LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 49
Puas dia meninggalkan pesanan. Satu pun tidak dijawab. SMS telah banyak dihantar. Balasannya tiada. Beberapa hari telah berlalu. Talipon di pejabat pun tiada siapa yang menjawab. Barangkali operator pun telah mengenali suaranya kerana kekerapan dia menalipon.
“Ke mana dia pergi?” Dia bertanya sendiri. Kerisauan menjalar ke segenap hati. Marah sangatkah Zulaikha? Hingga mengambil keputusan begitu. Membekukan diri. Membisu seribu bahasa.
Atau sesuatu telah berlaku ke atas Zulaikha? Berbagai persoalan pula timbul. Bukan dia tidak pernah bergaduh dengan Zulaikha sebelum ini. Pernah! Tapi Zulaikha tetap menjawab panggilannya walaupun suaranya dingin. Bercakap dalam keadaan marah-marah. Tak mengapalah, asalkan ingin berbual.
Tiba-tiba dia jatuh rindu. Rindu ingin mendengar suara Zulaikha. Selepas makan malam tadi pun dia terus masuk ke biliknya. Tidak bagai selalu akan duduk berbual-bual dengan ibunya.
Sengaja dia memberi alasan. Dia penat kerana banyak kerja di pejabat. Kerja pejabat tetap begitu. Cuma dia tidak dapat menumpukan perhatian. Semuanya kerana malam itu. Semuanya kerana Zulaikha.
Pandangan dilepaskan ke luar jendela. Bintang tidak kelihatan. Langit gelap. Sesekali bunyi guruh berdentum, menandakan hari akan hujan. Tapi keadaan sebaliknya boleh juga berlaku. Mendengar guruh di langit, air tempayan dibuang jangan. Itu pepatah lama supaya kita selalu beringat-ingat. Agar apa yang ada tidak dibuang sebelum tahu apa yang akan diperolehi.
Bukankah itu berkaitan dengan dirinya. Mendengar cerita Johari dia menuduh Zulaikha begitu. Tidak diselidik terlebih dahulu. Akhirnya dia juga yang kecewa. Makin kecewa bila Zulaikha terus menjauhkan diri.
Nak tidur matanya tidak mahu dilelapkan. Dia cuba memejamkan mata tapi fikirannya masih belum mahu berihat. Terus berfikir dan berfikir. Sudah beberapa malam dia begitu. Aduhai.. beratnya apa yang ditanggung. Dia memang buntu. Jalan penyelesaian masih lagi belum ditemui.
Setelah difikir-fikir dia memberanikan diri ke rumah Zulaikha keesokan harinya. Selepas waktu kerja dia memecut ke Kajang. Harap-harap Zulaikha telah pulang.
Kereta Zulaikha terparkir di depan rumah. Pintu pagar terkunci rapat. Dia meninjau-ninjau mana tahu Zulaikha ada di dalam rumah. Tiada cahaya lampu. Tingkap pun bertutup. Talipon dicapai. Dia menekan butang. Tiada bunyi deringan talipon. Zulaikha memang tiada.
Dia memerhati sekali lagi. Terpandang olehnya pokok bunga ros di dalam pasu di tepi rumah sewa Zulakha. Ros kuning dan ros merah itu segar berbunga. Bukankah ros itu adalah pemberiannya kepada Zulaikha. Tidak syak lagi.
“Abang belikan ros ini untuk Zu..” Semasa mereka berkunjung di Expo Pertanian di Serdang.
“Tak mahulah! I bukannya pandai jaga..” Zulaikha menolak.
“Abang nak hadiahkan juga. Ros kuning dan ros merah ini tanda sayang abang kepada Zu. Bila Zu siram bunga ini makna macam Zu menyiram cinta kita. Bila Zu pandang bunga ini Zu akan teringat kepada abang.” Zulaikha masih lagi tidak mahu menerima pemberiannya.
“Mati pokok ini nanti, you salahkan I pula “
“Ada abang cakap begitu? Zu ini prasangka betul!” Dalam menolak itu Zulaikha menerima juga setelah dia membeli pokok bunga ros itu.
Perbualan itu masih lagi diingati. Dia sebenarnya yang berprasangka.
Rumah jiran sebelah dipandang. Pintu tertutup juga. Lama dia menunggu tapi tiada tanda jiran sebelah akan membuka pintu. Dia hampa lalu masuk semula ke dalam kereta. Enjin dihidupkan,.. dan terus berlalu dengan fikiran yang berkecamuk.
9 Comments:
At Monday, May 08, 2006 8:33:00 AM, Anonymous said…
akak kenapa dera AZ saya tu sampai begitu sekali? kesian dia tau
At Monday, May 08, 2006 8:38:00 AM, Anonymous said…
Lia,
biar dia nanar sekejap...
tolong jaga dia sementara Zu x ada ni...
;p
At Monday, May 08, 2006 10:03:00 AM, Anonymous said…
Amir jgn putus asa, kuatkan semangat utk memiliki kembali hati Zu :)
At Monday, May 08, 2006 10:50:00 PM, Anonymous said…
Tie,
Amir tetap berdiri teguh,
sehingga Zu kembali kepadanya.
At Monday, May 08, 2006 11:08:00 PM, Anonymous said…
nisha,
Amir terus mengejar Zu tanpa henti;
En. Taufik masih memendam rasa dalam diam... Suka kat En. Taufik ya?
Cammana Exam? Mg terus suksess
;p
At Tuesday, May 09, 2006 5:31:00 PM, Anonymous said…
nape TB tak kuar??...dah 2 ari blank ajer...
ker komputer sy yg bengong :-D
At Wednesday, May 10, 2006 7:45:00 AM, Anonymous said…
jaga sape? AZ ke? betul ni? ok saya jaga... *sekarang ni saya dah simpan dalam plastik kat dalam almari baju*
At Wednesday, May 10, 2006 8:57:00 AM, Anonymous said…
Tie;
Dengan tuan rumah pun TB tu dah merajuk, agaknya ikut perangai Zu... La ni Zu nak balik dia pun menjelmakan diri..
Bolehlah berkicau semula...
At Wednesday, May 10, 2006 8:59:00 AM, Anonymous said…
Lia,
Patutlah Amir dah tak intai-intai rumah Zu, rupanya dah terkurung..
Lepas ini Zu legalah, tak ada 'pengacau'...he he he...
Bila nak jumpa ni...
Post a Comment
<< Home