HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Monday, October 31, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 21

HUTANG

Kami melangkah memasuki ruang Restoran Sri Melayu di Jalan Conlay. Waktu menunjukkan ke angka 3.30 petang. Ramai juga pengunjung ke sini. Maklumlah hujung bulan.

Sebenarnya sudah beberapa kali dia menghubungiku mengharapkan sebuah pertemuan. Cuma aku masih cuba melarikan diri. Sengaja menolak pelawaannya yang entah ke berapa kali.

Dan hari ini aku tewas juga. Kerana antara aku dan dia masih ada lagi perkara yang belum dan perlu diselesaikan.

Aku mengajak Syikin untuk menemani bersama. Alasannya tak mahu kacau daun. Hish..kacau daun apa? Bukannya pertemuan seorang kekasih dengan kekasih. Hanya pertemuan biasa.

“Pergilah Zu….
“Sekurang-kurangnya akan menyelesaikan segala persoalan?” Syikin seakan memberi semangat.
“Persoalan apa?” Aku bertanya seperti orang bodoh.
“Kau ada hutang dengan dia kan! Lebih cepat kau bertemu dengan dia, cepatlah kau bayar hutang tu..”

Hutang! Kalau bukan kerana terpaksa tak mahu aku bersusah payah datang ke rumah Kak Ngah di AU2 Keramat petang Sabtu ini. Lebih baik aku berulit dengan novel atau merihatkan badan di katil yang empok.

Tapi betul juga, cara yang paling mudah untuk menyelesaikan masalah dengan berhadapan dengan masalah itu. Bukan melarikan diri.


Janjinya pukul 3 petang dia akan menjemputku. Aku leka di dalam bilik memikirkan bagaimana dengan pertemuan ini. Apa yang akan aku bualkan nanti. Lepas makan balik sajalah… buat apa lama-lama. Hatiku pula berdetik.

Ketukan di pintu bilik bergema. Terjengul kepala Kak Ngah.

“Adik, Amir dah datang. Keluarlah…” Kak Ngah tersenyum meleret apabila menyebut nama Amr.

Ini yang aku malas ni.. Bila sebut nama dia saja semua ahli keluargaku akan tersenyum, Macam ada perkara tersembunyi sahaja.

Masing-masing memandang ke arah tangga bila kami turun. Abang Izwan menghadiahkan senyuman. Tidak terkecuali Amir Zuhairi. Entah apa yang difikirkan oleh mereka di saat itu aku pun tak tahu.

Kami pun berlalu setelah Amir Zuhairi bersalam dengan Kak Ngah dan Abang Izwan.

“Pergi dulu Kak Ngah.” Beritahuku lalu memeluk Kak Ngah.

Hari ini aku memakai blouse berwarna biru dipadankan dengan slack hitam. Tudung pula aku memilih warna biru berbunga pink.

Dari rumah Kak Ngah ke Restoran itu tidak mengambil masa yang lama. Aku lebih suka berdiam diri. Tak tahu apa yang hendak dibualkan. Segalanya rasa janggal sekali. Aku hanya memandang ke luar tingkap sepanjang perjalanan.

Aku tidak bertanya ke mana arah tujuan kami. Apa yang diberitahu kami akan keluar makan-makan saja. Aku mengikut saja ke mana Amir Zuhairi membawaku.

Kalau ikutkan hati, mahu saja aku menyuruhnya ke kedai mamak di Taman Melewati. Boleh juga aku makan tosai yang telah lama tidak aku rasai.

“Dah sampai…” Ujarnya lembut. Mematikan lamunanku.

Dan di sinilah kami berada.

Kekoknya aku berada di hadapannya. Nak makan pun rasa tak larat. Pada hal menu yang dihidangkan kebanyakannya adalah kegemaranku.

Kalau depan Johari tidaklah aku rasa janggal begini. Kadang-kadang aku malu pula sebab semua makanan aku ingin rasa.

“Tak padan yang kecik!” Johari sering mengusikku dengan kata-kata itu.

“Kenapa tak makan?” Tanyanya.

Lamunanku terhenti. Hidangan itu masih tak berganti dari tadi. Dia pula, beberapa kali telah bangun dan duduk dengan menu yang berlainan.

“Tengah diet ke atau takut gemuk?” Dia membuat kenyataan sendiri.

Aku hanya diam. Malas nak menjawab apa yang nak dikatakannya.

“Makan lebih-lebih pun hari ini bukannya akan menggemukkan.”

“Kalau kurus sangat pun bukan elok…” Banyak pula omelannya.

Dia bangun lagi. Membawa sepotong kek coklat moist. Alahai, bila terpandang kek coklat moist itu seleraku terus terbuka. Macam tahu-tahu saja Amir Zuhairi ini kegemaranku.

