
TENTANG CINTA
Dia teringat kepada Zulaikha. Apa yang dilakukannya kini? Kenapalah terlalu payah untuk seorang perempuan bernama Zulaikha menerimanya. Hanya kerana keterlanjuran kata tempohari Zulaikha makin menjauh. Kata maaf darinya bagai angin lalu. Sedikit pun Zulaikha tidak pernah menimbangkannya.
Berkali-kali dia merayu kepada Zulaikha. Berbagai cara dia lakukan! Hingga kini begitu saja sikap Zulaikha. Dinginnya bagai salju di kutub utara. Yang entah bila akan cair! Begitu keraskah sekeping hati milik Zulaikha?
Namun kenapa Zulaikha juga yang diimpikan menjadi teman hidupnya? Tidak jemu dia menanti. Ada sesuatu dalam diri Zulaikha yang membuatkan dia tidak mahu melepaskan Zulaikha dari hatinya. Kalau boleh biarlah Zulaikha berada di dalam hatinya untuk selama-lamanya. Kejamkah dia jika bersikap begitu. Amir Zuhairi buntu...
Mungkin benar agaknya orang berkata tentang cinta.. Bila cinta bertakhta di penjuru hati, apa saja rintangan akan dilalui. Untuk menyerah kalah tidak sekali. Dia akan terus mencuba sehingga Zulaikha berubah hati. Biar Zulaikha tahu dia bukan main-main.
Namun sesekali hatinya tergugat juga. Khabar dari kak ngah Zulaikha membuat dia tidak senang duduk. Dia perlu tahu sejauh mana hubungan Taufik dengan Zulaikha'nya'. Mereka satu pejabat. Walaupun Zulaikha mengatakan tiada orang lain antara mereka namun sikap Zulaikha begitu membimbangkan. Apatah lagi Zulaikha masih menyembunyikan hakikat bahawa dia tunangan orang.
Cuma dia tidak mahu menuduh seperti dahulu. Cukuplah sekali!. Dia tidak akan mengulangi lagi. Kalaulah boleh dia ingin bertemu dengan Taufik. Biar Taufik tahu bahawa Zulaikha telah berpunya. Biar Taufik memadamkan apa yang terbetik di hatinya dan mengundurkan diri
Tapi ada benteng yang menahan dia daripada mengambil langkah itu. Apa kata jika Zulaikha tahu dan mengambil tindakan drastik. Dia tidak sanggup! Zulaikha akan terus melarikan diri.
Biarlah tindakannya mengikut peribahasa. "bagai menarik benang dalam tepung". Benang tak putus dan tepung tidak berselerakan.
Ah! Zulaikha memang benar-benar telah mengkucar-kacirkan kehidupannya! Membuat hatinya tidak keruan. Begitu hebatnya perempuan bernama Zulaikha ini!
*****
Lagu dan lirik ini ditujukan kepada Tie & sesiapa yang meminati iramanya. Sedutan di atas bukanlah sambungan kepada ep. 62 tp sebahagian daripada kandungan LADHM.
Cincin emas bertatah berlian
Di hari bersejarah tersarung di jari
Biarpun cantik dan menawan
Tidakkan dapat membuang resah di hati...
Aku mundar mandir di dalam kamar itu. Kamar yang dulunya biasa telah dihias cantik. Cadarnya yang berwarna kuning lembut memang menyejukkan mata sesiapa yang memandang. Bilik itu kelihatan begitu berseri. Mak memang pandai memilih. Dia memilih warna kesukaanku. Tapi untuk apa?
Memang warna kuning mendapat tempat di hatiku selain daripada warna biru. Tapi warna kuning itu entah kenapa terlalu hodoh bagiku. Kamar yang indah, tidak lagi indah di pandanganku. Segala-galanya menyiksa batin.
“You ada girlfriend tak?” Pertanyaan itu muncul di bibirku tatkala dalam perjalanan ke rumah kak Ngah.
