HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Monday, November 27, 2006

Ep. 4 - Bukan Rahsia Lagi






Ain mengeluarkan botol air daripada peti sejuk yang berwarna hijau. Dituangnya ke dalam gelas yang tersedia ada di atas meja. Diteguknya perlahan. Baru lega rasanya. Sejuk air itu mengalir melalui kerongkong. Memang hari ini terlalu panas. Sebenarnya dia bukanlah suka sangat dengan air daripada fridge. Tetapi sesekali dia tidak dapat juga menahan dari godaan air yang sejuk itu.

“Ain.. ada orang minta ibu sampaikan bungkusan kepada Ain.”

Ain memandang wajah ibunya yang mencecah ke angka lima puluh tahun itu. Tapi wajah ibu masih nampak muda. Mungkin agaknya ibunya tidak pernah lupa untuk mengamalkan memakan ulaman ketika makan tengahari dan malam. Kerana ibunya juga Ain belajar memakan ulam. Mula-mula dia terasa amat payah sekali. Mana tidaknya; ada ulam yang pahit. Tapi memikirkan kesan di hari mendatang Ain cuba juga. Hasilnya mungkin bila dia telah berusia nanti. Dia akan awet muda seperti ibunya.

“Hadiah untuk Ain?” Ain menyoal ibunya kembali. Pelik! Hari ini bukan hari lahirnya. Jauh sekali dia meraikan hari yang istimewa. Macammana pula bungkusan itu boleh diberikan kepadanya. Mungkin untuk Salina agaknya. Adiknya itu baru saja menginjak ke angka 15 tahun. Tahun ini dia akan menduduki peperiksaan.

“Kata pemberi itu.. dia membeli untuk anak buahnya lalu dia teringatkan anak lelaki Ain. Jadi dia belilah sekali.” Ain bagai dapat meneka siapa gerangan yang diceritakan oleh ibunya. Dia masih mendiamkan diri.

“Kalau anak Ain, maknanya cucu ibulah kan! Betullah tadi ada dia sebut cucu ibu. Bila pula Ain berkahwin?” Pertanyaan ibunya membuatkan Ain ketawa. Tidak dihiraukan ibunya yang merenung ke arahnya dengan muka berkerut. Sesuatu yang pastinya membuatkan ibunya tidak mengerti.

“Ada apa-apa yang Ain sembunyikan daripada ibu ke?” Ain mengangkat kedua bahunya.

Tawa Ain tidak kedengaran lagi. Digantikan dengan senyuman pula. Terpedaya juga mamat itu dengan pembohongan ku! Percaya pula bulat-bulat dengan apa yang aku cakap.

“Alah… ari tu masa Ain gantikan ibu.. Ada sorang mamat itu sibuk tanya macam-macam. Jadi Ain beritahulah Ain dah kahwin dan ada sorang anak.” Ain membuka cerita. Tidak mahu ibunya menyangka yang bukan-bukan.

“Patutlah dia beria-ia nak bagi hadiah itu bila ibu menolak. Nakal anak ibu ini ya.”

“Yalah… sapa suruh dia tanya macam-macam. Kalau nak membeli itu buatlah cara nak membeli ini tidak macam polis pencen pula. Hal peribadi orang pun nak tahu. Ain tak sukalah macam itu!”

Ain menceritakan apa yang berlaku di hari tersebut kepada ibunya. Ibunya turut tersenyum dengan telatah Ain. Memang mak cik Noriah mengakui Ain anak sulungnya bukan saja mempunyai paras rupa yang menarik tapi agak manja sedikit. Sesekali suka mengusik orang lain. Ada masanya dia akan melakukan perkara yang tidak dijangka.

