HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Thursday, May 14, 2009

CINTA DI MATANYA (XVI)



Izinkan aku merawat lukamu
walaupun berkurun aku menunggu



Hampir pukul 5.00 petang baru Kira sampai di rumah. Dia tidak dapat melepaskan diri daripada pujukan Izlin. Selepas makan Izlin mengajaknya pula ke pusat membeli belah. Kerana tak sampai hati, Kira termakan juga ajakan Izlin. Lalu bukan saja Izlin yang 'bershopping' sakan, dia juga terkena tempiasnya. Habislah juga wangnya walaupun pada mulanya dia hanya melihat-lihat saja.


Ada sebuah kereta terpakir di depan rumahnya. Hendak tak hendak terpaksa juga Kira memakir di luar pagar. Ibu ada tetamu rupanya. Dia berbisik sendiri. Tapi siapa ya? Tidak pernah dia melihat kereta itu sebelum ini. Kereta warna biru metalik itu ditelek lagi. Cuba mengingati sesuatu tapi hampa. Mungkin saudara mara ibu dari utara agaknya; dia membuat kesimpulan sendiri.


"Assalammu'alaikum..." bagai selalu Kira memberi salam. Biarpun tiada sesiapa di rumah, dia telah terbiasa dengan ucapan salam itu. Biar syaitan semua lari. Dan salam itu dijawab oleh malaikat.

"Wa'alaikummusalam.. " suara Pn. Nora kedengaran menjawab dari dalam rumah.

"Dah balik pun.. orang yang ditunggu-tunggu ini.." Pn. Nora menyambung lagi. Kira menghadiahkan senyuman lalu tubuh ibunya dipaut kejap.


Kira masih tidak dapat melihat wajah tetamu ibu. Tetamu itu pun duduk membelakangi Kira. Tidak langsung menoleh ke arah Kira.

"Siapa?" Kira bertanya dengan suara yang perlahan.

"Orang jauh..."

"Kira kenal ke?" Masih lagi berbisik. Suara hampir tidak terkeluar. Anehnya tetamu itu masih selamba saja. Sombongnya! Kira membuat andaian sendiri.

"Orang jauh..." Pn. Nora masih lagi berteka teki. Nama tetamu tidak disebut.

"Penatnya... Kira naik dululah bu.." Beg kertas yang diletakkan di atas sofa diambil kembali. Dia pun kurang berminat untuk mengetahui siapa tetamu ibunya.


"Kira..." Sejenak dia melangkah; terdengar suara lelaki itu memanggil. Kira menoleh. Wajah itu dipandang. Tidak terkeluar suara dari dua ulas bibirnya. Dia terkejut! Hampir terlepas beg yang berada digenggamannya. Kira tidak tahu samada dia gembira atau sedih dengan pertemuan yang berlaku. Sudah terlalu lama dia tidak mendengar berita daripada lelaki itu. Tiba-tiba saja dia telah berada di depan Kira.


"Kira tak kenal abang?" Lelaki itu bertanya. Kira masih mendiamkan diri. Kelu lidahnya untuk menjawab. Sebenarnya dia masih terkejut.

"Kira apa khabar?" Masih juga lelaki itu bertanya biarpun tanpa jawapan daripada Kira. Dia hanya merenung kosong. Pn. Nora juga turut menyepi. Hanya menyaksikan pertemuan di antara dua orang manusia yang saling mengenali namun entah kenapa kini pertemuan itu bagai pertemuan dua orang yang baru memulakan perkenalan.


"Baik, baik...." Setelah lama terdiam, baru Kira bersuara. Entah kenapa dia terasa janggal untuk membalas kata-kata lelaki itu.

"Takziah daripada abang atas pemergian suami Kira.."

"Terima kasih..." dan ucapan takziah itu membuat kesedihan kembali menjenguk hatinya. Terasa ada air mata yang bakal mengalir dari kelopak mata Kira. Senyuman Syahmi menjengah di ruangan mata.

"Abang tak berniat nak membuat Kira sedih..." bagai mengerti apa yang terselindung di tirai hati Kira, lelaki itu bersuara seperti memujuk.

"Saya redha dengan ketentuan Allah..." Lelaki itu menganggukkan kepala.


*****


Dia terbayang pertemuan petang tadi. Wajah itu masih seperti dulu. Cuma sedikit kurus jika dibandingkan di masa lalu. Mungkin bebanan perasaan membuatkan dia jadi begitu. Sesuatu yang dia sedari, Kira menyebut dirinya dengan saya, tidak seperti waktu dulu membahasakan diri dengan Kira. Ke mana hilangnya kemesraan dulu? Dia menjadi rindu untuk mendengar panggilan abang daripada Kira. Rindunya masih tersimpan kemas buat Kira, sayangnya masih terpahat di hati buat insah bernama Kira. Cuma keadaan saja yang membuat dia memendam perasaan dan melepaskan Kira kepada orang lain. Masih adakah lagi kesempatan untuknya membina kembali kemesraan lalu? Dia tidak tahu jawapannya...