“Tanya fasal girlfriend ni kenapa? Jeolous ke kalau abang ada girlfriend?” Nak jeolous buat apa. Aku bertanya ada sebabnya. Sengaja nak mengorek rahsia peribadinya. Entah kenapa sekarang pula baru terfikir nak tahu tentang dirinya; walaupun segala-galanya telah tiba ke garis penamat.
“I tanya jawab sajalah.. Ada ke tak ada?”
Dia memandang wajahku. Hanya menoleh sekejap. Tapi jelas senyuman di sudut bibirnya. Entah apa yang mencuit hatinya aku tak tahu. Agak lama baru dia bersuara.
“Ada, bukan setakat girlfriend. Dia memang ‘special’ di hati abang.”
“So, kenapa nak teruskan pernikahan ini kalau you dah ada orang lain. Tak baik menipu ibu you. Beritahu ibu you yang sebenarnya habis cerita..”
“Abang dah suka dengan Zu. Pasal girlfriend tu ibu pun dah tahu!” Dia masih juga tersenyum. Aku terasa seperti disindir.
Peliknya macammana mak cik Zubaidah boleh ambil keputusan begini. Apakah perempuan yang dimaksudkan oleh dia bukan pilihan mak cik Zubaidah.
“Dia tak marah ke you kahwin dengan orang lain?”
“Marah juga. Tapi lama-lama abang rasa marah dia akan hilang...”
Jawapannya selamba sahaja. Tiada riak-riak risau di wajahnya. Senangnya dia bercakap. Bagaikan perkara ini begitu enteng kepada dirinya.
Begitu agaknya sikap lelaki. Memandang ringan kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupan. Ada kekasih lain. Kahwin dengan orang lain. Mungkin nak jadi anak yang soleh. Menurut kata ibu.
Aku mendiamkan diri. Malas nak bertanya apa-apa lagi. Aku minta putus pertunangan tak mahu. Tiba-tiba dia bercerita tentang girlfriend pula Silap aku kerana tidak bertanya awal. Jika tidak pasti aku beritahu mak cik Zubaidah. Biar mak cik Zubaidah tahu sikap anaknya yang sebenar.
“Tadi beria-ia tanya, kenapa diam pula sekarang ini.” Ujarnya bila aku tidak membalas kata-katanya.
“Kasihan kat girlfriend you kan. Kena tinggal dik orang yang tak jujur macam you.” Aku marah bukan kerana dia ada girlfriend lain tapi kerana sikapnya tak berterus terang dengan ibunya.
“Abang tak cakap pun yang abang akan tinggalknya dia. Lagi berdekatan dengan dia adalah…” Ish, tak faham aku apa maksud kata-katanya.
“You jangan nak buat main-main. Kalau you permainkan dia, nanti suatu hari you akan dipermainkan. You akan ditinggalkan.” Bersemangat aku bercakap. Aku paling tak suka jenis lelaki begini. Di sana cakap lain, di sini kata lain.
Dia terdiam sejenak. Memikirkan apa yang baru aku katakan tadi agaknya.
“Zu nak tinggalkan abang?” Ke situ pula pertanyaannya. Dia memandang tepat ke wajahku sekejap.
“Dengan rela hati. I tak mahu jadi penghalang antara you dengan dia.” Dia ketawa panjang. Agak lama baru dia berhenti..
“Nak tengok gambar girlfriend abang? Nak tahu cantik ke tidak girlfriend abang’” Beraninya dia! Siap offer gambar girlfriend pula.
“Buat apa nak tengok? You tengoklah sendiri!”
“Kalau tak mahu tengok, tandanya Zu cemburu. Kalau dah cemburu tu tandanya Zu sayang kat abanglah…”
“Hello tolong sikit ya.. Buang masa saja I nak cemburu dengan you ni. Banyak benda lain yang nak I fikirkan.” Pandai-pandai saja dia cakap aku cemburu! Aku merungut dalam diam. Cerita aku pun tak habis nak difikirkan walaupun aku duduk 1001 malam.
