HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Tuesday, May 30, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 52

“Awalnya bangun anak dara ni!” Fiza mencuit pinggangku. Aku yang sedang leka menggoreng keropok terkejut sekejap. Cuma senyuman aku berikan.

Selepas subuh tadi aku terus ke dapur. Hari ini aku bertugas semula. Jadi memang hasratku untuk bawa ole-ole untuk kawan sepejabat. Sama-sama merasa. Kalau bagi yang belum digoreng tak cukup pula.

“Ada apa-apa ke? Rajin sangat hari ini?” Fiza tak puas hati bila aku asyik senyum saja. Keropok yang siap digoreng diambil satu, lantas dimasukkannya ke mulut.
“Emm… memang terlebih rajin pula hari ini..” Aku mengiakan saja cakap Fiza. Senyuman memang tidak lepas dari bibir.
“Aa… ini mesti nak bagi kat buah hati..” Fiza pula tersengih-sengih.
“Buah hati mana pula ni…. “ Sengaja aku bertanya semula kepada Fiza. Skarf yang aku pakai aku ikat kemas-kemas. Tak pakai nanti berbau pula rambutku.

“Alah.. kura-kura dalam perahu, buat-buat tak tahu pula..! Atau terlalu banyak buah sampai tak tahu yang mana satu!” Bukan aku tak faham. Tapi sengaja aku buat-buat tak faham.
“Nak buat apa bagi kat dia?”
“Faham juga rupanya. Orang kalau dengar buah hati tu.. Hati bagai digeletek. Suka tau. Tapi lain pula dengan Zu ni. Macam tak suka saja…”
“Dia jauh kat sanalah. Tak kan nak hantar pula. Lagi pun semalam kan aku dah pergi rumah ibu dia. Dia dah merasa pun.. Pastilah ibunya yang menggoreng..”
“Lain tau kalau buah hati yang menggoreng dengan ibu yang menggoreng. Mestilah sedap lagi kalau buah hati yang bagi…” Dia mencapai sekeping lagi keropok.
“Pandainya bercakap, macam ada pengalaman saja…” Aku bercakap tanpa menoleh Fiza. Risau pula leka berbual hangus pula keropok tu.

“Pengalaman belum ada lagi tapi kawan-kawan aku banyak yang bercerita macam itu. Terasa diri dihargai kalau buah hati yang beri.” Dia terus menguyah dan mencicah dengan sos yang dibeli dari negeri Pantai Timur itu.

“Memang keropok ini sedapkan? Tak rugi beli banyak-banyak. Ikannya pun terasa. Tak lah macam di sini. Tepung saja yang lebih.” Fiza mengomeh lagi.

Aku membelinya di Losong. Hanif yang membawa kami ke situ. Memang tempat itu terkenal dengan keropok lekornya. Masa balik itu kami juga singgah di Kuala Kemaman. Mencari otak-otak. Harganya pun lebih murah.

“Eh dah pukul berapa ni.” Fiza memerhati jam di pergelangan tangan.
“Pukul tujuh. Masih awal lagi…” Fiza mematikan kebimbanganku.

Keropok yang siap digoreng aku masukkan ke dalam tupperware. Tidak ketinggalan sosnya sekali. Semuanya tiga tupperware.

“Nah yang ini kau bawalah kat pejabat.. “ Tupperware itu aku hulurkan kepada Fiza.
“Thanks… ini yang buat aku sayang kat kau Zu. Rajin… sure tunang kau pun sayang kat kau kan?”
‘Dah bagi tu tak payahlah nak puji lebih-lebih!. . Ambil sajalah… “
“Lagi satu jangan sebut pasal tunang pagi-pagi ni. Sensitive tau!” Fiza mengangkat kening.
“Peliklah Zu ni. Teringat orang Trengganu ya, kalau tunang disebut tak boleh..”
“Mana ada? Pandai saja buat cerita. Dahlah aku nak tukar baju. Kang lambat pula.!” Api dapur gas itu aku padamkan.
“Nak mengelaklah tu…” Fiza berlalu ke ruang tamu membawa tupperware yang telah elok terletak di dalam beg plastik.
“Ingat judo ke nak elak-elak ni…”
“Betullah tu… Zu ini kan pakar elak mengelak.” .
“Ha.. jangan nak melencong pula cakap tu!” Aku mengingatkannya. Fiza ketawa. Tahu arah mana perbuaalan kami. Dia merujuk dengan sikapku masa di rumah Syikin. Memang masa tu aku mengelak habis dari menjawab panggilan talipon dua orang jejaka. Tempiasnya terkena juga kepada Fiza.

Sejak Syikin memberitahu dia akan berpindah; hubungan aku dan Fiza makin bertambah rapat. Dia pun jarang pulang lewat. Waktu dulu angka jam melewati 8 malam baru dia tiba di rumah.

Betullah ada hikmah di sebalik sesuatu yang terjadi itu. Cuma kita sebagai manusia sahaja yang tidak mengetahuinya. Bila telah berlaku baru kita berfikir ke arah itu.

**

Tupperware yang aku bawa aku letakkan di atas meja yang terletak di satu sudut. Kami memanggilnya coffee corner. Barang-barang yang dikirim oleh teman-teman; aku letakkan di atas meja mereka. Memang tidak dapat aku nafikan, aku datang awal hari ini. Awal daripada waktu yang aku selalu datang.

“Dah balik rupanya orang jauh ni… Makin menawan pula! Ada cerita menarik ke?” Azira datang kepadaku. Bersalam dan memeluk tubuhku. Pipi kami berlaga kiri dan kanan beberapa kali. Naik lemas pula aku bila Azira memelukku irat-irat.

“Aku bukan orang jauhlah.. Macam orang tak jumpa beberapa tahun.” Aku mengungkaikan pelukan. Azira ni kalau dapat memelukku memang kejap habis. Wajahku dibelek-belek. Apa hal pula Azira ni pagi-pagi berkelakuan begini. Peliknya!

“Yang kau pandang aku ini apa hal? Rimaslah! Macam aku ada buat salah saja?”
“Macam kena dera saja Zu ni?”
“Dera?”
‘Kena berdiri kat tengah panas! Berjelaga” Aku ketawa. Azira ni memang teliti sungguh. Orang lain tidak pula menegurku begitu.

“Em.... biasalah. Kau bukan tak tahu aku ni alahan sedikit.” Teringat aku suatu waktu dulu. Aku mengikuti satu latihan. Baru satu hari kulitku bertukar warna, sehinggakan kawan-kawan yang tak tahu mengatakan aku balik dari bercuti di tepi laut.

“Nah ini untuk awak…” Bungkusan yang berbalut kertas berbunga-bunga itu aku hulurkan kepadanya.
“Apa dalamnya?”
“Nak tahu tengoklah sendiri…. Tapi buka kat rumahlah ya!”
“Thank you…” Azira memelukku lagi. Macam dalam drama pula.

