HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Monday, July 23, 2007

CINTA DI MATANYA (vii)


di kuburan ini...
aku menemanimu
menatap kemboja jatuh
gugur dari kelopaknya
bagai airmataku yang luruh
tanpa hentinya...



di kuburan ini
aku sendiri lagi
bersenandung yassin
hadiah seorang isteri kepada suami
bersama sendu tanpa pelabuhan


biarpun dunia kita telah berbeza
kasihmu tetap di sini
tersimpul rapi
di kamar hatiku...
abadi selamanya...

- Kira
Julai 2007

*********

Kira mengesat airmatanya yang luruh. Makin dikesat makin banyak lagi yang gugur. Tidak diduga begini sekali pengakhiran cerita cinta yang baru bermula. Dia masih ingat lagi saat itu...

"Abang, boss Kira dah luluskan cuti seminggu..." ujarnya girang di talipon.
"Nak temankan abang kat sini?"
"Mestilah... Kasihan kat abang selalu saja ulang alik. Kali ini Kira pula berkunjung ke sana." Senyumnya tidak lepas dari bibir.
"Eloklah... kita ni macam sehati sejiwakan? Baru abang nak beritahu Kira; Kira dah talipon dulu.." Syahmi tersenyum panjang. Kali ini dia tidak payah untuk pulang ke Kuala Lumpur. Perjalanan yang memenatkan. Tapi kerana kasihnya kepada isteri cinta... dia pulang juga.

Perpisahan sementara begitu memeritkan kehidupannya. Potret Kira di atas meja dipandang beberapa kali. Memang hatinya jatuh kasih pertama kali melihat wajah Kira. Memang cinta pandang pertama begitu kuat tarikannya. Selama ini dia hanya memandang Kira dari jauh sahaja. Namun segalanya berjalan tanpa dirancang. Jodoh mereka telah tertulis di loh mahfuz.

Tanpa diduga pinangannya diterima. Biarpun pada awalnya dia begitu bimbang. Tapi ialah belum cuba belum tahu. Bukan dia tidak pernah melihat keakraban Kira dengan seorang lelaki. Kerana desakan hati dia turutkan juga. Alhamdulillah kini Kira menjadi miliknya yang abadi.

Friday, July 20, 2007

CINTA DI MATANYA (vi)



Hujan dan panas bertukar musim. Siang dan malam silih berganti. Kira memandang jauh ke hari depan. Masuk hari ini telah dua minggu suaminya tiada di sisi. Biarpun mencuba berbagai cara Syahmi tetap tidak dapat mengingkari arahan. Dia tetap juga melapurkan diri di negeri Pantai Timur itu.

Hanya panggilan talipon dan sms mengubat rindu yang memenuhi hati Kira. Mujurlah dia masih tinggal di rumah keluarganya. Sekurang-kurangnya dia tidaklah sunyi... Ibunya ada untuk meluahkan segala rasa.

"Menung lagi... " Teman sepejabat mengejutkannya. Ingatan itu telah membuatkan dia terleka seketika. Rupanya dia masih lagi berada di pejabat.
"Nak buat macammana lagi.. Terpaksalah aku hadapinya. "
"Sorry, kalau aku tanya; bagaimana perasaan kau bila ditinggalkan? Ialah kiranya kau kan masih dalam bulan madu lagi." Pertanyaan teman membuatkan hati Kira menjadi sedih. Dia telah menceritakan kepada Lina tentang pertukaran suaminya ke sana.
"Kalau nak kira perasaan; berbagai perasaan bercampur aduk. Ada rindu, sedih, duka, lara, sebak; pendekkata tak ada yang gembira."
"Tapi macammana pun aku kena hadapinya.."

***

Rindu kat Kira.
Minggu ini abang balik...
Tak sabar nak jumpa sayang!

Entah berapa kali SMS yang serupa diterima daripada suaminya. Kira tersenyum.

