HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Monday, September 26, 2005

HATI MENANGIS SIAPA YANG TAHU

Nak menangis rasanya... Ep. 17 telah siap, tinggal nak post aje.. Entah apa sebabnya segala yang dibuat boleh hilang begitu saja. Jenuh buat itu dan ini dengan harapan boleh dapat semuanya. Tapi hampa...

Sungguh sedihnya. 3 pages pulak tu...

Berfikir beribu-ribu kali kat mana silapnya. Sekarang ini tengah termenung. Nak menyusun semua ayat itu. Harap-harap idea yang dah keluar hari itu masih sama. Boleh recall kembali.

Untuk pembaca LADHM, harap bersabar ya... Doakan n3 baru akan cepat menemui anda.
*Pengarang sedang menangis tanpa lagu, tanpa air mata cuma hati yang terasa sebaknya....

Monday, September 19, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 16


Sepanjang minggu ini aku rasa amat tenang sekali. Tiada gangguan dari 'dia'. Rasa bimbang untuk mengangkat talipon pun semakin berkurang. Alangkah baiknya jika keadaan ini berterusan.

Agaknya 'dia' dah penat. Bosan mungkin! Kerana 'dia' sering disergah. Panggilannya tak pernah aku sambut dengan suara yang lunak. Yang didengarnya hanya suara yang kurang menyenangkan. Meskipun begitu aku belum lagi menghadiahkan 'dia' dengan kata cacian bercampur makian.

Anehnya seorang 'dia'. Macammana dia boleh tahan. Tetap 'cool' mendengar suara 'high tone' ku itu. 'Dia' tidak pernah meletakkan gagang talipon sebelum aku. Setia sungguh. Kadang-kadang sedang aku bercakap, 'dia' akan ketawa. Entah apa yang lucu pun aku tak tahu.

Zulaikha... pagi-pagi ini sudah pandai mengingati suara tanpa wajah. Dah rindu ke? Suara dalaman seakan mengingatkan.

Kepala aku gelengkan ke kiri dan ke kanan bagai menjelaskan sesuatu. Jauhnya lamunan aku. Tersenyum sendiri lalu meneruskan kerja yang berada di depan mata.

*****
Jam di dinding aku pandang. Kerja yang banyak membuatkan aku terlupa waktu makan hampir tiba. Aku membetulkan badan. Bersenam ala kadar untuk mengembalikan kecergasan badan. Lama-lama mengadap komputer menjadikan mata agak letih, badan pun terasa sakit.

"Zu, ada orang nak jumpa," suara penyambut tetamu memberitahuku apabila gagang talipon diangkat.

"Saya kenal ke Syam?" Aku bertanya kembali.

"Dia tak beritahu namanya.... Katanya Zu kenal sangat dengan dia" Jelas Syam lagi.

"Lelaki ke perempuan?" Apalah yang takutkan. Nama pun nak simpan. Aku mengomel sendirian.

"Lelaki...., bergaya orangnya...." Aku tersenyum mendengar suara Syam bagai orang berbisik. Agaknya dia tak mahu tetamu itu mendengar.

"Thanks Syam. Saya turun sekarang ni." Kata putus diberi.

Pandai juga tetamu itu memilih waktu begini. Tepat waktu makan tengahari. Jika disuruh datang ke bilik pasti panjang pula ceritanya. Seboleh mungkin aku tidak mahu mencampur adukkan waktu bekerja dan waktu senggang.

Waktu kerja digunakan dengan bekerja bersungguh-sungguh. Dan waktu rehat pula biarlah berihat sepuasnya. Kecuali ada kerja ‘penting’ yang perlu dibereskan mengikut dateline yang diberi.

Menuruni tangga ke ruang tetamu aku masih meneka-neka siapa gerangan tetamuku di hari Khamis ini.

Ketika aku tiba di ruang tetamu itu, tiada siapa kelihatan di situ. Mataku mencari-cari. Betulkah dia ingin bertemuku. Syamkah yang tersilap memberitahu.

“Mana dia Syam? Tak ada orang pun.” Aku ingin tahu.

“Dia pergi ke wash room, sebentar lagi dia datang…” Syam memberitahu sambil tersenyum simpul. Macam ada makna pula senyum Syam ni...

“Tak pergi lunch ke Syam?” Aku sekadar bertanya. Rajin pula Syam menjadi penunggu di meja ini. Selalunya tepat pukul 1.00, dia telah menghilangkan diri.

“Hari ini puasa.” Aku menganggukkan kepala..


Aku duduk di ruang itu sambil membelek suratkhabar.

‘Hem….hem….” Deheman lelaki membuatkan aku tersedar dari sedang leka membaca berita.

Aku berpaling. Pandangan mata memang tak boleh dibohongi. Sekian lama dia menyepi tiba-tiba dia muncul kembali.

