HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Friday, March 31, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 41

“Balik dengan siapa? Tak dengar pun…” Syikin menegurku sebaik saja nampak aku membawa beg ke dalam rumah.
“En. Taufik..”
“Berdua saja?” Macam tak puas hati saja Syikin mendengar jawapanku.
“Pergi bertiga balik berdua. Yang seorang tu suaminya datang. Sambung cuti bersama anak-anak..”
“Kalaulah tunang kau nampak, apa pula katanya…”
“Nak cakap apa pulak, aku bukan buat apa-apa..” Aku melepaskan lelah di kerusi.

“Hari itu kekasih hati kau datang…”
“Kekasih hati mana?”
“Alah.. En. Abang MR 12* tu lah…”
“Cakaplah dia.. main teka teki pulak..”
“Kasihan kat dia tahu! Lama juga dia tunggu” Nada Syikin menjadi serius.
“Hasrat hati nak jumpa tunang, rupa-rupanya tunang tak ada..”
“Ia…” Aku senyum.
“Dahlah tak ada, pergi kursus tak bagi tahu.. Apalah nak jadi dengan Cik Puan Zu ni…”

Patutlah hari itu dia menaliponku. Awal-awal lagi dia dah tahu bahawa aku tiada di rumah.

“Emmm… hari itu dia talipon masa kat sana. Dia tak kata apa-apa pun. Siap tanya lagi bila aku habis kursus…”
“Rindulah tu! Untung tau dapat tunang macam itu, tak pandai nak marah-marah..”
“Mana kau tahu untung atau tidak. Orang lelaki inikan, belum dapat tunjukkanlah perangai yang baik. Bila dah dapat sesuka hati saja buat perangai” Remote control di meja aku capai.
“Itu prejudis Zu. Tak baik menuduh. Bukan semua lelaki macam itu.”

Aku masih menekan-nekan remote control. Mencari siaran tv yang menarik.

“Bukan menuduh tapi realiti. Bacalah kisah dalam majalah. Dalam suratkhabar pun ada. Bila dah satu rumah sikap sebenar terpamir. Ramai pula yang teringin nak menggantikan Joe Fraser atau Muhammad Ali. Tapi tunjuk berani kat isteri saja. Gelanggang pula dalam rumah..”

“Bukan penderaan fizikal sahaja tapi termasuk mental. Lagi parah…”
“Tiba-tiba saja jadi topik panas ini Zu!”
“Kalau topik macam ini, aku memang emosional sikit. Tak kan kau tak faham..” Aku menepuk lengan Syikin.

“Harap-harap tunang aku tak macam itu. Seram juga kalau dengar cerita pasal pergolakan rumah tangga ini” Syikin mengangkat kedua tangannya seperti berdoa.

Perbualan itu terganggu sebebtar dengan deringan talipon bimbitku yang berada di dalam handbag. Aku tidak sempat membalas apa yang dikatakan oleh Syikin.

“Macam bau-bau sahaja aku dah ada kat rumah ni…” Sempat aku mengomel sebelum menjawab panggilan tersebut. Syikin dah tersengih-sengih. Faham sangat siapa pemanggilnya.

“Assalammu’alaikum”
“Wa’alaikummussalam”
“Bila balik?”
“Baru sekejap tadi. Tak hilang penat lagi..”
“Esok, abang nak jumpa..”

Setelah menyatakan tempat pertemuan kami dan pukul berapa kami akan bertemu, dia meletakkan talipon.

“Kan aku dah cakap. Ada orang itu tak sabar nak berjumpa. Sampai saja rumah terus menalipon. Bertuahnya badan… Itu pun tak tahu nak menghargainya lagi.” Syikin mengusikku.

Aku yang sudah lama merihatkan badan di sofa membawa semua beg masuk ke bilik. Meninggalkan Syikin dengan senyum simpulnya. Kalau dilayan makin menjadi pula usikannya.

*****

Sabtu esoknya…
“Aku pergi dulu ya..”
“Dia tak jemput ke?” Aku menggelengkan kepala. Kebiasaannya dia akan datang menjemputku. Tapi tidak kali ini. Dia memintaku datang sendiri.