“Bila ibu beritahu yang ibu tak ada cucu dia agak terkejut juga. Tapi tetap nak beri juga.”
“Maknanya dia dah tahulah ibu yang Ain ini single lagi? Kenapa ibu tak mengiakan saja. Cakap sajalah Ain dah kahwin. Dah ada anak… “

“Manalah ibu nak jangka perkara ini nak jadi. Dia tu pelanggan setia ibu. Ada masanya dia ambil tempahan untuk mesyuarat kat pejabatnya. Tak baik Ain buat cerita yang bukan-bukan ini.”

“Alah biar sajalah ibu. Sekurang-kurangnya dia tak lah nak mengganggu Ain lagi. Sebab Ain dah ada keluarga.”

“Rahsia Ain dah pecah. Dia dah tahu bahawa ibu ini belum ada cucu lagi…”
“Alah ibu ini… tak boleh dibawa berundinglah..”

Ain pura-pura merajuk. Wajahnya dimasamkan. Muncungnya ditarik.

“Kalau dari awal Ain cerita, bolehlah ibu cover-cover sikit! Tapi nak buat macammana ya! Segalanya dah terbongkar.”

“Ain dah ada pilihan ke?” Tanpa disangka ibunya bertanyakan dia.
“Ain masih muda lagilah ibu. Belum terfikir lagi nak ada teman istimewa!” Ain menyangkal.

“Dengan orang itu Ain boleh mereka-reka cerita. Entah-entah dengan ibu pun Ain ada sorokkan sesuatu!” Kata-kata ibunya membuatkan Ain makin galak ketawa.

“Ibu ni ke situ pulak perginya. Dengan ibu mana Ain nak pandai simpan rahsia.”
“Mana tahu dalam setahun ini ibu dapat cucu pulak!” Ibunya mengusik lagi.

Hubungan Ain dengan ibunya memang rapat. Ibu adakalanya menjadi pendengar setia. Ada waktunya menjadi teman dia mencurahkan segala resah di dada. Ada masanya ibu seperti seorang sahabat kepadanya.

“Betul ke tak ada? Fitri itu sapa?” Mungkin ibunya berpendapat dia dengan Fitri ada apa-apa. Memang Ain akui, dia agak rapat dengan Fitri. Tapi mereka hanya bersahabat. Tidak pernah pula diselitkan dengan apa-apa rasa. Cuma rasa hormat antara sahabat dengan sahabat. Bezanya Fitri itu lelaki dan dia seorang perempuan. Salahkah jika seorang perempuan rapat dengan seorang lelaki?

Menyebut nama Fitri membuatkan Ain teringat akan sahabatnya itu. Agak lama juga dia tidak mendengar sebarang berita daripada Fitri. Kesibukan belajar dan berada di negeri orang membuatkan Ain faham dengan situasi sahabatnya itu.

Mungkin juga Fitri merajuk kerana e-mail yang lalu tidak dibalas oleh Ain. Bukan dia tidak mahu membalas tapi tiada berita menarik untuk dikhabarkan. Balik-balik Fitri akan menyelitkan pertanyaan; apakah Ain sudah bertemu dengan ‘kawan’ baru?

“Kawan saja…” Pendek jawapan Ain. Samada ibunya percaya atau tidak itulah hakikat sebenar.

“Sabtu ini Ain tolong ibu buat kuih ya! Ibu dapat tempahan. Ada orang nak buat makan-makan.” Tentu ibu sibuk minggu ini. Mana taknya, menyiapkan kuih untuk jualan. Ditambah pula dengan tempahan.

“Kalau macam ini ibu, apa kata melangkah setapak lagi. Kita jadi pengedar kuih-kuih basah. Kita jual yang separuh masak, balik rumah boleh terus goreng. Karipaf yang ibu buatkan sedap! Kalau ada tempahan mesti kuih itu tidak ketinggalan.” Bersemangat Ain memberikan cadangan.