“Hai…..” Dia menyapaku. Tersenyum. Tidak menyangka yang aku boleh terperanjat begitu sekali. Asyik sekali memandangnya.

“Mengapa? Tak percaya?” Kata-kata dalam sebuah iklan itu diucapnya.

Aku bagai orang mamai ketika ini. Memang tak percaya tapi dia berada di depan mata. Berlainan sama sekali dari waktu dulu.

Tingkah lakunya, sungguh bersopan. Sesuatu yang agak memeranjatkan.

‘Tak nak makan ke? Dah kenyang tengok muka yang ‘handsome’ ini?” Sempat pula dia bergurau.
Aku masih tidak dapat mengeluarkan suara.

“Jom, kita pergi makan. Perut pun dah berbunyi ni....” Dia memegang perutnya.
Dalam terkebil-kebil aku mengikut langkahnya tanpa banyak bicara. Apa sudah jadi kepada diriku. Kenapa mudah sangat menerima pelawaannya?

Apa yang membuatkan dia berubah begitu sekali? Banyaknya soalan yang perlu jawapan.

Untuk pembaca semua, moga berpuas hati dengan n3 kali ini. Happy reading.

Tuesday, September 13, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 15

Hujan di luar turun dengan lebat sekali. Airnya yang mencurah-curah di atap rumah memainkan lagu yang tiada irama. Senada sahaja. Sesekali terdengar desiran angin yang bertiup dengan kencang.

Sudah seminggu bumi Tuhan tidak disimbahi air. Pokok bunga di luar pun hampir mati kekeringan. Mujurlah tiada berita mengenai catuan air di radio. Jika tidak, ada kerja tambahan yang perlu aku lakukan selepas pulang dari kerja.

Hujan ini satu rahmat bagi mereka yang telah lama menanti.

Aku menarik laci di meja solek. Terpandang bekas cincin yang terletak rapi. Sudah lama bekas itu berada di situ. Aku biarkan begitu sahaja sejak menerimanya.

Bekas itu aku buka perlahan-lahan. Terpancar sinar dari batu cincin tersebut. Memang cantik. Pandai juga orang yang memilihnya. Tepat dengan citarasaku. Tiga batu bersusun.

Melihat cincin itu mengingatkan aku kepada pemberinya. Tentang sebuah penantian, juga tentang sebuah jawapan. Segala-galanya masih tertangguh hingga ke hari ini.

Bukan aku bermain teka teki. Atau sengaja menyiksa hatinya. Namun pemberian sebentuk cincin itu amat mengejutkan sekali. Ternyata kesungguhan yang bermukim di hatinya.
Seharusnya seorang perempuan akan merasa begitu gembira sekali bila ada lelaki yang beria-ia menyatakan rasa hati. Tapi kenapa tiada rasa ceria atau rasa lain yang membahagiakan?

“Terima ajalah… Dia bersungguh-sungguh itu.” Suara Syikin menembusi telingaku berlawan dengan deruan hujan.

Entah bila masa dia masuk ke bilikku. Tidak aku sedari. Aku melihat senyuman yang bermain di bibirnya. Agaknya sudah lama dia di situ.

“Apa ni… masuk bilik orang tak minta kebenaran dulu!” Sengaja aku meninggikan suara.

“Ada orang itu dah kemaruk cinta. Sampai tak sedar namanya dipanggil beberapa kali. Pintu diketuk pun tak dengar. Apatah lagi kalau pencuri yang masuk.” Syikin duduk di birai katil tanpa dijemput.

Matanya melirik ke arah cincin yang aku pegang. Berbahasa isyarat, supaya aku cerita selanjutnya.

“Siapa bagi?” Cincin itu telah berada di tangan Syikin. Dibelek-beleknya. Sesekali dicuba di tangan kanannya.

“Rahsia….” Aku memberikan jawapan.

“Tak muat…” Ujarnya perlahan.

“Memanglah tak muat. Sebab cincin itu untuk aku, yang muat hanya jari ni…” Aku menunjukkan jari manisku.

“Memang tak patut. Diam-diam saja dah terima cincin tanda.” Ada nada rajuk dalam suara itu.

“Zu…. Ceritalah…. Siapa jejaka yang bertuah itu. Bukan Johari kan?” Rayuan Syikin aku balas dengan senyuman.

“Nanti tahu juga….”

Tidak sempat menghabiskan ayat. Deringan talipon bimbitku mengejutkan kami berdua.

“Aku keluar dululah…. Buah hati kau pun dah talipon tu…. Aku pun tak mahu ganggu.” Syikin keluar dari bilikku sambil bernyanyi-nyanyi kecil. Nanyian itu aku tahu dia tujukan kepadaku.