“Thanks.” Ucapku. Dia tersenyum.

“Coklat boleh membuatkan mood seseorang berubah. Menjadi ceria.” Aku pun pernah terbaca artikal berkenaan coklat.

Sudu ku capai. Makan dengan perlahan sekali. Bila aku mengangkat muka, pandangannya bersabung dengan pandanganku.

“Emmm… boleh tak you pandang ke lain. I rasa tak selesalah….” Aku meletakkan sudu kembali ke piring. Macammana aku nak makan dalam keadaan begini. Asyik-asyik muka aku yang dipandang. Di kampung dulu macam itu juga, tak puas-puas lagi ke? Rasa nak sahaja aku tutup muka ini. Macam wanita di padang pasir. Baru dia tahu.

Dia mengukir sebuah senyuman. Terserlah lekukan di dagunya.

“I suka tengok you makan. Sweet sekali… Itu yang tak puas nak pandang.” Jawapannya membuatkan aku tersedak. Cepat-cepat aku capai fresh orange.

Sedikit demi sedikit aku mula rasa selesa dengan perbualan ini. Memang hari ini dia berbeza dengan dia yang aku temui di hari kemalangan itu.

“You suka warna biru ya?” Mungkin dia merujuk kepada pertemuan kami yang tak rasmi beberapa kali.

Aku cuma mengangguk.

“You ajak makan ni sebab nak minta ganti rugikan?” Aku terus kepada sebab sebenar pertemuan ini.

“Beritahulah… berapa yang perlu I bayar.” Harap-harap wang yang aku bawa cukup untuk melangsaikan hutangnya. Memang aku tak tahu berapa jumlah sebenarnya. Tetapi menurut teman-temanku boleh mencecah ke ratusan ringgit.

“Sebab pertama memang begitu. Tapi ada sebab lain lagi.” Dia tersenyum.

Aku mengangkat bahu.

Tak semena-mena sudu yang aku pegang terjatuh ke lantai. Aduhai.. masa beginilah perkara yang tidak diingini berlaku. Malunya aku. Nampak ketara sangatkah gentarnya aku. Di saat begini, sudu pun boleh terpelanting..

Dia memandangku lagi.

‘Nak I ambilkan sudu…lain.” Dia menawarkan pertolongan.

“Tak payahlah.. lagi pun rasanya I dah kenyang.”
Tanpa menunggu lagi sambungan kata-kataku, dia terus bangun. Kembali ke meja dengan sudu di tangan.

Aku terpana.

*****

"Ha....!" Aku mendengar seseorang memanggil namaku.
Aku berpaling. "Jo..." Secara spontan nama itu keluar dari bibir.
Aku tertanya-tanya bagaimana Johari boleh berada di sini. Di saat itu juga aku melihat Amir Zuhairi berjalan ke arah meja.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL-FITRI BUAT PENGUNJUNG SETIA DI SINI. JARI SEPULUH SAYA SUSUN MEMOHON AMPUN DAN MAAF DI ATAS KETERLANJURAN KATA, TERSILAP BAHASA DAN GURAUAN YANG MENYENTUH RASA. MOGA GEMBIRA DI SYAWAL YANG MULIA INI.

Sunday, October 23, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 20

RESAH MENGHANTUI

“Seronok balik kampung Zu?” Syikin bertanya sepulangnya dari kerja.

“Balik kampung jumpa mak mestilah seronok. Boleh bermanja…” Aku diam sebentar.

“Tapi ada juga yang tak seronoknya….”

“Ada apa-apa yang berlaku?” Perasaan ingin tahu tergambar di wajah Syikin.

‘Aku terjumpa dengan pemungut hutang yang aku ceritakan dulu…”

“Eh macammana kau tahu dia pemungut hutang?”

“Dia dah mengaku!”

“Siapa dia? Teringin juga aku nak tahu.”

“Tentu kau tak percaya, pemanggil misteri itu MR. 12*..” Aku meluahkan rasa tidak puas hati.

Ha… Ha….Ha….. Ketawa Syikin meledak.

“Sejak peristiwa itu kau tak jumpa dia kan?… Tiba-tiba jumpa kat rumah sendiri. Lepas ini mesti ada cerita lebih menarik lagi.” Syikin pula membuat andaian.

“Memang menarik.. Dia datang dengan maknya. Rupanya mak aku dengan maknya kawan baik.” Aku masih lagi tidak percaya dengan pertemuan itu.

“Memang ada jodohlah tu… Mula-mula jumpa bertekak. Lepas itu jumpa bawa mak. Last sekali...jumpa depan tok kadhi.” Aku menjegilkan mata ke arah Syikin.

Syikin ketawa kuat. Agaknya geli hati dengan cerita yang direka sendiri.

