HUJAN DI HATI, BILAKAN BERHENTI...

Wednesday, August 31, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 14

Waktu pagi beginilah ‘dia’ selalu menalipon. Tidak pernah kurang., Tidak pernah lebih. Memang punctual. Alasannya ingin menuntut hutang.


Harinya tidak menentu, Cuma waktunya yang tepat. Aku makin lemas. Kadang-kadang aku berperang dengan perasaan sendiri. Samada untuk menjawab atau pun tidak. Jika tidak diangkat deringan akan terus kedengaran. Memekakkan telinga.


Pabila aku mendengar suaranya… Gagang talipon akan kembali ke tempat asal. Dia nak kata apa pun aku tak kisah. Bukan silapku kalau aku bersikap demikian. Hairannya, pemanggil tanpa identiti itu tidak pernah berputus asa.

Sehinggalah pada suatu hari, anginku menjadi-jadi. Selepas talipon aku letakkan. Ia berbunyi lagi.


“Hei… you tak faham-faham lagi ke? I cakap jangan ganggu, jangan ganggulah…!” Memang kalau ikut nota lagu, Suaraku ini bolehlah dianggap berada di not yang tinggi.

“Zulaikha…. Boleh masuk bilik saya sekejap?” Jangkaanku silap. Rupa-rupanya boss aku di hujung talian.


“Bo….leh, boleh… Saya datang sekarang.” Aku menahan malu. Mujurlah boss bukan berada di hadapanku. Jika tidak di mana mahu aku sorokkan muka yang setebal 14 inci kerana menahan malu.


Bagaimana boleh aku bersikap demikian di pagi hari ini.


Pintu diketuk. “Assalammu’alaikum En. Taufik.” Aku melemparkan senyuman. Selebihnya aku ingin menyembunyikan rasa bersalahku kepadanya.


“Jemput duduk.” Pelawanya.


“Kenapa ni.. Zulaikha. Bergaduh dengan kekasih hati di pagi hari?” Aku tidak berkata apa-apa. Hanya diam. Tunduk memandang kedua tanganku yang digenggam.


“Garangnya awak. Zulaikha.” Gelaran itu aku perolehi sekali lagi. En. Taufik adalah orang kedua menyatakan demikian selepas ‘dia’.


“Zulaikha yang saya kenal beberapa tahun ini bukan orang yang begini. Apa yang menyebabkan awak marah di pagi ini….


Kalaulah saya tak mengenali awak, pasti saya menganggap awak ini seorang perempuan yang suka marah-marah. Takut saya tadi. Saya ingatkan salah nombor.” En. Taufik bercakap panjang lebar. Senyumnya tetap di bibir. Inilah satu kelebihan boss aku. Bercakap sambil tersenyum.


“Maafkan saya En. Taufik atas sikap saya tadi.” En. Taufik mengangguk.


“Cepat-cepatlah awak selesaikan masalah awak tu. Saya risau pula kerja awak akan terjejas nanti.” Dalam lembut sempat juga En. Taufik memberi nasihat. Atau pada pendengaranku seperti menyindir. Namun aku akui memang benar kata-katanya itu.


“Awak nak saya tolong selesaikan?” En. Taufik mempelawa.


Nak selesaikan apa? Ini gara-gara panggilan itu, Sering mengganggu ketenteraman aku. Aku jadi begini pun kerana ‘dia’. Siapa yang suka mengacau bilaukan fikiranku. Di mana aku harus merisik siapa ‘dia’ sebenarnya? Hatiku berdesis sendiri.


“Tak ada apa-apalah En. Taufik. Terima kasih.” Aku hanya tersenyum. Muka En. Taufik aku pandang. Baju kemeja biru muda yang dipakai hari ini amat sesuai dengan kulitnya yang sedikit cerah. Usianya hampir mencecah pertengahan 30 an. Masih bujang lagi. Dengar cerita dia disukai ramai. Tapi hingga kini masih lagi menyendiri.


