HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Thursday, March 01, 2007

Ep. 8 - Ku Pendam Rindu Dalam Diam




“Balik dengan siapa Ain?” Puan Noriah menegur anaknya yang membawa beberapa bungkus barang. Penuh di tangan kiri dan kanan. Ain mendiamkan diri sebentar. Bukan dia tak tahu yang ibunya tidak suka dia menumpang orang sebarangan. Ain pun tidak suka berbuat begitu. Tapi tadi tu macam kes darurat jugalah. Puas dia menolak tapi Asri beria-ia mempelawa untuk menghantarnya. Tambahan pula dengan barang yang banyak;dia tidak dapat memberi alasan lagi.

Ini semua pasal Mirzan. Hatinya menggerutu. Ialah dah berjanji untuk mengambilnya tapi akhirnya temannya itu tidak dapat mengotakan janjinya.Padahal dia telah menunggu di luar kedai itu. Lama jugalah dia di situ. Orang pun makin bertambah beratur untuk menaiki teksi. Dan waktu inilah Aris mempelawanya sekali lagi.

Waktu petang begitu memang susah untuk mendapatkan teksi. Beberapa teksi telah terlepas. Atau pun memang Aris mencari peluang itu. Ain tidak tahu. Malas untuk mengambil tahu.

“Tumpang orang ibu…” Ain menjawab lambat-lambat. Bimbang juga dia jika ibunya menjadi pegawai penyiasat. Tapi harapannya tidak dipenuhi.

“Dengan siapa?” Alamak! Ini yang malas nak cerita panjang. Ain mengomel dihati.

Tanpa diduga ada orang memberikan salam di luar. Selepas mengucapkan terima kasih tadi Ain terus masuk ke dalam pagar. Tidak dipelawanya Aris untuk singgah. Aris pula dilihat terus masuk kedalam kereta. Mungkin dia nak beredar tapi kenapa dia ada pula di sini.

“Wa’alaikummussalam…” Pn. Noriah menjawab dengan senyuman. Daun di pintu yang terbuka sedikit ditarik perlahan. Ain memerhatikan dengan berbagai rasa di hati. Ada rasa kurang senang di situ. Tak balik lagikah dia?

“Ini Ain tertinggal barang tadi..” Aris menghulurkan seplastik buah limau ke tangan Pn. Noriah. Ain memandang hairan. Ibunya menyambut lalu mempersilakan Aris masuk.

“Ain ini macam itulah… Selalu saja lupa.” Aik! Aku pula disalahkan? Mana ada buah limau tu dalam senarai barangan.

“Jadinya Arislah yang menghantar Ain balik?” Aris mengangguk-nganggukkan kepala. Sikit tak ubah macam burung belatuk. Tanpa rasa malu, dia telah pun duduk di sofa yang berwarna kuning itu. Entah siapa yang menjemput pun tak tahulah.

“Terima kasihlah Aris. Susah-susah saja…”
“Tak ada susahnya mak cik. Kebetulan terjumpa Ain kat situ. Lagipun jalan sehala.”

“Bila pula aku beli buah limau ni? Pandai saja mereka cerita. Entah-entah saja dia mencari alasan. Lelaki macam itu agaknya. Pandai memutar belitkan cerita.” Ain sungguh tidak berpuas hati. Tapi kata-kata itu berlegar didalam otaknya sahaja.

“Duduklah dahulu Aris Mak Cik nak ke dapur sekejap.” Secara tak langsung Ain terpaksa melayan Aris di ruang tamu.
“Ibu duduklah, biar Ain ke dapur…” Ain menolak secara lembut.
“Tak apalah Ain. Air pun dah siap tadi.”

Apalah ibunya ni. Adakah patut aku nak bersembang dengan mamat ini. Dahlah tadi penat nak berbalas cakap masa dia minta aku tumpangnya. Ini nak mengadap mukanya. Ee… tak mahulah! Tak suka betul Ain dengan sikap ibunya. Mentang-mentanglah dia kenal dengan Aris. Aku pula disuruh duduk kat sini. Hati Ain berkata-kata lagi.