“Yang aku menyampah…Matanya tak lepas dari merenung aku. Naik rimas dibuatnya. Depan mak dia dan mak aku pun dia boleh buat macam itu. Tak malu betul!” Sungguh aku benci bila mengenangkan saat dia di rumahku dulu.

“Tak baik benci kat oranglah Zu…. Esok-esok dialah yang Zu pandang siang dan malam. Siapa sangka.” Ujar Syikin lagi.

“Norasyikin Mohd. Nor….” Nama penuh Syikin aku sebut.

“Usahlah nak membuat tanggapan dan mereka-reka cerita yang tak masuk dek akal.” Aku pura-pura marah.

“Kau suruh cerita, aku cerita, dah aku cerita kau tambah pula cerita. Tak patut betul!” Aku bercakap seperti orang berjauh hati.

“Zu… kalau kau merajuk, aku memang tak ada bakat nak pujuk. Tapi kalau orang tu aku rasa memang pandai sangat..”

Aku mencubit lengan Syikin. Dia mengaduh.

“Kalau kau nak rasa cubitan aku, cubalah cakap macam itu lagi.” Syikin hanya tersenyum menampakkan giginya yang putih bersih.

“Kat atas meja tu ada ole-ole untuk kau. Mak aku kirim salam.” Aku mengubah topik.

Jambu batu tanpa biji itu aku beli semasa melalui Pekan Bidor. Memang Syikin penggemar jambu batu. Tiap kali aku balik kampung, tidak pernah dia lupa memesan buah itu.

“Thanks. Lepas ini boleh cicah dengan kicap dicampur dengan cili padi.”

“Emmm…bestnya!” Syikin beredar ke ruang dapur.

*****

Kelakuan Amir Zuhairi diperhatikan oleh Puan Zubaidah. Semenjak pulang dari Tapah, nampak ketara benar sikap Amir Zuhairi. Selalu termenung. Ditanya sepatah dijawab sepatah. Kadang-kadang macam tidak mendengar apa yang ditanyakan.

“Mir….” Panggilan Puan Zubaidah hanya dijawab perlahan.

Semenjak suaminya meninggal dunia lima tahun dahulu rumahnya terasa sunyi. Ada anak-anak pun tidak sepenuh masa berada di rumah. Anak perempuan kembarnya masih lagi menuntut di UPM.

Puan Zubaidah memandang sekeliling. Ingatan terhadap arwah suami terbayang di mata.

Waktu-waktu malam begini mereka sering berhimpun di rumah. Menonton tv. Ada masanya mereka bermain scrabble. Sesekali terdengar pekikan anak perempuannya bila diusik abang. Tak puas hati dengan perkataan yang dibuat. Tuhan lebih menyanyangimu abang. Nostalgia lalu kembali di layar minda.

Pandangan dialihkan kepada Amir Zuhairi yang masih leka menonton tv. Namun Puan Zubaidah seakan dapat membaca bahawa hanya mata Amir sahaja di tv. Fikiran entah di mana.

“Ada masalah di tempat kerja ke Mir?” Puan Zubaidah bertanya.

Amir Zuhairi hanya menggelengkan kepala.

“Ibu pun hairan sejak akhir-akhir ini Amir banyak termenung. Masalah kerja bukan.. “

“Habis tu masalah apa? Ibu tengok macam orang menanggung beban yang berat saja.” Puan Zubaidah cuba mengorek isi hati Amir Zuhairi.

“Entahlah bu..” Amir Zuhairi mengeluh.

“Mengeluh itu tandanya orang yang berputus asa. Cuba ceritakan masalah sebenar, sekurang-kurangnya beban itu menjadi ringan. Mungkin juga ibu boleh membantu..” Puan Zubaidah bercakap dengan penuh kasih sayang sebagai seorang ibu.

Amir Zuhairi masih lagi berdiam diri.

Puan Zubaidah amat arif dengan perangai Amir Zuhairi. Anaknya itu tidak pernah menyembunyikan apa-apa perkara yang dihadapinya. Mereka akan berbincang dan bertukar pendapat bersama.

Amir Zuhairi juga seorang anak yang bertanggungjawab terhadap keluarga semenjak suaminya meninggal dunia. Cuma kali ini sikap Amir Zuhairi agak berlainan. Ribut tak ada, angin pun tak ada. Entah apa yang membuat anak bujangnya begitu. Bertukar sikap dalam sekelip mata.

“Ceritalah kepada ibu….” Puan Zubaidah memujuk. Tidak mudah berputus asa.

“Ibu akan tahu juga nanti…” Amir Zuhairi masih tidak mahu menyatakan perkara sebenar.

Malam pun kian larut. Amir Zuhairi ke biliknya selepas bersalam dengan Puan Zubaidah.

