HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Wednesday, May 03, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 47

Bila bicara mengundang duka, untuk apa lagi memujuk rayu...
*****

Usai sudah majlis pernikahan Syikin. Sekali akad sahaja Syikin telah bergelar isteri kepada Mohd. Izhar. Majlisnya sederhana sahaja tapi tetap terasa kemeriahannya. Syikin yang agak pucat pada mulanya kini tersenyum lebar.

“Risau.” Itu yang dibisikkan kepadaku saat tok kadhi memegang tangan Izhar. Risaukan Izhar tidak dapat menjawab soalan tok kadhi. Risau jika Izhar terpaksa menyebut berulang kali. Kes begini banyak juga berlaku di majlis pernikahan. Sehinggakan ada yang terpaksa berihat untuk seketika menenangkan fikiran.

“Tahniah, dah boleh panggil puanlah selepas ini.” Aku memeluk Syikin selepas keadaan agak reda. Fiza juga mengulang kembali apa yang aku lakukan kepada Syikin.
“Selepas ini giliran engkau pula!”
“Kita buat rombongan ke Perak. Orang lain yang nak kahwin, aku pula yang tak sabar nak pergi. Bertunang dulu aku tak sempat nak datang.” Fiza menyokong kata-kata Syikin.

“Siapa yang sedang menanti giliran? Zu ke?" Hanif menyampuk perbualan kami. Tadi aku nampak dia sibuk berbual dengan keluarga pengantin lelaki.
"Melepaslah abang macam ini..." Dia yang bertanya, dia yang menjawab sendiri.

“Usah lebih-lebih nak usik, dia ni dah ada orang punya.” Syikin memberi amaran kepada abangnya.

“Patutlah berseri saja muka Zu. Rupanya seri pengantin dah berpindah ke bakal pengantin pula.” Selamba saja Hanif mengusik sambil melihat ke wajahku. Tersengih bila aku diam tanpa suara. Seronok agaknya dia melihat aku yang tunduk memandang lantai.

“Yang kasihannya adik abang ini…” Matanya ditumpukan ke arah Syikin.

“Seri dah habis diambil oleh Zu.” Syikin mencubit lengan Hanif. Mempamerkan muka empat belas. Izhar hanya memandang saja. Tersenyum sama melihat gelagat isteri dan abang iparnya.

“Jaga-jaga malam ini Izhar, tak semena-mena ada ketam menjelma.” Hanif mengingatkan suami Syikin. Apa lagi muka Syikin bertambah masam mendengar usikan Hanif.

Aku dan Fiza tumpang ketawa mendengar omelan Hanif. Gelagat mereka memang mencuit hati. Syikin saja yang tidak ketawa sama. Marah agaknya dengan usikan abangnya.

Mujurlah semasa Hanif mengusikku tadi tiada siapa yang perasan. Aku anggap kata-kata Hanif sebentar tadi hanyalah gurauan. Ialah masa aku sedang bersedih kerana Johari; Syikin pernah menyuarakan hasrat untuk mengenalkan aku dengan Hanif. Tapi aku menolak.

"Tak payah nak fikir panjang-panjang. Senang-senang abang aku ada. Dia pun baik juga." Masa itu mak belum menceritakan tentang Amir Zuhairi.

Mana mungkin tiba-tiba saja hati akan beraleh ke orang lain. Hatiku hanya ingat kepada Johari saja. Tidak pasti pula samada Syikin pernah bercerita tentang aku kepada Hanif. Kerana aku tidak mempedulikannya lalu kisah itu tidak dipanjangkan. Sepi dan bisu. Hari ini usikan itu membuatkan aku terkedu. Banyaknya dugaan orang sedang bertunang ini.


“Talipon siapa yang berbunyi itu? Semenjak tadi tak berhenti saja.” Kami yang sedang ketawa terdiam seketika. Hanif ini dengar saja walaupun suasana agak bising.

Baru aku teringat selepas menalipon mak tadi aku terlupa nak mematikannya. Kalau dihitung diamnya terlalu sedikit jika dibandingkan ia menjerit.

“Ada orang tak tahan berpisahlah itu. Tambahan pula jauh-jauh macam ini.” Semua mata memandang ke arahku. Masing-masing melemparkan senyuman. Faham maksud di sebalik kata-kata Syikin.

Talipon itu aku ambil. Terus aku mematikannya.
“Eh.. kenapa tak jawab?” Hanif memandang hairan.
“Masa kurang sesuai…” Aku memberikan alasan. Sebenarnya memang aku tidak mahu bercakap dengan pemanggilnya. Fiza yang tahu apa yang aku alami kini, tersenyum saja. Tidak memberi apa-apa komen.

*****

Malam itu aku dan Fiza menginap di rumah Syikin. Esoknya kami beramai-ramai akan ke rumah pengantin lelaki di Marang pula.

Sebelum tidur aku mengaktifkan kembali talipon. Banyaknya pesanan suara. Suara Johari kedengaran meminta maaf. Merayu-rayu... Dia rasa kesal dengan apa yang terjadi. Bukan niatnya dia berbuat begitu. Kalau bukan niat apa perkataan yang sesuai?

Amir Zuhairi pun begitu juga. Meminta maaf atas keterlanjurannya menuduh aku. Katanya dia sayangkan aku. Tidak cukup dengan pesanan suara; pesanan ringkasnya aku terima juga. Semua berkisar kepada kata maaf.

Dua lelaki itu begitu mudah menuturkan kata maaf. Tapi aku tak pasti samada hati ini dapat memaafkan mereka. Sukarnya untuk memujuk hati yang terluka. Memaafkan mungkin boleh tetapi untuk melupakannya bukanlah sesuatu yang senang.

Aku tahu Johari mempunyai sebab tersendiri berbuat begitu. Cuma caranya saja yang salah. Keegoan mereka menutup daripada berfikir secara rasional. Yang aku tahu aku ingin menenangkan fikiran di sini. Aku mahu melupakan seketika apa yang telah berlaku.

Pagi-pagi mandi di perigi
Airnya jernih dingin sekali
Untuk apa merayu lagi
Jika rayuan menjeruk hati










1 Comments:

  • At Thursday, May 04, 2006 11:11:00 PM, Anonymous Anonymous said…

    nisha,

    angin laut membelai jiwa
    lupa seketika hati yang terluka
    Hanif cuma teman biasa
    mengapa dulu tak diterima saja..

    selamat menduduki exam..
    ada waktu nak jg berbual dgn. Nisha

     

Post a Comment

<< Home