HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Thursday, December 22, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 31

MAWAR KUNING

Pagi itu aku masuk pejabat lewat dari biasa. Masa keluar dari rumah aku perasaan tayar kereta depan sebelah pemandu tak ada angin. Pancit. Mujurlah masih di kawasan rumah, jadi mudah juga untuk aku meminta tolong dari jiran.

Tiba sahaja di pejabat semua mata memandang aku. Hairan juga. Nak kata lewat sangat tidaklah. Satu jam sahaja. Itu pun aku telah memaklumkan kelewatanku kepada En. Taufik ‘boss’ ku.

Apa yang tak kena ni. Baju aku terkoyak ke? Aku pandang ke baju di badanku. Tak ada apa. Pelik pulak! Hatiku berbisik sendiri.

“Sama cantik sama padan. Patutlah berseri, Macam berpakat pulak!” Syarina berkata agak kuat. Aku yang tak tahu apa-apa memandang Syarina. Mengangkat bahu.

“Tu…” Panjang muncungnya menunjukkan ke arah bunga di atas meja di luar bilikku.

Baru aku perasaan tentang kehadiran bunga di situ. Bunga mawar berwarna kuning. Cantik gubahannya terletak di dalam bakul. Kebetulan sama pula dengan warna bajuku. Berwarna kuning dengan dihiasi bunga ros kecil berwarna putih.

“Tahulah bunga, tapi kenapa muncung tu panjang sangat. Macamlah tak pernah tengok bunga.” Aku menjawab lalu menuju ke bilik.

“Bunga itu untuk awaklah Zulaikha.” Syarina memberikan penjelasan.

“Untuk saya? Siapa yang hantar?” Aku menyoalnya kembali. Aku berhenti di pintu bilik

Tak percaya sungguh. Tak pernah aku menerima bunga sepanjang bekerja di sini. Hari ini tiba-tiba saja bunga berwarna kuning itu menjadi milikku. Tidakkah itu menggambarkan sesuatu yang memang pelik.

“Tak tahu. Kalau tahu siapa yang hantar taklah kami nak tahu sangat ni..”

“Wah! Diam-diam ada secret admirer ya?” Azira pula mengusik.

“Orang itu silap kasi tak? Atau pun salah alamat ni…”Aku masih memandang ke arah bunga itu.

“Zulaikha ada secret admirer?” Entah bila En. Taufik berada di belakangku. Semua mata memandang En. Taufik pula. Kalau nak bercakap tu perlahanlah sikit, aku bersuara di dalam hati. Sekarang kami pula menjadi bahan perhatian.

“Cepatlah tengok kad tu. Teringin kami nak tahu siapa pengirimnya.” Syarina pula yang terlebih gaya. Macam dia pula yang menerima bunga.

“Saya pun nak tahu juga Zulaikha…” Boss aku yang berusia pertengahan 30 an dan masih 'available' itu pun sama menyibuk. Mungkin dia pun teruja kerana pertama kali melihat mawar kuning di situ.

Aku mendiamkan diri. Tak mahu nak bersoal jawab lagi. Nanti panjang pula ceritanya. Fasal bunga itu satu hari nanti tak buat kerja.

Dalam menahan malu, aku mengambil jambangan bunga tersebut. Membawanya ke bilik.
Aku letakkan di atas meja. Kad yang terselit aku ambil. Keluarkan dari sampulnya dan terus membaca bait-bait tulisan yang tertera di atas kad tersebut.

Mawar Kuning Indah Berseri
Jadi Tatapan Harum Mewangi
Bagai Cintamu Cintaku Bersemi
Sepanjang Masa Mekar di Hati

- Abang -

Siapa pula yang tengah bercinta ni? Jiwa-jiwa betul ayat yang ditulis. Tulisan tangan itu memang tidak pernah aku lihat sebelum ini.

Aku pandang sekali lagi ke arah bunga tersebut. Ada 21 kuntum semuanya. Mamat mana pula yang membahasakan dirinya abang ini. Atau ada orang tak betul yang cuba mempermain-mainkan aku.

Aku menongkat dagu. Pen aku ketuk-ketuk ke meja. Memang pening memikirkannya. Macam mencari jigsaw puzzle yang hilang sekeping. Macam teka silangkata yang jawapannya tidak tercetak di penghujung muka surat.

Aku tinggalkan persoalan yang masih tiada jawapan itu Tidak aku alehkan kedudukan bunga tersebut. Memang rasa tenang dan cantik ia di situ. Nak ucapkan terima kasih kepada siapa ya? Pemberi bunga itu tidak aku ketahui.

Aku meneruskan kerja yang lebih memerlukan perhatian daripada pengirim bunga tersebut.

Pukul 12.00 tengahari hand-setku berbunyi. Menandakan ada mesej masuk.

