HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Sunday, June 25, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 57



Kasihku bagai aliran air
tidak akan pernah berhenti
membanjiri hatimu yang satu....



Deringan talipon bimbit amat membingitkan kedua belah telingaku. Jam di sebelah katil aku pandang. Baru 6.30 pagi. Masih awal lagi. Aku cuba memejamkan mata sekali lagi. Talipon yang menjerit tidak aku hiraukan. Akhirnya ia berhenti dengan sendirinya.

Namun sekali lagi aku diganggu. Dalam mata yang tertutup, aku capai juga talipon itu.

“Emm… Dah nak bangunlah ni….” Sepatah-sepatah aku menjawab malas. Mata masih lagi belum terbuka sepenuhnya.

“Hari ini adik cutilah…” Aku menerangkan panjang lebar. Bangun cepat pun bukan nak kejar apa pun. Baju telah aku gosok malam tadi. Tergantung elok di tempatnya. Masa inilah aku nak bermalas-malas. Hatiku berdesis sendiri.

“Emmm, dah nak jadi isteri orang, tak elok bangun lewat…” Suara di sebelah sana menjawab. Bukan suara mak. Tapi suara seorang lelaki. Mata yang separuh terbuka menjadi luas. Aku terus duduk di atas katil. Suara itu bagai memberi impak yang besar ke atas sikapku sebentar tadi.

Kebiasaannnya mak akan menaliponku setiap pagi. Bila aku tanya kenapa? Mak kata dia ingin mengejutkan aku supaya tidak terbabas. Lepas itu akan bertanya lagi samada aku telah menunaikan kewajipan sebagai seorang hamba kepada PENCIPTANYA.

Ada masanya aku geram juga dengan sikap mak ini. Macamlah aku teruk sangat! Bukannya aku selalu bangun lewat. Cuma pada hari-hari tertentu saja.

“Sebelum kahwin ini, tanggungjawab mak untuk mengingatkan adik. Dah kahwin nanti tanggungjawab itu beraleh kepada suami pula.”

Mula-mula dulu aku merungut juga; sebab aku sudah dewasa. Setelah difikir-fikir benar juga. Siapa yang menegurku selain daripada mak. Itu tandanya mak menyayangiku. Sering mengingatkan aku daripada terleka.

“You tak ada kerja lainkah? Pagi-pagi lagi dah nak ganggu orang?” Rasa marah itu datang bila mendengar suaranya. Kalau ia pun nak talipon carilah masa lain.

“Berpesan-pesan kepada kebenaran bukankah amat dituntut di dalam Islam?” Jawapannya macamlah aku sedang mendengar tazkirah pagi.. Memang setiap pagi aku tidak pernah terlepas dari mendengar tazkirah pagi di KLFM. Cuma hari ini waktu itu telah diawalkan oleh dia.

“Lagipun bukan untuk orang lain… untuk bakal isteri abang juga..” Dia menyambung lagi. Aku terkedu sekejap. Pagi-pagi lagi dah nak cari gaduh denganku.

“Baik ustaz. Terima kasih atas ceramah yang panjang lebar itu” Jawabku dengan cebekan. Mujurlah dia tidak dapat melihat. Jika tidak entah apa yang akan dikatakan lagi.

“Ha ha ha….” Ketawanya panjang. Untuk apa tak tahulah! Mungkin agaknya kerana aku menggelarnya ustaz.

“Dah habis cakap? Kalau dah habis I nak letakkan talipon!” Tawanya yang masih kedengaran aku hentikan serta merta.

“Nantilah sekejap, abang belum habis cakap lagi. Nak cepat-cepat ini nak pergi mana?”
“Tadi, you juga cakap tak baik lewat-lewat.. Bila I nak cepat, you tahan-tahan pula!”
“Zu tadi cakapkan cuti?” Aku terdiam sebentar. Menarik nafas. Cuti yang aku maksudkan bukan cuti kerja. Tapi cuti khas yang diberikan kepada seorang perempuan dalam waktu-waktu tertentu. Dikecualikan daripada melakukan kewajipan lima waktu itu.

Kepala yang tidak gatal aku pegang. Rambutku yang panjang aku gulung-gulungkan. Kemudian aku lurut ke bawah. Sambil itu mencari ide bagaimana nak terangkan kepada mamat ini.

“Cuti-cuti pun I ada tugas lain perlu dibuat. Tak kanlah I nak duduk saja…”
“Betul Zu cuti hari ini?” Apalah dia ini, cuti pula yang ditanya.
“Kenapa?”
“Macam berpakat pula kita. Abang pun cuti juga. Kalau macam itu bolehlah kita keluar.” Suaranya ceria.
“Bila pula I cakap cuti?”
“Tadi itu! Abang tak silap dengarlah Zu… Meskipun suara Zu serak-serak sedikit….” Dia berhenti di situ. Aku termalu sendiri. Ialah suara orang baru bangun tidur. Lagipun mana pula aku tahu ada suara lain tersesat di pagi-pagi ini. Aku ingatkan mak yang menalipon.

