HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Tuesday, July 25, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 61

Bagaimana harus aku hadapi lagi
Jika janji telah terpatri;
Ingin aku terus berlari
Dari kemelut yang merantai hati....
Beginikah akhirnya????

Aku termenung di dalam bilik. Fikiranku melayang entah kenapa. Fail yang aku buka aku tutup kembali. Hasrat untuk menyemak apa yang terdapat di dalam fail itu terbantut.

Sungguh perkhabaran itu membuatkan aku menjadi amat resah. Rasa nak menangis pun ada. Aku tidak menduga bahawa sejauh itu mereka membuat keputusan. Membelakangkan aku sama sekali.

Apa yang harus aku buat?. Aku perlu bersemuka dengan kak Ngah petang ini. Kak Ngah patut tahu apa yang bergelodak di jiwaku.


Azira yang berada di luar pejabat terkejut dengan sikapku yang tergesa-gesa. Sempat juga dia menegurku. Pastinya dia hairan kerana aku pulang awal. Senyuman aku lemparkan ketika bertembung dengannya.

“Nak ke mana ni Zu, macam dikejar hantu saja.”
“Ada hal sikit….” Memang aku dikejar hantu pun. Tapi bukan hantu dalam filem-filem tu. Kerana En. Antu itulah fikiran aku jadi berkecamuk.


“Kak Ngah, macammana boleh jadi macam ini?” Tanyaku dengan rasa tidak sabar. Aku berdiri di tepi jendela mengadap taman mini. Deruan air pancut buatan itu tidak dapat menyejukkan hatiku yang kian terbakar.

“Kenapa kalut sangat ni dik?” Tak mungkin kak Ngah tak tahu kenapa aku datang ke rumahnya waktu begini. Aku amat berterima kasih kerana abang Izwan belum pulang lagi. Bolehlah aku meluahkan segalanya kepada kak Ngah tanpa gangguan sesiapa.

“Mak tu…” Ada rasa kesal di dalam hatiku ini.

Kak Ngah hanya tersenyum bila aku merujuk kepada mak. Pastinya kak Ngah telah dapat menangkap kenapa aku menjadi seperti orang hilang arah.

“Yang tak tak tentu arah ini pasal itulah ya! Pendapat kak Ngahlah dik, apa yang mak buat itu ada betulnya.”
“Adik tak bersedia lagilah kak Ngah. Dalam perjanjian hari itu lain. Kenapa nak cepatkan pula?” Memang aku belum bersedia secara total. Baik mental; apa lagi fisikal. Perancanganku tak menjadi langsung.

Macammana aku tidak boleh menduga! Kedatangan mak cik Zubaidah hari itu tersembunyi agenda lain. Patutlah lelaki seorang itu gembira sangat walaupun aku bersikap dingin. Entah kenapa, peratus kebencian aku semakin bertambah. Benci! Benci!

“Ikut perancangan asal macam itulah! Tapi tarikh perkahwinan adik itu dalam minggu yang sama dengan tarikh kak Ngah due. Adik faham sajalah tarkh bersalin ada waktunya cepat, ada waktunya lewat. Mak tak mahu perkara itu berlaku serentak.” Kak Ngah memberikan fakta logiknya tarikh itu dipilih.

“Kenapa nak dicepatkan, lewat pun tak apa!”
“Perkara yang baik dik, elokah dicepatkan. Mak pun ada beritahu kak Ngah, majlis ini antara kaum keluarga saja. Lepas kak Ngah bersalin nanti, baru buat yang besar-besar sekali dengan majlis cukur jambul.”

“Tapi adik tak setuju, Yang nak kahwin adik bukan orang lain! Kenapa semua orang buat adik macam ini!” Terasa airmata akan menitis bila-bila masa saja.

Aku memang sedih sekali. Dalam usia begini pun orang lain yang menentukan dengan siapa aku harus menghabiskan hari-hariku. Hidup dengan dia? Berkongsi segala-galanya dengan dia? Tak pernah aku impikan langsung!

Dulu aku selalu membaca cerita gadis yang dipaksa kahwin. Aku rasa hairan kenapa gadis itu hanya menerima saja. Tidak mencari ikhtiar untuk melepaskan diri dari kemelut itu. Empunya diri mempunyai hak ke atas diri sendiri. Kini, aku berada di dalam keadaan itu. Apa hak yang aku ada pula untuk mempertahankan keputusan aku? Apakah aku harus berkorban demi orang lain.

Buntu! Ia, itulah yang aku rasakan saat ini.

Suasana sunyi seketika. Air Nescafe yang kak Ngah hidangkan tidak aku minum. Padahal itulah air pilihanku walaupun aku tidak boleh menikmatinya. Orang migrane seperti aku dinasihatkan tidak mengambil minuman itu.

“Kak Ngah, tolonglah adik kak Ngah. Adik tak mahu kahwin lagi!” Tangan kak Ngah aku genggam irat.
“Takut ke? Apa nak ditakutkan dik, putaran hidup manusia memang begitu. Mula hidup sendiri kemudian berpasangan, mempunyai anak-anak.”
“Kak Ngah hanya kak Ngah yang boleh tolong adik. Adik minta sesangat, pujuklah mak itu. Batalkan niat dia!”
“Adik, adik pun fahamkan dalam keadaan mak macam itu. Dia tak boleh terkejut, tak boleh susah hati. Kak Ngah pun hairan kenapa mak tiba-tiba saja sakit.” Kak Ngah macam orang sedang berfikir.

