HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Thursday, June 30, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 7


Seminggu berlalu. Dua minggu berlalu. Panggilan daripada MR 12*, tidak aku terima. Tak nak duit agaknya mamat ini. Atau pun dia memang cukup kaya hingga tak pandang duit aku untuk membetulkan keretanya. Tak apa juga... Jimat sikit. Getus hatiku.

Lama kelamaan aku semakin melupakan trajidi itu. Cuma sekali sekala bila aku melalui jalan itu, pasti aku teringat senyuman sinis pemilik Honda MR 12*

*****

Johari pula, masih dengan sikapnya. Tak jemu merayu. Dengan pertolongan teman-teman yang memahami, merekalah yang menjawab. Menapis setiap panggilannya. Panggilan dia di talipon bimbitku... aku setkan kepada ‘beep once’.

SMS daripada Johari tidak aku baca. Terus padam saja. Tak mahu SMSnya menyukarkan SMS lain untuk masuk ke HP ku.

Aku ambil pendekatan mudah sahaja. Tak payah nak pening-peningkan kepala lagi. Tak semena-mena nanti datang pula penyakit ‘migrane’ yang dah sedia ada. Lagi suram duniaku.

Tanpa diduga suatu hari Johari menunggu di pintu bangunan yang menempatkan pejabatku. Terkejut aku dibuatnya. Terpaku seketika. Memang tidak boleh lari ke mana-mana lagi. Kaki seperti digam.

Dalam mencari kekuatan diri. Aku berjalan selamba. Di kepala bertanya-tanya. Tak kerjakah dia. Sanggup datang dari Putrajaya pada pagi ini.

“Ha....”, panggilnya. Aku berjalan perlahan tanpa memperdulikan panggilannya.
“Ha...” dia menguatkan suara. Antara mahu tak mahu aku menoleh memandangnya.

Walaupun hari masih pagi lagi tapi beberapa orang rakan sekerja telah mula memasuki pejabat. Aku tak mahu gelagat kami menjadi tontonan ramai.

“Ha sihat?” dia memulakan perbualan. Aku cuma mengangguk. Masih lagi menyimpan suara dari pendengarannya.
“Petang ini kita keluar ya…” Tak tahu samada itu ajakan. Atau arahan. Kedengarannya terlalu lembut.

“Maaflah... petang ini, Ha sibuk. Ada itu... ada ini…….” Aku mereka-reka aktivitiku. Harap-harap Johari faham. Pelik pula dia ini, tak kerja ke. Pagi-pagi dah terpacul di pejabatku.

Mungkin agaknya dia faham apa yang bergolak di hatiku. Bila saja dia melihat aku seperti memikirkan sesuatu. Pantas saja jawapannya.

“Hari ini Jo cuti. Bolehlah Ha…… Lagi pun dah lama kita tak keluar…” Dia separuh merayu. Intonasinya lembut sekali. Seram pula aku rasanya. Tak pernah Johari berkata selembut ini. Macam nak menggoda saja di pagi ini.

Dah buang tabiat ke apa? Tak pernah dia berbicara lembut begitu. Aku berkata-kata di dalam hati.

“Buat apa kita nak keluar lagi. Kita dah tak macam dulu….. Jadi tak perlulah kita memulakan apa-apa.” Aku memberitahunya.

“Bolehlah…Ha...” Johari merayu lagi.
“Hantar SMS tak berjawab. Talipon pun tak berangkat. Itu sebab Jo datang ni. Hari ini Jo nak meraikan sesuatu yang istimewa.” Johari masih berharap.
“Carilah orang lain Jo. Hari istimewa untuk orang yang istimewa. Tiada istimewanya Ha ini.” Jawabku dengan mendatar.

Hatiku menjadi sayu tiba-tiba bila persoalan istimewa ditimbulkan. Tiada istimewa lagi dalam kamus hatiku. Johari telah meragutnya lama dahulu.

“Kita masih lagi bersahabat Ha, so tak ada silapnya kalau kita keluar sebagai sahabat untuk meraikan sesuatu yang istimewa…..
Kalau Ha tak mahu keluar dengan Jo, Jo akan tunggu di sini seharian.” Johari dah memulakan taktiknya. Nak main ugut-ugut pula.