Kira pun rindu kat Abang.
Menanti penuh setia..

SMS Syahmi dibalas. Seketika kemudian talipon bimbit itu berbunyi. Lagu Take Me To Your Heart dari kumpulan MLTR itu berkumandang. Memenuhi ruang bilik Kira yang serba biru. Dan mereka terus berbual melepaskan rindu.

***

"Kira ambillah cuti beberapa hari, ikut abang pergi sana..." Syahmi memberikan cadangan. Harap-harap Kira akan memberikan pertimbangan. Mati kutu dia selama berada di sana. Bukan dia tidak bertemu dengan teman-teman baru yang ramah mesra cuma dia rasa kehilangan bila bersendirian di rumah.
"Masa ini tak bolehlah abang; Kira banyak kerja.."
"Tak kasihan kat abang?" Syahmi seperti tidak berpuas hati dengan jawapannya.
"Kasihan, siapa yang tak kasihan tapi tunggu dululah... Insyaallah Kira temankan abang kat sana."
"Sabar tu kan ke separuh daripada iman..." Kira senyum meleret. Dia cuba menyembunyikan rasa hatinya yang sebenar. Dia tidak mahu suaminya itu tidak dapat menumpukan kepada tugasan yang diberi; kerana terlalu asyik merinduinya.

Wednesday, July 18, 2007

CINTA DI MATANYA (v)





Apa diharap padi seberang
Entah berbuah entahkan tidak
Entah dimakan pipit melayang
Apa diharap kasihnya orang
Entah bercerai entahkan tidak
Entahkan makin bertambah sayang...


Pantun melayu lama itu disebut; lalu diulang beberapa kali. Benarlah... memang bertetapan dengan dirinya. Biarpun cuba dilupa namun ia datang jua. Bukan salah sesiapa ianya terjadi. Tapi salahnya jua. Kerana pulut santan binasa, kerana mulutnya jua jiwanya merana.

Bukan dia tak sayang... malah sayangnya melimpah ruah. Cuma dia tidak dapat untuk meluahkan. Belum waktunya lagi. Dia masih mencari-cari waktu yang sesuai. Sudahnya gadis idaman menjadi milik orang lain...

Lalu kerana itu dia membawa diri jauh melampaui lautan. Dia fikirkan dengan berada jauh dapat melenyapkan sebuah ingatan. Dia hampa. Ingatan itu tetap datang juga...

*****

Syahmi merenung surat yang diterimanya tadi. Dia hampir tidak percaya dengan isi kandungannya. Namun apa yang tertulis di situ amat jelas. Kenapalah saat dia baru mengecap kebahagiaan, dugaan datang bertimpa?

Kerusi yang diduduki dipusing ke kiri dan ke kanan. Dia memikirkan sesuatu. Samada untuk menolak atau menerima. Walau difikir beberapa kali jawapannya cuma satu. Dia mesti akur dengan arahan. Kenapa dia yang dipilih daripada ramai orang yang ada?

Dan dia kembali sedar bahawa hidup ini memang penuh dengan dugaan. Tiada dugaan hidup seakan jalan yang lurus seperti lebuhraya.

"En. Kamil, bolehkah gantikan dengan orang lain?" ujar Syahmi kepada ketuanya.
"Ada masalah?" ketuanya sengaja menanyakan persoalan itu. Mestilah ada masalah, tak kan aku nak tinggalkan Kira! Takkan itu pun boss tak faham. Hati Syahmi jengkel sekali. Muka ketuanya direnung. Bahasa mata meminta kasihan.
"Sesekali tukar angin apa salahnya..." Sedapnya boss aku ni bercakap. Tapi ayat itu tidak terkeluar dari bibir Syahmi. Tidak semena-mena ketuanya akan naik angin. Bukan Syahmi tak tahu, tiba angin puss puss bossnya itu akan berang. Apalagi bila dia sedang sibuk.