Bimbang hati seorang ibu tetap bermain di dada. Apakah yang tersembunyi di hati anaknya? Puan Zubaidah ingin mencungkil dan mengetahui dengan lebih lanjut .

Sunday, October 16, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 19

MISTERI TERUNGKAI

Semua tetamu telah pulang. Yang ada cuma jiran-jiran terdekat yang menolong hingga segalanya selesai. Begitulah kehidupan di kampung. Semangat gotong royong dan bantu membantu masih tebal lagi.

Usai segalanya, kami duduk-duduk di meja makan. Kak Ngah tidak turut serta. Penat agaknya. Mak dan Mak Cik Zubaidah menyambung semula perbualan mereka yang terhenti siang tadi.

Amir dan Abang Irwan masih di ruang tamu. Orang lelaki, mana dia hendak lama-lama di dapur kecuali tukang masak atau pun menjamu selera.

Aku sebenarnya dalam keadaan serba salah. Nak masuk tidur dulu, hari masih awal lagi. Nanti apa pula kata tetamu yang diundang khas oleh mak.

Bila aku keluar dari bilik air, aku terdengar perbualan mak dan mak cik Zubaidah. Perbualan mereka membuatkan aku tidak jadi kembali ke meja itu.

“Ramai sungguh orang datang tadi…”

“Macam inilah kak, kalau kenduri di kampung…”

“Zulaikha itu, dah ada orang yang punya ke?” Aku hampir terbatuk namun masih sempat ditahan. Tak mahu mereka mengetahui bahawa perbualan itu dicuri dengar olehku.

“Entahlah kak, umur pun makin meningkat tapi tiada tanda-tanda pun nak berdua” Mak menjelaskan duduk perkara sebenar.

“Samalah dengan Amir tu… Bila ditanya katanya tak ada calun lagi. Nak dicarikan calun ada saja alasan yang diberi”

“Susah orang muda sekarang ni.. “ Mak Cik Zubaidah mengeluh.

“Tahun ini umur Amir dah 30 tahun. Dulu-dulu umur macam tu dah ada anak 3-4 orang.

“Entah bilalah saya dapat menimang cucu! Adik-adiknya itu belajar lagi…. “

“Orang macam mana yang ditunggu pun, tak tahulah…..” Mak Cik Zubaidah meluahkan segala yang terbuku di hati kepada mak.

“Sabarlah kak… kita orang tua ini tunggu sajalah. Doakan yang terbaik untuk anak-anak.” Itu yang aku dengar mak cakap.

Perbualan mereka terhenti apabila melihat kelibat aku. Aku berjalan menuju ke meja membawa air teh. Aku tak mahu mereka mengesyakki yang perbualan mereka telah aku dengar.



Saat itu juga, Amir berjalan ke dapur. Entah apa yang dicarinya aku pun tak tahu. Malas nak ambil tahu. Aku kembali ke kabinet mengambil sebiji cawan lagi. Tetamu mesti dilayan sebaiknya. Air muka mak mesti dijaga. Aku tak mahu dikatakan anak yang tidak diajar dengan tata susila dan kesopanan.

Nak duduk atau tidak di situ. Otakku ligat berputar.

“Mak, Mak cik jemputlah minum. Saya nak ke atas…” Aku cuba mencari alasan yang terbaik.

“Tak jemput kita minum sekali?” Dia pula menjawab.

Orang tak jemput, tak payahlah minum. Tak kan tak faham-faham! Ayat itu hanya berlegar di kepala. Tidak aku keluarkan. Kalau aku berkata begitu, pastinya mak akan pengsan.

“Jemputlah minum….” Aku masih berdiri setelah menuangkan air ke cawannya.

“Duduklah sekejap. Kita berborak-borak, esok pun bukan nak kejar apa. Masih cuti lagi… “ Mak membuat usul.

Dan bila mak sudah berkata begitu, aku jadi lemah. Nak beri alasan apa? Mak menegur dengar caranya yang tersendiri. Mak memang masak dengan perangaiku. Selalu tidur lewat malam.

Aku tidak jadi melangkah. Terus duduk di sebelah mak. Ini bermakna aku duduk bertentangan dengan ‘dia’.

Bil pandangan mata kami bersabung, 'dia' hanya tersenyum sahaja. Mungkin dia tahu aku tidak dapat berbuat apa-apa kerana dia tetamu kami. Seharusnya tetamu mesti dihormati, mesti dilayan dengan baik.
Mak dan Mak Cik Zubaidah tersenyum. Aku perasan yang mak cik Zubaidah asyik memandang ke wajahku. Kemudian beralih ke wajah anaknya. Dahlah maknya asyik memandang aku. Anaknya pun turut serta. Pelik sangatkah wajah aku hari ini?

