi tak dapat balik. Masa majlis besar baru dia akan balik.

Aku memandang sekilas. Amir Zuhairi telah duduk di depan tok kadi. Mata kami bersapa sebentar. Dia memandangku lalu menghadiahkan senyuman. Lagilah aku menjadi tidak keruan. Saatnya hampir tiba. Aku menjadi pening tiba-tiba. Tanganku terasa sejuk. Nafasku terasa sesak sekali. Padahal kipas angin berputar ligat di ruang itu. Bukan satu tetapi banyak.

“Sebelum upacara ini dimulakan, saya meminta persetujuan pengantin perempuan untuk dinikahkan..” Jelas tok kadi lalu datang kepadaku membawa satu borang yang telah siap diisi.

“Jika pengantin perempuan bersetuju, silalah tandatangan di sini..” Borang itu berpindah tangan.

Aku mengambil dengan terketar-ketar. Aku baca isinya sekali lalu. Jelas nama Amir Zuhairi dan namaku berganding di atas borang itu. Tarikh dinikahkan, nama saksi dan beberapa fakta lain.

Aku memandang kosong. Tulisan di borang bagai tidak memberikan apa-apa erti. Nak tanda tangan atau tidak. Nak tandatangan atau tidak. Aku masih berfikir lagi. Segala-galanya datang silih berganti. Kata-kata mak, tentang harapannya aku ingati. Kata-kata kak Ngah menceritakan kebaikan Amir Zuhairi. SMS Syikin sebentar tadi dan perbualan kami beberapa hari lalu. Yang paling aku ingati, lemparan kata-kata Amir Zuhairi. Sukarnyanya nak memadamkan dari kota fikiranku.

Kata hatiku pula bagaimana? Apakah aku perlu berkorban demi mak yang melahirkanku? Bagaimana dengan penerimaan dia nanti setelah menjadi suamiku. Bagaimana pula aku? Bolehkan aku menerimanya? Apakah aku nanti termasuk di dalam golongan isteri mithali atau sebaliknya kerana pernikahan tanpa rela. Segala-galanya keluar serentak di fikiran.

“Adik.. !” Kak Ngah di sebelah mengejutkan aku. Aku pandang wajah kak Ngah. Aku pandang wajah mak. Aku pandang muka tok kadi yang sedia menanti. Tugasnya tidak akan selesai jika aku terus berdiam diri.

Nun di depan mikrofon, aku memandang wajah Amir Zuhairi. Wajah yang tadi ceria bertukar resah. Jelas pandangannya bagai memohon simpati. Senyumannya bagai dibuat-buat. Tentu dia begitu gelisah jika pernikahan ini tidak menjadi. Ia pengantin perempuan berubah hati.

Aku pandang ke satu sudut, wajah mak cik Zubaidah. Pandangannya yang penuh pengharapan. Di sampingnya wajah Nurul Nadia Hana dan Nurul Nadia Hani yang aneh. Tentu dia tidak percaya bakal kakak iparnya masih teragak-agak untuk menandatangani borang itu.

Aku pandang wajah mak semula. Dan tiba-tiba pandanganku menjadi gelap…..

***********************************************************
Untuk pembaca yang setia mengikuti cerita ini episod ini adalah episod yang terakhir dalam bentuk e-novel. Insyaallah, ia akan bersambung dalam bentuk lain pula. Doakanlah ya... Terima kasih di atas segala sokongan anda untuk memeriahkan blog ini.
Kepada semua pembaca termasuk yang malu-malu meluah kata di TB, sudi-sudikanlah tinggalkan add. di e-mail saya, jika ada berita baik akan saya beritahu.

Selepas ini akan muncul "TIADA KEDUA".... tajuknya ditukar dari tajuk asal Tiada Lagi Cinta atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan.

