HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Monday, August 15, 2011

CINTA DI MATANYA (XVIII)

Suasana yang agak meriah di tingkat bawah jelas di pendengaran Kira. Sedikit pun tidak menarik minatnya untuk turut bersama. Sejak petang tadi abang dan kakaknya pulang bersama dengan anak-anak mereka. Acara tetap di hujung minggu. Puan Nora akan memastikan anak-anaknya berkumpul sebulan sekali. Tapi kali ini agak lebih bermakna kerana ada tetamu yang diundang sekali.



Puan Nora telah mengingatkan Kira sejak awal tentang kehadiran seseorang semasa makan malam. Cuma Kira saja yang membuat endah tak endah. Dia malas sebenarnya. Apatah lagi makan malam kali ini mempunyai agenda tersendiri. Yang diatur oleh Puan Nora. Agenda serampang dua mata. Entah kenapa Puan Nora begitu teruja menerima tetamu tersebut.



Setelah melihat penampilan di cermin, Kira bergerak ke pintu biliknya. Dia hanya mengenakan blouse berwarna merah jambu yang dipadankan dengan slack hitam. Tudung merah jambu bercorak abstrak melengkap penampilannya.



"Turun juga akhirnya... Ingatkan kami terpaksa menunggu lagi..." tegur kakak Kira yang sulung. Sejak dulu lagi, kakaknya yang seorang ini agak lepas cakap.



Kira hanya tersenyum nipis. Memang kerusi meja makan yang memuatkan lapan orang telah penuh. Hanya satu saja kerusi kosong di sebelah Puan Nora. Umpama telah dikhaskan untuk Kira. Tanpa banyak kata, Kira menarik kerusi dan melabuhkan diri di situ.



Terliur dia melihat hidangan di atas meja. Ada ikan steam. Aromanya memang menggamit selera makan Kira.



Mana tetamu istimewa Puan Nora? Kira tercari-cari. Yang nampak di pandangan hanya Hafiez. Mustahil Hafiez tetamu itu. Bukannya dia tidak kenal dengan Hafiez. Mungkin belum tiba agaknya, hatinya berbisik sendiri.



Suapannya terasa janggal. Bagai ada orang yang memerhatikan cara dia makan. Bila dia mendongak, matanya tertancap ke arah sepasang mata yang bertentang dengannya. Cepat-cepat Kira menunduk semula. Apa yang tak betul di wajahnya membuatkan Hafiez tanpa malu-malu asyik memandangnya. Tak nampakkah bahawa mereka berada di dalam lingkungan keluarganya. Hormatlah sikit! Kira mengomel di dalam hati.

Wednesday, July 20, 2011

KEMBALI







Assalammu'alaikum pembuka bicara


Semoga anda semua sejahtera sentiasa...



Agak lama saya menyepi dari dunia blog, berbagai perkara jua telah berlaku sepanjang tempoh itu; membuatkan saya ingin terus berdiam diri saja... Tapi kerana kabar yang ditanya, e-mail yang diterima, menjadikan saya berfikir beribu kali. Akhirnya kata putus diambil, sayang sekali jika saya melepaskan apa yang telah dimulakan dari awal. Sayang untuk mengakhiri ikatan persahabatan yang bermula dari blog ini.



Untuk sahabat-sahabat yang setia berkunjung ke sini, tiada kata yang dapat dilahirkan.. selain ucapan terima kasih yang tiada pengakhirnya...



Jumpa lagi....




















Thursday, February 04, 2010

CINTA DI MATANYA (XVII)

Tahun pun bertukar ganti. Pejam celik, pejam celik waktu berlalu tanpa disedari. Kisah semalam bagai mimpi bagi Kira. Sesekali ia hadir dalam tidur dan jaga. Memori indah bersama suami selalu datang dan pergi walaupun mereka hidup bersama hanya seketika. Namun waktu yang sekejap cuma meninggalkan kenangan yang tak pernah pudar. Menjadi tugu di hati Kira.

Hidup mesti diteruskan! Janjinya pada diri sendiri. Dia tidak mahu bersedih lagi. Yang pergi biarlah pergi.. Namun walaupun mulut senang berbicara, untuk melaksanakannya apa yang telah dijanji pada diri bukanlah mudah. Sesekali bila terpandang mesranya suami isteri bergandingan di shopping kompleks atau di mana-mana sahaja pasti hatinya terusik kembali. Apatah lagi bila melihat anak kecil bersama, ingatan itu datang lagi.
Dia tidak mahu menangis lagi, tapi kenapa ada titisan jernih menitis dari kelopak mata...