“Jauh melamun?” Aris menegurnya. Dia dapat rasakan yang Ain kurang selesa bila berada di hadapannya. Semasa Ain diam tadi dia memerhatikan seraut wajah itu. Comel. Hatinya Aris berdetik. Cuma Ain kurang bercakap. Semasa di dalam kereta pun dia yang banyak berbual. Bercakap pun hanya tunduk saja. Mungkin malu agaknya. Aris membuat tafsiran sendiri. Tapi dia macam suka dengan sikap Ain yang begitu.

“Tanya apa tadi? Maaf tak dengar!” Ain termalu sendiri. Nampak sangat dia endah tak endah dengan apa yang ditanya oleh tetamu.
“Ingatkan apa? Saya tanya beberapa kali tak dengar?” Ain sekadar mengangkat bahu. Tak mungkinlah dia nak ceritakan apa yang berada di dalam fikirannya saat itu. Kalau dia cakap dia lebih suka Aris balik baru tahu.Tapi nampak kurang sopan pula.

Ibunya datang menatang dulang minuman menyelamatkan keadaan. Ain meminta diri untuk beredar. Biarlah ibunya saja yang melayan. Tak kuasa dia disitu.

***

“Balik lambat Aris?” Kamil menegur teman serumahnya itu. Pelik dia, selalunya Aris bukan jenis yang suka merewang selepas waktu kerja.
“Hantar tuan puteri balik rumah dia…” Aris tersenyum panjang.
“Tak sangka aku dalam diam kau dah ada buah hati.” Aris mengangkatkan keningnya.
“Pandai simpan rahsia ya? Siapa? Aku kenal tak?” Kamil cuba mencungkil rahsia.
“Kenal sangat. Hari ini memang aku untung. Rezeki terpijak” Aris duduk di sofa. Bajunya ditarik keluar. Rasa selesa berbuat begitu.
“Yang rugi kau tak ikut sama…” Dia menambah. Tersenyum mengingatkannya.
“Siapa Aris?.” Hati Kamil rasa kurang senang mendengar jawapan Aris.
“Gadis pujaan hati, idaman kalbu kaulah…” Kamil terus bangun dari kerusi.
“Kenapa tak talipon aku. Aku free tahu!”
“Hei kawan.. Buat apa nak talipon. Rosaklah program aku. Kang dari hendak tumpang langsung tak jadi pula dia nak tumpang."
"Tak patutlah kau buat macam tu Ris." Suara Kamil perlahan menuturkannya. Dia terasa berjauh hati.
"Tak patut ke aku hantar dia balik?" Aris menyoal kembali. Bukan dia tidak mendengar suara Kamil yang macam orang berjauh hati itu.
“Kau jangan main-main Aris, dia aku punya.” Suara Kamil tidak serendah tadi. Nada agak tinggi di pendengaran Aris.
“Betulkah kau punya? Dia bukannya tunang kau, jauh sekali isteri kau. Jadi sesiapa pun boleh cuba.” Aris mengusik Kamil.
“Aku dah cop dulu!” Aris mengekek ketawa. Gelihati dengan sikap Kamil. Dulu-dulu kenalkanlah dengan mana-mana perempuan dia buat tidak peduli saja. Yang ini pula pantang disebut nama, melenteng pula.
“Cop mohor ke cop apa?” Aris masih lagi mengusik. Suka dia dengan sikap Kamil yang lain daripada hari biasa.
“Muka handsome kau tu aku cop dengan buku lima ini…” Kamil mengacukan sebelah tangannya.
“Wow… relaxlah brother. Belum apa-apa nak marah-marah ni kenapa. Budak perempuan tu pun tak ada apa-apa.” Aris mententeramkan Kamil. Risau juga dia kalau-kalau disebabkan Ain dia dapat beberapa biji telur di mukanya. Haru jadinya…

Kamil menarik nafas. Baru dia sedar bahawa dia ter'emosional' sedikit. Entah kenapa bila orang lain menyebut pasal Ain, hatinya terasa ditusuk buluh. Sakit dan memeritkan.