“Kalau tak cemburu tengoklah sendiri. Berani?” Nak provok oranglah ni!
Dia menghulurkan talipon bimbitnya kepadaku.
Aku mengambilnya. Teringin aku nak melihat ‘teman istimewa’ yang dikatakannya. Alangkah terkejutnya aku bila melihat gambar yang terhias di skrin talipon bimbitnya. Potret yang tertera di talipon itu adalah gambar aku sendiri. Potret aku dan dia semasa majlis pertunangan kami.
Aku memasamkan muka. Ketawanya bergema dalam kereta itu.
“You ini memang tak patut tahu! You sengaja nak kenakan I ya?”
“Dah Zu nak tahu sangat. Abang beritahulah! Itulah girlfriend abang. Dah nak jadi isteri pun dalam dua hari lagi.”
“Tapi memang girlfriend abang tu marah-marah bila tahu abang nak kahwin dengan dia. Siap nak tinggalkan abang sorang-sorang di depan tok kadi” Dah sah, kak Ngah ini memang tak sayang mulut. Semua yang aku cakap hari itu diceritakan kepada Amir.
Perli akulah tu…. Kata-katanya mengingatkan akan sikapku terhadapnya. Bencinya!. Ada saja jalan nak mengenakan aku.
“Abang mana ada orang lain. Hanya Zu sorang saja dalam hati abang. Kalau tak; tak kan abang susah hati macam ini. Abang buat baik pun Zu tak nampak. Agaknya kena mandi bunga baru Zu boleh terima abang.” Lirih suaranya. Nak minta simpatilah itu.
Dia menyambung lagi… “Dah akad nikah nanti baru agaknya jantung abang ini kembali normal. Sekarang ini degupannya laju sangat! Bimbang jika Zu kotakan apa yang Zu katakan hari itu." Panjang taklimatnya.
"Abang ni teruk sangat ke Zu? Sampai susah sangat nak terima abang? Di mana kurangnya abang?" Aku mengangkat bahu. Tidak mahu aku menjawab. Dia sepatutnya tahu kenapa dan mengapa aku masih bersikap begini. Sayangnya dia masih tidak mahu mengerti langsung.
"Ialah abang ini bukan sesiapa, tak padan dengan Zu kan? Harta tiada rupa pun kurang." Eh.. mamat ini makin dekat hari bersejarah itu, makin banyak pula cakap. Gaya cakap macam orang merajuk pula. Selalunya tak lah macam ini. Ada rasa nak ketawa mendengara omelannya tapi aku tahankan.
Aku teringat kata-kataku kepada Syikin hari itu. Kasihan kat perempuan yang dapat dia. Suka membebel. Dan sekarang kata-kata itu mengenai batang hidung aku sendiri. Akukah perempuan malang itu?
**
"Zu tak siap lagi. Dah pukul berapa ini?" Kak Ngah terjengul di depanku. Entah bila dia masuk aku tak tahu.
Tenggelam lamunanku sekejap tadi.
“Kak Ngah adik rasa macam nak demamlah “ Memang badanku terasa seram sejuk sekali. Menghitung waktu yang semakin hampir membuatkan aku jadi tidak keruan.
“Mana tak demam. Makan tak mahu. Asyik duduk memerap kat bilik saja.”
“Tak ada selera nak makan.” Tekak ku terasa perit untuk menelan makanan.
“Tak boleh macam itu dik. Kena makan juga. Kang pengantin perempuan pengsan kecoh semua orang nanti. Kasihan kat Amir itu. Tak jadi nikah pula “
“Tak jadi lagi baik. Dekat dia kak Ngah kasihan. Kat adik ni semua org. tak kasihan”. Aku memang berjauh hati sangat. Kak Ngah menggelengkan kepala melihat kedegilanku.