Mak sakit selepas ayah meninggal beberapa tahun dulu. Hari itu ayah pulang makan tengahari seperti biasa. Sempat bergurau senda dengan mak. Tapi waktu petangnya mak mendapat perkhabaran bahawa ayah telah pergi. Dia terjatuh ketika menuju ke kereta. Mujurlah ada orang yang melihat. Dan mak menanti dengan hidangan petang itu. Kuih kegemaran ayah terletak elok tidak diusik.

“Apa kurangnya Amir tu dik? Kak Ngah tengok dia baik, ciri-ciri suami yang baik ada pada dia. Tengoklah masa kat kampung dulu, bersusah payah dia tolong bakar ikan. Abang Izwan pun tak pandai macam dia.”
“Dia saja nak menunjuklah tu… Biar semua orang puji dia. Biar semua orang cakap dia bakal menantu dan ipar yang baik!”

“Dia ada buat perkara yang tak elok kat adik ke?” Kak Ngah memandangku. Air Nescafe dihirup perlahan.
“Tak lah sampai macam itu. Cuma adik tak boleh terima dia.” Macammana aku nak terima jika kata-katanya amat jelas diingatan. Minta maaf berkali-kali pun tak semudah itu aku nak memaafkannya.

“Adik ini kira beruntung. Semua orang sayang kat adik. Bakal suami sayang kat adik. Mak Cik Zubaidah lagilah. Jelas kasih seorang ibu dalam dirinya. Tak perlu adik nak mengambil hati dia sangat. Dia pula yang cuba mengambil hati adik sebagai menantu. Adik bertuah tahu!”

“Cuba tengok kat luar sana berapa ramai menantu yang cuba mengambil hati mak mertua. Kadang-kadang hidup bertahun-tahun pun belum tentu lagi mak mertua dapat menerima menantu.”

“Kak Ngah ni, adik minta tolong supaya kak Ngah cakap dengan mak. Ini kak Ngah pula menyebelahi Amir tu.”

“Bukan menyebelahi tapi kak Ngah cakap perkara yang betul. Bukalah pintu hati adik tu sedikit kalau pun tak banyak!”
“Adik tak bolehlah kak Ngah, Adik tak suka dia. Bencilah!”
“Tak baik adik cakap macam itu. Dia itu bakal suami adik. Suka tak suka adik kena terima juga. Adik tak kasihan dengan mak ke?”

Sebut fasal mak inilah yang membuatkan aku terus berfikir. Cakap putus tunang pun mak dah macam itu. Tapi patutkah aku berkorban, demi seorang ibu? Kenapa aku harus berdepan dengan keadaan begini? Aku mengeluh.

“Adik masih ingat kat Johari ke?” Soalan Kak Ngah mengejutkan aku.
“Mana ada!” Nama Johari telah lama aku padamkan dari mindaku. Buat apa nak ingat lelaki seorang yang menabur fitnah hanya cincin yang dia bagi dulu.
“Taufik ke?” Ah, nama ‘boss’ aku pula terheret sama. Kak Ngah ini nak buat drama apa pula ini.
“Kak Ngah, adik tak boleh terima dia bukan kerana sesiapa tetapi kerana hati adik tak ada pada dia. Kerana dia itu Amir Zuhairi. Mana pula kak Ngah dapat nama Taufik ini?” Hish! Mesti mak dah cerita yang bukan-bukan kepada kak Ngah. Mak pun satu. Aku dah terangkan kepada dia dulu siapa En. Taufik itu. Masih tak puas hati lagi ke?

“Tak ada apa-apa baguslah. Manalah tahu dalam diam-diam ada cerita lain pula. Lagipun dia datang bawa maknya sekali. Itulah kalau dah bertunang itu buatlah cara dah bertunang. Kalau orang lain berharap kan susah jadinya. Kak Ngah pun tak nampak yang adik pakai cincin yang Amir beri hari itu. Cincin cantik-cantik bukan untuk disimpan tapi untuk dipakai.”

“Kak Ngah ini kuat membebellah! Esok-esok anak kak Ngah pun suka pot pet pot pet.”
“Kalau kak Ngah tak cakap macam itu, cakap siapa lagi adik nak dengar?”

“Dua minggu lagi kak Ngah!” Aku terus gelabah menyebut dua minggu itu.
“Mana sempat nak buat itu semua?” Alasan aku beri lagi. Harap-harap kak Ngah bersimpati.
“Mak tahulah nak buat macammana. Adik bawa badan saja balik. Kawan mak pun ramai yang pandai-pandai dalam penyediaan tentang majlis perkahwinan ini.” Jawapan kak Ngah terus mematikan niat aku untuk bersuara lagi.

“Kak Ngah, kalau adik tak balik hari itu boleh tak?” Aku tahu jalan untuk mengelak semakin sempit. Malah tertutup terus.
“Apa? Kalau adik nak tengok mak terus sakit buatlah macam tu!” Suara kak Ngah telah hilang lembutnya.