"Awak orang yang paling layak sekali untuk ke sana. Kami dah putuskan dalam mesyuarat." En. Kamil menerangkan tanpa dipinta.
"Bincanglah baik-baik dengan isteri awak tu. Saya tahu awak keberatan; ialah masih dikira dalam 'honeymoon' lagi..." senyuman dihadiahkan kepada Syshmi.

Macam perli aku saja. Panas juga telinga Syahmi mendengarnya. Tapi memang ada kebenaran dalam kata-kata En. Kamil.

"Tiada masalah yang tak boleh diselesaikan Syahmi... Saya pun pernah juga melalui keadaan begini. Saya faham apa yang tersirat kat kepala awak tu. Tapi ini adalah peluang baik untuk awak." En. Kamil menasihatinya bagai seorang abang. Mungkin pengalaman lalu mengajar En. Kamil berkata begitu.

***

"Abang ada masalah ke?" Kira menyoal suaminya bila dilihat keadaan Syahmi yang resah gelisah. Saat itu mereka baru saja habis makan malam. Mereka duduk bersama di depan tv. Namun satu rancangan pun tidak menarik hati Syahmi. Ialah macam mana nak menarik sedangkan hatinya gundah gelana.

Bahu Kira diraih lembut. Tangannya menghulurkan sampul surat yang berwarna putih itu. Biar isterinya membaca dahulu. Dia ingin melihat reaksi Kira.

"Apasal ni tiba-tiba saja bagi surat. Tiket kapalterbang ya bang?" Kira tersenyum lebar. Prihatin juga suaminya dengan cuti mereka yang terpaksa dibatalkan dahulu. Nampaknya hasrat mereka untuk bercuti akan terlaksana.

Isi sampul itu dikeluarkan. Kira membaca satu persatu ayat yang ditulis. Wajahnya berkerut.. Senyuman yang tadi lebar makin mengecil. Terdengar keluhan dari bibir comel itu.

"Tak bolehkah abang menolak?"
"Ini arahan..."
"Abis tu abang nak tinggalkan Kira?"
"Ini yang nak kita bincangkan..."
"Lama ke abang kat sana?"
"Ikut surat ini agak lama... Kira berhenti kerjalah ikut abang!" ujar Syahmi spontan. Tidak dapat dibayangkan bila berjauhan dengan isteri yang dicintai sepenuh hati itu.
"Sayanglah bang dengan kerja Kira tu. Ramai orang susah dapat kerja. Takkan Kira yang dah ada kerja senang-senang nak berhenti."
"Abang tak boleh balik selalu... Bukannya dekat, perjalanan pun mengambil masa..."
"Apa kata abang berhenti kerja, cari kerja lain.." Kira mencadangkan pula kepada suaminya. Tak semena-sema pipinya dicubit.
"Mana boleh sayang.. Tak kanlah tiap kali kena tukar tiap kalilah tulah abang kena cari kerja lain. Lama-lama gaji statik. Asyik bertukar kerja saja. Tak dapatlah abang bawa Kira pergi bercuti nanti!"
"Kiralah berhenti kerja. Jaga abang. Jadi isteri mithali.."
"Abang ni isteri mithali itu bukan setakat berhenti kerja duduk rumah. Banyak lagi perkara lain yang boleh dilakukan untuk menjadi isteri mithali. Janganlah abang ni berfikir satu arah saja."
"Habis itu Kira rela ditinggalkan?" Syahmi mengusik. Ingin tahu apa yang berada di dalam fikiran isterinya.
"Sapa yang rela ditinggalkan bang? Apa lagi Kira baru nak kenal abang!" Tulus Kira menjawab.
"Eh..sayang masih tak kenal abang lagi ke?" Syahmi tersenyum meleret.
"Abang ni..." Tangan suaminya dikutil. Tahu ke mana arah kata suaminya.
"Memanglah Kira kenal tapi tak sepenuhnya kot. Baru nak belajar-belajar.."
"So, apa keputusannya?"
"Malam ini kita bangun sama-sama solat istikharah." Syami menganggukkan kepala.
"Pandai isteri abang... "
"Selama ini abang tak tahu ke yang Kira ni memang pandai?" Syahmi tersenyum lalu jari Kira diramas-ramas. Masa mula-mula mereka berkahwin Kira agak pendiam sikit.
"Tahu... itu yang bila tengok pertama kali hati terus terpaut." Mereka sama-sama naik ke tingkat atas. Lampu di ruang tamu dipadamkan.