Mak pun pandai-pandai bercerita aku duduk di mana dan kerja di mana.

“Amir pun sesekali ada pergi ke Putrajaya. Kajang dengan Putrajaya itu dekat... .” Aku hanya mengangguk.

"Tak pernah terserampak ke? Amir ni kaki jalan juga." Aku sekadar menggelengkan kepala. Tak berani aku memandang wajah 'dia'.

Dia kaki jalan ke kaki apa ke.. Aku peduli apa? Eh... kenapa bila berhadapan dengan 'dia' ini aku selalu saja membebel tak tentu pasal. Cuma ayat itu tak keluar saja dari mulut ini. Teruk penyakitmu, Zulaikha!

Ramah pula dia malam ini. Tak pula macam peristiwa sewaktu aku terlanggarnya. Depan mak aku bolehlah 'dia' berlakun dengan baik. Ala… sorilah lakunannya tidak berkesan di mataku.

Aku lebih banyak berdiam diri. Tiap kali aku bersuara, ‘dia’ tak lepas dari memandangku. Dan pandangan mak dia pun tak lepas dari mataku. Rimas sekali.

Jam 12 malam, aku meminta diri. Memang aku benar-benar mengantuk! Mak dan mak cik masih terus berbual....

“Sweet dream….” Aku mendengar ucapan itu dari sisi. Entah bila dia bangun dari kerusi itu aku pun tak pasti. Suka hati akulah nak mimpi ke tak nak mimpi. Yang dia menyibuk ni entah kenapa. Yang pasti 'dia' tak muncul dalam mimpiku.

Berani sungguh! Bukan berani tapi tak tahu malu. Hatiku berbisik.



Selepas sarapan Mak Cik Zubaidah dan 'dia' bersiap-siap untuk ke Pulau Pinang. Mak Cik Zubaidah ada juga mempelawa aku dan mak supaya turut serta. Sambil itu boleh makan angin katanya.

Aku menolak dengan cara lembut lagipun cuti aku sehingga esok sahaja. Nak jalan-jalan kena ambil cuti sekurang-kurangnya seminggu.

“Tak apalah… lain kali kami datang sini lagi. Zulaikha dan emaknya boleh ikut sekali. Amir pun boleh bawa jalan-jalan kat sana. Banyak tempat menarik yang Amir boleh tunjukkan.” Ini nak promosi Pulau Pinang ke nak promosi anak?

Zulaikha…. Tak baik berprasangka. Niat mak cik itu baik. Lagi pun dah lama kau tak pergi ke Pulau Pinang kan? Suara dalaman aku berbisik.

Mujurlah ‘dia’ berbual dengan mak, Kak Ngah dan Abang Irwan. Jika tidak entah apa yang dijawabnya apabila mendengar jemputan yang diberi oleh ibunya.

Mak Cik Zubaidah memelukku macam bagai tidak mahu dilepaskan. Padahal inilah pertama kali kami bertemu.

Dia memandangku setelah bersalam dengan mak. Tidak ketinggalan dia menghadiahkan 'artificial' smiles. Menarik juga wajahnya. Lekuk di dagunya terselah. Patutlah mak tertawan, tak habis-habis memuji.

Aku berdiri di depan kereta. Sengaja menjauhkan diri daripada mereka.

“Balik dulu… " Dia berjalan ke tempat duduk pemandu. Berhenti seketika lalu menyambung semula.

“Usahlah lupa, cik puan masih ada hutang yang belum dilangsaikan lagi” Dia mengingatkan aku. Mak dan mak cik Zubaidah berdiri agak jauh ketika itu. Suaranya agak perlahan tapi jelas di pendengaranku.

Dan aku teringat kembali panggilan talipon itu? Hutang?

‘You? “ Aku terkejut. Selama ini dialah yang sering menggangguku. Rasa marah dan sakit hati tumbuh kembali.
Dia pula, dengan selambanya tersenyum...... Macam tak ada apa-apa yang berlaku.

“I’ll make sure, we will meet again…. Boleh?” Aku tidak mengangguk. Tidak juga menggeleng.

Kereta pun meluncur laju meninggalkan aku yang masih termanggu-manggu.

“Itulah Amir Zuhairi yang mak beritahu hari itu”

“Kalau dia Amir Zuhairi, kenapa pula mak?" Aku kurang sedap mendengar mak berkata begitu.

“Bolehlah…dik, ibu dia pun macam dah berkenan dengan adik. Tengok tadi tu peluk macam tak mahu lepaskan adik” Kak Ngah menggiat.

“Nampaknya makin meriahlah kenduri akan datang!” Abang Irwan pula mengusik.

“Tak ada kena mengena dengan adik” Aku melangkah masuk. Lama-lama di situ, semakin panas telingaku. Hatiku makin bertambah sakit.