Aku diam terus. Kalau tak balik perkahwinan ini tak akan terjadi. Biarlah semua orang menunggu. Tapi bagaimana dengan mak? Tanggungjawab aku sebagai anak pula bagaimana?

Hari beringsut, bertukar warna. Aku masih terpaku di birai katil memandang keluar jendela. Keputusan masih lagi belum aku capai….

Edisi belum edit sepenuh... moga berpuas hati ya wahai pembaca :)

Thursday, July 20, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 60


Cukup sekali aku tersilap langkah
Bukan untuk kedua kalinya
Biarpun apa yang engkau lakukan
Mengalah tidak sekali....


Dia mengekoriku dari belakang. Kalau tidak kerana saranan kak Ngah; tak ingin aku nak berjalan dengannya di pagi itu. Lebih baik aku pergi sendiri!

“Adik, hari ini adik pergi pasar ya!” Kata-kata kak Ngah menerjah ke telingaku. Terhenti sebentar aku mengemas meja selepas sarapan di pagi itu.
“Minta tolonglah kat abang Izwan. Dia bukan tak biasa pergi pasar...”
‘Abang Izwan kalau nak pergi, kak Ngah kena pergi sama. Kak Ngah tak laratlah!”
“Macam itu, minta sajalah dia pergi dengan seorang lagi jejaka itu.”
“Dia orang lelaki, mana mereka tahu, karang ada benda tertinggal.”
“Orang lelaki zaman sekarang lainlah kak Ngah, Mereka lebih bijak berbelanja lagi..”
“Adik pergi sajalah… Ajak Amir pergi sekali.”
‘Pergi dengan dia?” Mataku membuntang.
“Apa salahnya….” Memanglah tak ada salah tapi kenapa aku perlu pergi dengan dia.
“Daripada pergi dengan dia, baik adik pergi dengan mak dia.”
“Dia orang itu tetamu dik. Tetamu perlu dihormati.”
“Amir pun tetamu juga kak Ngah!”
“Bagilah peluang mak cik Zubaidah itu berbual dengan mak. Mereka itu dah lama juga tak jumpa. Tentu banyak cerita.”
“Macam itu adik pergi sendirilah…” Aku menyangkut kain lap meja di tempatnya.
“Alah… adik akak seorang ini dah merajuk. Masa inilah nak belajar apa makanan yang dia suka” Kak Ngah mengusikku.
“Dia itu tolak kayu dan batu saja. Semua dibedal saja…”
“Baguslah macam itu. Senang hidup adik. Tak payah pening kepala nak fikir apa nak masak .”
Kak Ngah ini memang nak buli adiklah ini. Tak padan dengan mak buyungnya.”
“Bukan buli tapi macam masuk pra-sekolah baru nak belajar kenal huruf..” Geram betul aku dengan bakal ibu ni. Perangai tak berubah nak mengusik saja.

“Nak beli apa? Ada mengidam apa-apa ke?” Aku menyoal kak Ngah yang tersenyum meleret. Orang mengandung ini macam-macam benda yang hendak dimakan. Masa beginilah mereka macam minta dimanja.

“Apa-apa sajalah yang adik fikir patut. Kak Ngah pun tahu adik kak Ngah ini pandai memilih.”
“Nak bodeklah itu… tapi kan kak Ngah dalam hal jodoh ini adik tak ada pilihankan?”
“Itu hal lain dik. Dalam hidup ini ada masanya kita boleh memilih, ada waktunya kita terpilih. Ada ketikanya kita memang tiada pilihan. Menerima apa yang ada saja… Sudahlah, kak Ngah tak mahu adik sedih di pagi ini. Kang tengahari dapur tak menyala pula.”


**

Perbualan mereka yang rancak di ruang tamu terhenti bila melihat aku membawa bakul ke dalam kereta.
“Nak ke mana Zu?” Mak Cik Zubaidah pula menegur.
“Pasar... Mak Cik nak kirim apa-apa? Boleh Zu belikan..” Aku memaniskan mulut bertanya. Mengikut kata-kata kak Ngah. Tetamu perlu dihormati dan dihargai.
“Mak Cik tak kisah. Zu ajak Amir pergi sekali. Tak lah Zu sorang-sorang bawa barang itu.” Aku baru mengelak daripada kak Ngah. Ini mak cik Zubaidah pula yang menyuruh.

“Tak apalah mak cik. Bukan banyak pun barangnya.” Senyuman abang Izwan tak dapat disorok apabila aku terpandang wajahnya.

Entah siapa yang mempelawa, dia telah bangun mengambil kunci keretanya. Hendak tak hendak aku terpaksa mengikutnya. Menghormati permintaan mak cik Zubaidah. Menunjukkan yang aku tak kisah. Mak tersenyum puas hati.

***

“Mak dah sihat ke Zu?” Mak Mah bertanya kepadaku ketika aku berhenti di gerainya. Menyalami tangannya. Mak Mah orang sekampung denganku. Boleh dikatakan dia rapat juga dengan mak. Selalu juga ke surau bersama. Bertadarus.

“Alhamdulillah, mak cik.”
“Dah seminggu dia tak sihat. Suruh panggil anak-anaknya balik, dia tak mahu. Tak mahu menyusahkan katanya.” Sikap orang tua begitulah, tak mahu menyusahkan anak-anak.