Aku menarik nafas sambil berfikir. Kalau dia mengotakan kata-katanya macam mana. Haru jadinya. Seharian di sini, tentu mengundang berbagai cerita. Lagipun beberapa rakan memang telah mengenalinya. Semenjak dia menjadi jaga tak bertauliah. Pendatang tanpa izin suatu waktu dulu.

Aku masih berfikir. Jam di tangan aku pandang. Lagi 10 minit ke angka 8.30 pagi. Entah dari pukul berapa agaknya Johari sudah terpacak di situ. Semasa aku tiba pukul 8.00 pagi, dia memang telah
berdiri macam mencari sesuatu.

Mungkin dia ingin memberitahu berita penting. Entah-entah dia nak beri kad jemputan. Siapa tahu. Jika benar... tak lah pecah kepala otakku. Asyik mencari idea lari dari dirinya.

“Ha..!” panggilannya menyedarkan aku kembali.
“Macammana?” dia inginkan jawapan. Seakan mendesak pula.
“Nantilah Ha fikirkan... lepas itu Ha beritahu,” aku cuba berdaleh lagi.
“Tak payah fikir-fikir lagi. Pukul 5.30 petang Jo datang jemput.” Johari pandai-pandai pula memutuskan.
“Tak payah jemput. Jo beritahu saja di mana, nanti Ha datang. Syaratnya… tak boleh lama-lama. Kakak Ha nak datang.” Aku mencipta alasan lagi. Malas aku nak berlama-lama dengannya. Karang entah apa pula rayuannya. Tadi pun semacam saja aku mendengar bicaranya.
“Janji?” ujarnya lagi.
“Tak percaya ke?”, tanyaku kembali.
“Mana tahu nak lari lagi..” sekuntum senyuman dihadiahkan kepadaku.

Ah.. senyuman itulah yang membuat aku suka melihat wajahnya. Senyuman itu yang membuat aku terpikat kepadanya suatu waktu dulu. Namun itu cerita lama, buat apa dikenang lagi.

Waktu pejabat hampir bermula, aku meminta diri untuk masuk ke pejabat.

“Thanks.” Johari berlalu dengan senyuman di bibir.

Aku duduk di pejabat sambil berfikir. Hari istimewa? Johari nak kahwin? Aku teringat sesuatu. Hari ini 30 Jun iaitu hari lahirnya. Patutlah hari istimewa.

Tiap-tiap tahun, akulah orang pertama yang mengucapkan “Happy Birthday” kepadanya. Memberikannya hadiah. Paling tidak sekeping kad tanda ingatan. Kini kebiasaan itu tidak aku lakukan lagi.

Sengaja aku buang segala ingatan tentang Johari. Termasuk hari lahirnya. Tak mahu aku mengingatinya. Aku mengajar diriku untuk menghilangkan segala-galanya tentang Johari.

Selebihnya aku begitu malu kepada diri. Mengasihi orang dalam diam-diam. Mengharap lebih daripada rasa persahabatan. Menyimpul cinta supaya ianya berakhir dengan ikatan yang kukuh, ikatan pernikahan.

Sudahnya aku juga yang menyimpan luka di hati. Orang tiada apa-apa sedangkan aku yakin dia merasa apa yang aku rasa. Malunya aku. Mujurlah perasaan itu tidak aku luahkan kepadanya dahulu. Jika tidak di mana harus aku sorokkan muka ini.

Johari... Johari... aku menyebut namanya berkali-kali. Masih belum berputus asa lagi dia ini. Ke mana perginya gadis idamannya dulu? Atau agaknya dah kena tinggal! Patutlah tak jemu merayu...

Mawar merah cantik berseri
Mawar putih pilihan putri
Segalanya kupadamkan dari hati
Mengapa kini makin mendekati

**********

Sambungan LADHM yang entah apa-apa.....Salam untuk semua pengunjung. Maaf, tak sempat nak jawab tag board. Terima kasih yang bertanya khabar dan meninggalkan ulasan.

Thursday, June 23, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 6

Aku pulang petang itu dengan wajah yang muram. Semasa kemalangan itu berlaku, mujurlah kelajuan agak sederhana. Jika tidak entah apa yang bakal terjadi lagi. Mungkin juga kereta aku bertambah teruk. Kereta pemuda itu tidak pula teruk kerosakannya. Kemek sedikit sahaja.

“Lewat balik hari ini, Zu? Monyok pula muka itu….. Selalunya ceria.” Syikin menegurku.