“Tak baik cakap macam itu dik. Sepatutnya kita berdoa supaya benda-benda yang baik-baik ini tiada halangan! Dah usah fikirkan sangat! Pergi mandi; sekjap lagi mak Nah nak datang. Kalau belum pakai baju macammana nak siapkan. Biar malam ini adik jadi pengantin yang cantik.” Aku mencebikkan bibir.
“Rasa berdebar tu biasalah dik. Lepas segalanya usai, rasa takut itu akan hilang dengan sendirinya. Semua bakal pengantin macam itulah.”. Kak Ngah menasihatiku. Nasihat daripada orang yang berpengalaman. Tapi masalahnya debaranku bukan kerana itu. Debaranku kerana aku akan berkongsi hidup dengan dia.
**
“Mak Nah, tak mahu mekap tebal-tebal. Zu nak simple saja.. Kang jadi macam pelakun opera pula” Aku memberikan arahan kepada Mak Nah.
“Zu duduk diam-diam, Mak Nah tahulah apa nak buat!”
“Mak Nah, Zu sakit perutlah. Nak pergi bilik air.” Masuk kali ini entah berapa kali aku telah ke bilik air. Mak Nah menggelengkan kepala.
“Selalunya bakal pengantin lelaki yang macam ini. Terbalik pula. Zu bukannya nak berjabat tangan dengan tok kadi.” Kak Ngah yang duduk memerhatiku disolek tersenyum.
“Mak Nah, sorrylah Zu sakit perut lagi…” Aku bangun sekali lagi.
“Apa nak jadi dengan budak ini. Kalau macam ini sampai pengantin lelaki datang pun tak siap-siap.” Mak Nah mengomel.
Tugas mak Nah berakhirnya juga setelah berulang kali aku ke bilik air. Takut aku nak memandang wajahku di cermin. Memang nampak begitu berlainan. Hampir aku tidak kenal diriku sendiri.
“Ha.. cantik pun adik kak Ngah ini. Tapi senyumlah sikit. Jangan nak masam saja.. Hilang seri pengantin nanti.” Macammanalah aku nak senyum. Hatiku menjadi tidak keruan.
**
Aku akan diakad nikahkan selepas Isyak. Mak yang memilih hari Jumaat. Aku memandang ke luar jendela sekejap. Hujan renyai-renyai. Sejak semalam cuacanya begini. Mungkin cuaca pun bersimpati dengan aku. Bersama menangisi apa yang aku alami kini.
Jam loceng di atas meja solek aku pandang. Pukul 9.15, lagi 15 minit. Tanpa disedari air mataku mengalir di pipi. Mujurlah tiada siapa di sisi. Kak Ngah dan mak Nah telah turun. Mak pun telah turun setelah menasihati aku apa yang patut.
Irama talipon bimbitku berlagu menandakan ada SMS yang masuk.
Slmt Pengantin Baru Zu..
Jgn lari pula bila MR. 12* dtg…
Susah dia nak kjr mlm2 ni.
Doaku dr jauh..
Aku tersenyum membaca mesej yang Syikin tuliskan. Ada-ada saja tulisannya membuatkan aku ketawa.
Talipon yang aku letakkan berbunyi semula. Pemanggilnya memang telah aku ketahui. Aku menjawab malas.
“Assalammu’alaikum sayang…” Mimpi apa agaknya tiba-tiba saja panggil aku sayang. Bulu roma terasa tegak saat dia berkata begitu.
“Wa’alaikummussalam…”
“Selamat Pengantin Baru Zu, abang akan tiba sebentar lagi Tak sabar abang nak menatap wajah Zu dalam pakaian pengantin”
Aku menarik nafas. Bertambah debaran dalam dadaku. Mengalahkan orang yang lari 1000meter. Walaupun begitu tidak mahu dia mengetahuinya. Kalau dia tahu mesti aku jadi bahan usikannya.
Tidak lama kemudian aku mendengar suara riuh rendah di tingkat bawah. Mak, kak Ngah dan beberapa yang lain masuk ke bilikku.
“Amir dah sampai…” kak Ngah berbisik. Lagilah aku rasa seperti nak masuk ke bilik air semula. Perutku yang elok tadi terasa memulas.