“Itu siapa punya?” Bungkusan berbalut kemas itu menarik perhatian Azira.
“Siapa lagi, untuk boss kitalah…” Aku menjawab perlahan.
“Bilik dia gelap saja.” Kalau dia ada tadi tidaklah hadiah itu terletak di situ. Pelik pula kebiasaannya En. Taufik datang awal. Lebih awal daripadaku.

“Rindu ke?” Wajah Azira aku pandang. Dia tersenyum manis.
“Hish! Rindu apa pulak ni… Tak baik bergossip di pagi hari!”
“Bukan gossip. Tapi boss kita tu kan bila lalu bilik engkau ni. Dia mesti pandang. Keluar pejabat pandang. Masuk pejabat pandang. Aku boleh kira dalam satu hari entah berapa kali dia pandang. Dia kan tahu yang engkau ni bercuti.” Aku mengangkat bahu. Malas nak ambil tahu.

“Apa namanya kalau dah macam itu. Ada rindu tersorok di hati.”
“Alah apa salahnya dia pandang. Dia ada mata. Dah terbiasa. Tak ada apa-apa, usah pula nak mengada-adakan cerita. Kang kalau tak betul siapa yang malu? Azira juga yang malu….” Aku pula ketawa.

Di luar teman-teman sudah mula memenuhi meja. Aku menoleh ke jam Ada yang membawa plastik bungkusan makanan. Mana yang rajin akan membawa bekal sendiri. Keadaan yang sunyi tadi bertukar suasana. Agak ceria sedikit.

“Tapi kan…..” Azira berhenti seketika.
“Apa lagi lah dia ni… “ Aku membetulkan tudung yang tiba-tiba tercabut pinnya. Masa inilah dia nak terbuka. Mujur Azira di depan, kalau En.Taufik … tak tahu apa nak aku buat.
“Dalam seminggu ini, ada seorang lelaki itu asyik menalipon saja. Bertanyakan Cik Intan Zulaikha…”
“Biasalah tu. Dah aku tak ada memanglah orang bertanya.” Kata-kata Azira tidak aku hiraukan. File di depan aku belek-belek isinya.
“Bukan macam itu. Yang ini pelik sedikit. Bila meminta dia meninggalkan pesanan.. Dia enggan. Katanya kau kenal sangat dengan dia…” Hatiku berdebar tiba-tiba. Tapi aku dapat agak siapa pemanggilnya. Mujur juga pemanggil itu. tidak menerangkan apa-apa,, jika tidak haru jadinya.

“Kau ada apa-apa yang dirahsiakan ya?” Azira mula menjadi perisik.
“Rahsia apa pula pagi-pagi ni. Merepek saja….”
“Kalau tak rahsia,.. maknaya ada ‘secret admirer’ lah ni…” Azira macam memikirkan sesuatu. Aku mengangkat bahu. Tidak mahu berkata apa-apa. Diam itu adalah jawapan yang terbaik.

“Lupa nak bagi tahu, hari ini boss tak ada. Kalau nak jumpa esok baru ada…” Azira keluar lalu mengenyitkan mata.

“Jangan lupa ya, beritahu kat rakan-rakan luar tu…. Ada sesuatu untuk mereka kat coffee corner. Kau pun dengan segala hormat dijemput merasa."

Monday, May 22, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 51

Ada sendu di matanya...
Ada resah dalam bicaranya..
Segalanya bersatu
Berlagu pilu

Aku melangkah malas menuju ke pintu kereta yang terbuka luas. Sedar, langkahku diperhatikan oleh mak cik Zubaidah. Baru sebentar tadi aku bersalam dengannya. Lagaknya aku seperti seorang model yang begitu berhati-hati dengan setiap langkah. Takut tersungkur. Penontonnya pula sudah pasti mak cik Zubaidah dan anak lelakinya.

Amir Zuhairi tersenyum memandang. Berdiri di sisi pintu kereta. Menanti penuh sabar Aku mengambil tempat di sebelah pemandu. Dia tahu aku tidak dapat berbuat apa-apa di hadapan ibunya. Menurut saja tanpa membangkang.

Kalaulah mak cik Zubaidah tiada di situ tak perlulah aku membazir senyuman untuknya. Baik aku senyum kat En. Taufik. Sekurang-kurangnya hatiku tidak sakit.

Ish… geramnya. Rasa tidak puas hati membuak-buak di dalam dada. Tak tahu kepada siapa harus aku luahkan. Mengapa masa ini dia pulang ke rumah! Tak bekerja ke dia? Aku telah berkira-kira tidak akan bertemu dengannya.. Tapi kiraanku kurang tepat. Hasilnya aku terpaksa juga berhadapan dengannya.

Pintu kereta ditutup. Aku memasang tali pinggang keselamatan terlebih dahulu. Risau juga kalau-kalau dia terlebih ‘gentleman’ dan menolongku mengenakannya. Tak mahu aku! Ibunya masih berada di tepi pagar lagi. Mana tahu dia cuba mengambil kesempatan pula menunjukkan betapa baik dan ambil beratnya terhadapku..

Enjin dihidupkan. Kereta berjalan perlahan. Tidak sampai beberapa minit dia memberhentikan kereta di bahu jalan. Apa hal pula ni!

“Eh… apa you nak buat ni? Berhenti kat sini pula!. Kang orang pandang, lain pula ceritanya.” Aku diserang bimbang. Waktu begini memang jalan agak lengang sedikit. Kebanyakan orang masih lagi di pejabat.

“Ini milik Zu….” Kotak baldu kecil berwarna merah hati itu dihulurkan kepadaku. Aku memandang sekilas tapi tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Tahu kotak itu berisi cincin pertunangan kami.

Diamku membuatkan dia mengeluh. Lantas tanganku ditarik dan kotak itu diletakkan di atas telapak tanganku. Gerakannya yang pantas itu membuatkan aku tak sempat nak mengelak.

Aku letakkan kembali kotak itu di atas dashboard.

“I tak mahu ambil barang yang I dah bagi kat you. Buruk siku namanya… Dah bagi barang ambil balik.” Kata-kataku mengejutkanny;a. Kemudian dia ketawa terbahak-bahak. Apa yang lucu dengan peneranganku.

“Ini bukan pasal buruk siku atau tidak. Cincin itu memang sepatutnya Zu yang simpan. Bukan simpan tapi dipakai!” Kata-katanya tidak aku endahkan. Aku memandang sekeliling. Memang agak sunyi. Manalah tahu tiba-tiba sahaja pintu kereta Honda itu diketuk. Kes lain pula yang timbul. Tak mahu aku!

“Kalau nak cakap apa-apa pun carilah tempat lain. Janganlah berhenti kat sini.”
“Zu takut ke?” Dia tersengih. Dah tahu aku tak selesa dia bertanya lagi. Pertanyaannya pun macam menyindir aku saja. Aku menarik muka masam.

“Selagi Zu tak ambil kotak ini…. Selagi itulah kereta ini tak bergerak!” Dia tahu aku risau dengan keadaan kami. Lantaran itu sengaja dia nak menakut-nakutkan aku. Tapi memang benar, perasaan takut itu tumbuh di hatiku. Jantungku bergerak pantas macam orang berlari 1km.