“Taklah sampai ke situ lagi Ain..”
“Kita cubalah ibu.”
“Nantilah ibu fikirkan kemudian. Yang penting sekarang ini Ain tolong ibu Sabtu ini.”
“Siapa yang tempah ibu? Mak cik Limah ke?” Memang mak cik Limah rajin menempah kuih muih daripada ibunya. Apatah lagi bila anak menantunya pulang ke rumahnya berkumpul beramai-ramai.

“Ain tengoklah sendiri bila dia datang ambil nanti!”
“Dengan Ain pun ibu nak berahsia ke?”
“Ain takut nak jumpa dia ke?” Bahu Ain ditepuk-tepuk.
“Kalau ular Ain takutlah, nanti dibelitnya Ain. Tapi kalau orang buat apa nak takut!”
“Macam itu Ain tunggu sajalah dia datang nanti...”

Ibunya berlalu ke ruang depan. Mencari adik-adiknya yang lain. Hari yang terang tadi berubah warnanya. Sekejap lagi maghrib akan tiba. Adiknya yang dua orang itu jika tidak dipanggil masuk rumah tidak akan nampak batang hidungnya. Leka bermain dengan rakan-rakan sebaya.








Friday, November 10, 2006

TIADA KE2 [Wajahmu Di Mana-Mana](Ep. 3)

Wajahmu Mengisi Ruang Mindaku...
Hatiku Ingin Dekat Selalu Padamu

Dia tidak seperti ibunya, kaya dgn senyuman. Bolehlah dikatakan dia terlalu kedekut. Wajahnya yang tidak mempunyai riak itu membuatkan aku terdorong untuk mengenalinya. Tapi bagaimana? Pertama kali aku bertemunya aku telah teruja. Wajah keanak-anakan itu membuatkan aku tidak puas hati memandangnya. Tapi persoalannya.. Benarkah dia telah bersuami?

"Oh… Mil tengok tv ke tv tengok kau. Dari tadi tak bergerak2 pun. Lawak jenaka itu tak menarik minat ke? Selalunya kau yang terkekek-kekek ketawa melihat gelagat pelakun senario tu. Hari ini diam tak bersuara. Dah buang tabiat ke?" Suara yang kuat menerjah ke telinga Kamil. Amat bingit sekali.

Kamil Irsyad cepat-cepat tersedar. Jauh betul lamunannya. Sahabat yang seorang itu ditoleh sebentar. Mulut Aris memang tak ada filter. Apa dia nak cakap dikeluarkan tanpa berfikir. Ada pula dikatanya aku buang tabiat. Orang tengah memerah otak ini dia tak tahu.

“Aris, kau kenal tak dengan mak cik yang jual nasi lemak itu..” Pertanyaan itu terus diajukan kepada Aris.
“Oh.. mak cik Noriah itu ya? Apa pula tak kenal. Kan aku ni pelanggan setia macam kau juga! Kenapa? Dah berkenan dengan mak cik itu. Nampak muda lagi tau!" Aris bercakap tanpa henti.

Bantal di depan tv dilempar ke arah Aris yang masih ketawa. Geram betul Kamil dengan sahabat serumahnya. Ada saja yang dijawab. Sepatah yang ditanya, sepuluh patah yang dijawab. Tapi Kamil tidak mengambil hati. Walaupun Aris begitu tapi hatinya baik.

“Oh.. kalau nak usik orang pun tengoklah cara usik. Dengan aku memang tak padan. Dengan engkau padanlah!” Kamil memulangkan paku buah keras. Aris tersengih.

“Aku belum habis cakap kau dah potong… Macam ini tak payahlah cerita. “ Kamil mengalihkan pandangan ke arah tv semula.
Cerita Senario telah habis. Digantikan dengan cerita lain. Kamil kurang berminat. Dia memasukkan VCD ke dalam pemainnya. Cerita Indonesia yang hangat diperkatakan. Cerita Heart. Sebenarnya dia tidak begitu berminat. Tetapi kerana lagu My Heart sering didengarnya di corong radio membuatkan Kamil ingin melihat cerita di sebalik lagu tersebut.