Sejak dia terpandang Ain tempohari (peristiwa yang dia hampir diketuk dengan senduk) hatinya nekad membulat bahawa Ain adalah pilihannya. Dia akan mencuba bersungguh-sungguh untuk menarik perhatian Ain.

Hatinya diburu rasa cemburu bila Aris menyebut nama Ain. Apatah lagi bila temannya itu menceritakan bahawa Ain menumpang keretanya. Lagilah dia panas hati. Dia belum merasa peluang seperti itu walaupun dia cuba mencari-cari. Sebetulnya dia amat bimbang bahawa Ain akan terpaut kepada Aris. Sahabatnya itu pun boleh tahan juga rupanya. Walaupun kulitnya agak gelap sedikit. Tapi senyuman Aris memang ada umph. Apatah lagi Aris pandai dalam bab 'mengayat'.

Tapi sekali fikir betul juga kata Aris. Ain tidak pernah tahu bahawa dalam diam ada jejaka yang memujanya. Kamil berfikir lagi. Dia harus bekerja kuat ke arah itu. Memastikan bahawa Ain akan jatuh hati dengannya.

"Dah sedarke?" Aris masih lagi ingin mengapi-ngapikannya. Kamil hanya diam membisu. Aris sahabat rapatnya sejak zaman belajar. Terpisah sekejap kemudian mereka bertemu semula. Kini mereka duduk serumah pula.

"Memang aku dah lama sedar bahawa hatiku telah terpaut. Hatiku hanya untuknya..." Kamil berfalsafah sendiri.
"Tapi kau tu mesti selalu sedar. Jangan cuba-cuba nak potong 'trip' pulak!" Kamil mengingatkan Aris. Bahu temannya itu ditepuk kuat. Diiringi dengan ketawa yang panjang.

Aris hanya diam. Kata-kata Kamil berbekas juga di telinganya. Dalam diam dia mengagumi sikap lemah lembut Ain. Sejak bertemu tadi hatinya bagai dibuai satu perasaan. Ingin juga dia mencuba. Tapi Aris cepat tersedar.

Dia tidak mahu kerana seorang perempuan hubungan irat antaranya dan Kamil akan wujud pula satu perkataan lain. "Permusuhan". Dia tidak mahu begitu.

Tidak dinafikan Ain punya kriteria yang menepati cita rasanya. Suara lembut yang berbual dengannya sebentar tadi terngiang-ngiang di cuping telinganya. Kalaulah Kamil tidak menceritakan dari awal, pasti Ain akan terus dipinangnya.

"Mil, ni ada kuih ibu Ain bagi." Hampir terlupa Aris untuk memberikannya kerana pertelingkahan mereka sebentar tadi. Kamil menyambutnya dengan senyuman panjang.
"Ingat juga dia kat aku kan? Bakal menantu dia..." Kamil menyambutnya dengan senyum meleret.
"Jangan nak perasanlah...." Aris mengingatkan Kamil. Agaknya macam itulah jika jatuh cinta! Sering berharap yang indah-indah. Tak dapat tengok anak selalu, dapat rasa kuih yang dibuat ibunya pun dah memadai. Hilang sekejap rindu!

Aku bila lagi ya? Aris bertanya kepada diri sendiri. Kenapalah Kamil pun jatuh suka kepada Ain? Jika tidak senang cerita...

Kawan-kawan yang tersayang, maaf kerana terpaksa membuat kawan-kawan tertunggu-tunggu kehadiran Ain. Sambil membaca cerita ini, Ain hidangkan karipaf sardin, roti jala, bubur jagung... Sudi-sudilah makan ya.. :p

Ucapan terima kasih untuk Ros yang memberikan komen. Kesilapan telah pun diperbetulkan. Usah jemu untuk mengingatkannya di lain kali, saya amat menghargainya.