Tak mahu memanjangkan cerita, kotak itu aku ambil. Daripada aku duduk di dalam kereta bersamanya, baik aku mengalah kali ini.

“Jalanlah…. Nak tunggu apa lagi!”
“Macam itulah, kan senang cerita. Jimat masa.” .Dia memandu semula ke atas jalanraya. Malas aku nak melihat ke wajahnya. Pastinya dia tersenyum kemenangan. Aku mengikut cakapnya bukan bermakna aku kalah. Itu pun kerana terpaksa.

**

Aku memandang ke luar tingkap. Hati bertanya juga ke mana dia akan membawaku. Namun mulutku teramat berat untuk memulakannya. Bagiku segalanya tak perlu lagi. Antara kami tiada apa yang akan dibincangkan. Keputusanku adalah muktamad. Pertunangan ini mesti diputuskan.


**

Dia membawaku ke Ampang Park. Awal-awal lagi aku telah mengingatkannya bahawa aku perlu ke rumah Kak Ngah selepas ini. Jadi pertemuan kami akan mengambil waktu yang singkat.

“Zu nak risau apa, abang boleh temankan.” Itu pula jawapan yang aku terima. Sesekali aku terfikir juga, bertekak dengan dia tidak membawa aku ke mana-mana. Jawapannya pasti ada samada aku suka atau tidak.

Aku mengikut saja bila kami memasuki Restoran Cozy Corner. Dia mengambil tempat agak hujung sedikit.

“Nak order apa?”
“Tak mahu apa-apa. Masih kenyang lagi.” Jam di pergelangan tangan aku pandang. Jarum jam menunjukkan ke angka 3.

“Fresh orange dua..” Ujarnya kepada pelayan yang datang. Aku diam saja. Pandai-pandai pula dia memesan untukku.

Agak lama dia mendiamkan diri. Wajahnya diusap perlahan. Anak rambut yang jatuh ditolak ke belakang. Berbeza sekali penampilannya. Raut wajahnya tidak menampakkan keceriaan. Kerana akukah? Ah.. soalan itu pula hadir tiba-tiba.

“Zu ke mana seminggu ini? Puas abang cari. Talipon tak berjawab. SMS tiada balasan.” Dia memulakan perbualan.

“Tak ke mana-mana.. Cuma pergi jalan-jalan makan angin. Menenangkan hati yang terluka.” Tiada gunanya aku berselindung lagi. Biar dia tahu apa yang aku rasa saat ini.

“Zu marah lagi dengan abang?”
“Kalau you kat tempat I…..you marah ke atau you rasa gembira bila orang tuduh you macam-macam?” Dia terus terdiam.

“Abang minta maaf Zu…. Masa itu abang tak boleh nak fikir apa-apa!”
“So… sekarang ini you boleh fikirlah ya…?” Aku tahu dia tersinggung dengan kata-kataku. Tapi aku nak buat bagaimana. Rasa sakit ini membuatkan aku tidak perlu untuk menjaga hatinya. Mengeluarkan kata-kata sesuka hatiku.

“Kita datang sini buat apa?” Pertanyaanku yang agak kasar mengejutkan dia yang tunduk membisu.

“Abang betul-betul minta maaf Zu. Tolonglah beri abang peluang…” Lirih suaranya. Wajahku dipandang. Aku melarikan mata ke tempat lain. Tak mahu aku membalas pandangannya. Renungan matanya menggambarkan kekesalan. Ada rasa sayu di situ. Silap-silap aku boleh jatuh kasihan!

Hatiku bukannya macam kerak nasi. Yang bila direndam dengan air akan terus lembut. Orang sering membandingkan hati seorang perempuan seperti kerak nasi.

“Dah tak ada gunanya… Bila I fikir-fikirkan, kita memang tak sesuai untuk meneruskan perhubungan ini. I pun dah jelaskan dalam surat hari itu.”

“Zu…..” Suaranya antara dengar dengan tidak. Dia diam kembali. . Di mana hilangnya lelaki ego yang aku kenali dulu. Apakah sudah hilang kerana peristiwa hari itu!

“Abang berharap sungguh Zu. Tolonglah…..” Lelaki ini sudah mula merayu. Agaknya kalau diberi watak dalam sebuah filem, memang menjiwai habis.

“Amir Zuhairi, untuk apa kita meneruskan hubungan kalau di hati masih ada rasa curiga. Untuk apa menyambung ikatan kalau di dada masih menyimpan luka. Untuk apa mencuba lagi, sedangkan kita tak sekata?” Panjang jawapanku.

“Abang tak boleh Zu. Abang benar-benar dah jatuh cinta dengan Zu.” Hampir tersedak aku dengan pengakuannya.

“You jatuh cinta dengan orang macam I ini?” Jatuh cinta tapi you cakap macam-macam.” Istilah cinta memang pelik. Cinta membuatkan orang buta seketika. Cinta juga membuatkan orang berhenti berfikir sekejap.

“Tapi I memang tak cintakan you, Amir Zuhairi. Itu muktamad.” Aku pernah jatuh suka kepadanya. Mujurlah sebentar cuma. Tidak aku lebarkan rasa suka ini. Jika tidak aku pasti luka ini kian mendalam.

“Zu… sikit pun tak ada rasa sayang kat abang?” Dia tidak berpuas hati. Aku menggeleng.
“Zu bohongkan? Hari itu sebelum timbulnya perkara ini, Zu ada pakai cincin pemberian abang.” Ah, ingat pula dia! Aku ingatkan rasa marahnya dulu telah mengaburi pandangan matanya.

“Pakai cincin tidak semestinya yang I suka kepada orang yang memberinya…..” Aku tersenyum. Benarkah kenyataan itu? Aku bertanya kepada diri sendiri.

“Amir… I rasa tak perlulah kita bincangkan perkara yang dah lepas. Sekarang ini apa yang perlu you buat ialah you berterus terang dengan ibu you. Habis cerita. Kita tak payah pening kepala memikirkan segalanya….”

“Zu usah bertindak terburu-buru. Berilah masa untuk semua itu….”
“I rasa tak perlu. Pada I masa itu lebih dari mencukupi”
“Zu ada orang lain ke?” Aku memandangnya tajam. Baru sebentar tadi dia merayu. Kini soalan begini timbul pula.
“Ini masalah kita. Kenapa perlu libatkan orang lain. I tak fahamlah dengan you ini!”
“Jadi Zu tak ada orang lain?”
“Terpulanglah kepada you nak jawab macammana….” Malas aku nak melayan lelaki ini. Tadi suaranya lirih. Tiba-tiba bersemangat pula nak tahu kisah aku.

“Dah lama kita kat sini. I tak mahu balik malam-malam.. Rumah Kak Ngah pun tak sampai lagi”
“Kalau malas, abang boleh hantarkan….” Pelik pula. Tiba-tiba boleh ceria. Entah angin monsoon mana yang bertiup membawa keriangan kepadanya.

“Jangan lupa beitahu kat ibu you tentang apa yang kita bualkan hari ini.”
“Tahulah abang macammana nak buat Zu tunggulah nanti….” Dia tersengih. Macam ada rahsia yang tersirat pula.