Nak cakap ke tak nak cakap. Aku berkira-kira sendiri. Aku sebenarnya malu untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan perempuan ini. Jika tidak diberitahu; dibuatnya terjongol di pagar rumahku pagi-pagi ini. Lagi haru.

“I cuti lain…. “ Aku menjawab perlahan.
“Oh…. Abang faham.. “ Jawapannya membuatkan wajahku tebal 1.
“Sebab itu bangun lewat ya?”
“Kalau tak I boleh bangun lewat lagi. Tapi you ini talipon pula. Memang hobi you suka ganggu orang pagi-pagi ke? Atau you dah nak buat kerja part-time?”
“Abang rindu kat Zu. Semalam abang datang Zu tak ada.”
“Buat sementara ini you simpanlah dulu rindu you itu. I nak bersiap ni. Nanti I terlewat pula ke pejabat.”
“Pejabat Zu bukannya jauh pun…” Dia pula pandai-pandai menjawab bagi pihak aku.
“Memang tak jauh tapi tak kanlah I nak pergi lewat pula. Nak juga I ambil masa dulu sebelum mulakan kerja.”

“Petang nanti abang datang ya?”
“Kalau you nak tunggu macam semalam, datanglah….”
“Abang datang masa lunch lah…” Dia cuba memujuk lagi.
“Eh…. I ada meeting hari ini. Tak tahu bila habisnya.” Dibuatnya dia datang betul-betul mana pula aku nak lari.
“Habis itu bila kita nak berjumpa?” Rasa tak puas hati terpamir dalam suaranya.
“Bila I ada masa nanti. Dan bila I terfikir nak jumpa you, baru I beritahu.” Aku tersenyum sendiri dengan jawapan yang amat spontan dan tak pasti itu. Dia mengeluh.

“Tapi abang rindu sangat dengan Zu….” Dia seakan merayu. Ish seram pula pagi-pagi ini dengar suara begitu. Rasa rindunya diulang lagi.
“Nak buat macam mana? I tak pula rasa rindu…” Nak pecah ketawaku menahan hati yang macam digeletek.
“Oklah… I nak ‘off’kan talipon ini.” Aku melirik jam di atas meja. Lagi 5 minit ke angka tujuh. Dalam tak mahu berbual, panjang juga perbualan aku dengannya.

“Abang sayangkan Zu…” Perlahan dia mengucapkannya. Sayangnya perkataan itu tidak memberi apa-apa erti kepadaku. Tidak teruja sedikit pun. Kasihannya dia masih tak berhenti merayu. Tidak penatkah dia?

“Bye! Assalammu’alaikum.” Lalu mematikan talian.

Apalah nasibku pagi ini. Terpaksa mendengar ceramah pagi daripada Amir Zuhairi tanpa dipinta. Tuala di rak aku capai. Melangkah ke bilik air dengan segera. Benarkah dia begitu rindu seperti yang dinyatakan kepadaku?



Perabut antik dari Melaka
Diborong habis oleh Cik Tiara
Biar diuji berbagai rupa
Berundur tidak lagikan mara

5 Comments:

  • At Monday, June 26, 2006 10:58:00 AM, Anonymous Anonymous said…

    zu jgnlah dera AZ tu sampai begitu sekali.. kasihanilah yg sedang rindu tu.. tak baik tau Zu buat hati orang macam tu...

     
  • At Monday, June 26, 2006 12:12:00 PM, Anonymous Anonymous said…

    Apa mimpi AZ call Zu pagi????mesti x lena tido mlm ni,pagi2 subuh dah x sabar nak dengar suara Zu...

    Adoi,sweetnya!!!!!

    p/s:Dah jumpa org mcm AZ ker belum?????
    tunggu........!!!!

    hehehehheheh...

     
  • At Monday, June 26, 2006 1:32:00 PM, Anonymous Anonymous said…

    Nisha_gal;

    Apa khabar? Bz dgn. studi?

    Zu tak buat apa2 cuma AZ yg. suka buat Zu naik angin...

     
  • At Monday, June 26, 2006 1:34:00 PM, Anonymous Anonymous said…

    Lia,

    Zu bukan sengaja nak buat mcm. itu,
    AZ pula dengan rela minta didera...
    Nak buat cammana ya?

     
  • At Monday, June 26, 2006 1:38:00 PM, Anonymous Anonymous said…

    Cri,

    AZ mimpi Zu hadiahkan senyuman paling manis & ajak dia dating, itu yg. subuh2 dah call...
    ;p

    psss dah jumpa nanti beritahu k.ija ya... he he

     

Post a Comment

<< Home