“Kak Ngah, adik sakit perut lagi….” Mak menggelengkan kepala. Mungkin dia mengerti agaknya sakitku adalah kerana perasaanku semata-mata.
Mak Nah melihat ke wajahku. Membetulkan apa yang patut. Touch-up untuk kali terakhir sebelum majlis bermula.
Tika aku turun, tetamu telah memenuhi ruang tengah itu. Aku hanya menundukkan muka tidak berani memandang wajah sesiapa pun. Aku didudukkan di sudut yang telah dikhaskan untuk upacara menyarung cincin nanti. Kak Ngah masih setia di sisiku. Sedikit sebanyak adanya dia di situ memberikan kekuatan kepadaku.
Kerana semua telah ada di situ jadi upacara pun bermula tanpa banyak bicara. Pernikahanku akan diwalikan oleh adik aruah ayah. Ayub Zaidi tak dapat balik. Masa majlis besar baru dia akan balik.
Aku memandang sekilas. Amir Zuhairi telah duduk di depan tok kadi. Mata kami bersapa sebentar. Dia memandangku lalu menghadiahkan senyuman. Lagilah aku menjadi tidak keruan. Saatnya hampir tiba. Aku menjadi pening tiba-tiba. Tanganku terasa sejuk. Nafasku terasa sesak sekali. Padahal kipas angin berputar ligat di ruang itu. Bukan satu tetapi banyak.
“Sebelum upacara ini dimulakan, saya meminta persetujuan pengantin perempuan untuk dinikahkan..” Jelas tok kadi lalu datang kepadaku membawa satu borang yang telah siap diisi.
“Jika pengantin perempuan bersetuju, silalah tandatangan di sini..” Borang itu berpindah tangan.
Aku mengambil dengan terketar-ketar. Aku baca isinya sekali lalu. Jelas nama Amir Zuhairi dan namaku berganding di atas borang itu. Tarikh dinikahkan, nama saksi dan beberapa fakta lain.
Aku memandang kosong. Tulisan di borang bagai tidak memberikan apa-apa erti. Nak tanda tangan atau tidak. Nak tandatangan atau tidak. Aku masih berfikir lagi. Segala-galanya datang silih berganti. Kata-kata mak, tentang harapannya aku ingati. Kata-kata kak Ngah menceritakan kebaikan Amir Zuhairi. SMS Syikin sebentar tadi dan perbualan kami beberapa hari lalu. Yang paling aku ingati, lemparan kata-kata Amir Zuhairi. Sukarnyanya nak memadamkan dari kota fikiranku.
Kata hatiku pula bagaimana? Apakah aku perlu berkorban demi mak yang melahirkanku? Bagaimana dengan penerimaan dia nanti setelah menjadi suamiku. Bagaimana pula aku? Bolehkan aku menerimanya? Apakah aku nanti termasuk di dalam golongan isteri mithali atau sebaliknya kerana pernikahan tanpa rela. Segala-galanya keluar serentak di fikiran.
“Adik.. !” Kak Ngah di sebelah mengejutkan aku. Aku pandang wajah kak Ngah. Aku pandang wajah mak. Aku pandang muka tok kadi yang sedia menanti. Tugasnya tidak akan selesai jika aku terus berdiam diri.
Nun di depan mikrofon, aku memandang wajah Amir Zuhairi. Wajah yang tadi ceria bertukar resah. Jelas pandangannya bagai memohon simpati. Senyumannya bagai dibuat-buat. Tentu dia begitu gelisah jika pernikahan ini tidak menjadi. Ia pengantin perempuan berubah hati.
Aku pandang ke satu sudut, wajah mak cik Zubaidah. Pandangannya yang penuh pengharapan. Di sampingnya wajah Nurul Nadia Hana dan Nurul Nadia Hani yang aneh. Tentu dia tidak percaya bakal kakak iparnya masih teragak-agak untuk menandatangani borang itu.