Hairan juga aku… ada rupa ada kedudukan tapi tetap solo. Lantas aku teringat usikan Maya teman sekerja. Susah-susah fikir yang jauh di mata, yang dekat lagi 'available'!



Aku beredar dari bilik En. Taufik setelah berbincang mengenai kerja selama 20 minit.

Sunday, August 21, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 13

Dari satu rak ke satu rak aku mencari novel.. Senarai yang diperolehi dari laman web, aku baca berkali-kali. Namun, apa yang aku cari masih belum ditemui lagi.

Tak keluar lagi ke? Aku bertanya sendiri. Aku membelek-belek pula novel lain. Saat aku ingin meletakkan ke tempat asal. Buku itu terjatuh.

“Aduh!” Kedengaran suara jeritan seorang perempuan.

Buku yang terjatuh betul-betul mengenai kepalanya. Tanpa aku sedari rupanya dia duduk berhampiran rak bawah.

“Maaf dik, akak tak perasaan tadi.” Aku menunjukkan rasa kesal. Sepatutnya aku lebih berhati-hati. Kerana terleka mencari novel, inilah padahnya. Mujur buku itu tidak tebal. Kalaulah setebal eksaiklopedia…. Aku pasti sungguh yang kami akan ke klinik.

“Mengapa Hana?” Seorang perempun bertudung datang menghampirinya.

“Terkena buku tadi..” Perempuan yang dipanggil Hana, masih memegang dan menggosok kepalanya yang dilitupi tudung.

“Akak yang bersalah tadi…” Aku memandang ke arah keduanya. Muka mereka hampir seiras.

“It’s ok. Tiada pendarahan berlaku.” Perempuan yang dipanggil Hana itu sempat berjenaka. Senyuman dilemparkan kepadaku. Dan mereka terus beralih ke rak lain.

Aku pula terus menuju ke kaunter yang memuatkan computer. Ingin menyemak samada buku yang dicari sudah habis atau pun belum tiba lagi. Hampa. Aku terlewat.

Aku duduk di kerusi. Sementara menanti komuter tiba, aku membelek-belek beberapa novel dan buku lain yang dibeli. Asyik sekali.

“Akak minat baca novel ke?” Aku menoleh sejenak. Memandang ke arahnya.

Perempuan yang kutemui di MPH Mid Valley itu duduk di sebelahku. Diikuti dengan seorang perempuan lagi. Aku kalau dah dapat novel memang boleh lupa di mana berada. Seolah-olah berada di dunia sendiri. Lagi pun komuter lewat lagi tiba.

“Minat sungguh.” Jawabku melemparkan senyuman.

“Kami pun suka juga.” Ramah dia memberitahu.

“Sakit lagi?” Aku merujuk kepada peristiwa sebentar tadi. Dia menggelengkan kepalanya.

“Nak balik mana?” aku bertanya lalu menutup novel yang aku buka sebentar tadi.

“Kajang. Akak balik mana?” dia membalas soalanku.

“Serdang…” Biasanya aku parkir kereta di Stesen Komuter di situ..

“Adik ni adik beradik ke? Muka seakan-akan sama.” Aku bertanya inginkan kepastian.

“Kami kembar. Saya Nurul Nadia Hana, yang ini Nurul Nadia Hani…” Perempuan yang menjerit aduh itu memperkenalkan diri.

“Akak boleh panggil saya Hana dan dia ni Hani.”

Wajah Nurul Nadia Hana dan Nurul Nadia Hani tidak banyak bezanya. Cuma Hana mempunyai tahi lalat di bawah bibirnya. Jika tidak mungkin aku boleh terkeliru.

“Nama akak?” Kerana memandang wajah mereka aku terlupa memperkenalkan diri.

“Zulaikha.” Sekadar menyebut nama pendekku.

“Kami nak panggil apa ya?" Hani pula bertanya. Antara Hana dan Hani, Hani nampak pendiam sedikit.