***


Untuk Tie, Nacha dan peminat-peminat lagu Ada Cinta. Saya sertakan lirinya di sini... Moga terhibur dan boleh buat koleksi.. :p

Ucapkanlah kasih
satu kata yang kunantikan
sebab ku tak mampu
membaca maknamu
mendengar bisikmu

Nyanyikanlah kasih
Senandung kata hatimu
Sebab ku tak sanggup
Mengartikan getar ini
Sebab ku meragu pada dirimu

Mengapa berat ungkapkan cinta
Padahal ia ada
dalam rinai hujan
Dalam terang bulan
juga dalam sendu sedan

Mengapa sulit mengaku cinta
padahal ia terasa
Dalam rindu dendam
hening malam cinta
terasa ada











Friday, July 06, 2007

CINTA DI MATANYA (iv)

Hampir dua bulan mereka berkahwin. Kira masih lagi tinggal di rumah keluarganya. Suaminya pun tidak membantah. Pernah juga Kira menyuarakan hasrat untuk mencari rumah sendiri. Tinggal bersama Syahmi. Merasai hidup sendiri bersama suami. Sayang, ibunya melarang. Puan Nora terasa amat berat untuk melepaskannya. Adik beradik Kira pun bukannya ramai. Demgan adanya Kira, Puan Nora tidaklah terasa sunyi. Zira pun telah tinggal di hostel.

"Penatnya... " Kira merebahkan diri di katil. Kemudian dia bingkas bangun apabila terpandang baju yang berada di dalam bakul. Baju-baju tersebut perlu dilipat. Dua tiga hari ini dia tiada masa untuk semua itu. Balik rumah pun sudah melepasi pukul 8 malam.

Tangannya leka melipat baju-baju tersebut. Sambil itu dia menyanyi kecil. Suaminya itu masih lagi belum pulang dari surau. Ada majlis tahlil di surau berdekatan. Sememangnnya setiap malam Jumaat akan diadakan bacaan Yassin. Cuma malam ini dia tidak dapat turut serta.

Syahmi merenung isterinya yang membelakangkannya. Kerja yang dibuat Kira membuatkan dia tidak menyedari kehadiran suaminya. Sesekali Kira mengangkat tangannya yang lenguh. Kepalanya digoyangkan bagai mengajar orang bersenam.

Nalurinya menyatakan ada seseorang hampir dengannya. Terkejut dia melihat Syahmi merenungnya.

"Eh abang, bila balik?" Kira bangun merapati Syahmi.
"Adalah dalam 1 jam..." Syahmi tersenyum.
"1 jam? Abang cabut balik ke? Mesti keluar senyap-senyap ni... Tak sempat tadah tanganlah!" Kira menyoal bertalu-talu.

Rambut Kira yang melepasi bahu ditolak ke belakang. Syahmi memang gemar berbuat begitu. Rambut isterinya yang lurus itu bagai iklan syampoo di tv.
"Isteri abang ni.. abang baru cakap beberapa patah tapi dibalas bepuluh-puluh patah perkataaan... "
"Betullah Kira cakap, dah 1 jam kat sini; memang sah abang cabut lari..." Kira menyambung kembali kerjanya.
"Abang baru balik tapi tengok Kira leka saja. Tak mahulah abang ganggu. Mana tahukan berangan entah sampai ke mana!" Syahmi mengusik.