Tuhan masih sayang kepadanya. Dia dikelilingi oleh keluarga dan teman yang memberi sokongan. Ya, dia tidak keseorangan menghadapi segalanya. Banyak nasihat dan kata-kata rangsangan yang diterima. Bahkan ramai yang bermurah hati menghadiahkan dengan buku-buku yang boleh menaikkan semangatnya yang hampir mati!

Hidup sebagai seorang balu dalam usia yang masih muda, bukanlah perkara yang mudah. Dia tidak mahu memikirkan untuk mencari pengganti Syahmi. Tapi entah kenapa ada saja teman-teman yang ingin memperkenalkannya dia insan bernama lelaki. Segalanya ditolak dengan lembut. Dia tidak mahu memikirkan itu semua walaupun dia tahu niat teman-temannya adalah baik. Untuk meleraikan dia dari kedukaan yang panjang.

Dan petang itu ..... sedang enak-enak merasa keenakan teh dari Tanah Tinggi Cameron Highland dan kuih dangai pemberian jiran sebelah, suapannya terhenti seketika..

"Sampai bila Kira nak macam ini?" Soalan dari ibu tersayang sampai ke pendengarannya. Ingin lari dari menjawab, dia tidak mampu lagi. Berbagai alasan pernah diberikan. Ibunya akur dan senyap. Tapi entah kenapa, hari ini persoalan itu timbul lagi. Dan Kira tidak tahu dengan bahasa apa untuk menolaknya lagi.

Kira memahami soalan ibunya menuju ke arah mana.

"Kira tak mahu memikirkannya ibu. Tolonglah... usah disebut lagi. Kira bahagia dengan hidup Kira sekarang ni."

"Selagi ibu hidup, memanglah Kira boleh bermanja dengan ibu, sampai waktunya ibu dijemput pergi, Kira nak bermanja dengan siapa? Sekurang-kurangnya bila Kira bersuami lagi, akan ada orang yang menjaga Kira.."

"Kira pernah ada suami bu! Tapi dia dah pergi tinggalkan Kira. Kira tak mahu ditinggalkan lagi. Kira sayang sangat dengan abang.. tapi Kira tak sempat nak ucapkan yang Kira betul-betul sayang dan bahagia hidup dengan dia.."

"Abang pergi dengan tiba-tiba.." Ada air jernih yang mengalir dari bibir mata.

"Ibu minta maaf kalau buat Kira bersedih. Tapi ini untuk kebaikan Kira juga. Abang dan kakak Kira semunya dah berkeluarga. Tak lama lagi adik Kira pun nak melangkah ke alam rumahtangga. Ibu pun nak lihat Kira gembira semula.."

Kira tahu betapa murninya hati seorang ibu. Tapi bagaimana ingin diterangkan lagi bahawa Syahmi adalah insan terbaik yang pernah ditemuinya, yang cuba memahami hati perempuannya dengan begitu sabar.

"Dah setahun Kira... dalam kepala ibu ada lelaki yang boleh menjaga Kira macam arwah Syahmi.."

Mata Kira tunak memandang ibunya. Dalam diam ibunya memasang angan-angan.

"Entah apa-apalah ibu ni. Kalau ibu baru kenal orang itu usahlah nak menjangka sikap seseorang itu. Kadang-kadang perangai orang berubah ibu! Di depan lain, tapi di belakang lain.

"Tapi ibu memang yakin sangat.."

Kira tersenyum. Entah kenapa bicara ibunya petang ini membuatkan hatinya bagai digeletek. Namun di dalam hati, dia cuba meneka. Siapa?

"Kalau Kira nak tahu, nanti ibu ajak dia makan-makan hujung minggu ini. Nak tak?"

"Jemput boleh, tapi tak semestinya Kira setuju dengan pilihan ibu..."

"Kira kenal?"
"Yang itu kena tunggulah... ibu tak mahu buka rahsia!"
"Dengan Kira pun nak rahsia, cakaplah ibu...."
"Sabarlah... "

Kuih yang dimasukkan ke dalam mulut, ditelan... Air teh dihirup perlahan. Dalam kepalanya dia memikir2.. Siapa agaknya lelaki itu! Hah... buat apa dia memikirkannya. Namun dia tidak berpuas hati selagi tidak mengetahuinya..