“Mesti ada kejutan ini. Sebab itu dia tak jemput! Tak tahulah siapa yang terkejut."
“Kejutan apa pula?” Aku mengangkat kepala
“Ialah… orang dah rindu. Dah lama tak berjumpa. Mestilah ada kejutan untuk tunang tercinta.""
"Lama apa bukannya bertahun!" Aku menepis kata-kata Syikin.
"Mana tahu ada jambangan bunga dalam kereta. Kalau dah nampak tak surprise lagi.."
"Bye..."

Cepat-cepat aku mengucapkan selamat tinggal kepada Syikin. Kalau melayan karenahnya alamatnya lewatlah aku tiba ke tempat yang dijanjikan.

Dia telah sedia duduk di situ bila aku tiba di Mc D tingkat atas itu. Matanya merenung jauh. Bagai memikirkan sesuatu. Tidak menyedari aku yang kian hampir dengannya. Makan kegemaranku; filet of fish, french fries & sundae ice-cream terletak di atas meja. Dia ingat apa yang aku suka.

Aku hadiahkan sekuntum senyuman kepadanya. Aneh, senyumku tidak dibalas. Lagaknya agak serius. Aku duduk mengambil tempat di hadapannya. Apa dah jadi dengan dia yang suka mengusik. Ribut apa yang telah membawa lari keceriaannya.

"Lama menunggu?" Soalan itu dibiar sepi. Dia cuma menatap wajahku.
"Makanlah dulu." Pelawanya.
"You tak makan?" Aku melihat tiada makanan di depannya. Hanya orange saja.
"Tak ada selera nak makan!"
"Sakit?" Ah.. tiba-tiba saja aku menjadi seorang yang perihatin. Dia agak terkejut.
"Secara zahirnya tidak. Tapi hati sakitnya tidak terperi!"

Aku memandangnya. Sejak bila pula dia pandai berkata begitu. Aku memegang sudu. Hairan! Dia tidak perasan langsung aku memakai cincin pemberiannya. Kalau dulu tiap kali pertemuan, pasti dia tidak lupa bertanya pabila tidak melihat cincin itu.

"Zu...., abang rasa kita tak payah teruskan pertunangan ini." Ujarnya lembut tapi menikam ke dadaku.

Aku tidak jadi menyuap ice-cream ke mulutku. Aku letakkan sudu itu kembali. Tiba-tiba saja hatiku direnggut pilu. Untuk apa, aku tak tahu. Bukankah itu yang aku mahukan dari mula pertunangan kami. Memang aku tidak pernah menuturkannya tapi sikapku menunjukkan begitu.

Itu dulu, kini tidak lagi. Sejak pulang dari PD aku rasakan pintu hatiku telah terbuka sedikit walaupun tidak seluas mana. Dan cincin itu adalah makna penerimaan dia sebagai tunangku.

Aku merenung keluar tingkap. Fikiranku terasa kosong. Bukankah aku sepatutnya gembira. Tanganku jatuhkan ke sisi supaya dia tidak melihat ke arah jariku.

"Zu nak tahu sebabnya?" Aku masih diam. Tidak mahu memandangnya. Ada rasa sebak menyelinap ke hatiku saat ini. Tak tahu mengapa!

"Abang tak mahu menerima bekas orang lain!" Aku terkejut. Terkedu sebentar.

Bekas orang lain? Perkataan itu berlegar di kepalaku.

"You cakap fasal apa ni?" Aku menyoalnya.
"Fasal Zu yang tak tahu menjaga harga diri!"
"You sedar tak apa yang you cakapkan ni?"
"Sebab sedar abang cakap!" Angkuhnya dia.
"Patutlah selama ini Zu susah sangat nak menerima abang. Rupanya ada rahsia yang Zu simpan dari abang."

"Apa yang I sorokkan? Apa yang I simpan?"
"Sudah gaharu cendana pula. Sendiri tahu tanya pula kat orang lain?"

Entah kenapa tempat dingin itu jadi panas tiba-tiba. Ice-cream yang beku itu pun menjadi cair tanpa diusik.


12 Comments:

Post a Comment

<< Home