“Manalah... aku nak ceria. Berlaku perkara yang tak disangka-sangka. Sakit hatiku bila mengingatkannya..”Jawabku lalu memasuki rumah teres tiga bilik itu. Senyumku menjadi bertambah kelat.

“Pasal kerja? Boss kau kan baik…..” Syikin pernah bertemu dengan boss ku itu.

“Bukan masalah kerja, masalah lain pula. Kau tak perasaan ke dengan kereta aku tu.” Aku menunjukkan kereta aku yang kemek sedikit. Syikin meninjau-ninjau.

“Karanglah aku cerita.... Aku belum solat Asar lagi ni. Nanti tak sempat pula.” Aku meminta diri daripada Syikin.

“Ha.. satu lagi, malam ini aku tak ada ‘mood’ nak masak. Kita beli saja kat luar ya..” Aku memohon simpati Syikin. Malam ini giliran aku memasak. Memang kejadian petang tadi membantutkan mood aku…

******


Sambil menonton tv, aku menceritakan kejadian petang tadi kepada Syikin. Teman serumah ku yang seorang lagi tidak pulang. Menurut Syikin dia ke rumah mak ciknya di Ampang Jaya. Ibunya datang dari kampung.

“Handsome tak, mamat itu.. Masih muda lagi ke?” Aku membulatkan mata kea rah Syikin. Syikin ini tak ada lain. Penat aku bercerita.. Itu pula yang ditanyanya. Bukannya simpati padaku.

“Entah, aku tak tengok sangat mukanya. Tak ada masa aku nak perhati semua itu. Kalau handsome atau muda pun buat apa?Mulutnya macam mulut murai. Laser pula itu…..Padanlah dengan plat keretanya MR 12*.” Aku berfikir sejenak. Sinonimnya nombor itu dengan si mulut murai. “Nama pun aku tak tahu. Kedekut sangat nak bagi tahu…Aku boleh panggil dia, MR. ANTU….,” aku senyum sendiri. Betul juga, plat kereta dia macam itu.

“Tak baik... gelar orang macam itu, Zu. Setahu aku Zu yang aku kenal tak suka menggelarkan orang dengan nama yang bukan-bukan. Ini dah terbalik pula.” Syikin memulangkan paku buah keras kepadaku.

Dulu Syikin pernah menggelarkan rakan sepejabatnya dengan satu gelaran yang kurang sedap didengar. Akulah yang menasihatinya supaya dia tidak berbuat demikian.

Kini, aku pula yang buat begitu kerana rasa sakit hati yang tak tertahan.

“Dengan Mr. Antu ini entah kenapa meluncur aje laju gelaran itu….. Paling tidak boleh aku lupakan senyuman sinis dan mengejek dia itu. Dia ingat aku tak boleh bayar agaknya…..Aku sanggup keluarkan duit tabung haji ke.. apa ke.., janji aku bayar. Pandang rendah pula pada aku.” Aku menjelaskan kepada Syikin dengan hati yang jengkel.

“Marah nampak.. masa tadi engkau diam aje…..Tak berani nak bersuara…..tapi pelik pula plat kereta Zu ingat pula!” ujar Syikin lagi.

“Malas aku nak bercakap lebih-lebih dengan Mr. Antu tu...Aku cakap banyak-banyak kang, dia report polis pula. Itu pun dah nasib baik dia tak bawa aku ke balai polis.Sesekali kena juga ambil sikap berdiam diri. Guna psikologi. Kalau tak mahu perkara yang tidak elok berlarutan…..”

“Dahlah... tak payah lagi bincang pasal Mr. Antu tu…Tunggu ajelah.. panggilan dia. Lepas itu settle semuanya. Aku pun harap-harap segalanya cepat diuruskan. Tak mahu aku jumpa dengan orang yang ego, sombong itu…..” Aku cuba mematikan persoalan tentang peristiwa petang tadi.

“Yang engkau tersenyum-senyum ni apa hal? Dahlah Mr. Antu itu macam itu. Engkau pun nak tambah lagi?” Aku menyiku Syikin.

“Very interesting story….. Entah-entah dia dah jatuh hati tak? Mana tahu cinta pandang pertama kat Cik Puan Zulaikha.” Ujar Syikin dengan senyum meleret. Dia pula tumpang menggunakan gelaran itu kepadaku.