“Itu kawan kamu ya?” Mak Mah meleret ke arah Amir yang berhenti tidak jauh dariku. Dia membahasakan istilah “tunang” sebagai kawan.
“Ya…” Mak Mah masih kenal juga akan Amir. Mana taknya masa majlis pertunangan dia pun turut sama.

“Cepat-cepatlah kamu kahwin Zu, lepas itu bawa mak kamu tinggal bersama.” Alah, Mak Mah ni, dah muak rasanya aku dengar pasal kahwin ini. Kat rumah macam itu juga. Kat pasar pun tak lari dari topik itu. Aku berbisik di dalam hati.

Aku meminta diri daripada mak Mah bila ada pelanggan datang untuk membeli sayur kampong dan ulam daripadanya.

**

“Yang you tersengih-sengih ini kenapa?” Tak senang aku melihatnya sejak berlalu dari gerai mak Mah.

“Senyum pun salah! Tadi dengan mak Mah itu kemain lagi ramahnya. Cakap pun lembut. Dengan abang dalam sekejap masa saja dah berubah.” Aku mencebek. Kalau nak merajuk dengan aku, lambat lagilah nak kena pujuk.

“You tunggu kat kereta sajalah? Biar I yang beli barang-barang itu saja.” Aku cuba mencari alasan. Tak selesa rasanya beriringan dengan dia; bersama-sama membeli barang-barang keperluan dapur. Macamlah kami pasangan yang ideal dan serasi.

“Abang nak ikut juga… Boleh juga abang tolong bawa barang itu. Tentu beratkan? Sambil itu boleh juga abang belajar dengan Zu. Kita kan nak duduk serumah.” Ish panjang pula jawapannya, macam mak nenek.

Dari satu gerai ke satu gerai aku pergi. Mencari apa yang patut dibeli. Kak Ngah pun ada memberikan aku senarai barang. Kata saja tak mahu apa-apa. Dalam diam-diam masa keluar tadi dia menghulurkan aku sehelai kertas kecil. Kak Ngah, Kak Ngah aku tersenyum sendiri.

“Zu, sekejap…” Dia memanggilku yang terhadapan sedikit.
“Kita beli ikan talapia nak? Boleh dibakar. Nampak fresh saja.” Pandaikah dia makan ikan tu? Hatiku tertanya-tanya.
“Pandai ke you makan ikan ni? Siapa nak bakarkan? I tak mahu.” Awal-awal lagi aku telah memberitahunya. Nak makan, bakar sendirilah ya…
“Abanglah… siapa lagi atau Zu nak buatkan untuk abang?”
“You nak makan, you bakarlah sendiri….”
“Ialah… dah orang itu tak mahu tolong, kita buat sendiri sajalah….”
“Kalau dah tahu, baguslah….” Akhirnya dia membeli beberapa ekor ikan talapia merah. Di Tapah, ikan itu agak terkenal. Memang dijual hidup-hidup. Penjual akan memilih yang mana dipilih oleh pelanggan. Kemudian ikan itu akan disiang. Dagingnya pun halus dan manis.

“Zu pandai masak ke?” Dia bertanya ketika meletakkan barang-barang di bonet kereta.
“Pandai..” Jawapku sepatah. Tak kan aku nak mengalah. Kalau kata tak pandai, ada saja nasihatnya. Sedikit sebanyak aku telah tahu karektor dia.
“Baguslah.. Zu pandai masak apa?” Orang lelaki ini begitulah mesti nak tahu perempuan yang ingin dikahwini pandai masak atau tidak. Jika tidak pandai apakah kurang lengkap kriteria seorang isteri? Skema betul pertanyaa itu!

Pertanyaannya membuka peluang untuk aku mengenakan kembali.

“Paling pandai masak air.” Aku ingin tersenyum bila menuturkannya tapi aku tahan. Ingin aku lihat reaksinya.
“Zu kenakan abang ya?”
“Tak adalah... Memang itu yang I pandai masak” Aku menjawab selamba. Kalau dia tiada di situ, pastilah aku ketawa berdekah-dekah. Ha, nak tahu sangat aku pandai masak ke tidak. Rasakan!

“Ok juga tu. At least lepas itu boleh buat air untuk abang. Abang suka minum Nescafe.” Dia tersengih. Memberitahu apa minuman yang digemarinya.

Hi, sakitnya hati. Ada saja jawapannya. Senyuman yang hampir berbunga di bibirku kerana dapat mengenakannya terhenti sendiri. Aku pula yang terkena.

“Tak pandai masak tak apa. Abang boleh ajar…” Itu katanya bila aku mendiamkan diri. Lelaki seorang ini, ada saja penerangannya. Macamlah semua perkara dia tahu. Teringin nak ajar aku? Macam pasti pula yang aku akan serumah dengannya! Lupakah dia apa sebenarnya yang terjadi di antara kami?

Aku masih belum mengalah! Dia tak akan memiliki sekeping hati ini. Noktah!

Minggu lepas saya berkunjung ke KLCC, ada pameran buku (Kempen Membaca). Di situ saya bertemu dengan kawan-kawan blog, Wan, Cwazy Wabbit, CT. Terima kasih kerana menanti penuh sabar! ;p Sempat juga saya beramah mesra dengan penulis novel Anis Ayuni dan Eyman Haikal. Pertemuan ini tetap meninggalkan memori manis buat saya walaupun beberapa pertemuan telah pun terjadi sebelumnya. Wan, WB macam dah jadi acara mingguan pulak.