“Orang lain biasa menggunakan panggilan, Zu… “ Aku memberikan penjelasan.

“Kalau kami panggil kak Ika. Boleh ke?” Hana meminta kebenaran. Berterus terang orangnya.

“Boleh… asalkan bukan nama yang buruk-buruk .” Entah kenapa aku senang berbual dengan mereka berdua. Satu perasaan yang hadir dalam diriku. Walau pun baru pertama kali bertemu dengan mereka.

Rasanya kami macam telah lama saling mengenali. Perbualan pun tidak begitu kekok.

“Akak memang selalu, jalan sorang-sorang ke?” Hani bertanya.

“Tak juga… Cuma hari ni kawan akak balik kampung. Sebab nak cari novel baru. Akak pergi sendiri. Lagi pun turun dari komuter, Mid Valley dah di depan mata.” Jelasku. Hana dan Hani mengangguk-nganggukkan kepala.

Komuter yang dinanti tiba jua akhirnya. Kami bernasib baik kerana ada orang yang turun. Kebetulan pula kami dapat tempat duduk yang mengadap sesama sendiri. Perbualan kami teruskan tanpa ada apa-apa gangguan.

Kata Hana……….. Dia ingin bertemu lagi denganku. Ia… kerana novel, kami boleh bercerita berbagai perkara. Dari sebuah buku ke sebuah buku. Begitu juga dengan penulisnya.

Kemesraan tidak menghadkan samada kita telah lama atau baru mengenali seseorang itu. Ada aura kesesuaian berada di antara kami.

Sebelum turun di Stesen Serdang…. sempat kami bertukar-tukar nombor talipon. Itu adalah satu langkah supaya pertemuan ini tidak akan berakhir di sini sahaja. Hana dan Hani menyimpan harapan agar kami akan bertemu lagi.

Saturday, August 13, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 12

Ahad datang kembali. Aku tak tahu ke mana harus aku tuju. Rasa bosan mula menerjah ke dalam dada. Nak pergi ke rumah Kak Ngah, dia dan keluarga pergi bercuti di Langkawi. Nak balik kampung, terasa penat nak memandu.

Duduk rumah sendirian, aku serba tak kena. Semua kerja rumah telah beres dilakukan. Akhbar aku ambil. Habis isinya aku baca. Tengok tv, dengar radio. Bahkan aku dah tawaf satu rumah. Hanya melihat dinding dan lantai yang sepi saja.

Syikin pulang ke kampung. Dia makin sibuk sejak akhir-akhir ini. Nak buat persiapan untuk majlis perkahwinannya. Walaupun tarikhnya masih jauh lagi.

Untung Syikin, tak perlu susah-susah nak mencari jodoh. Diperkenalkan oleh keluarganya buat pertama kali terus menjadi. Tak perlu banyak-banyak fikir lagi. Lagipun keluarga kedua belah pihak telah memberi restu.

“Tak kesal ke Syikin, ikut pilihan keluarga. Macam zaman dulu-dulu saja?” Syikin hanya tersenyum mendengar soalanku.

“Pilihan keluarga ada masanya lebih bermakna. Mereka selalunya pilih orang yang baik-baik untuk anak mereka. Pertama kali aku jumpa bakal suami aku tu, hati ini terus saja bersetuju.”Ujar Syikin lembut.

“Lagi pun aku tengok dia bersopan santun, hormat orang tua.” Syikin menambah lagi.

“Mana tahu dia berpura-pura saja. Ialah nak memikat anak dara orang. Mesti pandai bawa dirikan!” Sengaja aku mengusik Syikin.

“Alhamdulillah.... sepanjang pertunangan kami dia memang seorang lelaki yang mengambil berat. Kau tengoklah walaupun berjauhan tak pernah dia lupa nak menalipon aku, bertanya khabar. Aku tak sempat balik kampung, dia akan datang ke sini.” Aku akur dengan kata-kata Syikin.