“Aku tahulah... aku tak ada boyfriend. Usahlah engkau nak pandai-pandai nak memadan-madankan..… Nampak macam itu, entah-entah anak berderet macam komuter.” Syikin pula ketawa berdekah-dekah.

“Bukan hanya pandang pertama, pandang kedua pun aku tak ingin. Cuma aku kasihan kat dia…..” aku memberhentikan perbualan. Syikin mengangkat bahu, ingin tahu selanjutnya.

“Siapalah yang jadi isteri dia memang malang. Dapat suami yang mulut laser. Kaki bebel. Siapa yang tahan agaknya ya... Malang memang malang…” aku pula ketawa.

“Agaknya kan…….. si isteri pun boleh cabut lari dapat suami macam itu.” Aku tergelak kuat.

“Suka nampak tadi monyok aje…” Syikin ikut tertawa sama.

“Aku ceritakan pasal kemalangan itu. Yang engkau melalut2 apasal pula, Syikin? Nak berkenalan dengan dia ya?Ha.. bila dia call nanti nak aku bayar gantirugi…Aku bawa kau sekali.Boleh aku kenalkan.” Aku mengusik Syikin.

“Aku jenis yang setia.. Tunang aku tu nak letak di mana?” Syikin sudah pun bertunang dengan orang senegerinya. Bakal mengakhiri zaman gadisnya pertengahan tahun depan.

Sedar tak sedar, malam pun dah semakin larut. Kami beredar ke bilik masing-masing.

Entah kenapa sebelum tidur aku bagai terpandang-pandang senyuman sinis MR. 12*. Eee... bencinya, aku menyimpan sebal di hati.


Terang bulan di air tenang
Ikan kecil melompat riang
Sekali pandang marah membahang
Kenapa wajahmu datang bertandang



Friday, June 17, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 5


Kereta aku pandu dengan kelajuan sederhana Cuti-cuti sekolah begini sepatutnya kereta makin berkurang tapi sebaliknya pula. Mungkin masa inilah ibu bapa mencari peluang bercuti bersama anak-anak. Membawa anak-anak makan angin dan melihat tempat bersejarah. Waktu inilah hubungan kekeluargaan perlu diiratkan lagi.


Hampir ke satu selekoh, aku seperti terdengar satu dentuman. Tidaklah terlalu kuat. Tapi cukup untuk mengejutkanku. Apa dah jadi? Aku memperlahankan kereta. Masyaallah… rupanya aku terlanggar kereta di depanku. Macammana aku boleh tak perasan yang kereta itu bergerak perlahan dan memberi isyarat ke kiri. Aku pula boleh terlanggar belakangnya.

Sepanjang lima tahun aku memandu tidak pernah aku melanggar orang. Aku memang seorang pemandu yang berhati-hati bila di jalanraya. Hish.... apa dah jadi ini!

.Mungkin kerana aku terlalu memikirkan tentang sikap Johari. Bercampur dengan panggilan emak sebelum pulang tadi. Last minute pula boss suruh siapkan kerja yang ditinggalkan oleh rakan yang tiba-tiba mengambil cuti mengejut. Itu agaknya membuat aku tersasar sekejap.

Aku memberikan signal dan berhenti di bahu jalan. Pemandu itu pun begitu juga. Takut juga aku mana tahu kalau-kalau sengaja orang mengambil kesempatan kerana aku pemandu perempuan. Cerita-cerita tentang samseng jalanraya pun mengisi kepalaku. Tapi tak mungkin aku nak lari begitu sahaja kerana aku yang bersalah kerana melanggarnya. Aku tawakkal saja. Berdoa supaya dijauhkan daripada perkara-perkara yang tidak diingini.

Keluar seorang pemandu lelaki dari kereta Honda tersebut. Aku pun buat muka selamba sahaja. Melindungi hatiku yang berdebar-debar. Buat-buat berani. Mana tahukan entah apa yang bakal berlaku pula.

“Macammana Cik Puan bawa kereta ini? Kereta saya yang besar ini boleh tak nampak?” Pemuda berkaca mata hitam itu terus menyerang aku dengan suaranya. Nak kata marah tak juga, tapi nadanya agak tinggi juga.

“Maafkan saya..... saya tak perasan tadi.” Apa yang boleh aku katakan lagi. Memang silapku melanggarnya. Senyuman aku lemparkan kepadanya. Memohon simpati.