******
Salam, semua mohon maaf kerana dah lama tak update. Pelbagai perkara terjadi sepanjang 'bertapa'.. untuk tahun baru terimalah entry yang tidak seberapanya. Untuk mereka yang menjadi pengikut blog ini diucapkan jutaan terima kasih...

Monday, July 27, 2009

DARI SUDUT HATI INI




Dia masih kuingati
terpahat kukuh di sanubari
kubawa hari ke hari
ke mana saja aku pergi;

Kasihnya membanjiri kamar hati
Wajahnya terlayar di mana-mana
lantas bagaimana harus ku menerima lelaki lain
dalam hidup ini?
Dia lelaki paling baik kutemui
biarpun permulaan kami
cinta belum bersemi...
- Kira -


Thursday, May 14, 2009

CINTA DI MATANYA (XVI)



Izinkan aku merawat lukamu
walaupun berkurun aku menunggu



Hampir pukul 5.00 petang baru Kira sampai di rumah. Dia tidak dapat melepaskan diri daripada pujukan Izlin. Selepas makan Izlin mengajaknya pula ke pusat membeli belah. Kerana tak sampai hati, Kira termakan juga ajakan Izlin. Lalu bukan saja Izlin yang 'bershopping' sakan, dia juga terkena tempiasnya. Habislah juga wangnya walaupun pada mulanya dia hanya melihat-lihat saja.


Ada sebuah kereta terpakir di depan rumahnya. Hendak tak hendak terpaksa juga Kira memakir di luar pagar. Ibu ada tetamu rupanya. Dia berbisik sendiri. Tapi siapa ya? Tidak pernah dia melihat kereta itu sebelum ini. Kereta warna biru metalik itu ditelek lagi. Cuba mengingati sesuatu tapi hampa. Mungkin saudara mara ibu dari utara agaknya; dia membuat kesimpulan sendiri.


"Assalammu'alaikum..." bagai selalu Kira memberi salam. Biarpun tiada sesiapa di rumah, dia telah terbiasa dengan ucapan salam itu. Biar syaitan semua lari. Dan salam itu dijawab oleh malaikat.

"Wa'alaikummusalam.. " suara Pn. Nora kedengaran menjawab dari dalam rumah.

"Dah balik pun.. orang yang ditunggu-tunggu ini.." Pn. Nora menyambung lagi. Kira menghadiahkan senyuman lalu tubuh ibunya dipaut kejap.


Kira masih tidak dapat melihat wajah tetamu ibu. Tetamu itu pun duduk membelakangi Kira. Tidak langsung menoleh ke arah Kira.

"Siapa?" Kira bertanya dengan suara yang perlahan.

"Orang jauh..."

"Kira kenal ke?" Masih lagi berbisik. Suara hampir tidak terkeluar. Anehnya tetamu itu masih selamba saja. Sombongnya! Kira membuat andaian sendiri.

"Orang jauh..." Pn. Nora masih lagi berteka teki. Nama tetamu tidak disebut.

"Penatnya... Kira naik dululah bu.." Beg kertas yang diletakkan di atas sofa diambil kembali. Dia pun kurang berminat untuk mengetahui siapa tetamu ibunya.


"Kira..." Sejenak dia melangkah; terdengar suara lelaki itu memanggil. Kira menoleh. Wajah itu dipandang. Tidak terkeluar suara dari dua ulas bibirnya. Dia terkejut! Hampir terlepas beg yang berada digenggamannya. Kira tidak tahu samada dia gembira atau sedih dengan pertemuan yang berlaku. Sudah terlalu lama dia tidak mendengar berita daripada lelaki itu. Tiba-tiba saja dia telah berada di depan Kira.


"Kira tak kenal abang?" Lelaki itu bertanya. Kira masih mendiamkan diri. Kelu lidahnya untuk menjawab. Sebenarnya dia masih terkejut.

"Kira apa khabar?" Masih juga lelaki itu bertanya biarpun tanpa jawapan daripada Kira. Dia hanya merenung kosong. Pn. Nora juga turut menyepi. Hanya menyaksikan pertemuan di antara dua orang manusia yang saling mengenali namun entah kenapa kini pertemuan itu bagai pertemuan dua orang yang baru memulakan perkenalan.


"Baik, baik...." Setelah lama terdiam, baru Kira bersuara. Entah kenapa dia terasa janggal untuk membalas kata-kata lelaki itu.