“Kau lainlah.... muka cantik sampai tak tahu mana satu nak pilih!” Syikin tersengih.

“Cantik itu subjektif Syikin. Lain orang lain pandangannya. Cantik atau tidak bukan ukuran seseorang itu cepat bertemu jodoh. Semua orang ada kelebihan dan kekurangannya.”

Hatiku menjadi sayu. Kalau Johari tidak bersikap begitu dulu. Mungkin kami telah mempunyai beberapa orang anak. Terasa rugi membiarkan waktu berlalu begitu sahaja. Hinggakan aku tutup pintu hati untuk orang lain. Tidak nampak sesiapa lagi.

Mengapalah aku terlewat sedar? Keluhan keluar dari mulutku.

“Sabarlah Zu, ada hikmah di sebalik yang terjadi. Entah-entah yang menunggu Zu lebih hebat lagi daripada Johari.

Aku pun hairanlah. Johari itu bukan handsome sangat, yang engkau boleh terpikat kat dia itu kenapa ya? Nak kata baik sangat tak juga.” Syikin menyatakan rasa ketidakpuasan hatinya. Beberapa kali dia menuturkan soalan yang sama kepadaku.

“Soal hati ini terlalu kompleks..” Jawabku pendek.

Duduk tanpa teman di rumah ini, membuatkan aku bermonolog sendiri. Mengingati tiap butir bicaraku dengan Syikin.

Antara kami bertiga, aku, Syikin dan Fiza, aku lebih rapat dengan Syikin. Aku dan Syikin mempunyai hobi yang sama. Suka membaca novel. Fiza pula hujung minggu selalu pulang ke kampung. Bukannya jauh sangat. Kami tinggal di Kajang. Keluarga Fiza pula di Hulu Langat. Memang susah nak jumpa dia hujung minggu.

Jika ada keluar novel baru, aku dan Syikin akan membeli berlainan tajuk. Kemudian bertukar pula untuk membaca. Tambahan sekarang ini lagi mudah. Nak tahu novel baru, lawat saja blog yang mengulas beberapa novel. Baca ulasannya dan boleh berfikir sendiri samada nak memilikinya atau tidak.

Nampaknya aku sendirianlah ke Mid Valley minggu ini.

*****

Untuk pengunjung yg tertunggu2 , maaf ya... agak lewat memaparkan ep. 12. Selamat membaca di hujung minggu.

Jawab Tag Board:

Eita : Dah boleh masuk tu, teruskan membaca...
Adilia : Satu kebetulan agaknya, tak mengapa.....:)
Mar : Terpikat tak Mar? N3 hujung minggu dah siap untuk di bc
Ketupatos : Nak test market, terima kasih atas komen anda, jk silap tolong ajarkan.
Liya71 : Selamat datang ke blog ini.
HarumJasmin : Tukar le muka colour merah tu, kuning lg menawan.
Lia : Hidangan dah tersedia utk. ditatap :D
Mie : Teruskan membaca, ada blog tak, kita nak jg melawat awak. :)
Seriadriani : Seri, lepak jgn. tak lepak... :D
Rizal : Salam kenal utk. awak juga, teruskan melawat ke sini.
Nia : TQ dtg. berkunjung
Nisya_gal : selamat membaca n3 baru, salam ceria di hujung minggu.
Suriyati : Mg berpuas hati dgn. n3 ini, maaf krn. ternanti-nanti

Thursday, August 04, 2005

LEPASKAN AKU DARI HATIMU, Ep. 11

Aku melihat kertas yang tersusun di atas meja. Semuanya perlu tindakan segera. Sengaja aku catatkan ‘date-line’ di atas kertas kecil yang berwarna merah. Amat mudah untuk aku mencapainya.

Melihat ke arah jam di pergelangan tangan. Masih awal pagi. Pandangan aku alihkan keluar tingkap. Melihat kehijauan pohon-pohon. Menyejukkan mata melihatnya. Tiba-tiba talipon di atas meja berdering.