“Dah terima bunga?” Aku membaca mesej tersebut..

Nombor talipon aku pandang. Tiada nama empunyanya. Aku sekadar mendiamkan diri. Tidak membalas mesej tersebut.

Talipon di meja pula berdering.

“Assalammu’alaikum…” Aku terdiam sebentar.
“Wa’alaikummusalam” Aku menjawab lambat-lambat.

Suara itu mengingatkan aku kepada lelaki yang pernah menagih hutangnya dahulu. Lelaki yang telah menjadi tunangku tiga minggu lalu. Lelaki yang berpakaian sedondon dan bergambar bersamaku. Lelaki yang mendiamkan diri. Tidak menghubungiku setelah kami bertunang.

Suara itu membangkitkan keresahan di hatiku. Aku pandang ke jari manis. Memang tiada cincin terletak di situ. Aku menyimpannya di dalam kotak barangan kemas selepas majlis itu. Tidak ku pakai.

“Dah terima bunga dari abang?” Pertanyaannya menjadikan tekak aku terasa perit.

Tiba-tiba saja aku ingin melontarkan apa saja yang berada di dalam perutku. Hari ini dua kejutan aku terima. Satu menerima bunga daripadanya. Kedua bila dia membahasakan dirinya abang.

“Sudah. Terima kasih…” Ucapku antara kedengaran dengan tidak.

“Terima kasih sahaja?” Dia bertanya kembali. Aku tak mahu membalas kata-katanya. Beberapa kali bertemu dan berbual dengannya membuatkan aku semakin tahu apa jawapanya bila aku tersilap cakap.

“Dah kira berapa kuntum semuanya?” Apa perlu dia bertanya semua itu.

“Tak kanlah you tak tahu, you yang hantar sendiri….” Dia ketawa.

“Dua puluh satu kuntum, maknanya dah dua puluh satu hari kita bertunang…” Dia bagai mengingatkan diriku. Tahulah aku ini tunangnya. Tak perlulah nak diberitahu lagi.… Hatiku mengomel sendiri.

“Diam saja. Tak sudi berbual dengan abang?” Dia bersuara lagi setelah tiada response dariku.

“I tengah sibuk ni… “ Itu saja alasan yang dapat aku berikan saat ini.

“Sibuk?” Dia menyoal kembali.
“Sekarang ni bukan kah lunch time?” Aduh, bagaimana aku boleh terlupa pula yang sekarang ini telah tengahari? Memang hampir waktu makan tengahari.

Zulaikha, kalau cari alasan pun biarlah yang konkrit. Kalau nak melarikan diri pun berilah alasan yang munasabah. Kan dah terperangkap. Aku berbisik sendiri.

“Abang datang sekarang. Kita lunch sama nak?” Aku hampir menjerit bila dia berkata begitu.

“Em em..I dah berjanji dengan kawan sepejabat nak lunch sama-sama.”

Haru juga kalau dia betul-betul datang. Pertunanganku masih menjadi rahsia lagi. Tiada seorang pun kawan sepejabat yang tahu. Kecuali rakan serumahku.

“Ok.. Next time abang datang office Zu. Kita lunch sama-sama.”

“Call dulu ya,,,” Aku berpesan kepadanya. Bukan apa mudah untuk aku mencipta alasan lagi. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu dia datang bertemuku di pejabat.

“Zu, Abang miss you…”
“I kena keluar ni, kawan-kawan dah melambai tu….” Aku ingin saja meletakkan talipon di saat ini.
“Zu….” Suaranya seakan berbisik. Apalah nak jadi dengan mamat ini. Seram sejuk pula dengar dia bercakap seperti itu.
“I dah lewat ni…”
“Zu terlupa sesuatu..”
“Terlupa? Lupa apa?”
“Terlupa nak sebut I love you…” Dia ketawa panjang. Kemudian terus meletakkan talipon.

Berjaya juga dia menaikkan kemarahanku. Rasanya ingin saja aku melepaskan rasa tidak puas hatiku jika dia masih berada di hujung talian. Membaling talipon itu kalaulah dia berada di hadapanku.

Amir Zuhairi, spesis apakah dia kerana tidak tahu bahawa aku memang tidak menyukainya. Jauh sekali untuk jatuh cinta dan hidup bersamanya..

*******

N3 ini teristimewa untuk kak Ida sebagai hadiah "Anniversary". Hanya rangkaian kata dapat diberikan. "Selamat Ulang Tahun Perkahwinan yang ke... pada 18/12 yang lalu. Dengan doa moga bahagia sepanjang masa dalam kasih yang tak bertepi, harum mewangi selalu. Dirahmati Allah dalam meniti perjalanan hidup ini.


13 Comments:

Post a Comment

<< Home