Berkain batik kurung Kedah
Duduk bersimpuh sopan sekali
Misteri panggilan terungkai sudah
Tidakku duga, milikmu lelaki..

Thursday, October 13, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 18

KAU HADIR JUA

Sejak seminggu lalu, mak beria-ia berpesan supaya aku tidak lupa untuk pulang ke kampung di minggu ini. Kak Ngah pun berpesan perkara yang sama. Malahan Kak Ngah lagi ‘advance’, selang dua hari dia akan mengingatkanku.

Aku amat mengerti perasaan Kak Ngah. Terpancar cahaya keriangan di wajahnya… Gembira teramat sangat. Hampir beberapa tahun menanti baru kini dia disahkan hamil lagi. Selepas kelahiran anak pertama dulu, Kak Ngah mengalami keguguran. Puas juga mereka suami isteri berusaha. Berbagai kaedah dicuba untuk menambah zuriat tapi masih belum diberikan rezeki. Cuma tahun lepas mereka membuat umrah, akhirnya niat mereka dikabulkan olehNYA.

Hujung minggu ini akan diadakan kenduri kesyukuran, Pada mulanya aku ingin pulang selepas kerja tapi mak melarang. Kata mak, malam-malam tak elok memandu bersendirian. Apa-apa terjadi susah nanti!

Memandu di waktu pagi ini agak menyeronokkan. Tiada terjerat di dalam kesesakan yang panjang. Sambil memandu aku menyanyi sendiri mengikut rentak lagu yang berkumandang di radio. Menghilangkan kebosanan dan rasa mengantuk. Mujurlah perjalanan tidak lama. Hanya mengambil masa dua jam sahaja. Jadinya tak perlu aku berhenti di R&R menuju ke Utara.

Kepulangan aku disambut dengan senyuman manis Kak Ngah. Nampak perutnya yang semakin besar. Berseri-seri wajah seorang ibu yang bakal menimang orang baru. Mak pun apa kurangnya. Macamlah dah lama kami tidak bertemu. Habis pipi aku diciumnya. Malu juga aku dibuatnya, bila diperhatikan oleh suami Kak Ngah.

“Anak manjalah katakan….” Sempat dia bergurau. Suami Kak Ngah yang aku kenali memang periang orangnya. Ada sahaja gurauan dan usikan dalam perbualan. Orang yang mendengarnya pun tak kering gusi.


Petang itu aku ke Tapah membeli beberapa barangan yang dipinta oleh Kak Ngah. Entah kenapa di saat akhir, Kak Ngah ingin memberikan bunga telur sebagai cenderahati kepada tetamu. Aku menurut sahaja, ialah… hati orang mengandung perlu dijaga. Mereka ini agak sensitif. Dan aku yang hanya menjadi pemerhati ditugaskan untuk perkara khas sebegitu.

Pulang dari Tapah, aku melihat ada kereta lain yang parkir di sebelah kereta Kak Ngah. Kereta Honda itu mengingatkan aku kepada seseorang. Tapi tak mungkinlah.. Hati menafikannya. Mungkin kawan Kak Ngah agaknya, hati berbisik lagi.

“Assalammu’alaikum…” salamku beri sebelum melangkah masuk ke rumah.

Salamku dijawab oleh seorang wanita. Bukan suara mak. Aku memerhatikannya lalu bersalam. Sesekali balik, jiran mak pun aku tidak kenali.

“Adik…..” Malunya aku kalau mak memanggil begitu di hadapan orang lain.

“Ini mak cik Zubaidah…” Mak memperkenalkan aku kepada wanita separuh umur itu. Nampak bergaya orangnya.

“Apa khabar mak cik?” Aku menghulurkan tangan. Entah Zubaidah mana aku pun tak tahu. Salamku disambut dan dipegang irat.

“Ini Zulaikha?” Tanyanya lagi. Dia memandang ke mukaku lalu melemparkan senyuman.

Kami berbual sambil menikmati hidangan teh petang. Di dapur aku mendengar riuhnya jiran-jiran membuat persiapan untuk majlis malam nanti.

“Assalammu’alaikum….” Aku mendengar suara lelaki memberi salam lantas menoleh.

Saat itu aku rasakan nafas seakan terhenti. Darah seakan berhenti mengalir. Terkejut bukan kepalang. Matanya pula memandang ke arahku… Aku menjadi semakin resah.

Macammana dia ada di sini? Dari mana dia datang? Tiba-tiba sahaja muncul di depanku, setelah peristiwa dulu. Mimpikah ini? Tidak, aku tidak bermimpi di siang hari. Dia di hadapanku adalah dia yang pernah menjerkah aku suatu waktu dulu. Dan dengan selambanya dia duduk di sebelah mak cik Zubaidah.