Cri - insyaallah di Mid Valley kak Ija pergi. Ada kesempatan mungkin tercatit pertemuan antara kita. Harap-harap saya akan bertemu dengan semua pembaca setia di blog ini.

E-novel ini akan berakhir 2 episod lagi....
Kata Zu; rindu tersisip kemas di kamar hati; sebutlah namaku bila ia hadir!
Salam sayang untuk semua..

Friday, July 14, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 59


Rasa tak sabar menemui mak membuatkan aku ingin memecut laju. Tapi pesanan En. Taufik kembali menerjah ke kepalaku. Orang yang sakit telah tentu sakitnya. Silap haribulan orang yang tak sakit menjadi sakit pula. Bawa laju atau perlahan akan tetap juga sampai ke destinasi. Macammana risaunya hatiku tapi aku harus menjadi pemandu berhemah.

Sesekali bibirku melepaskan senyuman kecil. Terkenang akan bicaraku dengan En. Taufik. Kalaulah aku katakan ia tadi, apakah En. Taufik akan menghantarku? Ah… kenapa pemikiranku menjadi gila-gila. Agaknya kerana aku memandu sendiri. Tak ada teman untuk berbual membuatkan segala rasa bercampur aduk.

***

Lega rasanya bila aku tiba Tapah. Aku keluar dari kereta. Barang-barang aku tinggalkan dahulu. Yang penting berjumpa dengan emak.

Langkahku laju menuju ke rumah bercat kuning air itu. Rumah peninggalan arwah ayah untuk isterinya yang tersayang. Dulunya kami tidak tinggal di situ. Bila ayah bersara dia memilih untuk menetap di situ. Bukan kembali ke kampong halamannya.

Rumah kelihatan sunyi sepi sahaja. Aku memberi salam dan mengetuk pintu. Dedaun pintu terbuka lebar. Terjengul Liza anak jiran sebelah.

“Akak dah balik? Tak dengar bunyi kereta pun!” Ulasnya setelah kami bersalaman.
“Mak kat mana?” Aku mengikutnya dari belakang. Pintu yang ternganga ditutup kembali. Wajah mak aku cari di ruang tamu.
“Kat atas, berihat.” Aku melangkha menuju ke kaki tangga.
“Akak!’ Panggilan Liza matikan langkahku. Aku berdiri di tangga. Tangan aku letakkan di pemegang yang berukir.
“Akak dah ada kat sini.. Liza minta diri dululah. Beritahu mak cik nanti ya.”
“Terima kasih Liza, bersusah payah menjaga mak akak masa kami tiada.”
“Kita berjiran kak. Jika tak ada sikap tolong-menolong bukan berjiran namanya.” Petah bibir Liza memberikan pendapat. Kemudian dia pun berlalu pergi.

Aku berdiri di depan bilik mak. Pintu aku ketuk perlahan. Tanpa menunggu jawapan aku terus melangkah masuk. Mak berbaring di atas katil. Tidak sedar akan kehadiranku. Muka mak yang pucat aku tatap mesra. Nak aku mencapai tangannya tapi risau dia akan tersedar.

Di sebelah katil aku lihat ada berbagai jenis ubat. Tidak pernah aku lihat mak memakan berbagai jenis ubat. Melainkan beberapa jenia vitamin. Mak pernah memberitahuku bahawa jika dia boleh mengelak, dia tak akan memakan ubat-ubat yang ada bahan ‘kimia’ di dalamnya. Tapi jika terpaksa dia akan makan juga.

Aku keluar dari bilik mak. Biarlah dia berihat seketika.

Kak Ngah dan abang Izham sampai malam itu juga. Sebelumnya dia telah menaliponku memberitahu bahawa mereka akan lewat sampai.

**

Besoknya, aku leka di dapur menyediakan apa yang patut untuk juadah petang itu. Suara kak Ngah mengejutkan aku dari berterusan melayan fikiran sendiri.

“Adik, ada tetamu istimewa di depan itu. Pergilah sambut.” Serta merta aku menggigil. Fikiran melayang ke satu wajah. En. Taufik datang? Benarkah apa yang diberitahu hari itu? Kalau boleh aku tak mahu kedatangannya mengeruhkan suasana. Dulu dia jumpa mak. Sekarang ini dia perlu bertemu pula dengan kak Ngah dan abang Izham.

“Yang tercegat kat situ lagi buat apa? Pergilah ke depan..” Kak Ngah bersuara lagi apabila melihat aku tidak bergerak. Kaku di tepi meja. Macam orang bingung. Muka kak Ngah aku pandang.

“Muka adik pucat ini apa hal? Tak sihat ke?” Bukan aku tak sihat tapi tetamu istimewa itu bagai merentap ketenanganku. Aku masih terpaku lagi.

“La.. apa kena dengan adik ini? Tetamu datang boleh buat tak peduli saja.” Wajah kak Ngah menampakkan kehairanan.