"Takziah daripada abang atas pemergian suami Kira.."

"Terima kasih..." dan ucapan takziah itu membuat kesedihan kembali menjenguk hatinya. Terasa ada air mata yang bakal mengalir dari kelopak mata Kira. Senyuman Syahmi menjengah di ruangan mata.

"Abang tak berniat nak membuat Kira sedih..." bagai mengerti apa yang terselindung di tirai hati Kira, lelaki itu bersuara seperti memujuk.

"Saya redha dengan ketentuan Allah..." Lelaki itu menganggukkan kepala.


*****


Dia terbayang pertemuan petang tadi. Wajah itu masih seperti dulu. Cuma sedikit kurus jika dibandingkan di masa lalu. Mungkin bebanan perasaan membuatkan dia jadi begitu. Sesuatu yang dia sedari, Kira menyebut dirinya dengan saya, tidak seperti waktu dulu membahasakan diri dengan Kira. Ke mana hilangnya kemesraan dulu? Dia menjadi rindu untuk mendengar panggilan abang daripada Kira. Rindunya masih tersimpan kemas buat Kira, sayangnya masih terpahat di hati buat insah bernama Kira. Cuma keadaan saja yang membuat dia memendam perasaan dan melepaskan Kira kepada orang lain. Masih adakah lagi kesempatan untuknya membina kembali kemesraan lalu? Dia tidak tahu jawapannya...

Wednesday, April 15, 2009

CINTA DI MATANYA (xv)




Meja yang sedikit berselerak dikemas. Kertas yang tidak mahu digunakan lagi dibuang ke dalam bakul sampah. Pen yang di atas meja dimasukkan kembali ke dalam bekasnya. Sebelum pulang dia akan memastikan mejanya kelihatan rapi. Sepatutnya hari ini dia tidak bekerja, tapi memandangkan kerjanya yang banyak dan perlu disiapkan segera dia datang juga walaupun dia boleh bersenang lenang di rumah.

"Kira, lepas ni nak pergi mana?" Izlin muncul dengan pertanyaan.
"Balik rumahlah, ke mana lagi..."
"Kita ronda-ronda nak?"
"Penatlah... ingat nak balik terus dan berihat sahaja.."
"Temankan aku makan dulu; dah pukul 1.00 ni.. perut aku ni macam dah mengalunkan lagu yang tak sedap didengar.." Izlin tersenyum. Kira diam memikirkan sesuatu. Kat rumah pasti ibu dah masak. Kasihan pula ibu makan sorang-sorang.
"Em... orang tanya ni dia mengelamun pula!"
"Sorrylah Iz, ibu aku dah masak kat rumah.."
"Alah.. taliponlah dia; bukannya dia tak kenal aku ini.." Izlin masih terus memujuk.
"Tak jauh, kedai dekat yang baru buka kat depan tu. Ada orang cakap masakannya sedap; masakan kampung. Ini aku nak cuba.. bolehlah ya." Kira masih mendiamkan diri.
"Kasihanlah kat aku ni, dah lah mak bapa jauh..."

Kira tersenyum mendengar sesi pujuk rayu Izlin. Entah apa kaitannya mak bapa jauh dengan kedai yang baru dibuka tu. Dia pun tak mengerti. Kalau dah nak makan, makan sajalah... ini siap pula babitkan mak bapa. Anggukan Kira menggembirkan Izlin.
Selama dia berada di dalam kesedihan, Izlin banyak memberikan sokongan. Dan adakalanya teman-teman menganggapnya seperti barangan yang "fragile", perlu dijaga sebaik mungkin. Status yang dipegang kini juga tidak menjarakkan hubungan mereka. Ialah.. dia pun pernah mendengar bahawa adakalanya orang akan bimbang tanpa sebab bila berkawan dengan perempuan yang berstatus "J".

"Kau jangan bimbang Kira, hari ini aku belanja makan. Makanlah apa kau nak..."
"Balas budilah ni ya... kerana temankan kau makan.."
"Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasalah... " Izlin menjual pantun dua kerat.
"Thanks.. bertambahlah rezeki Cik Izlin kita ni.. " Kira menadah tangan.
"Jap... aku nak tengok dalam beg ni.. cukup ke tak?" Izlin membuka tas tangannya. Purse diambil dan diintai not yang berada di dalamnya.
"Ha.. cukup, kalau tak cukup naya saja aku kena tolong pak cik kedai ini. Kalau dia ada anak handsome, boleh juga aku pikat!"
"Nampak sangat tak ikhlasnya Izlin ni.. " Kira ketawa lalu menepuk sedikit lengan Izlin yang sedikit terdedah.