“Zulaikha… ini anak mak cik, Amir. Tadi dia ke surau sana…” Aku menganggukkan muka. Surau kampung ini berdekatan dengan rumah kami. Tetamu yang datang lebih selesa mengerjakan solat di surau tersebut.

“Kita berjumpa lagi….” Ujarnya, lalu tersenyum.

“Dah kenal ke?” Mak Cik Zubaidah dan mak berpandangan sesama sendiri.

Aku tidak menjawab. Tak mahu aku ingatkan perkara yang berlaku di awal pertemuan kami. Kenapa aku perlu mengingati seorang lelaki yang bersikap angkuh dan ego!

“Secara tak disengajakan ibu…” Dia menambah.

Ada saja yang dibualkan oleh mak dan mak cik Zubaidah. Aku hanya menjadi pemerhati. Sesekali aku menjawab bila ada pertanyaan yang ditujukan kepadaku.
Sebenarnya aku kurang selesa berhadapan dengan 'dia'. Malahan rasa terkejut ini masih belum hilang lagi. Yang 'dia' pun macamlah tak ada tempat lain yang nak dipandang. Balik-balik muka aku juga yang ditatapnya. Tak tahu malu betul! Depan mak aku dan mak 'dia' pun boleh berbuat begitu.
Kalau aku punya kuasa, mahu saja aku menampal matanya dengan plaster. Ha...ha..ha.. aku ketawa di dalam hati, kerana aku tahu niat itu tidak akan kesampaian.
Aku meminta diri untuk ke dapur. Banyak kerja lain yang perlu dibereskan lagi sebelum malam menjelang.

Apa yang diberitahu, mak cik Zubaidah dan ‘anaknya’ itu akan bermalam di rumah kami. Mereka akan bertolak ke Pulau Pinang pada keesokan harinya.

Aku menjadi semakin resah. Macammana aku nak elakkan diri darinya. Dulu pertemuan kami (sebolehnya memori itu aku kuburkan!) hanya di jalanan. Kini, dia berada di dalam rumah yang sama denganku. Yang paling aku tidak tahan, lirikan matanya tidak lepas dari memerhatikanku. Ditambah pula dengan senyumannya yang semakin lebar.

Menyampah aku melihatnya!

Waktu pun terasa terlalu panjang. Aku berharap sangat pagi cepat menonjolkan diri. Supaya aku tidak menjadi bahan penyelidikan dan pemerhatiannya.


Dari utara menuju selatan
Berihat sebentar di kedai kopi
Bertemu dengan gadis idaman
Terasa tak mahu berpisah lagi

Bunga kekwa bunga selasih
Bunga mawar dalam jambangan
Senyum dihadiahkan tanda kasih
Mengapa hambar tiada balasan


Monday, October 03, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 17

Sejak pertemuan kami dulu, hubungan kami dipanjangkan dengan panggilan talipon. Sesekali kami akan berbalas message. Adakalanya hingga berjam-jam di YM, mengalahkan orang bercinta pula.

Antara kami memang ada aura agaknya. Aku meminjam perkataan yang paling popular buat masa ini.

Benarlah kata orang hubngan mesra itu bukan diukur kepada panjang atau singkatnya perkenalan itu Kebenarannya memang telah terbukti.

Mungkin kerana mereka tidak mempunyai kakak dan aku tidak mempunyai adik menjadikan hubungan ini semakin akrab. Aku seperti kakak kepada mereka. Hinggakan perkara peribadi pun akan diceritakan. Tingginya kepercayaan mereka kepada aku.

Masa kecil dulu aku pernah bertanya kepada mak kenapa adik beradik aku hanya tiga orang sahaja. Sedangkan jiran sebelah punya anak yang ramai. Rumah mereka begitu ceria.

Aku pula selalu bersendirian, apabila kak ngah tinggal di asrama. Bayangkan aku dan kak ngan berbeza 7 tahun. Mak pernah memberitahuku, bukan dia yang tak mahu anak yang ramai tapi itu adalah ketetapan Tuhan. Betul juga ada orang inginkan anak yang ramai tapi tidak kesampaian. Ada pula yang tidak mahu anak tapi diberi anak. Hinggakan di dada akhbar terpapar kes pembuangan bayi.

Bagi menghilangkan bosan aku sering berbual dengan kucing kesayanganku. Tiada blasasn tapi bunyi ngiaunya cukup membuatkan aku gembira. Aku terhibur dengan telatahnya.

Hari ini kami duduk2 di McD setelah penat bermain boling di Mines Seri Kembangan. Kami memilih kerusi yang agak ceruk sedikit.

“Kak, nak tanya boleh…tapi personal sedikit.” Hani memulakan perbualan setelah kami duduk mengadap makanan pilihan masing-masing. Pertuturannya teragak-agak.