“Kalau tak nampak pakailah cermin mata……, ini pakai sunglass memanglah tak nampak!” Melampau pula mamat ini, getus hatiku. Tahulah aku bersalah tak kanlah nak membebel pula.

Selalunya perempuan yang dikaitkan dengan suka membebel ini lelaki pula. Ini terbalik pula. Kasihan isterinya, dapat suami yang kaki bebel. Tiba-tiba aku boleh terfikir ke arah itu.

“Dah langgar orang pun masih mengelamun. Tak hairanlah kereta saya dilanggar. Ini dah kereta ke berapa, Cik Puan langgar?” Ish…..ikutkan hati, mahu mamat ini aku sembur balik. Tapi dah memang silapku nak buat macammana. Kata maaf dah aku luahkan tadi. Tak mungkin dia tak faham…

“Macam inilah Encik, Encik repair mana yang patut dan saya akan bayar.” Aku mengambil jalan mudah. Tak sanggup aku dengar jerkahannya. Mengalahkan mak nenek.

“Cik Puan, mampu ke bayar duit repair kereta ini?” Ada senyuman sinis di bibirnya. Kenapalah dia suka memanggilku dengan nama itu.

“Insyallah...kerana saya yang menyebabkan kereta encik rosak, jadi sudah semestinya kos repair saya yang tanggung. Mampu tak mampu itu cerita lain.” Aku memberitahunya dengan hati yang geram. Tahulah dia membawa kereta Honda sedangkan aku bawa Proton Wira. Tak kanlah nak pandang rendah pada aku. Dia ingat aku ini sengkek sangat ke? Berlagak aje…..

Aku berikan kad namaku setelah dipinta. Bila aku minta kad dia.. Selamba sahaja dia berkata, “Saya akan call Cik Puan dan akan tuntut kos repair yang telah Cik Puan lakukan.” Menyampah aku mendengarnya. Orang nak tahu nama pun tak boleh. Bukannya apa. Sekurang-kurangnya urusan aku dengannya cepat diselesaikan.

Ada juga mamat yang sombong macam ini. Dia pun telah tahu nama aku yang tertera di kad. Masih juga dia membahasakan cik puan…..

“Next time, bawa kereta itu lihat depan, bukan lihat kiri atau ke kanan dan berangan-angan. Jumpa lagi.” Sempat dia berpesan kepadaku. Melambaikan tangan dan berlalu pergi. Menghadiahkan senyuman sinisnya kepadaku.

Aku mengucapkan terima kasih kepadanya. Dalam hatiku menyumpah-nyumpah. Janganlah aku bertemu dengan mamat macam ini lagi. Egonya... Aku benci betul dengan senyuman sinisnya. Senyuman yang seakan mengejek.

Dia ingat dia baik sangat. Benci! Benci! Benci! Kata-kata itu hanya terkeluar selepas keretanya meninggalkanku

Mujurlah dia tidak membuat lapuran polis. Jika tidak RM300.00 pasti melayang. Duit minyak untuk sebulan. Aku akan didenda kerana melanggar belakang kereta orang.


_________________

Salam hujung minggu untuk semua pengunjung blog ini. Moga ceria selalu.

Friday, June 10, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 4

"Dah lama Adik tak balik kampung ya?" bergema suara kakak di talian satu pagi. Panggilan adik adalah panggilan manjaku dalam keluarga. Kecuali kalau mak atau kakak marah, nama itu akan bertukar lain. Mereka akan menggunakan nama sebenarku.

"Sibuklah Kak Ngah…" aku memberi jawapan. Sebenarnya aku tidaklah sesibuk mana. Masih sempat untuk pulang di hujung minggu. Memandu cuma mengambil masa selama 2 jam sahaja. Yang membuatkan aku merasa berat untuk pulang ialah memikirkan harapan mak. Terpaksa mendengar ceramahnya yang tak rasmi itu.

Sejak Johari pergi dahulu, mak cuba memadan-madankan aku dengan orang lain. Anak kawan dialah… Anak Pak Imamlah… Anak entah siapa-siapa lagi. Itu sebabnya aku malas nak pulang ke kampung. Aku tahu emak terkilan tapi aku tak tahan mendengar bebelan mak.

