HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Friday, April 28, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 46


Talipon berbunyi lagi. Kali ini entah ke berapa kali. Tidak aku hiraukan. Bukan aku tidak tahu siapa pemanggilnya. Iramanya berhenti kemudian berbunyi lagi.

"Jawablah talipon itu .. Bingitlah telinga aku mendengarnya!" Fiza yang sedang memandu kereta bersuara.
"Biar dia rasakan!"
"Bergaduh lagilah ni?"
"Bukan setakat bergaduh, dah tahap perang dunia ketiga. Tak dapat diselamatkan lagi .."
"Sampai macam itu sekali?”
“Macam itulah.. Macam kayu yang terbakar, berderai dah jadi abu pun.”

Aku menumpang Fiza untuk ke Putrajaya. Kebetulan pula dia ke rumah pak ciknya. Jadi aku tidak perlu membawa kereta sendiri.

“Apa pasal pula kau tersenyum ni bila pandang aku?”
“Memek muka kau tu… Siap dengan muncung yang panjang dan mata yang terpejam. Terkumat kamit. Sekali pandang macam orang tengah berzikir pula..”
“Hati aku ni bengkaknya belum surut lagi.”
"Baru ini aku tengok kau marah macam itu."
"Sarang tebuan jangan dijolok kalau tak tahu bisa sengatannya.” Fiza menoleh sekejap. Mengangkat kening dan menumpukan perhatian di jalanraya. Malas agaknya melayan aku.

"Besok pagi kita naik teksi ke?"
"Tak ... Pak Cik aku beritahu dia nak hantar."
'Tak menyusahkan dia ke? Pagi-pagi dah kena hantar ke Airport"
"Kebetulan dia ada seminar kat Concorde Inn, KLIA. Sekali jalanlah….”
“Untung dapat pak cik macam tu.”
“Tengok oranglah, aku ni kan anak buah kesayangan.”
“Perasan!”
“Betul apa?”

Esok pagi kami akan berangkat ke Kuala Trengganu. Menghadiri perkahwinan Syikin. Sekali dah pergi, aku dan Fiza mengambil kesempatan untuk merihatkan badan. Sesekali bercuti seronok juga. Tambahan pula dengan masalah yang aku hadapi kini.

Teringat kad jemputan yang tidak sempat aku berikan kepada Amir Zuhairi. Mujurlah Syikin tidak tahu tentang hal tersebut. Jika tidak mungkin dia akan terasa hati. Macammana aku nak berikan, sedangkan saat itu hubungan kami tengah bergolak.

Mulanya ingin aku mempelawanya pergi sekali. Mana tahu dia akan bersetuju. Awal-­awal lagi Syikin memberitahu bahawa tempat penginapan tidak perlu dipersoalkan. Rumah sewa bapanya percuma saja untuk ditumpangi. Tak sangka pula perkara sebaliknya terjadi. Berlainan sekali apa yang aku harapkan. Lalu kad itu masih ada padaku. Terletak kemas dalam laci kamarku.

Untuk apa aku kenang lagi. Makin dikenang makin terasa sakit di hati.

"Tak sabarnya aku nak jejakkan kaki di negeri yang ada penyu tu."
"Aku pun macam itu juga. Dah beberapa tahun aku tak berkunjung ke sana." Fiza membalas. Dia memandu dengan kelajuan sederhana. Jalan raya pun tidak sesibuk mana. Kereta agak berkurangan.

"Nak tahu tak, boss aku itu pun ada cakap nak jadi pemandu pelancung aku di sana. Kelakarkan?"
"En. Taufik tu? Jadi pemandu pelancung ke jadi bodyguard. Ada makna tu offer tu."
"Alah... dia bergurau saja." Aku teringat kata-kata En. Taufik.
"Gurauan ada inti tu.."
"Inti apa? Inti kelapa, daging, ayam?"
"Inti yang invisible. Tak terpegang dek tangan tapi cuma hati yang merasa."
"Mulalah nak merepek tu." Fiza tidak lagi mengusikku.

"Macam terbau-bau pula harumnya sutera dan wanginya kain batik." Aku dah mula bayangkan Pasar Payang yang penuh dengan bermacam-macam barang pilihan.
"Cakap fasal kain batik ni...... Aku pun ada ada senarai panjang bila aku beritahu rakan pejabat yang aku nak bercuti di Trengganu."
"Biasalah tu. Walaupun di sini tiada kurangnya kain batik."
"Mereka kirim dengan kata-kata atau dengan duit?"
"Aku tak mahu terima duit biarpun ada yang nak bagi. Aku kata bila sempat sahaja. Kalau duit mereka di tangan, itu dah jadi tanggungjawab pula."