Aku terhenti daripada menyuap aiskrim.

"Boleh, kalau tak berat sangat.." jawabku. Bau kentang goreng menusuk ke hidung.

"Akak, tak ada kawan lelaki ke?" Hani menyambung kembali soalan tadi.

" Kawan lelaki?" Aku terdiam sebentar.

"Ramai hingga tak boleh dibilang dengan jari." Aku tersenyum memandang ke arah Hana.

"Yang itu tahulah… maksud Hani yang specialnya. Mana tahukan, kakak selalu dengan kami, nanti tak pasal-pasal ada orang yang merajuk." Hana tekun mendengar pertanyaan kembarnya. Sambil itu mulutnya tak berhenti menguyah.

"Kata orang merajuk kepada yang sudi.... Oleh kerana tak ada orang yang sudi kat akak jadinya tak adalah orang yang nak merajuk..." Aku menghadiahkan mereka sebuah senyuman.

"Macam tak percaya saja... Tak mungkin orang secomel akak ni tak ada siapa yang berkenan." Hana pula mencelah.

"Kakak tak bohong, masih sendiri lagi. Tak ada orang yang berkenan dengan kakak." Perbualan sudah menjurus ke arah teman lelaki.

"Betul ni?" Rasa tak percaya masih wujud di wajah Hana.

"Apa pula tak betulnya…" Hairan juga pertemuan kami yang dulu-dulu tak pernah timbul pula soal teman lelaki ni.

"Kalau begitu bolehlah…. " Serentak mereka menjawab. Berpandangan antara satu sama lain lalu terburai bunyi ketawa. Mujurlah orang tidak begitu ramai makan lagi. Jadi ketawa yang pecah berderai itu kurang mengundang perhatian orang lain.

Kalau tidak pasti ada yang berkata, apalah kenanya anak dara ketawa begitu. Tidak manis sama sekali

"Apa yang boleh, apa yang tak boleh ni…Macam ada missi tersembunyi aje." Aku inginkan kepastian.

Layangan wajah Johari melintas di depan mata. Aku hairan dengan sikapnya di pertemuan kami minggu sudah. Perangainya benar-benar berubah. Tidak memaksa bagai selalu. Pulangnya dari luar negeri memang memberikan kejutan kepadaku.

"Kalau kami kenalkan seseorang dengan akak, hendak tak?" Aku tersentak.

"Apa dia?" Aku terpinga-pinga.

"Akak ni mengelamun pulak? Fikirkan siapa?" Hana terpaksa mengulang soalan itu sekali lagi.

Ha..haa..haa.. aku tak dapat menahan ketawa.

"Studi pun sempat juga nak mengintai lelaki yang single lagi. Dah tukar profession ke?" Memang sungguh-sungguh aku ketawa. Entah macammana topik itu boleh keluar di pertemuan ini.

"Siapa dia Hana, Hani.? Lawyer, Doktor?" Aku meniru dialog dalam filem Ibu Mertuaku.

"Akak ni...... kita serius dia main-main pulak!" Hani sudah menarik muka, tapi wajahnya tetap comel.

"Akak pun serius juga. Bunyinya macam program realiti tv Mencari Cinta saja ni... Bezanya cuma ada dua orang peserta, seorang lelaki dan seorang perempuan" Aku cuba berjenaka. Tawaku masih bersisa.

Ketawa aku terhenti bila tahu bahawa perbualan ini bukan main-main.

"Hana ni pandai-pandai aje nak match make. Entah-entah dia dah ada special, Hana pulak yang terlebih-lebih ni." Aku cuba menenangkan keadaan. Pelik juga budak berdua ni, dari mana dapat idea yang begitu..

"Hana yakin kak." Macam menjawab soalan peperiksaan pula. Soalan berbentuk objektif.

"Akak fikirkan dulu... Sementara akak fikirkan Hana dan Hani boleh kenalkan dia dengan orang lain." Aku membuat usul.

"Tapi kami rasa dia sesuai dengan akak." Belum diperkenalkan mereka sudah cukup yakin. Entah kriteria apa yang digunapakai oleh mereka hinggakan mengatakan aku sepadan dengan 'lelaki' itu.

Aku sebenarnya sudah malas memikirkan itu semua. Tapi kerana tidak mahu mereka berkecil hati, aku layan juga. Kalau boleh buat sementara waktu ini.... aku ingin jauhkan diri daripada lelaki. Tak mahu perkataan itu menyesakkan kepalaku, membataskan pergerakanku.
*****

N3 17 untuk tatapan semua. Tak sama dengan apa yang hilang dulu.... Moga pembaca akan berpuas hati.

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan yang bakal tiba dari penulis.