“Pergilah ke depan itu. Dia orang dah lama tunggu. Nanti apa kata tetamu itu. Macam kedatangan mereka tak dihargai pula.!” Kak Ngah menghampiriku. Bahuku dipegang lembut. Kalau boleh aku tidak mahu ke ruang tamu. Aku tidak mahu bertemu dengan tetamu istimewa yang dikhabarkan oleh kak Ngah sebentar tadi. Biarlah aku lama-lama di dapur ini pun tak mengapa.

“Kak Ngahlah pergi ke depan itu. Adik nak siapkan ini.” Aku masih lagi mengelak. Kak Ngah menggelengkan kepala.

“Dia orang itu nak jumpa dengan adik. Hish… adik ini dah disampuk apa? Selalunya tak macam ini.” Tanganku diraih. Ditarik lembut dan menolak aku ke ruang tetamu. Aku menjadi tidak tentu arah. Apa kata mak. Apa kata abang Izham apabila melihat tetamu itu. Dulu masa En. Taufik datang pun mak dah bising. Tentu kak Ngah akan bertanya perkara yang sama. Macammana ini? Debaran di dada semakin kencang.

Lambat-lambat aku melangkahkah kaki. Rasanya nak aku menjadi ‘invisible’ supaya En. Taufik tidak nampak akan kehadiranku di situ. Biar aku saja yang nampak dia.

Kak Ngah telah senyum-senyum melihat tingkah lakuku.

Wanita itu memalingkan muka bila mendengar suara kak Ngah. Debaran semakin kurang bila aku terpandang wajahnya. Aku boleh tersenyum kini. Sangkaan ku tersasar.

“Zu, apa khabar?” Tegur mak cik Zubaidah bila aku menghulurkan tangan. Seperti kebiasaannya tanganku digenggam irat. Aku diraih. Dipeluk dan pipiku dicium lembut. Dan seperti yang disarankan oleh mak, aku mencium tangan mak cik Zubaidah. Kata mak, bila mak cik Zubaidah menjadi ibu mertuaku; dia seperti mak aku juga.

Pandangan aku jatuh ke sisi. Dia tersenyum merenungku.

“Tangan abang tak salamke? Tak mahu cium?” Ee… bencinya aku. Berani betul! Depan mak dan yang lain-lainnya dia boleh bergurau begitu. Tak tahu adabkah? Aku menahan rasa di hati. Kalau tak ada sesiapa tahulah apa yang akan aku katakan kepadanya.

“Sabar-sabarlah Amir, bila dah nikah nanti tak payah suruh pandailah orang itu bersalam.” Abang Izham pula menambah rasa jengkelku. Semua yang ada di depan itu ketawa mendengar gurauan begitu. Mak pun boleh ketawa sama. Gurauan yang padaku tidak menggelikan hati pun.

Menyampah!.Tapi aku tutup juga dengan senyuman. Wajahku dipandang. Dia tahu dan aku pun tahu, masa berkumpul ramai-ramai begini aku harus menjadi perempuan melayu terakhir. Itu yang aku rasa berbuku sangat!

Aku berfikir sendiri. Apa hal pula mak cik Zubaidah datang? Mak pun tak ada pula memberitahuku bahawa mereka akan datang.

Usah prasangka Zu! Aku membisikkan kata-kata itu sendiri. Tak ada silapnya mereka datang. Hak manusia kepada manusia yang lain ialah menziarahi orang semasa sakit.

**

“Kak Ngah..” Aku berbisik ketika kami di dapur.
“Mereka itu nak tidur kat sinikah?” Suaraku antara dengar dengan tidak saja.
“Kalau dia orang nak tidur kat sini, apa salahnya. Mungkin banyak benda yang nak dibualkan dengan mak!” Aku mengeluh.
“Kenapa? Adik tak suka, bakal mak mertua bermalam di sinikah?” Caraku bertanya agaknya membuat kak Ngah membuat tafsiran sendiri.
“Tak adalah! Adik ada cakap tak sukake?”
“Masa inilah adik nak kenal dengan bakal mak mertua..”
“Dah kenal pun….” Panjang jawapanku membuatkan kak Ngah memandangku tepat.
“Lain macam saja bunyi tu?”

Perbualan kami terhenti bila mak cik Zubaidah melangkah ke ruang dapur. Minta-minta dia tidak mendengar apa yang kami bualkan sebentar tadi.

“Kuih seri muka tadi tu Zu buat sendirike?” Kak Ngah sudah menghadiahkan senyuman bila pertanyaan itu timbul.
“Cuba-cuba saja mak cik. Entah sedap entahkan tidak. Saya tak pandai sangat, masih belajar.” Panjang lebar aku menerangkan. Malu-malu.

“Siapa kata tak sedap. Cukup semuanya. Mak cik suka macam itu. Tak terlalu manis.” Mak cik Zubaidah ini nak menguji akukah! Memang pun aku tak pandai buat kuih. Tapi seronok juga dapat pujian. Aku ketawa di dalam hati.

“Amir pun suka.” Mak cik Zubaidah ni, tak habis-habis dengan anak bujangnya itu. Mamat itu agaknya tolak batu dan kayu saja, yang lain semuanya dia suka.

Kami terus berbual. Memang betul apa yang diberitahu oleh kak Ngah, mereka akan bermalam di sini. Nampaknya makan malamku tak seceria hari-hari semalam. Aku akan mengadap mukanya sekali lagi.