Kepada sesiapa yang menanti-nanti munculnya Amir Zuhairi..... Saya letakkan potret dia bersebelahan dengan Zulaikha. Iras wajahnya seperti itu.... Harap-harap pembaca berpuas hati...

Wednesday, May 17, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 50

Sesekali bila aku bayangkan...
Mungkin lebih baik kita tidak bertemu....

Akhirnya aku pulang juga ke Kajang. Seminggu berada di sana bagai membebaskan aku daripada kemelut ini. Fikiran yang berserabut terasa damai sekali. Rasanya ingin aku menetap di sana. Setiap hari bermain dengan pasir di pantai. Mendengar ombak bernyanyi mengikut alunannya yang tersendiri. Memang aku telah jatuh cinta dengan negeri di Pantai Timur itu.

Aku memunggah barang-barang daripada perut kereta itu. Mujurlah Naza Ria. Kalau kereta lain harus aku meninggalkan sebilangan barang. Tidak cukup ruangnya. Mana aku tahu begini banyaknya barang yang aku beli. Masa shopping tidak pula aku sedari semua itu. Bila telah dikumpulkan; aduhai banyak pula!

“Macam orang nak buat business saja?” Syikin memerliku. Memang dari Trengganu lagi aku telah diperli oleh mereka. Macam tak cukup hari nak shopping. Fiza pun beli jua tapi aku juga yang jadi bahan usikan.

“Kalau kahwin dengan orang Terengganu, tak payah nak membeli barang yang begini banyak.” Syikin mengadui bila aku mencubit lengannya.. Biarlah, apa anggapan suaminya aku relakan saja.

Aku pulang bersama dengan Syikin si pengantin baru. Sama-sama menaiki kereta Naza Ria milik Hanif. Ada urusan yang perlu dibereskan. Itu kata mereka. Mulanya aku menolak juga dengan cara lembut. Tidak mahu menyusahkan mereka sebenarnya. Sudahlah penginapan FOC, ini nak pulang pun dihantar juga.

Aku pun tahu juga berasa malu. Tidak mahu ditanggung segalanya. Sebenarnya aku terasa segan dengan Hanif.

“Betulkah Zu dah bertunang?” Hanif menimbulkan persoalan itu. Waktu itu kami sama-sama duduk di gerai berhadapan dengan Pantai Batu Buruk menikmati keropok lekor. Fiza ke tandas. Syikin dan suaminya pula berjalan-jalan di tepi pantai. Pengantin baru itu sempat juga meluangkan masa menemani aku dan Fiza. Tetamu kehormat kata Syikin.

Nak jawab ke tak ni. Aku memalingkan wajah. Memandang ke dada laut. Sambil tu melihat jam di tangan. Kenapalah Fiza ini lewat sangat. Terasa janggal pula berdua-duaan dengan Hanif.

“Apa yang Syikin beritahu tu, betullah….” Aku menjawab dalam suara yang rendah. Untuk apa aku menidakkannya. Itu adalah kenyataan walaupun hubungan aku dan Amir Zuhairi bagai retak mencari belah..

Bukan aku tak tahu apa yang bergolak di fikiran Hanif. Atau di fikiran orang lain. Kalau dah bertunang mesti ada tandanya. Sedangkan tanda itu tiada padaku.

“Macam tak percaya pula! Selalunya kan, kalau seseorang itu dah bertunang; cincin tunang pasti menghiasi jari manisnya. Tapi jari manis Zu kosong saja.” Sejak bila pula Hanif ini jadi pemerhati.

Aku rimas sebenarnya. Bentuk pertanyaan yang sama, tapi diaju oleh orang yang berlainan. Sedangkan aku cuba melupakan hakikat sebenarnya. Kenapalah persoalan ini timbul kembali. Tiba-tiba aku rasa mahu marah. Kenapa dia pula menjadi seorang yang terlalu sibuk tentang hal aku.

Memikirkan yang keluarga Hanif melayan aku dengan baik; tidak jadi aku menghamburkan apa yang bermain di hatiku. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Aku masih ingat peribahasa itu. Jadinya terpaksalah aku menjaga tutur kataku.

“Dia tak talipon ke?” Lelaki yang seorang ini masih tidak puas bertanya lagi. Mungkin dia berasa ragu-ragu kerana aku tidak membuka mulut. Lagipun hampir seminggu di sini, aku bagai tidak merasa apa-apa. Betul juga, kalau dah bertunang pastilah ada rasa rindu-rinduan di hati.

“Perlukah saya menjawab semua soalan itu?” Ah, mulut ini mengeluarkan suara yang tak sepatutnya. Rasa kurang senang di hatiku terpamir sudah. Fiza… cepatlah! Aku tak mahu terperangkap dalam persoalan yang tidak diundang ini. Hatiku menjerit.

“Curious sikit! Bukan apa kalau tak bertunang senang sikit cerita!”
“Meaning?”
“Tak ada yang marah, bila lihat kita duduk di sini. Mana tahukan ada orang pasang spy ke?” Aku ketawa mendengar ucapan Hanif. Tawa yang sengaja dibuat-buat.

“Tak mahulah kerana saya ada orang bergaduh sakan! Nanti tak semena-mena putus tunang pula!”

Memang dah nak putus pun! Suara dalaman menjawab.

“Kalau you lihat tunang you dengan orang lain macammana? Katalah keadaan macam ini?” Sengaja aku menyoal Hanif. Aku ingin tahu apa jawapannya.

“Susah juga nak jawab sebab saya tak ada tunang!”
“Kerana tak adalah saya mulakan dengan katalah…!” Hanif tersenyum. Aku pun turut sama. Kami berbalas cakap tapi jawapannya tiada.

“Bagi pendapat saya, apa yang tersurat tidak sama dengan yang tersirat. Kena lihat bagaimana keadaannya terlebih dahulu. Perlu selidik dulu kenapa dia dengan orang lain. Yang penting tak boleh membuat tuduhan melulu.” Jawapan yang ikhlas dari Hanif.


Seketika fikiranku melayang ke satu nama itu. Kalaulah dia seperti Hanif, tidaklah kami berkeadaan begini. Aku tidak pula membawa rasa marah, benci, terluka dan berbagai rasa yang terpendam di hati.

Aku masih lagi bercuti di hari ini. Fizah telah pergi ke pejabat. Syikin masih lagi menanti suaminya dan Hanif datang menjemput. Dia pun masih lagi dalam percutian. Nak berbulan madu di sini pula. Itu katanya.

Kemungkinan selepas ini dia akan berhenti kerja dan kembali ke Trengganu. Bila mengingatkan kata-katanya hatiku merasa sedih. Bertahun aku mengenalinya tiba-tiba saja dia akan pergi dari sisiku.

“Janganlah sedih. Macamlah kita tak jumpa lagi.”
“Bukan aku risaukan tak berjumpa. Cuma aku risau kepada siapa aku nak mengadu bila timbul masalah. Kau kan penasihat tak bertauliah. Tapi dalam tak bertauliah tu, ada kebenaran dalam kata-kata.”
“Pujilah semahunya, selepas ini aku pun jarang dengar pujian Zulaikha.” Nama penuhku disebut.