Sayang selalu, Ija

Wednesday, August 02, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, 62(i)


Biar aku menangis air mata darah sekali pun keputusan tetap begitu. Dua minggu lagi aku bakal bertukar ‘title’. Apa pun yang mereka katakan, aku tetap dengan keputusanku. Pernikahan ini hanya sebuah janji sahaja. Tidak lebih dari itu. Dan dia tak boleh memaksa aku untuk terus menerimanya.

Aku melangkah malas menuju ke bilik En. Taufik. Muram wajahku agak jelas. Tadi Azira juga menegur. Katanya sifat ceria dan ramahku telah bertukar rentak. Alasanku risau tentang kesihatan mak. Aku berbohong lagi. Entah berapa banyak aku telah berbohong dengan mereka semua.

Dilihat dari luaran, ramai yang berkata aku amat beruntung. Aku terpilih daripada mereka yang lain. Terpilih untuk mengikut sunah nabi. Terpilih untuk hidup bersamanya. Dia memang mempunyai segalanya. Apa lagi yang aku mahukan? Ya, apa lagi yang aku mahu? Cuma hati ini tak dapat menerimanya. Masih lagi aku teringat lemparan katanya terhadapku dulu. Bagaimana aku harus hidup dengan orang seperti itu? Tuduhan itu masih terngiang-ngiang lagi di telingaku. Terasa terlalu baru berlaku!

Aku menghulurkan borang cuti kepada En. Taufik. Malas untuk berbalas kata. Sebenarnya aku malu kerana baru dua minggu lepas aku minta dia menandatangani borang yang sama.

Awal-awal lagi kak Ngah telah mengingatkan aku untuk mengambil cuti. Macamlah aku tak tahu nak mengisi borang. Segalanya perlu dingatkan. Ikutkan hati mahu saja aku ambil cuti sehari. Selepas majlis aku terus pulang ke Kajang.

“Balik kampung lagi?” Terpacul soalan itu dari mulut En. Taufik. Aku manganggukkan kepala. Mungkin dia hairan kerana cuti kali ini agak lama dari dahulu.

“Mak Zu dah sihat?”
“Alhamdulillah tapi keadaan dah macam ini, saya kena pulang selalu.” Sikap ambil berat En. Taufik membuatkan aku tidak sampai hati untuk membohonginya. Tapi aku terpaksa. Maafkan aku En. Taufik! Hatiku berbisik.

“Awak pun tak sihat ke?” En. Taufik merenungku penuh tanda tanya.
“Sihat. Kenapa En. Taufik?”
“Wajah awak tu menampakkan yang awak kurang sihat. Macam orang dalam masalah.”Janganlah En. Taufik bertanya lagi. Sikap ambil beratnya membuatkan aku bertambah sedih. Nak diluahkan tidak sama sekali. Aku tidak mahu mengheret orang lain ke dalam masalahku. Biar aku saja yang menanggungnya.

Apakah pandangan Azira dan En. Taufik sama?

“Saya kat sini. Mak saya kat sana. Saya risau En. Taufik bila mengingatkan mak saya.” Jawapan yang terbaik yang boleh aku fikirkan. Seharapnya dia tidak bertanya lagi.

“Awak ada masalah ke Zu?” Aku menggelengkan kepala. Teruk sangatkah muka aku?
“Kalau ada masalah, awak boleh ceritakan kepada saya. Usah simpan sorang-sorang. You have a friend to rely on…”
“Tak adalah En. Taufik. Saya penat agaknya. Selebihnya saya risau dengan mak saya.” Aku cuba untuk tersenyum. Bukan aku risau mak, aku risaukan diriku sendiri.

“Lega saya mendengar awak cakap begitu. Jika tak kerana saya ada hal minggu ini, hendak juga saya melawat mak awak” Kata-kata En. Taufik yang bersahaja membuatkan jantungku ligat berputar.

Bagaimana kalau dia datang jika majlis sedang berlangsung. Apa nanti kata mereka semua. Memang tujuan dia ikhlas untuk melawat mak tapi….

Aku berdiri kaku di depan pintu untuk keluar. En. Taufik tak boleh datang ke rumahku!