“Hello... Zulaikha bercakap,” aku memulakan ucapan.

Senyap tiada jawapan. Aku mengulangi lagi perkataan hello.

“Cik Zulaikha...” kedengaran suara lelaki di corong talipon.

“Ya, saya.”
“Saya menalipon ini sebab nak menuntut hutang!” tanpa salam, lelaki itu memulakan bicara.

Hutang? Aku mendengarnya dengan rasa terkejut.

“Maaf ya, boleh saya tahu siapa di sana?” Aku tidak menghiraukan kata-katanya.

“Takkan Cik Zulaikha sudah terlupa dengan hutang sendiri!” Bila pula aku berhutang dengan pemanggil itu.

“Encik silap orang ni…” Mustahil orang bank yang menalipon. Aku tak pernah delay dengan bayaran bulanan pinjaman kereta.

“Awak Intan Zulaikha Ahmad Sharifuddin kan?” Suara lelaki itu bertanya lagi.

Eh…. Macammana dia tahu nama penuh aku. Siapa yang berhutang ini. Along mana pula yang menuntut hutang tiba-tiba. Hatiku diburu kebimbangan.

Terbayang cerita-cerita tentang Along di suratkhabar. Jika orang yang berhutang tidak dapat menjelaskan bayaran, maka mereka akan mencari orang yang terdekat. Berbagai cara yang akan mereka lakukan sehingga semua hutang tersebut dapat dilunaskan. Ada yang berakhir dengan trajidi.

Siapa yang telah aniaya aku? Soalan itu hinggap di mindaku. Tak mungkin Kak Ngah. Ayob Zaidi pun bukan. Kak Ngah dan Ayob Zaidi yang menjelaskan bayaran pendahuluan kereta ku dulu.

Memang aku pernah menjadi penjamin rakan sekerja. Tapi pinjaman itu hanya di bank. Bukan melibatkan Along.

Aku tak boleh gelabah. Aku tak boleh rasa cemas. Aku cuba memberi semangat kepada diriku sendiri.

Hatiku seperti melonjak darjah kepanasannya. Lebih daripada 40 darjah Celcius. Kenapa aku mesti takut. Orang begini memang patut diajar. Senang-senang nak berkata orang berhutang.

“Saya memang tak ada apa-apa hutang dengan Encik. Tak perlulah Encik nak membuang masa meminta hutang itu dengan saya.” Aku mendengar sendiri suaraku yang semakin tinggi. Menggeletar tubuhku saat itu.

Lelaki itu ketawa. Amat menjengkelkan di pendengaranku. Agaknya seronok kerana telah menaikkan kemarahanku.

“Selagi Cik Zulaikha tak mahu melangsaikan hutang, makin keraplah saya akan menalipon.” Bunyinya seperti mengugut.

“Maaf, saya tak kenal Encik!” Kali ini aku betul-betul marah. Kalau dilayan orang gila ini, aku boleh jadi tak betul..

“Garangnya…..” Aku mendengar ucapan terakhir lelaki itu sebelum gagang itu diletakkan.

Aku termenung sejenak. Berfikir. Jika benar ada orang menggunakan namaku untuk berhutang tapi siapa? Macammana lelaki itu tahu di mana aku bekerja? Nama penuh aku?

Panggilan itu benar-benar telah mematikan ‘mood’ aku untuk terus bekerja di pagi itu.

***

Amir Zuhairi tidak dapat menahan ketawanya yang disimpan sejak tadi. Meledak bunyi tawanya memenuhi ruang bilik yang diduduki. Mujurlah hanya dia seorang di bilik itu. Jika tidak, pasti ada orang beranggapan otaknya telah senget.

Amir Zuhairi yang dianggap serius boleh ketawa bersendirian dengan agak kuat.

Ketukan di pintu meredakan ketawanya. Kalau boleh dia mahu ketawa hingga ke petang.


****

Belum diedit sepenuhnya...... untuk semua selamat membaca.