Tengahari itu aku ke rumah Mak Cik Zubaidah. Aku pasti waktu ini dia tiada. Dia di tempat kerja. Jadi aku tidak perlu bimbang akan terserempak dengannya. Barang-barang yang aku beli di Trengganu aku bawa sekali. Ole-ole untuk mak cik Zubaidah.

Yang bertengkar aku dengan anaknya. Mak Cik Zubaidah tidak tahu apa-apa. Itu pun jika dia tidak menceritakan masalah antara kami. Dan aku memang pasti dia tidak akan menceritakannya.

Bagai pertemuan yang lalu, mak cik Zubaidah menyambut kedatanganku dengan senyuman. Pelukannya bertambah irat.

“Patutlah mak cik terasa-rasa macam nak jumpa seseorang. Rupanya orang jauh yang datang.” Ungkapan mak cik Zubaidah membuatkan aku tersenyum. Manalah jauhnya Kajang dengan Ampang Jaya.

“Pergi mana? Dah lama tak menalipon mak cik.” Ole-ole yang aku hulurkan membuatkan pertanyaan terjawab sudah.

“Kat sana coverage area terhad mak cik.” Aku berbasa basi. Memang terhad sebab aku tak menjawab panggilan anaknya.

“Patutlah Amir itu macam ibu kucing kehilangan anak. Semuanya serba tak kena. Makan pun kurang berselera…. “ Mak Cik Zubaidah menerangkan panjang lebar.

“Betul ke mak cik? Macam tak percaya saja!” Hatiku digeletek untuk diketawa. Tapi aku tahankan juga. Bukan aku tak tahu kenapa dia macam itu. Dia begitu kerana terasa bersalah yang amat sangat. Lagipun kerana aku belum lagi memberi kata maaf.

“Makan kat sini ya… Mak cik ada buat kerabu pucuk paku. Amir suka sangat makanan itu. Dah lama mak cik tak buat.” Bukan aku tak tahu, mak cik Zubaidah berkias-kias. Secara tak langsung dia memberitahuku apa makanan kegemaran Amir.

Perbualan kami terhenti bila aku mendengar bunyi kereta di hadapan rumah.

“Em… panjang umur Amir ni, disebut-sebut dah balik pun. Macam tahu-tahu saja Zu ada di sini.” Aku menjadi serba salah. Aku kira aku di dalam zon yang selamat. Itu sebab aku datang semasa orang bekerja. Rupanya tidak sama sekali.

Kalau boleh dalam waktu terdekat ini aku tidak mahu bertemu dengannya. Belum masanya lagi. Tapi ialah aku yang merancang. Segalanya Tuhan yang menentukan. Doaku tidak diperkenankan.

Kereta yang berada di garaj rumahnya membuatkan dia tahu siapa empunyanya. Apa aku nak buat ni? Aku bertanya-tanya di dalam hati. Depan mak cik Zubaidah tak kan aku nak berwajah muram. Nampaknya aku kena berlakun pula.

Dia datang ke ruang dapur. Bersalam dengan mak cik Zubaidah. Matanya menikam ke wajahku. Agak lama. Aku memandangnya sekilas. Pura-pura menghadiahkan sebuah senyuman. Aku tahu gelagatku diperhatikan oleh mak cik Zubaidah. Jadinya aku kena belajar menjadi perempuan yang bersopan santun.

“Seminggu tak jumpa, tak kan dah hilang suara kot?” Mak cik Zubaidah mengusik anaknya yang masih terpaku memandangku.
“Terkejut bu, selalu jumpa dalam mimpi. Hari ini tiba-tiba saja ada kat depan mata. Amir ingatkan Amir mimpi lagi.” Pandainya dia berbahasa.

“Lepas ini tak adalah orang bermuka moyok Zu…. Itu baru seminggu kalau beberapa bulan tak tahulah macammana anak ibu ni. Mahu kurus kering kot sebab tak larat makan.”

“Kalau macam ini kena nikah cepat-cepat.” Dua kali mak cik Zubaidah mengusulkan perkara yang sama. Aku pula kehilangan suara, sedangkan Amir tersenyum melihat aku yang menjadi gelabah tiba-tiba.

00000

“Hadiah untuk abang tak ada ke?” Dia membelek-belek apa yang aku bawa. Memang aku terlupa tentang dia semasa di sana. Aku gugup sebentar. Mak cik Zubaidah memandang aku. Mustahil aku tidak membeli apa-apa untuk anaknya alias tunangku.

“Ada.. Lain kalilah Zu bagi..” Aku berbohong lagi.

Kami menikmati makanan tengahari dalam suasana yang tenang. Ikan cencaru bakar, kerabu pucuk paku, asam pedas memang menaikkan seleraku. Teringat-ingat mak di kampong. Mak suka sangat dengan ikan bakar.

Amir aku lihat bertambah beberapa kali. Macam orang dah lama tak jumpa makanan. Agaknya benar kata mak cik Zubaidah. Baru hari ini seleranya ada. Sesekali pandangan kami bersabung. Tanpa aku sedari dia memang memerhati cara aku makan.

“Zu…. lepas ini kita keluar sekejap….” Aku tak tahu itu ajakan atau satu perintah. Nak menolak mak cik Zubaidah di depanku. Nak menerima hatiku masih berbekas lagi dengan kata-katanya

Untuk rakan-rakan, maaf ya... terlewat memasukkan n3 ini...

Monday, May 08, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 49


Di mana lagi akan aku jejakimu...
Kirimkan berita walaupun sepatah kata...
(Zulaikha yang menjadi igauan Amir Zuhairi siang dan malam...)

Amir Zuhairi mundar mandir di dalam biliknya. Tak tahu apa yang harus dilakukan lagi. Penat sudah dia menekan nombor talipon milik Zulaikha. Jawapannya sama sahaja. Samada di luar kawasan atau pun pesanan suara sahaja.

Puas dia meninggalkan pesanan. Satu pun tidak dijawab. SMS telah banyak dihantar. Balasannya tiada. Beberapa hari telah berlalu. Talipon di pejabat pun tiada siapa yang menjawab. Barangkali operator pun telah mengenali suaranya kerana kekerapan dia menalipon.

“Ke mana dia pergi?” Dia bertanya sendiri. Kerisauan menjalar ke segenap hati. Marah sangatkah Zulaikha? Hingga mengambil keputusan begitu. Membekukan diri. Membisu seribu bahasa.

Atau sesuatu telah berlaku ke atas Zulaikha? Berbagai persoalan pula timbul. Bukan dia tidak pernah bergaduh dengan Zulaikha sebelum ini. Pernah! Tapi Zulaikha tetap menjawab panggilannya walaupun suaranya dingin. Bercakap dalam keadaan marah-marah. Tak mengapalah, asalkan ingin berbual.

Tiba-tiba dia jatuh rindu. Rindu ingin mendengar suara Zulaikha. Selepas makan malam tadi pun dia terus masuk ke biliknya. Tidak bagai selalu akan duduk berbual-bual dengan ibunya.