Dia faham perasaan isterinya. Orang lepas kahwin akan berbulan madu ke sana sini. Tapi mereka tidak begitu. Syahmi terpaksa menggantikan kawannya pergi berkursus. Di luar jangkaannya sama sekali. Sedangkan dia telah merancang untuk membawa Kira melancung. Mujurlah Kira faham. Jika tidak mungkin mereka akan bermasam muka. Saat begitulah mereka belajar untuk menyesuaikan diri.

"Abang! Tadi cakap orang, sekarang dia pula!" KIra mencubit lengannya.
"Teringat sapalah pula tu." Kain yang dilipat sudah pun disimpan di dalam almari.
"Adalah ingat kat sorang tu... " Syahmi tersengih-sengih. Sengaja dia berkata begitu. Entah kenapa dia teramat suka mengusik Kira.
"Kira kenal ke?"
"Tak!"
"Perempuanlah ni..."
"Emm.."
"Kalau ingat pergilah talipon dia, buat apa berdiri kat Kira ni.." Bila bercakap begitu, tanda-tanda Kira akan merajuk terpamir juga.

Semalam... semasa Syahmi mencari barang dia terjumpa kad yang diberikan oleh Hafidz. Semenjak malam perkahwinan mereka dia tidak membaca apa yang tertulis di situ. Semalam setelah dua bulan perkahwinan mereka baru dia teruja untuk membaca. Itu pun kerana dia terpandang kad yang bersampul merah jambu itu.

Dia memerhatikan Kira yang berdiam diri. Setelah membaca ayat yang ditulis Hafidz dia terfikir sendiri' apa hubungan Kira dan Hafidz sebenarnya? Abang angkat? Tapi kenapa ayat-ayat itu bagai melambangkan orang yang kecewa dan terluka? Diakah yang merampas kebahagiaan itu?

Sejak mereka berkahwin, memang Kira tidak pernah menyebut nama Hafidz lagi. Selendang sutera pemberian Hafidz pun tidak pernah dipakai. Memang selendang itu begitu menarik coraknya. Mungkin ditempah khas untuk Kira...

Betulkah Kira menerimanya sepenuh hati? Syahmi tahu dia tidak patut berprasangka begitu. Sedikit sebanyak akan mencacatkan kehidupan mereka yang baru bermula. Tapi dia juga tidak dapat membuang otaknya dari berfikir begitu.

"Kira... " Syahmi memanggil lembut. Kira hanya berdiam diri.
"Merajuk dengan abang ya?" Kira masih juga begitu. Dia rasa berjauh hati dengan kata-kata Syahmi tadi.
"Abang tak ingat sesiapa, hanya Kira di hati abang. Tak ada oran lain.. " Syahmi masih lagi memujuk. Tak disangkanya rajuk Kira bertambah panjang.
"Cakap saja; kalau ada pun bukan Kira boleh tahu. Kalau hati abang Kira boleh buka dan tutup macam buku itu senanglah. Ialah dalam hati siapa yang tahu..."
"Abang berguraulah tadi sayang... " Tangan Kira ditarik namun Kira menepis.
"Memanglah boleh bergurau tapi guraulah benda-benda lain..."
"Ok... abang minta maaf." Tangan isterinya ditarik. Kali ini Kira tidak pun membantah.
"Sebenarnya abang memang teringat kat seseorang... " Kira mula menarik muka.
"Abang teringatkan Hafidz, abang angkat Kira tu.."
"Kenapa pula nama Hafidz itu timbul?" Kira diserang kehairanan.
"Dia kat mana sekarang ni?" Kira terdiam. Sejak perkahwinan mereka memang dia tidak mahu memikirkan tentang Hafidz. Betul jug kata suaminya. Di mana Hafidz berada? Sejak hari itu dia dan Hafidz tidak berhubung lagi. Entah di mana silapny;a...