"Tak sabarnya aku nak merasa tiupan bayu laut.” Aku bayangkan kami berjalan-jalan di Pantai Buruk sambil makan kerepok lekor.
"Best kan?" Fiza menambah kata.
"Kita duduk kat tepi pantai sambil itu makan keropok lekor. Hish sedapnya ... "
"Zu, janganlah cakap macam itu. Aku dah terliur ni..." Aku tersengih.
"Itu belum masuk bab nasi dagang lagi."

*****

Kami sampai di Lapangan Terbang Kuala Trengganu pada pukul 8.30 pagi. Lewat 10 minit. Dari jauh kelihatan Syikin bersama abangnya. Hish pengantin ini, majIis dah dekat pun masih berani keluar juga. Sepatutnya dia duduk diam-diam di rumah. Kalau emak aku, pasti berbakul bebelan dan nasihatnya.

Kami bersalaman, berpelukan dan berlaga pipi.
"Sampai juga kamu berdua. Aku risau juga bila pengumuman mengatakan kapal terbang lewat sedikit"
"Mana boleh tak sampai Syikin. Aku tak mahu ketinggalan di majlis ini." Hanif abang Syikin hanya memerhati gelagat kami. Dia sekadar melemparkan senyuman. Aku pemah bertemunya dua kali. Semasa ibu bapa Syikin datang ke rumah sewa kami di Kajang.
Beg-beg pakaian kami telah pun diisi ke dalam bonet.

"Lupa nak kenalkan .. " Syikin bersuara apabila pintu kereta Naza Ria dibuka.
"Ini abang aku Hanif." Dia mengangguk.
"Zu dah pernah jumpa tapi Fiza belum lagi kan?" Mana Fiza nak jumpa kerana dia selalu tiada di rumah di hujung minggu.

"Abang aku ni bujang lagi. Katanya nak menunggu bidadari dari kayangan sebagai teman hidup." Masih belum berubah lagi rupanya Syikin ni. Nak jadi isteri orang pun masih suka mengusik.
"Tengok tu Zu, mulutnya tak ada insuran. Dah nak kahwin pun cakap lepas-Iepas saja." Hanif yang cepat mesra itu membalas kata-kata Syikin.
"Dengar tu Syikin .. Cakap kena control nanti cik abang lari." Sengaja aku menyebelahi kata-kata Hanif.
"Kau buat macam-macam,.. MR. 12* tu tak lari pun. Siap mengejar lagi." Syikin bersuara perlahan di telingaku. Hanya aku saja yang mendengar.
"Emm! Yang berbisik-bisik tu kenapa? Tak baik tau!" Hanif menegur.
"Rahsia bakal pengantin." Selamba saja Syikin menjawab.

"Ini bilik kamu berdua." Kami ditunjukkan ke bilik yang berada di tingkat dua. Barang-barang kami telah pun dibawa oleh Hanif . Diletakkan di luar bilik. Aku cuba menghalangnya tadi. Jawab Hanif tak gentleman kalau dia membiarkan kami mengangkat sendiri.

Masa sampai tadi aku dan Fiza bersarapan bersama ibu Syikin. Sebenarnya ibu tiri Syikin kerana ibunya telah lama meninggal dunia semasa Syikin masih di sekolah rendah. Tapi kalau dilihat dari luar tiada siapa pun tahu bahawa itu ibu tiri Syikin. Aku pun tidak tahu perkara sebenarnya jika Syikin tidak menceritakannya semasa pertama kali aku bersua muka dengan keluarga Syikin.

"Berihatlah dulu ya. Nak tolong pun semuanya dah disediakan. Tapi kalau rajin sangat boleh juga." Dalam diam sempat juga dia mengenakan aku dan Fiza.
"Yes, Puan Norasyikin.." Aku mengangkat tangan ala-ala tentera.
"Lepas Asar nanti baru boleh gunakan gelaran itu. Sekarang masih Cik lagi tau." Syikin berlalu meninggalkan kami berdua kemudian berpaling semula.
"Zu jadi pengapit aku ya."
"Eh.. tak mahulah. Carilah orang lain.."
"Biar lepas ini cepat pula nak pelamin. Taklah asyik bergaduh saja. Amir mesti dah tak sabar tu. Dah penat menanti."

Aku memandang Fiza. Nama itu juga yang disebut. Tapi ialah mana Syikin tahu situasi antara kami berdua sekarang ni. Macam telur di hujung tanduk saja.

1 Comments:

  • At Wednesday, May 03, 2006 12:13:00 PM, Anonymous Anonymous said…

    Hi Nisha,

    Patutlah lama x nampak di sini,
    moga segalanya berjalan lancar..

    Selamat menduduki ppriksaan dan mendapat keputusan yang cemerlang..

    You can do it, Nisha;
    luv
    kak ija

     

Post a Comment

<< Home