Tak seronoknya!

***

TB saya buat hal. Sekejap saya nampak nama Noor, Rubi, Tie, KakNoor., peminat setia..... lepas itu hilang entah ke mana. Macam chipsmore pula. Nama tuannya sendiri pun ditelan. Sebenarnya saya ada updated blog tapi hilang juga. Beberapa kali juga saya mencuba tapi begitulah juga yang terjadi.
ibu_manja: sila guna email ni: ijaisme@yahoo.com
ruby : cerita ini akan berakhir di sini, versi cetak? doakan ya!
peminat setia: insyallah, terima kasih krn nak jadi pembeli pertama.
noor : semoga segalanya baik-baik belaka.
Ellio8: usahlah bersedih, peluang ke 2? Nak peluang ke2 ke? Zu yg boleh jawab....
Tie; Ija sediakan tisu buat mengelap si air mata, kita pun nak nangis sbb penat menjawab tapi hilang, wa......
KakNoor: sempat baca tapi x sempat jawab.... apa ya?
**
Minggu lepas saya bertemu dengan kawan-kawan yang selalu bertanding ke blog ini. KakNoor, Monalyza, Lia... Pertemuan yang santai tapi meriah. KLCC mencatat pertemuan kami. Kalau dah berjumpa tu adalah ceritanya. Macam tak habis saja. Tak disangka waktu berjalan begitu pantas. Pertemuan yang beberapa jam itu terasa sekejap..... sangat. Sempat juga kami berposing di restaurant AW! Teringat pula mama juwie yg. sinonim dgn. huruf2 tersebut. Harap-harap ada rentetan lagi selepas ini....

Untuk semua pembaca blog ini moga kita akan bertemu satu masa nanti.... Salam manis, salam mesra, salam ukhwah moga persahabatan berpanjangan....

Thursday, July 06, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 58


Mesyuarat yang sedang berjalan sedikit pun tidak menarik perhatianku. Telingaku tidak menangkap sepenuhnya apa yang dikatakan oleh pengerusi. Entah kenapa, sejak pagi lagi ada rasa kurang senang bermain di hati. Rasa berdebar-debar. Aku bertanya sendiri. Tapi jawapannya tiada.

Mujurlah mesyuarat kali ini tidak serancak mesyuarat lalu. Perkara berbangkit pun kurang. Segalanya mudah kali ini. Tiada banyak yang membangkang. Masing-masing boleh dikatakan setuju dengan apa yang dikatakan oleh pengerusi.

Seketika, wajah mak melayang di depan mata. Sejak hal tempohari, kami jarang berbual di talipon. Mak macam berjauh hati saja. Aku talipon pun dia bercakap antara hendak dengan tak hendak.. Agak hambar. Kurang mesra.

“Cik Zulaikha, ada apa-apa yang perlu dikatakan?” Suara En. Taufik menyapa di telingaku. Aku terpinga-pinga. Jika tidak kerana Azira yang menyikuku pastilah aku masih melayan perasaanku.

Wajahku dipandang oleh mereka yang hadir. Aku melemparkan senyuman. Malu jika diketahui mereka bahawa aku bukan di dunia nyata sebentar tadi.

“Tak ada apa-apa..” En. Taufik merenungku. Kemudian dia bertanya ke arah teman di sebelahku.

“Kenapa kau tadi? Ingatkan siapa? En. Taufik panggil dua kali tahu!” Azira bertanya ketika kami beriringan keluar. Jam sudah pun menunjukkan ke angka 12.00 tengahari.

“Entah, aku rasa tak sedap hatilah. Thanks sebab kejutkan aku tadi. Jika tidak tak tahu mana aku nak letakkan muka ini!” Bukan aku tak nampak pandangan mereka yang ada di bilik mesyuarat tadi. Masing-masing melemparkan senyuman yang kurang manis. Ialah dalam mesyuarat tapi aku fikirkan tentang hal lain pula.

***

Talipon bimbit yang aku ‘off’ sepanjang mesyuarat aku ‘on’ semula. Tabiatku memang begitu. Dalam mesyuarat aku tidak mahu diganggu dengan panggilan talipon. Tambahan pula nak melayan karenah lelaki seorang itu.

Kalau tak menjawab panggilannya; dia akan menghantar pesanan ringkas. Tak cukup dengan itu talipon pejabat pula menjadi mangsa. Memang tak senang aku dibuatnya. Payahnya menghadapi dia! Sejak akhir-akhir ini aku macam dikongkong pula. Segala pergerakanku semua nak tahu. Tak tahu penyakit apa yang telah dihadapinya kini. Memang teruk sekali.


Beberapa saat kemudian talipon merengek minta dijawab. Tertera nama Kak Ngah.

“Adik pergi mana tadi? Kak Ngah talipon banyak kali tak berangkat.” Hati yang reda, berdebar kembali. Berita burukkah?. Jika kak Ngah talipon berkali-kali maknanya ada hal penting.

“Mesyuarat tadi. Ada apa-apa ke kak Ngah?”
“Mak sakit dik” Jawapan kak Ngah membuatkan aku hilang arah. Longgar kepala lututku.
“Sakit? Hari itu adik balik, dia sihat saja. Sakit apa kak Ngah.” Patutlah aku rasa kurang enak di hari ini. Hati berdebar-debar saja.