“Ada cerita baguske Mil?” Aris bersuara aabila terasa dia tidak dipedulikan.
“Kau kan tak minat nak tahu. Buat apa nak tanya?” Kamil pura-pura jual mahal.
“Eh… ceritalah. Hendak juga aku tahu apa topik panas ini."
"Malaslah! Aku belum habis cakap kau dah sambung yang bukan2…"
“Alah… Kamil ceritalah. “ Aris memujuk.

Kamil tidak mengendahkan permintaan Aris. Majalah di depan pula dicapai. Kamil masih membelek-belek isi dalam majalah tersebut. Cuti-cuti ni kalau ke sini best jugak. Kamil bercakap sendiri bila terpandang foto laut membiru yang tertera di muka surat itu.

“Kamil, aku janji aku tak menyampuk apa yang kau cakap.” Nampak benar Aris ingin tahu apa cerita di sebalik kata-kata Kamil tadi.
“Mak cik itu ada anak perempuan tahu!”
“Cantik tak?”
“Bila cakap perempuan saja, mesti tanya cantik! Tak ada benda lain...”
"Biasalahkan.... Siapa yang tak suka benda yang cantik-cantik." Aris membela diri.
“Aku malaslah nak cerita. Tadi kau janji tak mahu menyampuk!” Kamil terus diam. Geram dengan sikap Aris.
“Sorry! Aku excited bila kau sebut mak cik itu ada anak perempuan. Selama ini aku tak tahu pun."
"Sebab kau tak tahu aku nak bagitahulah ni.... " Aris duduk bersila mengadap Kamil. Tidak sabar untuk tahu cerita selanjutnya.

Kamil menceritakan kembali pertemuannya dengan gadis yang mengaku anak mak cik Noriah. Aris mendengar tanpa banyak pertanyaan. Mengangguk-nganggukkan kepala. Kadang-kadang tersenyum bila Kamil menceritakan sepanjang waktu berbual gadis itu asyik memegang senduk.

"Kau dah jatuh minat kat dialah ni..." Aris membuat ulasan bila saja Kamil habis bercerita.
"Entahlah... tapi aku macam nak lagi tengok wajah dia." Kamil bersuara tanpa berselindung.
"Kau baik-baik Mil,. Jangan cari pasal. Dia itu dah ada orang punya." Aris memberi nasihat.
"Tapi aku tak percayalah Aris. Tengok muka dia muda sangat. Mungkin baru habis sekolah kot!"
"Kita kat tempat orang Mil! Tak pasal-pasal muka kau bengkak nanti!"
"Tapikan, naluri aku mengatakan dia belum berpunya..."
"Parah kawan aku ni dek penangan anak mak cik Noriah. Selalunya kau tak macam ini. Ada orang nak kenal buat-buat tak kisah. Si Azi tu beria-ia nak berkawan tapi kau pandang sebelah mata pun tidak! Kasihan kat kawan tu."
"Yang ini lain Aris. Nampak dia innocent sangat!"
"Bila kau cerita macam itu, aku pun teringin nak jumpa dia. Apa keistimewaan dia agaknya ya? Baru tengok sekali, kawan aku ini jadi begini. "
"Aku rasa nak jadi "James Bond 007". Baru puas hati aku ini.."
"Suka hati kaulah Mil. Orang kalau dah jatuh "tangga" ini memang macam nilah penangannya. Payah nak dengar nasihat orang lain." Aris memerli Kamil.

Cerita Heart tidak lagi menarik perhatian Kamil. Yang penting kini dia harus mengetahui siapa sebenarnya gadis itu. Dia mengatur strategi sendiri.

*****

Moga berpuas hati dengan n3 kali ini. Terpaksa mengambil masa yang lama untuk menyambungnya... Saya dirihatkan oleh doktor selepas pulang cuti raya hari itu. Sesuatu yang tidak disangka-sangka terjadi...