"Nak tunggu apa lagi. Umur adik pun dah 27 tahun. Tengah ada orang hendak. Terimalah…," ujar mak lembut.

"Belum terfikir lagi mak..." Aku tahu mak risau. Lebih merisaukan lagi bila aku asyik termenung suatu waktu dulu. Ialah masa itu Johari entah di mana. Sedangkan hubungan aku dengan Johari mak dah pun tahu. Malahan mak dah berkira-kira bahawa hubungan kami yang rapat akan berakhir dengan alam perkahwinan. Kerana itu agaknya dia cuba memadan-madankan aku dengan anak kenalannya yang masih bujang.

Mungkin agaknya ibu-ibu lain pun sependapat dan sepemikiran dengan mak.

Bukan aku tak tahu betapa kasihnya emak padaku. Betapa mak begitu bimbangkan aku. Anak bongsunya yang masih sendiri lagi. Pernah dia menyuarakan kerisauannya kepadaku. Siapa nak jaga bila mak tiada. Sebab-sebab yang biasa aku dengar...

Nanti terlalu memilih umur pun dah lanjut. Yang ada nanti hanya suami orang. Orang bujang dah tak ada yang seusia. Sanggup ke hidup bermadu.. Atau mendapat jodoh yang lebih muda lagi. Bila berjalan macam kakak dan adik. Dan bermacam-macam lagi.

Bila mak dah memulakan ceramahnya...memang aku rasa nak balik ke KL pada masa itu juga. Namun mengenangkan kata-kata mak ada benarnya aku hanya mendiamkan diri. Hati mak perlu juga aku jaga.

"Kak Ngah pun kahwin lewat.... 29 tahun. Adik baru 27 tahun. Adik ada masa lagi 2 tahun." aku membela diri.

"Masa itu dia dah bertunang. Ada orang yang menunggu dia. Ada sebabnya... Habis belajar terus kahwin.

Kamu ini siapa yang tunggu?" jawab mak sambil menggeleng-gelengkan kepala. Pandangan mak tepat ke wajahku.

"Kahwin mana boleh paksa-paksa mak. Tak kan mak nak tengok hari ini kahwin, tup tup esok bercerai. Sebab tak sesuai. Mak nak adik macam itu ke?" jawabku sambil merenung muka mak

"Ada-ada saja jawabnya." tambah mak lagi.

Aku khabarkan kepada mak, 27 tahun bukanlah terlalu tua. Zaman dulu lainlah… Usia sebegitu dah ada 3, 4 orang anak. Tapi apakan daya hati masih tidak mahu menerima. Beria-ia emak melobi untuk mempertemukan aku dengan anak kawannya. Entah bila mereka berjumpa pun aku tak tahu. Nama itulah yang selalu disebutkannya. Ah rungsingnya… Nak lari dari Johari, nama lain pula yang mengikutiku.

Itu sebabnya aku jarang-jarang pulang ke kampung. Hanya talian talipon yang menghubungkan aku dengan mak. Di talian pun sama juga, sekali dua tiada persoalan tentang jodoh. Lepas itu timbul balik. Aku dihimpit rasa bersalah kerana membuat mak begitu.

Antara harapan seorang mak yang ingin melihat anaknya melangkah ke alam perkahwinan, sementara dia masih bernyawa lagi. Dan dengan sikap diam aku yang sambil lewa sahaja.

Aku sebenarnya memang malas nak memikirkan semua itu. Buat apa nak pening-pening kepala lagi. Aku bahagia dengan cara hidup aku kini.

Namun entah kenapa, sejak akhir-akhir ini... ada tanda persoalan di kepalaku. Mak selalu sahaja menyebut nama itu. Baik sangatkah dia? Apa yang membuatkan mak beria-beria nak 'match-make' aku dengan dia. Saban waktu bila bercakap tentang jodoh. Nama itu pasti tidak lekang dari bibir mak. Nampak gayanya mak pula yang lebih berkenan!

Siapa Amir Zuhairi yang selalu disebut-sebutkan mak? Rasa ingin tahu semakin menggebu....

Kapal belayar di tengah lautan
Angin bertiup sepoi bahasa
Apa diharap padaku tuan
Cantik tidak, budi pun tiada

...................
Hadiah hujung minggu untuk yang mengikuti cerita ini. Lepas ini berihat panjang....
Nak merasa angin laut menampar wajah, yang menikmati keindahan pantai pula...