Sengaja dia memberi alasan. Dia penat kerana banyak kerja di pejabat. Kerja pejabat tetap begitu. Cuma dia tidak dapat menumpukan perhatian. Semuanya kerana malam itu. Semuanya kerana Zulaikha.

Pandangan dilepaskan ke luar jendela. Bintang tidak kelihatan. Langit gelap. Sesekali bunyi guruh berdentum, menandakan hari akan hujan. Tapi keadaan sebaliknya boleh juga berlaku. Mendengar guruh di langit, air tempayan dibuang jangan. Itu pepatah lama supaya kita selalu beringat-ingat. Agar apa yang ada tidak dibuang sebelum tahu apa yang akan diperolehi.

Bukankah itu berkaitan dengan dirinya. Mendengar cerita Johari dia menuduh Zulaikha begitu. Tidak diselidik terlebih dahulu. Akhirnya dia juga yang kecewa. Makin kecewa bila Zulaikha terus menjauhkan diri.

Nak tidur matanya tidak mahu dilelapkan. Dia cuba memejamkan mata tapi fikirannya masih belum mahu berihat. Terus berfikir dan berfikir. Sudah beberapa malam dia begitu. Aduhai.. beratnya apa yang ditanggung. Dia memang buntu. Jalan penyelesaian masih lagi belum ditemui.




Setelah difikir-fikir dia memberanikan diri ke rumah Zulaikha keesokan harinya. Selepas waktu kerja dia memecut ke Kajang. Harap-harap Zulaikha telah pulang.

Kereta Zulaikha terparkir di depan rumah. Pintu pagar terkunci rapat. Dia meninjau-ninjau mana tahu Zulaikha ada di dalam rumah. Tiada cahaya lampu. Tingkap pun bertutup. Talipon dicapai. Dia menekan butang. Tiada bunyi deringan talipon. Zulaikha memang tiada.

Dia memerhati sekali lagi. Terpandang olehnya pokok bunga ros di dalam pasu di tepi rumah sewa Zulakha. Ros kuning dan ros merah itu segar berbunga. Bukankah ros itu adalah pemberiannya kepada Zulaikha. Tidak syak lagi.

“Abang belikan ros ini untuk Zu..” Semasa mereka berkunjung di Expo Pertanian di Serdang.
“Tak mahulah! I bukannya pandai jaga..” Zulaikha menolak.

“Abang nak hadiahkan juga. Ros kuning dan ros merah ini tanda sayang abang kepada Zu. Bila Zu siram bunga ini makna macam Zu menyiram cinta kita. Bila Zu pandang bunga ini Zu akan teringat kepada abang.” Zulaikha masih lagi tidak mahu menerima pemberiannya.

“Mati pokok ini nanti, you salahkan I pula “
“Ada abang cakap begitu? Zu ini prasangka betul!” Dalam menolak itu Zulaikha menerima juga setelah dia membeli pokok bunga ros itu.

Perbualan itu masih lagi diingati. Dia sebenarnya yang berprasangka.

Rumah jiran sebelah dipandang. Pintu tertutup juga. Lama dia menunggu tapi tiada tanda jiran sebelah akan membuka pintu. Dia hampa lalu masuk semula ke dalam kereta. Enjin dihidupkan,.. dan terus berlalu dengan fikiran yang berkecamuk.

"Dah lama Zu tak talipon ibu, dia sihat ke Amir?" Pertanyaan ibunya di malam itu makin menyesakkan fikiran. Apa yang harus diberitahunya?. Ingin menceritakan kisah sebenar dia malu. Dia tahu Zulaikha rapat dengan ibunya. Bahkan ibunya amat menyayangi Zulaikha.

"Sihat..." Antara kedengaran dengan tidak jawapan itu.
"Ibu risau juga... beberapa hari ini dia senyap saja."
"Dia sibuk ibu. Amir nak jumpa pun dia menolak." Ah pandainya dia memutar bicara. Dia pun tak tahu samada Zulaikha sibuk atau tidak. Yang dia tahu Zulaikha tidak dapat dihubungi.

Bukan sengaja Amir nak berbohong ibu. Dia berbisik sendiri. Tapi selagi perkara ini belum selesai dia tidak akan memberitahu ibunya apa yang telah terjadi. Namun dia risau juga jika Zulaikha sendiri yang menceritakan kepada ibunya. Pastilah segala kesalahan itu akan diletakkan di bahunya.

"Zu.... tolonglah fahami diri abang.... Kabarkan di mana Zu sekarang...." Dia merintih bagai Zulaikha berada di depannya. Seakan Zulaikha mendengar segala kata-katanya.

Talipon dicapai. Dia menekan beberapa huruf untuk dijadikan perkataan.

Zu, berilah abg pluang sekali lagi....
Maafkan abang.... please...
I love U very much

Dia menekan arahan send ke nombor talipon Zulaikha. Walaupun mengambil masa yang lama untuk mendapat jawapan; dia tetap menanti. Dia amat menyesal atas apa yang telah terjadi. Dia akan buktikan kepada Zulaikha bahawa kasihnya kepada Zulaikha terlalu tinggi nilainya.

Hingga ke larut malam, dia masih lagi menanti agar taliponnya berbunyi.

Burung terbang berkawan-kawan
Bebas mencari haluan sendiri
Rindu di hati tidak terlawan
Puas mencari belum ditemui

******
Jumaat lepas saya berkesempatan bertemu dengan Notie; thx bermurah hati menunaikan janji. Tak akan dilupakan.
Dan Sabtu lepas pula saya bertemu dengan Klena (memang dah berjanji) & Kak Noor pertemuan tanpa rencana. Tersenym saya bila Kak Noor tersasul-sasul menyebut heroin LADHM ini. Melekat pula nama Zu tu....
- Harap-harap selepas ini kita semua boleh berjumpa dalam satu masa. Tentu meriahkan? Apatah lagi sambil berbual
kita makan keropok lekor yang diimpot khas dari Trengganu. Sedapnya....

Friday, May 05, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 48

Andai waktu boleh diulang kembali
Tidak sesekali hatimu aku sakiti



Kalau ikutkan hati mahu saja dihadiahkan buku lima ke wajah Johari. Biar wajah itu penuh dengan lebam-lebam. Tapi kerana tahap kesabarannya masih tinggi dia menahan hati. Rasa amarah itu dipendamkan dalam dada. Tidak sampai tangannya menyentuh wajah selamba itu. Jika tidak pasti hari ini adalah hari yang paling bersejarah di dalam hidupnya.

Kerana Johari dia membuat tuduhan kepada Zulaikha. Tapi ya Johari tidak boleh disalahkan seratus peratus. Dia juga patut disalahkan. Tanpa usul periksa dia terus memarahi Zulaikha. Bukan sekadar marah tapi terus melemparkan berbagai tuduhan.

Siapa yang tidak sakit hati. Selebihnya dia merasa marah kepada diri sendiri. Berkata tanpa berfikir. Melemparkan kata sesuka hati. Malu juga kepada Zulaikha. Seorang lelaki sepertinya yang diberikan 9 akal tapi tidak menggunakan akal itu di tempatnya. Dia bertindak mengikut perasaan.