“Sakit lama datang balik. Tak tahulah apa yang menyusahkan hati mak. Adik tahukan, mak tak boleh susah hati atau terkejut.” Kata-kata kak Ngah membuatkan aku terdiam. Sebab akukah mak jadi begitu. Ah! Orang tua memang akan sakit-sakit. Kereta lama pun sakit juga. Aku menyedapkan hati.

“Kak Ngah nak balilkkah?”
“Emmm… tunggu abang Izwan uruskan hal dia dulu. Lepas itu baliklah. Kak Ngah nak drive masa ini, faham-faham sajalah keadaan kak Ngah ini.” Aku ternampak-nampak perut kak Ngah yang makin memboyot. Tak lama lagi aku bakal menerima anak buah.

“Sekarang ini siapa jaga dia kak Ngah?” Risau bertamu di hati. Ah, takutnya aku membayangkan segala kemungkinan-kemungkinan itu.

“Anak jiran sebelah yang tengah tunggu keputusan periksa itu ada…” Aku mengucap syukur di hati. Jiran sebelah mak itu memang rajin juga bertandang bila aku pulang ke kampong. Beginilah bila tiada siapa yang menemani mak. Hanya jiran yang dapat membantu.


***

“Hari ini saya minta kebenaran nak pulang awal En. Taufik. Esok saya nak ambil cuti.” Terus sahaja aku menyatakan tujuan aku datang setelah memberi salam. Mujurlah dia ada di dalam biliknya waktu makan tengahari. Tak ke manakah dia? Aku tertanya-tanya juga.

Wajahku dipandang lama. Aku masih berdiri di hadapannya..

“Maaflah mengganggu masa lunch En. Taufik.” Aku menyambung kata-kataku bila En. Taufik tidak mengalihkan pandangannya. Mana tahu pula dia inginkan ‘privacy’ di hari ini. Apa kena pula En. Taufik ini. Macamlah ada sesuatu yang aneh di wajahku.

“Zu, duduklah…” Baru dia mempelawaku bila melihat aku masih lagi berdiri di hadapannya.
“Terima kasih… tapi saya tak boleh duduk.”
“Kenapa? Dah tak sudi nak duduk pula kat bilik saya?” Alahai En. Taufik masa inilah dia nak bergurau pula. Aku dah bimbang separuh mati.
“Tak lah sampai macam itu. Tapi hari ini saya memang hilang mood.”
“Bergaduh dengan boyfriend?” Apa hal pula dengan ‘boss’ aku ini. Awal-awal aku dah cakap nak balik cepat.
“Mak saya sakit En. Taufik.. Petang ini saya nak balik.” Suaraku lirih. Memang aku di dalam kesedihan.
“Balik dengan siapa?”
“Drive sendirilah En. Taufik. Waktu macam ini jalan kurang sesak. Petang ini saya tak masuk kerja.”
“Nak saya temankan?” Eh… En. Taufik ini begitu bermurah hatinya dia.
“Terima kasih En. Taufik. Janganlah nak bergurau dengan saya masa saya tengah sedih ini.”
“Saya tak bergurau. Saya serius Zu…”
“Terima kasih sekali lagi. Tapi saya boleh drive sendiri.” Apa kata mak nanti jika En. Taufik yang menghantar aku bukan Amir Zuhairi. Lagilah mak kata sangkaan dia hari itu memang tepat sekali.
“Oklah… drive carefully. Jangan pula awak pecut sampai 140km/jam. Kalau nak ambil cuti lagi, talipon saya saja. Kirim salam kat mak Zu Harap-harap saya dapat datang lagi ke kampong Zu.” Dia tersenyum.
“Thanks En. Taufik.”
“Take care. Satu lagi jangan lupa makan. Nanti awak pula yang jatuh sakit!” Aku menganggukkan kepala lalu melemparkan sebuah senyuman. Perihatin sungguh boss aku ini. Untunglah siapa yang dapat dia....

Salam untuk para pembaca semua, samada yang tertera nama di tagboard atapun yang hanya baca diam-diam dan malu untuk meletakkan nama di situ. Tak kira apa pun kategori saudara/saudari semua, saya amat menghargainya. Untuk makluman semua, usah terkejut ya! Cerita ini akan berakhir bila-bila masa saja. Mungkin dalam 4-5 episod lagi. Tapi ini tidak bermakna cerita ini akan menemui penamatnya. Cuma ia akan tamat di blog ini sahaja....

Saya tahu ramai yang meminati Amir Zuhairi di luar sana. Tidak kurang juga yang meminati Taufik Hakim. Ia dua nama itu bakal bersaing tapi siapakah sebenarnya yang dapat memiliki Intan Zulaikha? Mungkinkah Johari dan Hanif yang tiba-tiba saja dapat meraih kembali hati seorang Zulaikha?

Selepas LADHMu akan muncul cerita baru, "Tiada Lagi Cinta..." Tunggu ya...
Salam kasih untuk semua...

Monday, July 03, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 58



Hati resah, bibir terkunci
nak ku sebut hati menahan
nak ku turut hati melawan
nak menjauh ada ikatan
segalanya muktamad kini
hati menangis siapa yang tahu

tiada tempat untuk mengadu...