Izlin memang kelakar orangnya. Ada saja butir bicaranya yang akan membuat orang tersenyum.

"Aku gembira sangat Kira... "
"Kenapa?" Kira bertanya ingin tahu.
"Kau dah boleh tersenyum dan ketawa... Kira yang dulu dah mula kembali..." Kira mendiamkan diri. Memang benar dia sepatutnya kini masuk ke frasa kehidupan baru. Tidak lagi menjadi murung seperti dulu.

"Cakap-cakap juga, ni apa kita nak makan. Ish.. mana pulak pelayan kat kedai ni. Macam kita ni halimunan pulak? Tak nampak ke, dia orang kat kita ni... " Izlin menggamit pelayan yang berada di meja yang selang beberapa buah dari tempat mereka duduk. Mulutnya tak berhenti mengomel.

"Servis lembab ni yang buat pelanggan lari. Lauk sedap saja tak cukup!"
"Ish... tak baik mengomel tau, ha itu pun dia dah datang. Kau orderlah... " Pelayan yang dipanggil tersenyum dengan pen dan buku catitan kecil. Izlin membalas senyuman walaupun dalam hati ada sedikit rasa ketidakpuasan.


Tuesday, April 14, 2009

CINTA DI MATANYA (xiv)




Pergilah kesedihan..
aku tak kan menoleh lagi;
namamu bersemadi di hati
ku bawa hari ke hari..




Setahun telah berlalu…

Kira hampir melupakan segala yang telah terjadi setahun lalu. Namun ingatan kepada arwah suami masih utuh di hati. Syahmi suami yang baik. Perkahwinan mereka bukan atas cinta mulanya; namun pernikahan tersebut telah menyatukan dua hati.

Dia berterima kasih kepada keluarga dan teman-teman yang tidak berhenti memberikan sokongan. Yang hidup akhirnya akan menemui Pencipta. Cuma cepat atau pun lambat sahaja. Segalanya telah pun tertulis di loh mahfuz.

Dia juga amat bersyukur kerana mempunyai majikan yang prihatin. Awalnya dia ingin meletakkan jawatan; namun ‘boss’nya tidak bersetuju. Kira diberikan cuti atas sebab kesihatan. Beruntungnya aku, kerana orang sekeliling dapat memahami apa yang terjadi ke atas dirinya.


***

Usai memasak Kira beraleh ke ruang tamu. Suratkhabar yang terletak di meja diambilnya. Pagi tadi dia tak sempat untuk membaca. Rutinnya setiap pagi mesti membaca dahulu. Dia ingin tahu perkembangan yang berlaku di Malaysia atau pun di luar negara.

Matanya tertancap ke tajuk utama akhbar tersebut. “Lelaki Maut Terkena Peluru Sesat”. Tiba-tiba tubuhnya menggeletar. Ayat yang tertulis dibaca satu persatu.

Kuala Lumpur. Seorang lelaki yang baru saja keluar dari sebuah kedai telah terkena tembakan seorang perompak. Mangsa yang berjalan bersama isteri yang hamil 7 bulan rebah di tempat kejadian dan mati serta merta……

Gambar yang tertera di sebelah berita dipandang. Seorang perempuan memangku seorang lelaki yang berlumuran darah. Wajah wanita tersebut begitu sedih menangisi pemergian orang yang dikasihi.

Kira sebak. Kejadian yang menimpa Syahmi berputar kembali. Syahmi juga terkena peluru sesat yang dilepaskan oleh perompak dalam kejadian rompakan bank di Kuala Trengganu setahun lalu. Waktu itu Syahmi baru saja keluar dari sebuah kedai kek. Syahmi koma dan dia masih dapat menemui Syahmi lagi; walaupun tanpa suara. Tapi wanita itu! Suami yang dikasihi meninggal di depan mata. Isteri menyaksikan segalanya di depan mata.

Jika dulu Kira beranggapan dialah manusia paling malang kerana kehilangan Syahmi, namun dia makin sedar bahawa ada orang lain lagi yang lebih kasihan dari dirinya. Lihat sahaja wanita tersebut.



Kira bertekad yang dia akan keluar dari kepompong kesedihan. Dia ingin menjadi Kira yang baru. Kira yang kuat dan bersemangat baru.