Sangkanya Zulaikha akan memohon maaf atau mengaku kesilapannya. Paling tidak pun akan merayu kepadanya. Jangkaannya meleset. Zulaikha tidak berbuat begitu. Menangis pun tidak. Terus saja berlalu meninggalkan dirinya dengan wajah yang merah.
Dialah sebenarnya yang terluka kerana tindakannya.

Dia ingin mengejar saat Zulaikha berlalu pergi. Namun dia cuma terpaku di kerusi itu. Restoran berhawa dingin itu tidak lagi terasa dinginnya. Kedinginannya tidak bisa untuk menurunkan darjah kepanasan di hati.

Dia hanya melihat Zulaikha tanpa dapat berbuat apa-apa. Dialah yang buta sebenarnya. Kini, dirasakan harapan untuk bersama Zulaikha hampir musnah.

*****


Surat itu dibaca lagi. Tidak jemu-jemu dia mengulanginya. Kali ke berapa pun dia tidak tahu. Kenapalah dia begitu bodoh melepaskan sesuatu yang hampir dalam genggamannya. Ingin dia menjerit tetapi suaranya bagai tertahan.

Dia telah menghancurkan impian yang dibina sejak bertemu dengan Zulaikha. Dialah yang bersalah. Mengapalah aku bodoh sangat. Pertanyaan itu diulang lagi.

Assalammu' alaikum,

Amir Zuhairi yang diingati,
Moga dirimu selalu dalam lindunganNY A.

Biar malam ini menjadi saksi, bahawa hubungan kita setakat di sini sahaja. Tak perlu dikenang lagi. Tak perlu disesalkan segalanya. ......

Inilah yang Zu rasakan sehingga kini saat Amir melemparkan kata-kata itu. Sedih teramat sedih… tak dapat nak Zu bayangkan. Sungguh Zu tidak menyangka kata itu lahir daripada bibir seorang yang terpelajar sepertimu. Tanpa usul periksa Amir menghimpunkan segala kesilapan itu kepada. Zu. Tanpa sempat untuk Zu membela diri.

Sebagai seorang perempuan berugama Islam, Zu tahu hukum haram dan halalnya sesuatu perkara. Apa yang boleh dan tidak boleh, apa yang dilarang oleh ugama kita.

Namun bila seseorang melabelkan Zu untuk sesuatu yang Zu tak pemah buat. Zu tak boleh menerimanya sama sekali. Zu mesti mempertahankan hak Zu. Menegakkan kebenaran.

Tahukah Amir rasa hati yang dilukai? Begitulah yang Zu rasa sehingga saat ini. Pemah dengar bidalan ini, terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya. Dan kerana kata-kata itu telah merungkaikan ikatan ini.

Mungkin Amir pun tidak ikhlas dalam hubungan ini. Ingin Zu mengetahui apakah Amir menerimanya kerana terpaksa? Keterpaksaan itu menjadikan tuduhan itu terlalu cepat keluar daripada mulut Amir.

Kalau pun Amir inginkan hubungan ini putus, tak perlulah mencipta alasan begitu. Katakan saja ... Zu pasti memahaminya.

Zu akui pada awal pertunangan, Zu memang tidak boleh menerlma Amir. Di saat pintu hati Zu mula terbuka, memberi Amir ruang untuk berada di dalamnya ... Cerita lain pula yang terjadi.

Entah apa akan jadi jika kita telah berada di alam perkahwinan. Kerana mendengar cerita orang lain, mungkin Amir akan menceraikan Zu dengan talak tiga. Mujurlah hubungan kita tidak sampai ke tahap itu lagi.

Bila mendengar tuduhan itu dahulu. Zu terbayangkan kembali pertemuan pertama kita dalam keadaan yang tidak selesa. Itulah sifat Amir yang sebenarnya, ego dan sombong. Tidak mahu mendengar penjelasan dari orang lain. Menjatuhkan hukuman sebelum mendengar apa-apa alasan.

Ketahuilah Amir, walaupun perhubungan ini lebih kepada pilihan keluarga. Tapi selama beberapa bulan ini .. Zu belajar menerima Amir. Belajar untuk menerima bahawa mungkin Amir adalah jodoh yang telah ditentukan oleh Allah untuk Zu. Dan di saat hati Zu telah bersedia segalanya ... ada perkara lain yang membuatkan hubungan ini tidak semudah apa yang tertulis.

Dengan kembalinya segala barang pemberian Amir dulu maka bernoktahlah segalanya. Anggaplah tiada apa-apa hutang antara kita lagi. Terima kasih dalam sekejap waktu menjadi 'tunang yang prihatin'. Maaf kerana pertunangan ini telah mengikat Amir daripada memandang orang lain. Menjadikan hidup Amir tidak tenteram.
Selepas ini tak perlu mencari Zu lagi. Anggap sahaja Zu bukan yang terbaik buat Amir. Atau mungkin lebih elok kalau Zu katakan Amir terlalu baik untuk seorang Zu jadi kita memang tidak sesuai.

Oh ya, jika dulu Amir datang dengan beradat bertemu dengan emak di kampung, sudilah kiranya Amir datang sekali lagi dengan beradat juga. Biar keluarga kita tahu yang pertunangan ini telah putus. Ia bukan lagi menjadi satu rahsia antara kita berdua.

Akhimya Amir, lepaskan Zu dari hati Amir, sebagaimana Amir melepaskan kata-
­kata itu suatu waktu dulu.

Maafkan Zu dan halalkan apa-apa yang Zu tidak dapat pulangkan kembali kepada Amir.

Moga Amir bertemu dengan kebahagiaan yang dicari ..

Wassalam
Intan Zulaikha Ahmad Sharifuddin.

Photobucket - Video and Image HostingPhotobucket - Video and Image HostingPhotobucket - Video and Image HostingPhotobucket - Video and Image Hosting


(Barang-barang yang ada dalam beg warna biru untuk Amir Zuhairi)


Jika dia boleh bersabar dan menyelidik perkara begini tidak akan terjadi. Apa perlu dia buat. Nasi telah menjadi bubur.

Dia tidak akan memutuskan hubungan ini. Cincin yang dikembalikan direnung kembali. Dia teringat hari itu. Itulah kali kedua dia melihat cincin tersarung di jari Zulaikha. Benar Zulaikha telah menerima tapi mengapa dia tidak menyedarinya.

Apa pun yang terjadi, dia tidak akan memutuskan ikatan ini. Dia sanggup memenuhi apa saja permintaan Zulaikha. Tapi membiarkan pertunangan ini terlerai bukan dalam agendanya.. Cincin ini pasti akan tersarung di jari Zulaikha kembali. Itu tekadnya .

Potret saat bersama Zulaikha di majlis pertunangan direnung kembali. Zulaikha yang tersenyum malu-malu bila diajak bergambar bersama; kembali jelas di ingatan.