“Zu… “ Aku menoleh.
“Kenapa, muka awak pucat tiba-tiba ini!”
“Entah, saya rasa pening…” Alasan apa yang patut aku berikan lagi.
“Awak dah breakfast?’
“Minum susu saja.” Dengan dia aku boleh berterus terang. Kenapalah En. Taufik terlalu baik denganku. Kebaikannya membuatkan aku menjadi serba salah.

“Jika belum jomlah saya pun tadi tak sempat nak minum.”
“Tak mengapalah En. Taufik, saya tak lapar.”
“Muka awak macam itu pun masih nak berdiet lagi?” Kenapa orang mengaitkan tak ada selera dengan berdiet. Diet bukannya tak makan tapi memakan makanan yang seimbang mengikut kuantiti yang diperlukan oleh tubuh. Bukan makan berlebih-lebihan.

Sejak menerima berita itu, aku kurang berselera seperti selalu. Pagi tadi aku hanya minum segelas susu. Ajakan Azira untuk bersarapan sama pun aku tolak. Bukan hanya pagi ini tapi beberapa pagi lain juga.

Perubahan yang drastik itulah membuatkan mereka membuat berbagai tanggapan!

‘Terima kasihlah En. Taufik.” Aku keluar tanpa menoleh lagi


**

Hari ini aku akan pulang ke kampong. Hanya beberapa helai pakaian yang aku bawa. Aku tak peduli apa persiapan yang mak telah buat. Mereka pun tidak menyuruh aku membeli apa-apa. Hanya bawa diri sendiri.

Agaknya mak dan kak Ngah pun tahu akan sikap tidak ambil peduliku. Memang aku tidak peduli itu semua. Ikutkan hati aku ingin bawa lari ke mana sahaja aku suka untuk menenangkan fikiran. Biar dia duduk di depan tok kadi tanpa pengantin perempuan.


Mengikut perancangan aku akan memandu ke rumah kak Ngah. Kereta aku tinggalkan di situ. Kemudian aku akan balik ke Tapah bersama dengan kak Ngah. Aleh-aleh jadual asal bertukar pula. Kak Ngah meminta dia menjemputku. Kereta aku tinggalkan di rumah.

“Senang, balik nanti Amir boleh hantar. Masa itu dia dah jadi suami adik.” Perkataan suami itu memberikan rasa yang tidak enak di hatiku. Ia jika diikutkan lagi beberapa jam saja dia bakal menjadi seorang suami.

Dia telah sedia menanti bila aku pulang dari kerja di petang Rabu itu. Tak kerja ke? Aku bertanya sendiri. Tidak aku luahkan pertanyaan itu kepadanya.

Fiza tidak dapat mengikutku pulang. Dia juga ada hal lain yang perlu diselesaikan. Ialah aku kahwin pun macam tergesa-gesa sahaja. Pada Syikin aku telah khabarkan. Cuma Syikin tidak dapat hadir juga. Bila majlis besar baru dia datang. Itu katanya.

Aku rasakan diriku seperti seorang banduan yang telah melakukan kesalahan yang maha berat. Pergerakanku dikawal begitu ketat sekali. Apa salahnya jika aku memandu sendiri ke rumah kak Ngah? Aku biasa berbuat demikian.

Aku hanya memandangnya sekilas lalu membuka pintu pagar untuk memasukkan keretaku. Dia merenungku. Juga tidak mengeluarkan suara. Kami sama-sama diam.

Mungkin dia tahu diamku bersebab… Keruh di wajahku juga ada sebab tersendiri. Tapi kenapa dia tidak mempedulikan semua itu.

Lambat-lambat aku menapak semula keluar rumah.

“Satu beg sahaja?” Pelik agaknya bila dia mengambil beg dari tanganku.
“Bukannya cuti lama-lama nak bawa beg banyak…”

Rasanya ingin aku menjerit sekuat hati. Aku tak mahu terikat dengan dia lagi….