Dua tiga bunga di taman
Tidakkan sama dalam jambangan
Dua tiga datang rintangan
Tidak ku lepas dari genggaman


Thursday, May 04, 2006

MASIH KU INGAT LAGI


(i)
Kali pertama
kita bersua bertentang mata
bicara ala kadar saja
kau meluah rasa terbuku di dada
aku terpinga-pinga

Kali kedua
pertemuan tanpa rencana
bicaramu mengundang mesra
hati menyimpan prasangka
ikhlas atau pura-pura
senyum di bibir menyimpan makna

Kali ketiga
kerana janji aku rela
suka bergabung paksa
entah mengapa tersilap bahasa
kata dusta menjadi nyata
kata haruslah dikota

(ii)
kesilapan siapakah
bila kepercayaan terpesong arahnya
pertemuan mengundang luka
percakapan menghiris jiwa
pandangan menyakitkan mata

lalu
untuk apa sebuah ikatan
kalau hati tidak keruan
lebih baik dileraikan
lepaskan bersama awan
dan kita tidak saling bermusuhan...

Wednesday, May 03, 2006

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 47

Bila bicara mengundang duka, untuk apa lagi memujuk rayu...
*****

Usai sudah majlis pernikahan Syikin. Sekali akad sahaja Syikin telah bergelar isteri kepada Mohd. Izhar. Majlisnya sederhana sahaja tapi tetap terasa kemeriahannya. Syikin yang agak pucat pada mulanya kini tersenyum lebar.

“Risau.” Itu yang dibisikkan kepadaku saat tok kadhi memegang tangan Izhar. Risaukan Izhar tidak dapat menjawab soalan tok kadhi. Risau jika Izhar terpaksa menyebut berulang kali. Kes begini banyak juga berlaku di majlis pernikahan. Sehinggakan ada yang terpaksa berihat untuk seketika menenangkan fikiran.

“Tahniah, dah boleh panggil puanlah selepas ini.” Aku memeluk Syikin selepas keadaan agak reda. Fiza juga mengulang kembali apa yang aku lakukan kepada Syikin.
“Selepas ini giliran engkau pula!”
“Kita buat rombongan ke Perak. Orang lain yang nak kahwin, aku pula yang tak sabar nak pergi. Bertunang dulu aku tak sempat nak datang.” Fiza menyokong kata-kata Syikin.

“Siapa yang sedang menanti giliran? Zu ke?" Hanif menyampuk perbualan kami. Tadi aku nampak dia sibuk berbual dengan keluarga pengantin lelaki.
"Melepaslah abang macam ini..." Dia yang bertanya, dia yang menjawab sendiri.

“Usah lebih-lebih nak usik, dia ni dah ada orang punya.” Syikin memberi amaran kepada abangnya.

“Patutlah berseri saja muka Zu. Rupanya seri pengantin dah berpindah ke bakal pengantin pula.” Selamba saja Hanif mengusik sambil melihat ke wajahku. Tersengih bila aku diam tanpa suara. Seronok agaknya dia melihat aku yang tunduk memandang lantai.

“Yang kasihannya adik abang ini…” Matanya ditumpukan ke arah Syikin.

“Seri dah habis diambil oleh Zu.” Syikin mencubit lengan Hanif. Mempamerkan muka empat belas. Izhar hanya memandang saja. Tersenyum sama melihat gelagat isteri dan abang iparnya.

“Jaga-jaga malam ini Izhar, tak semena-mena ada ketam menjelma.” Hanif mengingatkan suami Syikin. Apa lagi muka Syikin bertambah masam mendengar usikan Hanif.

Aku dan Fiza tumpang ketawa mendengar omelan Hanif. Gelagat mereka memang mencuit hati. Syikin saja yang tidak ketawa sama. Marah agaknya dengan usikan abangnya.

Mujurlah semasa Hanif mengusikku tadi tiada siapa yang perasan. Aku anggap kata-kata Hanif sebentar tadi hanyalah gurauan. Ialah masa aku sedang bersedih kerana Johari; Syikin pernah menyuarakan hasrat untuk mengenalkan aku dengan Hanif. Tapi aku menolak.

"Tak payah nak fikir panjang-panjang. Senang-senang abang aku ada. Dia pun baik juga." Masa itu mak belum menceritakan tentang Amir Zuhairi.

Mana mungkin tiba-tiba saja hati akan beraleh ke orang lain. Hatiku hanya ingat kepada Johari saja. Tidak pasti pula samada Syikin pernah bercerita tentang aku kepada Hanif. Kerana aku tidak mempedulikannya lalu kisah itu tidak dipanjangkan. Sepi dan bisu. Hari ini usikan itu membuatkan aku terkedu. Banyaknya dugaan orang sedang bertunang ini.


“Talipon siapa yang berbunyi itu? Semenjak tadi tak berhenti saja.” Kami yang sedang ketawa terdiam seketika. Hanif ini dengar saja walaupun suasana agak bising.

Baru aku teringat selepas menalipon mak tadi aku terlupa nak mematikannya. Kalau dihitung diamnya terlalu sedikit jika dibandingkan ia menjerit.

“Ada orang tak tahan berpisahlah itu. Tambahan pula jauh-jauh macam ini.” Semua mata memandang ke arahku. Masing-masing melemparkan senyuman. Faham maksud di sebalik kata-kata Syikin.

Talipon itu aku ambil. Terus aku mematikannya.
“Eh.. kenapa tak jawab?” Hanif memandang hairan.
“Masa kurang sesuai…” Aku memberikan alasan. Sebenarnya memang aku tidak mahu bercakap dengan pemanggilnya. Fiza yang tahu apa yang aku alami kini, tersenyum saja. Tidak memberi apa-apa komen.

*****

Malam itu aku dan Fiza menginap di rumah Syikin. Esoknya kami beramai-ramai akan ke rumah pengantin lelaki di Marang pula.

Sebelum tidur aku mengaktifkan kembali talipon. Banyaknya pesanan suara. Suara Johari kedengaran meminta maaf. Merayu-rayu... Dia rasa kesal dengan apa yang terjadi. Bukan niatnya dia berbuat begitu. Kalau bukan niat apa perkataan yang sesuai?

Amir Zuhairi pun begitu juga. Meminta maaf atas keterlanjurannya menuduh aku. Katanya dia sayangkan aku. Tidak cukup dengan pesanan suara; pesanan ringkasnya aku terima juga. Semua berkisar kepada kata maaf.

Dua lelaki itu begitu mudah menuturkan kata maaf. Tapi aku tak pasti samada hati ini dapat memaafkan mereka. Sukarnya untuk memujuk hati yang terluka. Memaafkan mungkin boleh tetapi untuk melupakannya bukanlah sesuatu yang senang.

Aku tahu Johari mempunyai sebab tersendiri berbuat begitu. Cuma caranya saja yang salah. Keegoan mereka menutup daripada berfikir secara rasional. Yang aku tahu aku ingin menenangkan fikiran di sini. Aku mahu melupakan seketika apa yang telah berlaku.

Pagi-pagi mandi di perigi
Airnya jernih dingin sekali
Untuk apa merayu lagi
Jika rayuan menjeruk hati